Sabtu, 4 Disember 2010

PAS Gesa Prihatin Kebajikan Muallaf Sabah


Kota Kinabalu – Ketua Dewan Pemuda PAS Sabah Lahirul Latigu memberikan sokongan moral kepada rombongan seramai 40 orang muallaf yang berlepas ke semenanjung untuk tujuan lawatan ke beberapa beberapa lokasi pondok pengajian dan institut pengajian Islam.

Lawatan rombongan muallaf ini atas kerajasama tajaan Yayasan Amal dan JAKIM yang merupakan program kali ke dua seumpamanya diadakan.

Lahirul ketika mengiringi rombongan tersebut di terminal 2 berkata lawatan tersebut merupakan satu usaha yang baik untuk memberi pendedahan dan pengalaman kepada mereka melihat suasana Islam yang sebenar di sana nanti.

Beliau berkata, Pemuda PAS sangat prihatin dengan kebajikan golongan muallaf di Sabah yang masih memerlukan perhatian dari sudut pendidikan asas seperti ilmu fardu ain.

“sehingga ke hari ini masih terdapat sebahagian besar golongan muallaf yang telah memeluk Islam bertahun lamanya tetapi masih mengamalkan budaya pagan dan animisme”

Jelas Lahirul, situasi golongan muallaf di Sabah sangat berbeza dengan situasi golongan muallaf di tempat lain kerana ia melibatkan nasib umat Islam di Sabah ini yang sebelum ini dipandang remeh oleh pemimpin Umno.

Kebanyakkan golongan muallaf di sini hidup dalam keadaan miskin dan tinggal jauh di kawasan kampung-kampung yang tidak mempunyai kemudahan asas seperti seperti air, elektrik dan jalan raya.

Selain itu kata Ketua Penerangannya Salman Amin, dengan bantuan prasarana yang sangat daif dan tidak diberi perhatian, apa yang membimbangkan juga iaitu dakyah dari golongan misionari yang bergerak aktif.

“Antara masalah yang dikenal pasti dihadapi oleh golongan ini iaitu tenaga pengajar yang tidak mencukupi disamping kelas-kelas penggajian agama yang sangat daif, jelas Salman.

Tambah Salman, kita tidak mahu sejarah hitam berulang lagi apabila kemasukkan Islam secara beramai-ramai masyarakat bumiputera ketika pemerintahan Tun Datu Mustapha yang tidak ada tindakan susulan akhirnya mereka kembali kepada agama lama mereka.

“Saya menerima respon daripada pihak yang prihatin dengan golongan muallaf ini agar dilantik seorang speaker dari kalangan mereka untuk bercakap di parlimen agar suara rintihan mereka didengar oleh pemimpin Negara ini”

Sehubungan dengan itu kata Salman, Pemuda PAS akan akan menggerakkan usaha untuk memberikan kesedaran kepada semua pihak akan tanggungjawab menjaga kebajikan golongan muallaf yang juga saudara seakidah mereka.

“Kita akan bertemu dengan pelbagai pihak dari kalangan pendakwah berpengalaman, NGO dan badan kerajaan agar usaha ini mendapat sokongan dari semua umat Islam di Sabah”

Selasa, 2 November 2010

Tiba Masanya, Pejuang Usno Bersama PAS




Batu Sapi
- Dewan Pemuda PAS Sabah mengajak kepada semua ahli Usno yang masih teguh memperjuangkan masa depan perjuangan umat Islam di Sabah agar keluar dari Umno dan berganding bahu bersama PAS untuk merealisasiakn cita-cita yang sama, kata Ketua Penerangan Pemuda PAS Sabah Salman Amin.

Sejarah telah membuktikan perjuangan awal Usno sejak ia ditubuhkan telah banyak memberikan sumbangan besar kepada perkembangan umat Islam di Sabah.

Penubuhan USIA yang ditubuhkan oleh Tun Datu Mustapha yang masih berperanan hingga ke hari ini menjadi salah satu bukti kesungguhan beliau untuk memartabatkan Islam di bumi Sabah ini.

Malangnya kata Salman, kemasukkan Umno yang dijangka boleh menjadi rakan untuk membantu umat Islam di Sabah bertindak sebaliknya dengan mengambil kesempatan ini untuk mematikan inspirasi perjuangan rakyat Sabah.

"Ketika itu rakyat di Sabah mungkin terpedaya dengan Islam yang ada pada Umno padahal, ia tidak menggambarkan jatidiri seorang muslim sebenar mengikut Al Quran dan Sunnah"

Kita boleh lihat kesannya sehingga ke hari ini, betapa kefahaman Islam di Sabah masih di tahap yang rendah kerana pemimpin-pemimpin Umno tidak serius membela nasib umat Islam sebaliknya sibuk mengaut khazanah kekayaan bumi Sabah, kata Salman.

"laporan daripada Ngo-Ngo Islam yang masuk ke kampung-kampung mengatakan hampir 30 buah kampung di pedalaman Sabah berisiko tinggi terdedah kepada murtad. Malah di Sabah ada satu istilah iaitu 'kawasan selamat untuk murtad'.

Umno sampai bila-bila tidak akan jadi pembela kepada umat Islam selagi dasar perjuangannya yang bersifat perkauman dengan cuba berselidung disebalik wajah Islamnya"

"Kita boleh lihat sendiri keadaan umat Islam di Batu Sapi yang begitu daif dari sudut pembangunan walaupun begitu setia menyokong Umno selama ini, tambah Salman.

"Walaupun terdapat beberapa jabatan-jabatan yang ditubuhkan oleh kerajaan untuk menjaga hal ehwal umat Islam tetapi ruang lingkup gerakerjanya telah di kawal sepenuhnya oleh pemimpin umno sehingga membantutkan usaha jabatan-jabatan tersebut untuk membantu secara lebih meluas"

Ini terbukti kata Salman, apabila ramai dikalangan para ustaz tidak dibenarkan menyatakan pendirian mereka malah ramai juga yang diperkudakan agar tindakan pemimpin Umno dilihat mendapat sambutan dari badan-badan agama walaupun bertentangan dengan Islam.

"Berbeza dengan Islam yang diperjuangkan oleh PAS yang menjunjung tinggi al Quran dan Sunnah dan menjadi dasar perjuangannya seperti yang tercatat dalam perlembagaan PAS"

"Bukti keazaman PAS untuk memartabatkan Islam tidak mengira bangsa dan keturunan boleh dilihat di Kelantan dibawah pentadbiran Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat"

"Islam yang diperjuangkan oleh PAS tidak pernah berubah walaupun ada dikalangan pemimpin PAS yang dipenjara malah ada yang dibunuh oleh kerajaan yang zalim dibawah pentadbiran Umno-Bn, ujar Salman.

"Istilah PAS parti semenanjung tidak wujud sebenarnya kerana sepertimana Islam yang pernah menguasai 1/3 dunia tidak ada istilah Islam arab, Islam parsi atau Islam eropah kerana semuanya bernaung dibawah sebuah sistem keadilan Islam"

Justeru kata Salman, cukuplah keikhlasan Tun Datu Mustapha yang dikhianati oleh pemimpin Umno kononnya untuk membantu Usno memartabatkan umat Islam di Sabah menjadi satu sebab mengapa pejuang-pejuang Usno perlu bersama dengan PAS bermula di Batu Sapi ini.

Isnin, 1 November 2010

Tidak Amanah, Batu Sapi mesti tolak Barisan nasional

Batu Sapi - Masyarakat di Batu Sapi mesti menolak kerajaan Barisan nasional kerana gagal menjalankan amanah mereka sebagai pemimpin yang dilantik oleh rakyat, kata Ahli Parlimen Shah Alam, YB Ir Khalid Samad.

Beliau berkata demikian ketika melakukan ceramah kelompok di Kg Cenderamata kelmarin disini.

Masyakat disini katanya perlu faham bahawa membuat perubahan bukanlah satu kesalahan malah ia merupakan hak rakyat untuk memilih siapa yang mereka akan pilih.

"Jika pemimpin Barisan nasional tidak menjalankan tugas dan amanah yang dipertanggungjawabkan, maka masyarakat di sini berhak untuk untuk tidak memilih mereka pada pilihanraya kali ini, kata Khalid.

Beliau berasa hairan mengapa pengundi masih mengekalkan undi kepada Bn sedangkan keadaan pembangunan dan kebajikan rakyat disini sangat menyedihkan.

Khalid berkata, jika rakyat di Selangor yang sudah pesat membangun dengan segala kemudahan yang ada boleh menukar kerajaan dari Bn kepada Pakatan Rakyat, rakyat di Sabah khusunya di Batu Sapi seharusnya sudah lama menolak Barisan nasional.

Jelas beliau lagi, antara faktor rakyat di Selangor menolak Barisan nasional pada Pilihanraya Umum 2008 kerana pemimpin-pemimpin mereka (Bn) mengamalkan rasuah dan penyelewengan.

Bekas Menteri Besar Selangor katanya, walaupun belum sampai setahun mentadbir tetapi sudah memiliki sebuah rumah yang berharga 4 juta ringgit.

Tambah Khalid, pendapatan royalty minyak Sabah setahun sebanyak 1 bilion ditambah dengan keluaran hasil balak, gas dan kelapa sawit sebenarnya menjadikan Sabah lebih kaya daripada Selangor tetapi malangnya apa yang berlaku iaitu rakyat Sabah masih di tangga termiskin dalam Negara ini.

Selain itu katanya, masyarakat disini jangan terpedaya dengan fitnah dan tohmahan yang dilakukan oleh Bn terhadap 4 buah negeri yang di tadbir oleh Pakatan Rakyat seperti Selangor, Kedah Kelantan dan Pulau Pinang.

Walaupun Pakatan Rakyat di Selangor baru memerintah hampir 3 tahun tetapi perubahan begitu jelas telah dillaksanakan berbanding kerajaan Bn yang sudah mentadbir selama 50 tahun lebih.

Dalam jangka masa yang singkat itu jelas Khalid, kami (PR) sudah mampu melaksanakan pentadbir dan pengurusan yang terbaik dan mengutamakan kebajikan rakyat Selangor.

Justeru katanya, masyarakat disini mesti buat keputusan yang terbaik demi masa depan generasi yang ada sekarang ini dengan memberikan undi kepada calon Pakatan Rakyat Tn Hj Ansari Abdullah dari Parti Keadilan Rakyat pada hari membuang undi 4 November nanti.

Ahad, 31 Oktober 2010

Pemuda Sokong Debat Ansari - Yong




Batu Sapi
- Dewan Pemuda PAS menyokong sepenuhnya cadangan agar debat diadakan diantara ketiga-tiga calon yang bertanding di P185 Batu Sapi.

Langkah itu adalah sesuatu yang wajar bagi memperlihatkan kepada rakyat kredibiliti dan kewibawaan yang ada pada setiap calon yang bakal menjadi wakil rakyat di sini nanti.

Cadangan debat ini tercetus berikutan cabaran debat calon SAPP Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee terhadap Ketua Menteri Sabah Musa Aman.

Ajakkan debat Yong itu bermula daripada kenyataan Musa Aman yang mengatakan bahawa slogan 'Sabah untuk orang Sabah' sudah tidak relevan lagi kepada masyarakat Sabah pada hari ini.

Walaubagaimanapun, cabaran debat Ansari itu ditolak oleh Yong atas alasan dia (Ansari) tidak ada local standy untuk berdebat dengannya sebaliknya Yong memilih untuk berdebat dengan Anuar Ibrahim, Ketua Umum PKR.

Ketua Pemuda PAS Sabah, Lahirul Latigu melihat keengganan calon SAPP itu untuk berdebat dengan Ansari sebaliknya memilih Anuar, hanyalah satu helah untuk melepaskan diri.

Lahirul berkata, adalah menjadi kebiasaan di negara-negara yang mengamalkan demokrasi apabila tiba pilihanraya, calon-calon yang bertanding akan dibawa ke pentas debat untuk memperlihatkan kewibawaan masing-masing.

"Suasana ini kita boleh lihat di negara jiran kita sendiri iaitu Indonesia yang berjaya menyuburkan budaya bertukar pandangan ini seterusnya menghasilkan kepimpinan yang berkualiti"

Mengapa tidak di Malaysia tegas Lahirul yang mendakwa negara ini antara negara yang maju dan berpegang dengan sistem demokrasi.

"ini secara tidak langsung memberi peluang kepada rakyat menilai calon-calon yang patut dipilih dan pada masa sama calon-calon yang bertanding dipilih dari kalangan yang mempunyai kelayakkan untuk menjadi wakil rakyat, tambah Lahirul.

Malangnya dinegara yang mengaku mengamalkan demokrasi seperti Malaysia, amalan berdebat dikalangan calon-calon yang bertanding masih belum begitu subur.

Selain itu, Lahirul juga mengajak masyarakat pengundi di Batu Sapi agar tidak terpedaya dengan gula-gula yang ditawarkan oleh Umno-Bn.

Menjelang hari pengundian, curahan projek mee segera di Batu Sapi tidak menggambarkan keikhlasan pemimpin Umno-Bn membantu rakyat sebaliknya mendedahkan betapa gagalnya mereka (Umno-Bn) menjalankan amanah yang diberikan oleh rakyat selama ini.

Terbaru iaitu janji Bn untuk memperuntukkan sebanyak RM5 juta untuk pembinaan Masjid Batu Sapi dan pembaikan bekalan air dan sistem parit yang sangat daif sejak sekian lama.

Mengapa baru sekarang persoal Lahirul, sebaliknya kesusahan yang dialami oleh sebahagian besar masyarakat di Batu Sapi sudah puluhan tahun di bawah pentadbiran Barisan nasional.

Jelas Lahirul, berbeza dengan Kerajaan Pakatan Rakyat seperti di Kedah dan Selangor yang baru saja mentadbir selama 2 tahun setengah, namun telah menunjukkan prestasi pentadbiran yang baik dan mengutamakan kebajikan rakyat.

Jumaat, 29 Oktober 2010

Bn Salahguna Taraf Kewarganegaraan dan Sijil Kelahiran



Batu Sapi - Dewan Pemuda Pas Sabah berasa kesal dengan tindakan Barisan nasional yang menjadikan taraf kewarganegaraan dan sijil kelahiran sebagai gula-gula untuk kempen politik mereka semata-mata, kata Ketua Penerangannya Salman Mohd Amin.

Menurut laman web kementerian Penerangan Malaysia, Majlis Penganugerahan Taraf Kewarganegaraan dan Penyerahan Sijil Kelahiran Kepada Penduduk tersebut diadakan pada
3 November 2010 (Rabu)jam 8.00 pagi di Kawasan Flat MPS Karamunting, Sandakan oleh YB Dato' Lee Chee Leong, Timb Menteri Dalam Negeri.

Pemberian taraf kewarganegaraan merupakan hak dan kedaulatan negeri ini dan tidak boleh dijadikan bahan kempen politik semata-mata terutamanya untuk meraih undi.

Kata Salman, persoalannya mengapa pemberian tersebut baru sekarang diadakan ketika kempen pilihanraya sedangkan banyak lagi waktu yang sesuai untuk mengurniakan taraf warganegara kepada masyarakat Batu Sapi yang terlibat.

Selain menjadikan hak dan kedaulatan sebagai gula-gula pilihanraya, Bn sebenarnya telah menyalahgunakan hak dan kedaulatan negara ini sesuka hati mereka, tegas Salman.

Seharusnya, Bn yang menerajui kerajaan pada hari ini mengambil langkah menyelesaikan isu
kad pengenalan yang menghimpit sebahagian masyarakat di Sabah sejak dulu lagi.

"Banyak lagi kes-kes kad pengenalan yang belum selesai akibat kegagalan Bn sebelum ini
mengurus dan mentadbir dengan baik isu kerakyatan ini"

Penyalahgunaan kuasa ini telah mengakibatkan wujudnya sentimen berunsur negatif dikalangan
masyarakat tempatan sedangkan isu ini berpunca daripada mereka (Bn) sendiri, ujar beliau lagi.

Tambah beliau lagi, isu kad pengenalan ini tidak akan selesai sampai bila-bila selagi kerajaan Umno-Bn terus menjadikan kedaulatan negara dan rakyat negeri ini sebagai mangsa kepada cita-cita politik sempit mereka.

katanya lagi, seperti petua yang diambil dari Tuan guru Nik Aziz Nik Mat agar masyarakat
di Batu Sapi mesti menjadi pengundi yang bijak.

"apa juga bentuk barang yang cuba diberikan kepada masyarakat Batu Sapi oleh Bn tidak perlu
di tolak tetapi undi mesti diberikan kepada Pakatan Rakyat"

Bn Tidak Bersungguh Kemuka Calon Wibawa untuk Rakyat





Batu Sapi
- Barisan nasional tidak bersungguh-sungguh meletakkan calon yang berwibawa untuk membela masyarakat di Batu Sapi, kata Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah Hj Hamzah Abdullah.


Perlantikan Puan Linda Thien Thau Lien dari Parti Bersatu Sabah di P185 Batu Sapi hanya sebagai alat untuk meraih simpati pengundi atas kematian mendiang Edmund Chong, bekas ahli perlimen Batu Sapi yang terlibat dengan satu kemalangan, kata Hamzah.


"Kita bersimpati keatas beliau kerana masa berkabung untuk mendiang suami beliau belum habis tapi BN telah menggunakan kesempatan ini untuk meraih undi"


Tambah Hamzah, Calon BN tersebut tidak fasih berbahasa Melayu maka bagaimana hendak mendengar permasalahan rakyat dan menyelesaikan secara berkesan.


Majoriti pengundi Batu Sapi adalah pengundi melayu Islam dan hidup dalam di bawah paras kemiskinan, ini memerlukan seorang calon yang benar-benar mampu membawa mereka keluar daripada masalah yang ada sekarang ini, tegas beliau.


Selain itu katanya, langkah Barisan nasional mahu menyeragamkan harga barang di Batu Sapi hanya sekadar gula-gula kepada kepada masyarakat Batu Sapi.

Pengumuman oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan itu mendedahkan betapa tidak prihatinnya pemimpin Bn-Umno terhadap kesusahan yang dialami pengundi Batu Sapi selama ini.

Mengapa baru sekarang diumumkan persoal Hamzah, sedangkan masyarakat melayu Islam di Batu Sapi sebelum ini kebanyakkannya hidup sebagai buruh kasar dan nelayan.

Begitu juga dengan SAPP yang begitu kuat melaungkan autonomi untuk orang sabah kata Hamzah, sebaliknya calon merekalah yang pernah menjadi Ketua Menteri Sabah sebelum ini mempunyai rekod buruk dengan menjual tanah-tanah milik rakyat kepada kroni dan syarikat-syarikat besar.

Justeru, calon yang dikemukakan oleh Pakatan Rakyat merupakan calon yang paling sesuai
kerana mempunyai wibawa untuk membawa masalah rakyat ke Parlimen.

Rabu, 27 Oktober 2010

PAS Beri Komitmen Tinggi di Batu Sapi




Batu Sapi
- PAS akan turun dengan komitmen yang tinggi bagi memastikan Pakatan Rakyat menang di Batu Sapi kata Ketua Penerangan PAS Sabah, Sdr Hisamudin Sulaiman.

Beliau berkata demikian semasa hari penamaan calon ketika di tanya oleh wartawan Harakah.

"Walaupaun PAS tidak bertanding dalam Pilihanraya Kecil kali ini, tapi kita akan turun dengan komitmen yang tinggi tidak sekadar sebelah tangan sahaja untuk memastikan calon Pakatan Rakyat iaitu Sdr Hj Ansari Abdullah dari Parti Keadilan Rakyat menang disini"

Hisamudin menggesa kepada pengundi-pengudi Batu Sapi agar memberikan laluan kepada calon Pakatan Rakyat menang pada kali ini walaupun terdapat pertandingan 3 penjuru iaitu daripada PKR, SAPP dan BN.



Namun, beliau yakin dengan peribadi calon Pakatan Rakyat yang lebih berwibawa rakyat akan memberikan peluang kepada Hj Ansari Abdullah membawa suara mereka ke parlimen.

"beliau (hj. Ansari) merupakan seorang peguam yang berpengalaman, faham dengan permasalahan rakyat dan ini sudah tentu menjadi kriteria penting yang jauh berbeza daripada calon SAPP dan BN, ujar beliau.

Selain itu, Hisamudin juga menolak dakwaan Bn yang mengatakan berlaku keretakkan dalam hubungan antara PAS-PKR-DAP kesan pengagihan kerusi yang tidak adil.

"kita menolak dakwaan ini malah Pakatan Rakyat lebih adil dalam soal ini kerana di pilihanraya kecil di Sibu diberikan kepada DAP, di Galas diberikan kepada PAS dan di Batu Sapi diberikan kepada PKR"



Selain itu, turut sama berarak bersama calon Pakatan Rakyat ke tempat penamaan calon iaitu Setiausaha Agong PAS Pusat Dato Mustafa Ali, Pesuruhjaya PAS Sabah Hj Muhammad Abdullah dan Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah Hj Hamzah Abdullah.

Isnin, 18 Oktober 2010

Perasmian Pejabat Pemuda PAS Negeri Sabah

Ust Nasrudin Hassan menerima cenderahati daripada Lahirul Latigu



Memohon doa selepas menandatangani plat perasmian pejabat baru DPPNS



Menerima 3 permohonan baru penubuhan Dewan Pemuda PAS Kawasan






Rabu, 22 September 2010

Timb Presiden PAS Rasmi Penubuhan PAS Cawangan Sepanggar







Kota Kinabalu: Rumah terbuka PAS Kawasan Sepanggar meriah dengan kehadiran Timbalan Presiden PAS Ustaz Nasharudin Mat Isa dan Mantan Timbalan Ketua Menteri Kelantan YB Abdul Halim Abdul Rahman.

Rumah terbuka ini diadakan di rumah mantan Imam Rawatib iaitu Pangeran Hanafi Pangeran Tajuddin Kampung Rampaian dekat sini.

Pada majlis itu juga, Pelancaran penubuhan PAS Cawangan Kg Rampaian disempurnakan dengan penyerahan 50 borang keahlian PAS kepada Timbalan Presiden PAS.

Ustaz Nasharudin dalam ucapannya berkata, penubuhan Cawangan PAS Kg Rampaian memberikan satu petanda yang baik bahawa perjuangan PAS telah diterima oleh masyarakat di Sabah dan tidak mustahil PAS akan menggantikan Umno-Bn pada PRU ke-13 nanti.

“PAS yang berpegang dengan prinsip Islam menjadi faktor mengapa perjuangan PAS sesuai kepada semua bangsa dan agama”

Beliau juga menjelaskan keterlibatan PAS di pentas politik Negara ini adalah untuk mengajak manusia melakukan kebaikan dan mencegah daripada melakukan kesalahan.

“Maka peranan PAS sebagai parti politik yang berdaftar ialah membetulkan sistem yang rosak oleh Umno-Bn sekarang ini agar kembali kepada keadilan sebenar seperti mana yang terdapat dalam Islam, jelas beliau.

Sementara itu, Mantan Timbalan Ketua Menteri Kelantan yang juga merangkap Adun Pengkalan Chepa YB Ustaz Abdul Halim Abdul Rahman berkata, PAS di Kelantan sudah lama selesai isu hak agama lain yang ditadbir oleh pemimpin Islam seperti Ketua Menteri, YAB Tuan Guru Dato Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Beliau berkata, di Kelantan tidak wujud isu agama lain tidak bebas mengamalkan agama mereka kerana disanalah terdapat patung agama Buddha yang masih berdiri hampir setengah abad tanpa diusik sedikitpun oleh Kerajaan Negeri.

Walau bagaimanapun katanya, terdapat beberapa syarat yang perlu dipatuhi oleh agama selain Islam supaya tidak menimbulkan salah faham seperti yang berlaku sekarang ini akibat tindakan Umno-Bn yang tidak merujuk kepada Al-quran dan Sunnah.

Begitu juga dengan soal hak orang melayu dan bukan melayu katanya, PAS merupakan contoh kepada negeri-negeri lain kerana berjaya menyatukan pelbagai kaum hidup dalam keadaan harmoni tanpa sebarang prasangka buruk terhadap kaum lain.

Tambah beliau lagi, saya sarankan agar tuan-tuan pergi melawat Negeri Kelantan dibawah pentadbiran PAS dan lihat sendiri perkembangan masyarakat yang cukup baik di sana, ujar beliau lagi.

Pelancaran Sekretariat PR Sabah




Kota Kinabalu: Sekretariat Pakatan Rakyat Sabah akhirnya berjaya di wujudkan selepas pelancarannya di sempurnakan oleh tiga tokoh utama Pakatan Rakyat iaitu Timbalan Presiden PAS, YB Ustaz Nasharudin Mat Isa, Ketua Umum PKR Datuk Sri Anuar Ibrahim dan Penasihat DAP YB Lim Kit Siang.

Ketiga-tiga tokoh tersebut telah menandatangani tiga buah plat rasmi penubuhan Sekretariat pada majlis makan malam pelancaran yang diadakan di Hotel Putera dengan motonya “Selamatkan Sabah, Selamatkan Malaysia”.

Timbalan Presiden PAS Ustaz Nasharudin Mat Isa dalam ucapannya berkata, pelancaran ini merupakan anjakkan baru dalam politik di Sabah kerana masyarakat Islam dan bukan Islam boleh duduk bersama berbincang mengenai sesuatu isu dasar merentasi tembok agama dan bangsa.

“ini bermakna, masyarakat di Sabah sudah berjaya keluar daripada propaganda yang sering ditiupkan oleh Barisan Nasional bahawa hanya mereka sahaja yang boleh memperjuangkan nasib masyarakat disini”

Sebelum ini katanya, Umno-Bn adalah punca kepada wujudnya prasangka yang tidak baik dikalangan masyarakat di negara ini dengan memberikan imej yang buruk kepada perjuangan Pakatan Rakyat.

“ini kerana konsep muafakat dalam Umno-Bn berbeza dengan Pakatan Rakyat yang mengutamakan sikap toleransi, bersatu pada perkara yang sama dan saling bermaafan terhadap prinsip yang berbeza, jelas beliau.

Dalam hal wujudnya kepelbagaian bangsa dan agama di negara ini, PAS kata beliau berpegang kepada prinsip bahawa orang Islam adalah saudara seagama manakala non-muslim adalah saudara sesama manusia.

Tambah beliau lagi, Umno-Bn telah memerintah selama 53 tahun namun Sabah yang kaya dengan hasil buminya masih kekal pada kedudukan negeri termiskin di Negara ini.
“Apa yang mahu di wujudkan oleh Pakatan Rakyat di Sabah ini adalah jauh lebih baik daripada apa yang dilakukan oleh Umno-Bn sebelum ini”

Beliau mengambil contoh di negeri-negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat yang berjaya mempertingkatkan aspek kebajikan untuk rakyat dan mentadbir dengan cekap dan amanah.

Sementara itu, Datu Seri Anuar Ibrahim mengulangi tawaran yang akan diberikan oleh Pakatan Rakyat jika dapat memerintah nanti iaitu memberikan kuasa autonomi kepada kerajaan negeri untuk menentukan beberapa perkara yang disekat oleh kerajaan Barisan Nasional sebelum ini.

Katanya, isu pokok yang perlu diselesaikan segera iaitu kemiskinan masyarakat bumiputera yang semakin parah dan isu ini boleh diselesaikan jika wujudnya kesatuan yang baik dikalangan masyakat di Sabah dengan menolak Umno-Bn pada PRU ke-13 nanti.

Tegas beliau, faktor utama yang menghalang kepada penyatuan dikalangan masyarakat pelbagai kaum di Sabah iaitu fahaman sempit perkauman yang ditanam oleh Umno-Bn selama ini.

Manakala Kit Siang dalam ucapannya pula berkata, pelancaran ini merupakan tanda permuafakatan yang mantap Pakatan Rakyat untuk menewaskan Umno-Bn pada PRU ke-13 nanti.

Rabu, 8 September 2010

Hanya PAS dan PR Pilihan Tarbaik Rakyat Sabah

Keningau: Hanya PAS dan Pakatan Rakyat sahaja pilihan terbaik kepada masyarakat di Sabah untuk membela mereka keluar daripada kemunduran pendidikan dan kemiskinan, kata Ketua Penerangan PAS Sabah Sdr Hisamudin Sulaiman.

Beliau yang juga YDP PAS Keningau berkata demikian selesai menziarahi beberapa buah kampung sekitar Keningau untuk menghulurkan sumbangan sempena Aidilfitri yang semakin hampir.

Akibatnya kata beliau, ramai dikalangan anak-anak tempatan khususnya di kawasan pedalaman tidak mendapat kemudahan pendidikan yang sewajarnya dan sudah tentu kanak-kanak ini akan ketinggalan dari arus pembangunan.

Selain itu, Hisamudin juga menyangkal dakwaan kononnya Umno-Bn adalah pembela kepada masyarakat Islam di Sabah.



YDP Keningau hulur sumbangan di Kg Batu Luguyan


“pengalaman kami ketika masuk ke kampung-kampung disini, keadaan suraunya sangat daif dan tiada kelas-kelas fardhu ain untuk mendidik masyarakat disini yang kebanyakkannya adalah golongan muallaf”

Ketika berkunjung ke kampung Batu Luguyan rombongan PAS keningau menerima pujian daripada Pengerusi Masjidnya iaitu Sdr Abdul Khirun. Katanya, beliau yakin hanya perjuangan PAS sahaja yang mampu membimbing mereka kepada konsep Islam yang syumul.

“baru kami tahu masih ada pihak yang boleh membimbing kami kepada Islam yang betul dan kami akan membantu sedaya yang mungkin termasuk dalam PRU-13 nanti, kata Sdr Abdul Khirun.

Sebagai tanda sokongan penduduk kampung, 9 borang keahlian PAS diserahkan kepada Sdr Hisamudin.

Antara kampung yang turut diziarahi sempena Ramadan ini iaitu Kampung Lingkudau dan Kampung Simpang Empat Kabatang dekat Sook yang majoritinya penduduk beragama Islam yang juga terpinggir jauh daripada arus pembangunan.


YDP PAS Keningau mengedarkan sekampit beras di kg simpang empat kabatang


Pada program ziarah di Kampung Simpang Empat Kabatang, Hisamudin telah menyampaikan sumbangan hasil kutipan daripada orang ramai seperti sejadah, sekampit beras, Al quran, dan duit raya manakala di Kampung Lingkudau, sumbangan yang diberikan seperti kipas, pembesar suara dan sejadah.


YDP PAS Keningau edar sekampit beras di kg Lingkudau

“kami berharap sumbangan yang tidak seberapa ini dapat meringankan beban mereka menyambut hari raya memandangkan harga barang yang melambung tinggi, jelas Hisamudin.

Kepada orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan, boleh masukkan ke akaun Maybank PAS Kawasan Keningau: 560090001060

Selasa, 7 September 2010

PAS diterima baik masyarakat di pedalaman Sabah


Keningau
: Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat Ustaz Azman Shapawi bersama jawatankuasa PAS Keningau melakukan ziarah ke Hospital Daerah Keningau baru-baru ini.

Aktiviti ziarah yang pertama kali diadakan itu disertai oleh lebih kurang 20 orang rombongan PAS Keningau untuk mengedarkan juadah berbuka puasa kepada pesakit-pesakit di Hospital berkenaan.

Kehadiran rombongan tersebut disambut gembira oleh pesakit-pesakit yang pertama kali berkenalan dengan aktivis PAS dan meraka sangat berbesar hati menerima sumbangan daripada jawatankuasa PAS Keningau.

“Sambutan daripada pesakit-pesakit dan kakitangan disini begitu menggalakkan, kata Ustaz Azman Shafawi.

Justeru, beliau menolak dakwaan sesetengah pihak yang melabel PAS hanya sesuai disemenanjung dan tidak mampu memikat hati masyarakat di sini yang terdiri dari pelbagai kaum.

“Saya yakin PAS lebih mudah diterima oleh masyarakat di Sabah jika aktiviti sebegini dipertingkatkan dari masa ke semasa, tambah beliau lagi.

Beliau juga menggesa kepada para ustaz agar turun bersama masyarakat disini untuk menyebarkan ilmu memandangkan suasana sangat memerlukan mereka.

Pada program yang berlainan, Ustaz Azman turut menyampaikan sebuah generator kepada jawatankuasa surau kg Lingkudau berdekatan sini.

Pemuda PAS Sepanggar Gesa Cakna Umat Islam Sempena Ramadan

Edar bubur lambuk di Indah Permai


Kota Kinabalu : Dewan Pemuda PAS Sepanggar melancarkan beberapa program sepanjang Ramadan kali ini seperti mengedar bubur lambuk sekitar sini sepanjang bulan Ramadan ini.

Ketua Pemudanya Sdr Saifudin Abdullah berkata, ini merupakan salah satu langkah untuk memperkenalkan PAS kepada warga Sepanggar.

“edaran bubur lambuk ini merupakan aktiviti yang julung kali diadakan walaupun perancangannya telah bermula sejak Ramadan sebelum ini lagi, jelas beliau.

Antara lokasi edaran bubur lambuk iaitu di sekitar pasar tamu dan bazaar Ramadan yang menjadi tumpuan warga Sepanggar seperti di Indah Permai dan Gerai Ikan Universiti Apartment.

Selain itu, antara program kebajikan yang berjalan setiap kali Ramadan iaitu mengagih beras kepada golongan muallaf dan fakir miskin.

Pemuda PAS katanya, sangat mengambil berat berkenaan isu golongan muallaf yang kembali kepada agama lama mereka kerana tidak mendapat bimbingan sewajarnya daripada pihak yang berwajib.

“kita telah mengambil beberapa inisiatif untuk menangani masalah ini dengan mengadakan kerjasama beberapa badan kerajaan dan NGO”

Antara langkah yang diambil iaitu program ziarah ke kampung-kampung muallaf sepanjang Ramadan dan program pemantapan akidah yang telah berjalan dengan baik sebelum ini, tambah beliau.

Sempena Hari Kemerdekaan kali yang ke-53 ini, Pemuda Sepanggar telah turun mendekati golongan remaja di sekitar Pantai Tanjung Lipat dan Water Front Bandar Kota kinabalu dengan mengedar risalah disamping solat hajat mendoakan agar kemerdekaan kali benar-benar mencapai maksudnya seperti yang terdapat dalam Al quran.

"Pertingkatkan Kebersamaan Bersama Masyarakat"

Kota Kinabalu : Ketua Penerangan PAS Sabah Sdr Hisamudin Sulaiman menyeru kepada semua ahli PAS yang berasal dari semenanjung dan bertugas di Sabah agar mengambil peluang berada disini untuk menyebarkan Islam kepada masyarakat setempat.

bersama PAS Beaufort

Beliau bersama-sama rombongan Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah dalam rangka jelajah Iftar ke beberapa PAS Kawasan pantai barat Sabah seperti PAS Kawasan Beaufort, Papar, Kudat dan Kota Belud.

Ramai dikalangan ahli PAS yang bertugas di Sabah mempunyai ilmu dan kefahaman Islam yang baik tetapi masih belum mahu turun kepada masyarakat setempat untuk menyampaikan ilmu.


bersama PAS Kudat

“Kita mendapat respon daripada masyarakat setempat yang mengatakan ada orang-orang semenanjung yang agak sukar bergaul dengan orang tempatan dan perkara ini perlu diubah, kata beliau.

Menurut beliau, Umno-Bn di semenanjung telah ditolak oleh rakyat pada PRU ke-12 namun, mereka masih kekal bertahan di Putrajaya kerana Sabah dan Sarawak masih belum menyertai perubahan yang berlaku disemenanjung.

“Oleh itu, kita berharap kepada ahli PAS terutamanya daripada golongan Ustaz dan Profesinal mesti mengambil peranan semaksima yang mungkin kerana kerja-kerja memperkenalkan PAS kepada masyarakat tempatan masih terlalu banyak, ujar beliau.

Beliau yang juga sebagai Yang Dipertua PAS Keningau berkata, sambutan masyarakat peribumi di sana sangat memberangsangkan dan ini membuktikan kehadiran PAS sememangnya dinanti-nantikan oleh masyarakat di sini untuk membela hak mereka.

Selain itu, diperingkat Negeri katanya kerjasama diantara PAS-DAP-PKR telah berjalan lancar dan kerjasama ini juga mesti digerakkan dengan baik diperingkat PAS Kawasan.

“Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat PAS Kawasan mesti mengambil langkah memperkukuhkan hubungan dengan DAP dan PKR melalui anjuran program bersama untuk menarik sokongan pengundi diperingkat grass root, tambah beliau lagi.

Khamis, 12 Ogos 2010

Jangan Pinggirkan Umat Islam Nabawan



Keningau : Yang Di Pertua PAS Kawasan Keningau Hisamudin Sulaiman melahirkan rasa simpati terhadap nasib umat Islam di sekitar Nabawan kerana tidak dapat menjalankan ibadat sebagai seorang muslim apabila pusat Ibadat seperti masjid dan surau mereka berada dalam keadaan yang sangat daif.
Beliau berkata sedemikian ketika melakukan lawatan ke beberapa kampung sekitar Sook dan Nabawan yang rata-ratanya umat Islam disini berada di bawah paras kemiskinan ditambah pula dengan ketibaan bulan Ramadan yang akan disambut oleh umat Islam di seluruh dunia.

“Masjid Daerah Nabawan merupakan tempat ibadah yang mesti diberi perhatian kerana keadaannya yang agak uzur dan tidak selesa untuk aktiviti keagamaan disini”

Beliau kesal kerana Masjid yang seharusnya menjadi pusat aktiviti umat Islam seperti solat jumaat, solat terawih, solat hari raya, ceramah agama dan kuliah ilmu tidak di ambil berat oleh pihak pemerintah Umno-Bn.

“Bagaimana kita hendak membangun pemikiran umat Islam ke arah yang lebih baik jika aktiviti ilmu tidak berjalan seperti yang sepatutnya, soal beliau lagi.

Menurut maklumat dari masyarakat disini, peruntukkan untuk memperbaiki kerosakkan yang berlaku telah disalurkan sebanyak dua kali tetapi keadaan masih sama seperti dulu.

Masjid Daerah Nabawan mengalami kerosakkan dibahagian atap yang menyebabkan hujan seringkali membasahi ruang solat dan beberapa lagi kerosakkan lain. Selain itu tandas yang tidak berfungsi dengan baik juga menyukarkan pelbagai aktiviti yang akan di anjurkan.
Beliau menggesa agar Ahli Parlimen Pensiangan YB Joseph Kurup agar tidak meminggirkan umat Islam dalam arus pembangunan seperti yang beliau sering laung-laungkan.

Selain itu, Hisamudin juga menggesa agar pihak berwajib member perhatian terhadap Surau Kampung Damai yang terletak DUN Liawan yang sudah tidak beroperasi lagi sebagai pusat ibadat umat Islam disini.

Sempena Ramadan ini kata beliau, umat Islam disini akan mengerjakan solat tarawih beramai-ramai dan pelbagai program ilmu akan diadakan.

Adun Liawan Datuk Sairin kerno dalam hal ini digesa agar mengambil berat tentang perkembangan umat Islam di kawasan beliau berkhidmat terutamanya surau yang menjadi tumpuan pembangunan ilmu disini.


Surau yang terletak berhampiran Bandar Keningau ini hanya memerlukan kos pembaikan sekitar RM3000.00 sahaja. Pada tahun 2008 angin kuat menerbangkan beberapa keping zink surau ini dan sehingga kini tiada sebarang bantuan disalurkan.

Isnin, 2 Ogos 2010

Majlis Makan Malam PR Mencipta Sejarah Baru

Bold
Keningau, 2 Ogos: PAS Sabah sekali lagi maju selangkah ke hadapan di pentas politik Sabah apabila berjaya melancarkan Pakatan Rakyat Pedalaman Atas seterusnya menubuhkan Kelab Penyokong Pakatan Rakyat Sabah pada majlis makan malam yang menghimpunkan hampir 500 orang ahli Pakatan Rakyat dari seluruh Sabah.

Majlis yang dirasmikan oleh Pengerusi Jabatan Perpaduan Nasional PAS Pusat, YB Dr Mujahid Yusof Rawa tersebut merupakan satu lagi lonjakkan baru kepada Pakatan Rakyat Sabah untuk mengukuhkan lagi kerjasama ketiga-tiga parti kompenan PAS-PKR-DAP berdepan Umno-Bn Pilihanraya Umum ke-13 nanti.

Jelas Dr. Mujahid, tanda besarnya jiwa iaitu apabila kita semua mampu mencipta satu semangat kerjasama untuk cita-cita yang lebih besar bukannya untuk tujuan mengenyangkan perut sendiri atau kroni-kroni.

“PAS mengadakan kerjasama dengan DAP dan PKR bukan hanya kerana faktor undi semata-mata, tetapi lebih penting dari itu iaitu untuk memantapkan strategi PR dan menyelamatkan masa depan generasi anak-cucu di negara yang kita cintai ini”

Beliau dalam ucapannya juga menggesa agar rakyat Sabah belajar daripada PAS bagaimana mahu berdepan dengan Umno.

“PAS sudah kenal Umno sudah 50 tahun lamanya dan kami sudah melalui banyak saat-saat perit apabila ada dikalangan ahli PAS yang dipenjara dan dibunuh oleh pemimpin-pemimpin Umno”

Selain itu, beliau juga memuji semangat toleransi yang ditunjukkan oleh pihak gereja yang bersedia berdialog dengan kepimpinan PAS berkenaan pelbagai isu semasa yang banyak dipesongkan oleh media yang dikuasai oleh Umno-Bn.

Pada akhir ucapan tersebut, beliau melancarkan penubuhan Kelab Penyokong Kelab PAS Sabah yang akan menjadi platform kepada non-muslim bersama-sama dalam perjuangan PAS.

Turut berucap pada majlis tersebut iaitu YDP PAS Keningau Sdr Hisamudin Sulaiman, Timbalan Presiden PKR Dr Jefry Kitingan, Ahli Parlimen Kota Kinabalu YB Dr Hiew King chiew dan Setiuasaha Publisiti DAP, Dr Edwin Bosi.

Ahad, 25 Julai 2010

Konsep Pakatan Rakyat Adil Untuk Semua


Kota Kinabalu, 20 Julai : Wakil Parlimen Baling YB Ustaz Taib Azamuddin menyeru kepada semua ahli Pakatan Rakyat dan masyarakat di Sabah agar memahami misi sebenar pembentukan Pakatan Rakyat yang bertujuan mengembalikan semula hak bernegara dan prinsip keadilan dalam sistem demokrasi di Negara ini.

Beliau berkata demikian dalam ceramah umum Pakatan Rakyat yang diadakan di Dewan Utama SM kian Kok Likas baru-baru ini.

Jelasnya lagi, terdapat usaha yang berterusan daripada Umno-Bn untuk memberikan gambaran yang buruk terhadap perjuangan Pakatan Rakyat yang berjaya menyatukan tiga parti politik pembangkang utama Negara walaupun terdapat perbezaan dari segi prinsip.

“ Negara Islam yang dilaungkan oleh PAS sebelum ini menuntut supaya perlunya ditegakkan semula keadilan sejagat dan pengembalian hak rakyat yang selama ini di rosakkan oleh pemerintahan Umno-Bn”

Hal ini katanya, sudah dapat diterima oleh parti komponen Pakatan Rakyat yang lain khususnya DAP yang sebelum ini kurang jelas berkenaan isi kandungan Negara Islam itu sendiri ditambah pula dengan provokasi memburuk-burukkan perlaksanaan Negara Islam oleh Umno-Bn.

“Alhamdulillah melalui politik muafakat ini kita dapat menjalin kerjasama yang baik dan ini telah memberikan ruang yang luas untuk PAS berdakwah kepada rakan-rakan Pakatan yang non muslim”

Turut memberikan ucapan pada malam tersebut iaitu Ketua Majlis Pimpinan Tertinggi PKR Sabah Sdr Thamrin Jaini, Ahli Parlimen kota Kinabalu YB Dr Hiew King Chiew dan Adun Sri Tanjung YB Jimmy Wong.

Rata-rata masyarakat cina yang non-muslim berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan oleh YB Ustaz Taib Azamuddin dan mereka percaya masyarakat cina Sabah tidak perlu lagi takut dengan penampilan ekstrim ulama seperti yang digembar-gemburkan oleh media Umno-Bn.

Selain itu Ustaz Taib Azamuddin juga sempat menziarahi balu bekas Yang Di-Pertua PAS Sepanggar almarhum Ustaz Nahar Hj Mantamin dan menghulurkan sedikit bantuan untuk membantu meringankan beban mereka sekeluarga.

Training Of Trainer Mantapkan Jentera PRU Sabah


Kota Kinabalu, 24 Julai: Pengarah Pilihanraya PAS Sabah, En. Mohamed Husain yakin jentera pilihanraya diseluruh Sabah sudah bersedia sepenuhnya untuk berdepan dengan Umno-Bn menjelang PRU-13 nanti.

Beliau berkata demikian seusai program ‘Training for Trainer’ anjuran Institut Latihan Pilihanraya PAS Pusat (ILPAS) yang dihadiri oleh 50 orang peserta mewakili kawasan Parlimen dan Dun yang ditandingi oleh PAS.

Jelasnya, Program tersebut merupakan satu lagi usaha memantapkan kefahaman ahli PAS yang terlibat dengan jentera dari segi kefahaman asas dan beberapa aspek teknikal Pilihanraya Umum.

“Perkongsian pengalaman-pengalaman pilihanraya yang lepas dalam beberapa slot yang disusun sedikit sebanyak telah mambantu para peserta merancang pelbagai strategi untuk mendekati pelbagai lapisan khususnya pengundi muda”

Jelas beliau, antara perkara penting bagi jentera pilihanraya iaitu kemampuan untuk mengumpulkan data dan maklumat keseluruhan pengundi di kawasan parlimen atau dun yang terbabit.

Selain itu katanya, memandangkan suasana di Sabah yang agak berbeza dari segi sosiopolitiknya, maka beberapa perkara perlu diambil kira oleh kepimpinan PAS Pusat.

“Kita berharap agar ILPAS pada masa akan datang dapat menyediakan satu pembentangan khusus berkenaan gerakkerja pilihanraya di Sabah kerana isu di sini agak berbeza berbanding di semenanjung”

Tambah beliau lagi, antara perkara yang wajar diberi perhatian berkenaan politik di Sabah iaitu isu kristianisasi, isu kad pengenalan dan isu tanah yang masih membelenggu masyarakat di Sabah.

“Sebelum ini walaupun banyak pihak cuba untuk menyuarakan isu tersebut tetapi masih tidak mampu membangkitkan rasa protes mereka kepada Umno-Bn sebaliknya sentiment kesukuan pula yang berlaku, tegas Mohamed Husain.

Khamis, 8 Julai 2010

PAS Akan Himpun 10 Ribu Isu Tanah



Kota Kinabalu: PAS Sabah akan menghimpunkan 10 ribu masyarakat seluruh Sabah dalam masa terdekat ini sebagai tanda protes besaran-besaran terhadap kegagalan Barisan Nasional menyelesaikan isu tanah walaupun sudah 19 tahun memerintah Sabah, ujar Exco Hal Ehwal Sabah dan Sarawak Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Anuar Ali.

Himpunan ini kata beliau sebagai satu desakan oleh rakyat yang sekian lama dibelenggu masalah tanah yang dirampas sewenang-wenangnya oleh beberapa syarikat dan permohonan geran yang tidak selesai walaupun telah membuka tanah hampir 30 tahun.

“Kami telah menyusun beberapa pertemuan dengan pelbagai pihak termasuk beberapa parti politik dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) untuk menyatakan hasrat himpunan ini dan untuk memastikan semua pihak bersatu melakukan perkara yang sama.

Langkah awal himpunan 10 ribu rakyat Sabah telah bermula dengan pertemuan beberapa pemimpin parti politik di sini seperti PKR, DAP dan BERSEKUTU, tambah Ustaz Anuar lagi.

“Jawatankuasa Himpunan 10 ribu rakyat Sabah ini turut dibentuk diperingkat yang lebih kecil terutamanya dalam rakan-rakan Pakatan Rakyat PAS-PKR-DAP agar hasrat himpunan ini benar-benar sampai kepada setiap lapisan masyarakat.

Kenyataan tersebut turut disokong oleh Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah, Sdr Lahirul Latigu.

“Himpunan ini nerupakan satu amaran bahawa rakyat sudah tidak lagi percaya dengan kepimpinan negara yang ada sekarang dan menjelang PRU-13 Pakatan Rakyat akan terus memobilasi kekuatan rakyat berdepan Umno-BN.

Tambah beliau lagi, baru-baru ini satu pertemuan diadakan dengan bekas pemimpin veteran daripada parti Usno, PBS dan Berjaya untuk berbincang isu-isu terkini politik tanahair khususnya di Sabah.

“Apa yang menarik iaitu keinginan mereka mengetahui secara lebih mendalam perkembangan PAS terkini dengan wujudnya dewan himpunan penyokong PAS pada muktamar ke 56 yang diadakan di Putik baru-baru ini.

Katanya, mereka sangat tertarik dengan perkembangan yang berlaku dalam PAS dan Pakatan Rakyat dan bersedia untuk bersama-sama membantu pada PRU-13 berdepan dengan Umno-BN.

Khamis, 3 Jun 2010

1500 Orang Hadir Makan Malam Bersama Presiden PAS

Kota Kinabalu - Dijangkakan 1500 orang hadir dari seluruh pelusuk sabah pada majlis makan malam bersama pimpinan pakatan rakyat yang diadakan di dewan konvensyen Starcity baru-baru ini. Walaupun tanpa kehadiran Datuk Sri Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang, majlis tetap berjalan dengan penuh meriah.




Antara kenamaan yang hadir pada majlis tersebut iaitu Presiden PAS Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Naib Presiden PAS Ustaz Dato Tuan Ibrahim Tuan Man, Setiausaha PAS Pusat Dato Mustafa Ali, Pesuruhjaya PAS Sabah Hj Mhammad Abdullah, Ahli Majlis Kepimpinan Tertinggi PKR Negeri Sabah Hj. Ansari Abdullah dan beberapa orang pimpinan negeri.



Bercakap kepada semua yang hadir, Presiden PAS Dato Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengingatkan semula sejarah pemerintahan Islam yang terkandung didalamnya sistem politik Islam yang banyak diaplikasi dalam sistem demokrasi pada hari ini.

Beliau menjelaskan, sistem demokrasi pada hari adalah demokrasi baru kerana banyak mencedok teori-teori keadilan daripada sistem politik Islam yang dikarang oleh para ulama zaman silam.

Selain itu beliau juga menjelaskan isu penggunaan kaliman Allah yang banyak menimbulkan kekeliruan dikalangan masyarakat kerana telah diputer belit oleh media yang dikuasai oleh kerajaan barisan nasional.

“kalimah Allah telah digunakan oleh agama samawi sebelum ini, cuma bezanya kalimah Allah dalam Islam merujuk kepada tuhan yang maha esa, tambah beliau lagi.

Sementara itu, Ahli Pimpinan Tertinggi PKR Negeri Sabah Hj Ansari Abdullah semasa ucapannya berkata, kemiskinan adalah senjata utama kepada umno untuk mengekalkan Sabah sebagai ‘fix deposit’ pada piliharanraya umum akan datang.




Jelas beliau, umno lebih suka rakyat Sabah hidup dalam kemiskinan kerana dengan cara tersebut mereka tidak akan terdedah kepada dunia luar dan mudah diperdaya dengan pelbagai janji manis setiap kali pilihanraya umum tiba.

Menyentuh tentang isu blok L dan M, Hj Ansari kesal dengan sikap tidak bertanggungjawab kerajaan barisan nasional yang begitu mudah menyerahkan kedaulatan negeri ini kepada pihak luar.

“Rakyat Sabah berasa marah dengan tindakan tersebut kerana tidak ada sebarang perbincangan di parlimen sebelum keputusan penyerahan kedua-dua blok minyak milik negeri ini dilakukan, tegas beliau.

Sabtu, 1 Mei 2010

Pemuda Nabawan Tolak BN



Nabawan, 18 April
– Sempena perasmian penubuhan AMK bahagian Pensiangan, Ketua Pemuda Negerinya Razak Jamil menyeru agar pemuda bekerja bersungguh-sungguh untuk memastikan barisan nasional tumbang di sini.

Pensiangan merupakan kawasan yang majoritinya dihuni oleh suku kaum murut masih lagi hidup dalam serba kekurangan terutamanya dari segi kemudahan asas walaupun telah memberikan sokongan yang baik kepada kerajaan Barisan Nasional selama ini.

Razak Jamil semasa ucapan perasmian tersebut berkata, usaha dan komitmen berterusan disamping gerak kerja yang tersusun mesti ditingkatkan dari masa ke semasa demi memastikan pembangunan dapat dibawa masuk ke Pensiangan.






Beliau mengingatkan AMK Pensiangan agar menjadikan negeri-negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat sebagai bahan penerangan kepada masyarakat di Pensiangan kerana ia menjadi bukti bahawa pentadbiran Pakatan Rakyat lebih baik daripada barisan nasional.

Ketua AMK Pensiangan yang baru dilantik, Sdr Andro Ambatik semasa majlis itu berkata beliau begitu terpanggil untuk terlibat dengan AMK apabila melihat keadaan masyarakat di Sapulut yang begitu dhaif.

“Selain ketinggalan dari sudut pembangunan, masyarakat di Sapulut juga ketinggalan dari sudut pendidikan dan walaupun sudah beberapa pilihanraya barisan nasional berjanji untuk mengubah keadaan ini tetapi sehingga sekarang tiada apa-apa perubahan yang berlaku, ujar beliau kesal.

Pada majlis yang sama, turut di beri penghormatan memberikan ucapan iaitu Ketua Pemuda Dewan PAS Sabah Sdr Lahirul Latigu.

Beliau mengingatkan pemuda Pensiangan agar mengajak masyarakat disini beralih kepada pakatan rakyat yang telah terbukti mampu membawa rakyat di Negara ini kepada tahap kehidupan yang lebih baik.

“Perubahan yang berlaku di semenanjung memberikan manfaat yang besar kepada masyarakat disana dan perkara inilah yang kita inginkan kepada masyarakat Pensiangan agar turut sama merasai perubahan ini, ujar beliau.

Khamis, 29 April 2010

Majlis Makan Malam bersama Pimpinan Pakatan Rakyat

:: klik imej untuk lebih jelas ::

MAJLIS MAKAN MALAM BERSAMA PIMPINAN PAKATAN RAKYAT : YB. DATUK SERI TUAN GURU HJ. ABD HADI BIN AWANG

Tarikh : 16 Mei 2010 (Ahad)
Masa : 8.00 Malam
Tempat : Conference Event Centre Star City Kota Kinabalu.
Anjuran : Badan Perhubungan PAS Sabah.
Informasi : 0138637499, 014-8571971

Selasa, 20 April 2010

SEPAKAT: Siasat Kerajaan Malaysia - APCO




SEPAKAT selesai membuat laporan polis


Kota kinabalu, 20 April
: Sekretariat Pemuda Pakatan Rakyat (SEPAKAT) bertindak membuat laporan polis agar siasatan dibuat terhadap APCO Worldwide dan Asia Soft Sdn Bhd yang telah dilantik secara kontrak oleh kerajaan Malaysia dibawah kepimpinan Najib Razak sebagai konsultan untuk perhubungan awam.

Pengerusi SEPAKAT , Abdul Razak Jamil berkata, Perdana Menteri Najib Razak tidak sepatutnya melantik sebuah syarikat yang ada kaitan langsung dengan Zionis-Izrael kerana ia berkait langsung dengan sistem keselamatan negera ini.

Melalui maklumat yang diperolehi, Kerajaan Malaysia telah membelanjakan sebanyak RM23 juta duit rakyat untuk membayar upah untuk membina “Strategi komunikasi” dan “Imej Negara”, ujar beliau.

Selain itu katanya, penglibatan beberapa individu dalam ahli lembaga APCO juga sangat merisaukan kita semua. Antaranya, Shimon Stein (bekas duta kepada Jerman), dan Itamar Rabinovich (bekas duta kepada Amerika Syarikat) - serta Doron Bergerbest-Eilon, bekas ketua keselamatan Agensi Keselamatan Israel (Israeli Security Agency, ISA) yang lebih dikenali sebagai Shabak atau Shin Bet. Jawatan ini adalah bersamaan dengan pangkat Mejar Jeneral dalam tentera Israel.

Mengapakah sebuah syarikat dengan kaitan yang amat rapat dengan elemen-elemen Zionis dan dipimpin oleh individu yang terlibat dengan organisasi yang terkenal kerana menyeksa orang Palestin diberi peluang membentuk dasar-dasar sensitif Malaysia?

Dengan pengupahan APCO, pengaruh Zionis, penyeksa serta mereka yang handal menyalahgunakan kuasa kerajaan kini telah dibenarkan menentukan hala tuju negara, serta kini mempunyai akses kepada semua peringkat kerajaan - termasuk maklumat yang berpotensi menjejaskan keselamatan dan kepentingan negara. Tidak membimbangkan ke, Ketua Kewangan ASERO, Denise Teeling, yang bekerja untuk bekas pegawai Shin Bet, terlibat secara terus dengan operasi APCO di Malaysia?

Selain daripada Israel dan Amerika Syarikat, kepada pengaruh siapakah Malaysia kini dibukakan? Di antara pemimpin ASERO satu-satu individu yang bukan warganegara Amerika, UK atau Israel adalah Kelvin Tan Wee Peng - seorang bekas polis Singapura.

Apakah Perdana Menteri Najib sanggup menggadai masa depan dan kedaulatan negara hanya demi mereliasasikan cita-cita politiknya?

APCO tidak hanya terlibat dengan aktiviti Zionis dan pencabulan hak asasi sahaja, malah juga dengan aktivisme anti-Islam.

Jonathan Winer merupakan Naib Presiden APCO di Washington DC. Pada 2003, Winer memberi keterangan di Jawatankuasa Senat Amerika Syarikat di mana dia menuduh gerakan Ikhwan Muslimin (Muslim Brotherhood) serta beberapa badan kebajikan Islam sebagai pengganas, dan berusaha untuk menghentikan segala aktiviti kewangan badan-badan ini.

Marc Ginsberg pula, ahli lembaga APCO dan bekas duta Amerika Syarikat, memanggil tokoh pemikir Islam Sayyid Qutb (inspirasi kepada Ikhwan Muslimin dan penulis karya Ma'alim fil Tariq dan Fi Zilal al-Qur'an) seorang "musuh" dan membandingkan beliau dengan Adolf Hitler.

Siapa sebenarnya di merata dunia yang sanggup mengupah syarikat yang dipimpin oleh mereka yang berusaha menentang Islam dan menyemai kebencian?

Klien-klien dan bekas klien APCO termasuk beberapa 'tokoh' yang cukup terkenal. Di antaranya adalah Jeneral Sani Abacha, yang mencuri hampir RM 10 billion duit rakyatnya semasa presiden Nigeria. Jeneral Abacha turut dikenali kerana pencabulan hak asasi manusia yang cukup parah, termasuk penahanan dan pembunuhan aktivis-aktivis.

Nursultan Nazarbayev, diktator Kazakhstan yang didakwa bersama keluarganya terlibat dalam rasuah yang cukup besar serta beberapa pembunuhan, turut merupkan seorang klien APCO. Di antara strategi APCO adalah untuk "membeli" beberapa laporan dari institusi pengajian tinggi untuk mengharumkan nama Kazakhstan di Barat.

Razak Jamil menegaskan, sekiranya Perdana Menteri masih berdegil dengan mengekalkan kontrak APCO ini, maka tergadailah negara dan terjejas keselamatan serta maruah kita semua. Kita hanya boleh harap kita masih belum terlambat.

Laporan polis tersebut turut disertai oleh 6 orang lagi ahli jawatankuasa SEPAKAT termasuk timbalan pengerusi Lahirul Latigu juga sebagai Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah.

Isnin, 19 April 2010

Demo Bantah Kezaliman BN




HUJAN yang turun tidak menghalang para penduduk mangsa roboh rumah mengadakan tunjuk perasaan secara aman di Kg Bakau, Likas. Tidak kurang 200 orang penduduk berkumpul mengadakan tunjuk perasaan untuk menyuarakan bantahan mereka berikutan tindakan kejam kerajaan Barisan Nasional (BN) meroboh rumah-rumah mereka yang telah didiami sejak 30 tahun yang lalu.

Turut hadir ialah Ketua Penerangan PAS Pusat Idris Ahmad, Exco Dewan Pemuda PAS Pusat Anwar Ali dan Ketua Penerangan PAS Sabah Hishamudin Sulaiman bagi menyatakan sokongan moral PAS kepada mangsa kezaliman BN Sabah.

Idris yang berkebetulan dalam perjalanan ke satu majlis di Tuaran singgah ke Kg Bakau untuk melihat sendiri keadaan yang dialami oleh mangsa roboh rumah Kg Bakau.

Idris yang terlalu sebak dan sedih hanya mampu menyampaikan ucapan selama lima minit dan tidak mampu meneruskan ucapan beliau. Laungan takbir dan “Hidup Pakatan Rakyat” sentiasa bergema mengiringi setiap kali pimpinan PAS menyampaikan ucapan mereka.

Di antara kandungan sepanduk dan poster penunjuk perasaan ialah “Beri hak kepada kami penduduk miskin selama 30 tahun menduduki Kg Bakau Likas”; “Kami bantah pencerobohan ini” dan “Air dan eletrik kamu sudah potong, tolong sambung kembali jangan siksa orang Islam sesama kita”.

Rumah-rumah penduduk Kg Bakau telah diroboh sejak isnin lalu. Mereka telah menduduki perkampungan ini sejak 30 tahun yang lalu. Dewan Bandaraya Kota Kinabalu bersama-sama anggota Rela, Jabatan Imigresen, Jabatan Pendaftaran, Polis, Sabah Electricty Sdn.Bhd dan Jabatan Air telah melancarkan operasi meroboh rumah-rumah setinggan bagi mencapai matlamat setinggan sifar 2010.


Sumber: Sabahkini.net

Isnin, 12 April 2010

Skuad 169 Terlalu Ideal



Penubuhan skuad P169 kota Belud secara dasarnya membawa satu gambaran bahawa dalam merangka program mendekati golongan muda sama ada yang berpendidikan tinggi atau tidak harus berada dalam keadaan “mudah” diikuti . Pendekatan kepada golongan sasar seperti yang diilhamkan oleh MP Kota Belud Datuk Rahman Dahlan begitu besar gagasannya, sehingga sukar untuk sebilangan besar “Peranak” Sama atau Iranun atau Dusun yang boleh mentafsir apa yang tersurat dan tersirat kepada penubuhan skuad “misteri” ini.


Di samping keberadaan skuad ini dengan tidak mempunyai link secara terus dengan Umno KB. Juga kewujudannya yang tidak berteras kepada kepopularan MP Kota Belud itu, mengundang banyak tanda Tanya, kerana pada asasnya program elit itu nyata menampakkan ‘kegagalan’ awal sebelum menempa kegagalan yang lebih besar.


Penulisan ini cuba melihat baik dan buruknya serta halatuju skuad ini dari sudut pandang golongan muda di Kota Belud. Memang dari persepktif positif, kewujudan skuad ini akan mendekati golongan muda supaya tidak terus terbiar dan terpesona delam pelbagai wacan dan idea kontras dalm soal kepolitikan dan pembangunan modal insane serta naluri bernegara. Teringat kita suatu ketika dulu Apabila Pemuda Umno, melancarkan program terjunan ke kutub Utara. Kita jugapernah disajikan dengan program mendekati golongan mat rempit dengan mengadakan program di litar perlumbaan. Kononya kerana golongan muda sekarang berbeda dengan golongan muda zaman pertengahan. Maka untuk mendekati golongan ini harus merangka satu program yang mendukung prinsip naluri golongan ini. Ertinya harus Nampak elit, bertenaga, mempunyai kerangka bermusim dan memerlukan modal yang besar.


Namun apa yang berlaku kepada program itu..? apakah golongan muda pada PRU 12 yang lepas telah melepaskan tempias kemarahan mereka kepada kerajaan dan UBN dengan memberi sokongan kepada pembangkang..? Kesan dan impak kepada program itu langsung tidak memberi advantage politik kepada UBN pada PRU 12..? Kenapa ?


Inilah yang merisaukan kebanyakkan golongan muda di Kota Belud dengan penubuhan skuad yang membawa gagasan besar yang memungkinkan tidak terpikul oleh kebanyakkan golongan muda di KB.. Saat ramai yang menganggangur, ramai yang tercicir dengan pemurniaan jiwa dan akhlak..saat ramai yang tercicir dari arus pendemokrasian pendidikan..maka satu skuad elit ditubuhkan untuk merasai denyut nadi golongan ini..? Kewajarannya mungkin dipertikaikan…


Adalah lebih baik merangka satu program untuk merapatkan penglibatan golongan muda dengan parti Umno KB terutama sayap pemuda. Kerjasama yang erat antara MP Kota Belud dan Umno KB memungkinkan melahirkan ikatan ukhuwah yang berkekalan. Seandainya Datuk Rahman tidak berada lagi di KB pada PRU 13 akan datang..setidak-tidaknya hubungan intim UMNO KB dan diri dan kepimpinannya akan membuahkan kegemilangan politik peribadi pada jangka panjang.


Satu yang harus diingat o0leh Datuk Rahman bahawa golongan muda yang celik ICT di Kota Belud termasuk menguasai maklumat ketiga..tidak sangat mementingkan keelitan itu. Inilah yang membezakan antara pemimpin pemuda Pembangkang dengan pemimpin muda UMNO. Kerana UMNO sering mempamerkan keelitan sehingga golongan sasar merasa pemimpin muda ini tidak bersama –sama dengan mereka. Golongan muda lebih melihat soal ketirisan, kebocoran,kes pencabulan amanah, soal pendapatan dan gaya hidup pemimpin yang begitu elit dan "berada" dengan hanya menceburkan diri dalam politik sekelip mata.


Kebergantungan skuad P169 ini kepada modal besar dan keelitan nampaknya tidak akan mencapai sasaran yang sepatutnya. Di mana idea dan gagasan ini berkesudahan..? hanya datuk Rahman yang mengetahuinya.


Sumber: //kelapamawar.blogspot.com

Isnin, 29 Mac 2010

Minyak Sabah Untuk Siapa?


Semua rakyat Sabah, tidak kira apa fahaman politiknya , NGO, anak sabah, dijemput hadir untuk mendengar dan berkongsi cerita sebenar di sebalik royalti minyak. Ianya amatlah penting kerana kita merupakan salah sebuah negeri pengeluar minyak dan Tengku Razaleigh merupakan mantan Pengerusi Petronas. Pasti banyak pengalaman dan cerita yang bakal kita kongsi bersama. Ceramah Perdana tersebut akan diadakan pada 2 April 2010 (Jumaat) bertempat di Dewan Hongkod Koisaan (KDCA), Penampang bermula jam 8 Malam.

Banyak perkara yang kita semua tidak maklum mengenai royalti minyak ini terutama Minyak Sabah Untuk Siapa?. Apakah faedahnya disalurkan kepada rakyat Sabah atau ‘mereka’ yang berkepentingan? Maka untuk mengetahui dengan sejelasnya, datanglah beramai-ramai ke Ceramah Perdana ini dan segalanya bakal terjawab dengan ceramah Tengku Razaleigh Hamzah.

Adalah dipercayai oleh rakyat Sabah bahawa 5 % royalti yang diterima Negeri Sabah adalah daripada sumber minyak sahaja dan tidak termasuk gas asli.Petronas pada masa kini mempunyai kepentingan di dalam 31 buah Negara pada 2005, kumpulan Petronas terdiri daripada 103 buah anak Syarikat, 19 buah separuh pemilikan dan 57 buah syarikat berkepentingan, kesemua terlibat dalam aktiviti asas gas dan minyak.Sabah adalah diantara pemilik minyak dan gas cecair, di mana pada masa kini mengeluar 290,000 tong minyak sehari. Bagaimanapun, Sabah (NEGARA) adalah sebuah negeri yang paling miskin dan paling mundur di Malaysia.

PAS Kota Belud Seru 'Tinggalkan Umno'

Kota Belud, 20 Mac : PAS Kota Belud seusai melakukan ziarah ke sekitar Kampung Kesapang sekali lagi mengulangi gesaannya agar seluruh masyarakat disana menolak barisan nasional pada piliharaya umum akan datang.



Program Ziarah ini dianggotai oleh Timbalan Pesuruhjaya Sabah Ustaz Aminudin Aling, Yang Dipertua PAS Kota Belud Ustaz Mustakim Aling , bekas calon adun Tempasuk Ustaz Awang Laiman, unit amal dan muslimat Kota Belud.

Kenyataan ini berdasarkan bukti bahawa barisan nasional telah gagal membangunkan daerah tersebut ke tahap yang lebih baik.



Jelas sekali barisan nasional gagal membawa perubahan kepada masyarakat di sekitar kawasan ini kerana kemudahan asas seperti air, elektrik dan jalan raya masih berada ditahap yang menyedihkan, kata Ustaz Aminuddin Aling.

“masih terdapat rumah-rumah yang menggunakan air perigi yang digali sendiri untuk kegunaan seharian serperti memasak, mandi dan kegunaan lain”




Sudah tentu dunia luar akan terkejut melihat apa yang berlaku di Kota Belud kerana keadaan ini tidak sepatutnya berulang sesudah 52 tahun umur kemerdekaan Negara ini, ujar beliau kesal.

Sementara itu, Ustaz Awang Laiman menempelak sikap angkuh pemimpin barisan nasional kerana begitu berani mendabik dada sebagai juara rakyat sedangkan masih ramai lagi rakyat yang hidup melarat dan tidak terbela nasib mereka khususnya di Sabah.

Beliau berkata, banyak projek-projek besar yang kononnya akan dilaksanakan di daerah ini untuk membantu meningkatkan tahap kualiti masyarakat disini tapi sehingga ke hari ini pekan kota belud pun masih digelar pekan koboi.

Pada program ziarah tersebut, Ustaz Awang Laiman meluangkan masa menghulurkan sedikit bantuan kebajikan berbentuk keperluan seharian seperti beras dan pakaian.

“kita sangat sedih kerana kebanyakkan mereka yang kami temui merupakan golongan kurang bernasib baik yang terdiri daripada ibu tunggal, golongan kurang upaya dan anak yatim, tambah beliau.

“kebanyakkan mereka memang layak dan sudah beberapa kali memohon untuk mendapatkan bantuan daripada jabatan kebajikan tetapi tidak tahu apakah puncanya mereka tidak mendapat sesenpun daripada pihak yang berkenaan”

Selasa, 2 Mac 2010

Mahasiswa UMS-KAL Demonstrasi Pulihkan Bekalan Air


Lebih 1,000 pelajar Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) mengadakan piket bagi menuntut pihak berkuasa mencari penyelesaian segera terhadap masalah bekalan air di kampus itu.

Piket tersebut adalah yang pertama seumpamanya di pulau ini berikutan kekurangan bekalan air yang berlaku di sini sejak pertengahan tahun lepas.

Sambil membawa sepanduk dan poster, mereka berkumpul di kampus itu, yang terletak kira-kira 14km dari bandar Labuan, sejak pukul 9 pagi di bawah pengawasan polis.

Kuliah di kampus berkenaan dihentikan sementara berikutan piket itu.

Bercakap kepada Bernama, Naib Presiden Majlis Perwakilan Pelajar UMSKAL, Herry Anto Hasanudin berkata mereka telah menyerahkan satu memorandum kepada Jabatan Hal Ehwal Pelajar universiti itu sebelum piket tersebut diadakan.

Katanya dalam memorandum itu, pelajar meminta Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin melawat UMSKAL bagi melihat sendiri keadaan di situ; meminta bekalan air bersih disediakan secara berterusan; dan meminta universiti itu ditutup sehingga masalah bekalan air di situ diselesaikan.

Lebih 2,500 pelajar menuntut di universiti itu, sebahagian besarnya berasal dari tanah besar Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia serta sebilangan kecil dari China, Indonesia dan negara lain.

"Akibat masalah bekalan air ini, ada pelajar yang berhenti dan melanjutkan pengajian di universiti lain," katanya.

Herry Anto berkata pelajar menghadapi masalah bekalan air di kampus itu sejak semester pertama tahun lepas dan berharap keadaan akan bertambah baik pada semester kedua.

"Malangnya, keadaan bertambah buruk. Kami telah suarakan masalah ini sejak tahun lepas, tapi ia terus berlarutan. Kami harap menteri berkenaan akan mencari jalan bagi membantu kami," katanya.

Kini, pelajar universiti itu bergantung pada bekalan air yang dihantar oleh lori tangki Jabatan Bekalan Air bagi memenuhi keperluan harian mereka.

Herry Anto berkata mereka cuba menghubungi Naib Canselor universiti itu untuk mendapatkan bantuan, tetapi tidak berjaya.

Usaha Bernama untuk menghubungi pengarah UMSKAL juga tidak berhasil.

Sementara itu, Anggota Parlimen Labuan, Datuk Yussof Mahal berkata beliau telah meminta Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air mencari penyelesaian bagi masalah kekurangan bekalan air di Labuan.

"Kami tidak boleh biarkan para pelajar dan rakyat kami terus mengalami masalah ini sepanjang masa. Kami tak akan dapat menarik pelabur sekiranya masalah ini berterusan," katanya.

UMSKAL memerlukan sekurang-kurangnya 120,000 gelen air sehari bagi memenuhi keperluan pelajar dan petugasnya.

Sementara itu, berikutan perbincangannya dengan Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Ahmad Phesal Talip, Jabatan Bekalan Air dijangka menghantar bekalan air yang secukupnya ke universiti itu.

Masalah kekurangan bekalan air di Labuan dijangka berakhir Disember ini apabila projek saluran paip dasar laut dari Beufort ke pulau berkenaan berharga RM365 juta, disiap sepenuhnya.

Kini, Labuan bergantung pada bekalan air dari tanah besar Sabah melalui saluran paip dasar laut dari Sungai Padas di daerah Beaufort. Permintaan terhadap bekalan air di Labuan ialah kira-kira 56 juta liter sehari, sedangkan bekalan semasa hanya berjumlah 42 juta liter.

Masalah bekalan air di Labuan bermula apabila dua daripada tiga empangan kering awal tahun lepas.

Isnin, 1 Mac 2010

Pakatan Rakyat Sabah Pastikan '1 lawan 1 PRU-13





Dari kanan, Cristina Liew, Jefri Kitingan, Hisamudin Sulaiman,Jimmie, Anuar Ibrahim, Lim Kit siang dan Thamrin Jaini

Kota Kinabalu, 1 Mac
– Sambutan Tahun Baru Cina Pakatan Rakyat baru-baru ini memberikan mesej yang jelas bahawa kesatuan jentera Pakatan Rakyat Sabah yang terdiri daripada pelbagai kaum kini bersedia untuk menggempur barisan nasional pada pilihanraya umum ke-13 yang akan datang, jelas Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Sabah, Ustaz Anuar Ali.

Majlis besar-besaran yang diadakan di Dewan utama Sekolah Menengah Kion Kok Likas ini berjaya menghimpunkan lebih kurang tiga ribu orang hadirin yang terdiri daripada masyarakat Tiong Hwa termasuk penyokong daripada parti PAS, PKR dan DAP.

Antara kenamaan utama yang hadir pada majlis sambutan tersebut iaitu Ketua Umum PKR Dato Sri Anuar Ibrahim, Pengerusi DAP Lim Kit Siang dan Wakil Badan Perhubungan PAS Sabah; Timbalan Pesuruhjaya Ustaz Aminudin Aling dan Ketua Penerangan Ustaz Hisamudin Sulaiman.

Kenamaan lain yang turut hadir iaitu Ketua Pimpinan Tertinggi PKR Sabah, Sdr Thamrin Hj Jaini, Ahli Parlimen Kota Kinabalu Dr Hiew Ting Chiew , Presiden SAPP Dato Yong Teck Lee dan barisan kepimpinan PKR Sabah.

Sebagai tuan rumah, MP Kota Kinabalu Dr Hiew Ting Chiew membuka pentas ucapan dengan mengajak semua masyarakat di Sabah agar berani membuat perubahan.

Beliau menggesa agar semua yang hadir melihat perubahan yang berlaku di semenanjung yang banyak memberikan manfaat kepada kesejahteraan masyarakat tempatan itu sendiri.

Sementara itu, wakil daripada ketiga-tiga parti PAS, PKR dan DAP dalam ucapan masing-masing bersepakat bahawa pada pilihanraya umum ke-13, mesej ‘satu lawan satu’ mesti direalisasikan untuk memastikan Barisan Nasional tumbang di Sabah.

Dato Sri Anuar Ibrahim dalam ucapannya berkata, walaupun Sabah memiliki sumber semulajadi yang banyak seperti kayu balak dan minyak asli, namun rakyatnya masih berada ditahap kemiskinan tegar walaupun sudah 52 tahun merdeka.

Ini katanya, berpunca daripada pemimpin umno-barisan nasional yang tidak menjalankan amanah yang diberikan oleh rakyat sebaliknya sibuk mengumpul harta dan kekayaan untuk kroni mereka, ujar beliau lagi.

Beliau menekankan agar semua barisan pembangkang di Sabah bersatu hati untuk memastikan umno-barisan nasional dapat di halau keluar dari Sabah pada pilihanraya umum akan datang.

Ketua Penerangan PAS Sabah, ustaz Hisamudin Sulaiman pula berkata, perubahan mesti dilakukan bermula daripada rakyat Sabah dan kita akan melihat perubahan akan berlaku di seluruh Malaysia.

Beliau mengingatkan semua yang hadir termasuk ahli PAS, PKR dan DAP supaya bersatu dengan misi satu lawan satu melawan barisan nasional dan memastikan pengundi tidak lagi tertipu dengan janji-janji manis oleh pemimpin yang tidak amanah pada PRU ke-13 nanti.

Pengerusi DAP, Sdr Lim kit Siang pula menegaskan supaya rakyat menilai semula kemajuan yang dibawa sepanjang pemerintahan barisan nasional.

Beliau melahirkan rasa kesal kerana kemudahan asas di Sabah seperti air, elektrik dan jalan raya yang masih amat menyedihkan keadaannya dan ini menjadi sebab utama mengapa perubahan kepimpinan di Sabah kepada Pakatan Rakyat mesti menjadi pilihan rakyat Sabah.

Beliau juga dalam ucapan tersebut sempat memberikan tawaran kepada presiden SAPP, Dato Yong Teck Lee agar turut bersama-sama dalam barisan Pakatan Rakyat berdepan barisan nasional pada PRU ke-13.

Ini kerana, sebelum ini SAPP masih belum menunjukkan rasa berminat untuk berkerjasama dengan Pakatan Rakyat walaupun ada tawaran dibuka oleh pimpinan pakatan rakyat di Sabah.



Unit AMAL ikhlas membantu


Pada majlis itu juga, kebanyakkan yang hadir memberikan pujian kepada petugas unit amal Dewan Pemuda PAS Sabah kerana berjaya membantu melicinkan pergerakan program sambutan tersebut dengan menjaga parking kereta, mengiringi VIP, membuka kaunter pendaftaran dan lain-lain lagi.

PAS Sabah PRU-13 ; 9 kerusi Parlimen, 15 DUN

KOTA KINABALU : Badan Perhubungan PAS Negeri Sabah dalam satu mesyuarat di Keningau telah memutuskan PAS Sabah telah bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan pilihanraya yang akan diadakan bila-bila masa.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Pesuruhjaya PAS Sabah Muhamad Abdullah, keputusan mesyuarat tersebut menyebut PAS Sabah telah sebulat suara untuk bertanding di 9 kerusi parlimen dan 15 kerusi Dewan Undangan Negeri Sabah pada pilihanraya ke-13 nanti.

Tanpa menamakan kerusi-kerusi yang akan ditandingi, PAS dijangka akan mengekalkan kerusi tradisi seperti Merotai dan Sukau disamping Karambunai, Tanjong Aru, Pantai Manis, Gum-Gum, Sekong, Tanjong Batu, Balung dan beberapa lagi kerusi yang akan dinyatakan kemudian. PAS juga dijangka akan bertanding di parlimen Kalabakan, Batu Sapi, Kota Belud serta beberapa kerusi parlimen yang lain.

Badan Perhubungan PAS Sabah juga telah mengenalpasti calon-calon berpotensi yang mempunyai pelbagai latarbelakang profesionalisme serta kemantapan ilmu agama yang boleh diterima masyarakat dan rakyat negeri ini. PAS Sabah berpendapat bahawa kriteria penting dalam pemilihan calon akan dilihat dari sudut kefahaman dan kemantapan ilmu agama kerana ia mampu membendung gejala lompat parti jika seseorang calon tersebut terpilih memenangi sesuatu kerusi yang ditandinginya.

Menurut Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah, Hamzah Abdullah berkata PAS tidak mahu melihat trend melompat parti sebagaimana yang menjadi budaya yang telah berakar umbi dikalangan beberapa wakil rakyati negeri ini dan di negeri-negeri tertentu di Semenanjung sehingga mengucarkacirkan pentadbiran sesebuah kerajaan, serta mengkhianati amanah rakyat, merebak dan menjalar kedalam PAS.

"Sebab itu PAS meletakkan syarat berbaiah iaitu untuk tidak mengkhianati Allah dan Rasulnya sebelum seseorang dipilih untuk menjadi calon dalam mana-mana pilihanraya yang ditandingi oleh PAS," katanya.

Beliau selanjutnya berkata, "kita bersyukur kepada Allah kerana semua ahli Yang Berhormat dari PAS tidak mudah dipengaruhi dengan pujukan pihak-pihak yang tidak beretika untuk melompat keparti lawan".

Badan Perhubungan PAS Sabah juga sedang dalam rangka membentuk jawatankuasa kajian manifesto. Banyak isu-isu penting serta dokumen yang bernilai bakal dipersembahkan kepada rakyat negeri ini untuk dipertimbangkan supaya tidak berbelah bagi dalam menyokong perjuangan PAS.

Apa yang penting ialah rakyat menilai manifesto PAS yang meletakkan hak dan warisan mereka yang semakin terhakis sebagai fokus utama dalam menentukan undi mereka pada pilihanraya ke-13 ini.

PAS akan berjuang unntk mengembalikan tanah-tanah adat yang telah dirampas dan dibolot oleh kroni-kroni Barisan Nasional. PAS juga akan memastikan supaya kampung-kampung tradisi dikekalkan dan diberikan hakmilik geran kampung.

Walaupun PAS menyedari bahawa Pakatan Rakyat semestinya mempunyai satu manifesto bersama, tetapi PAS juga akan memperjelaskan kepada rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat tentang rasional disebalik manifesto tambahan.

Khamis, 11 Februari 2010

PAS Kota Belud Bantu Keluarga Susah



Kota Belud, 6 Februari – Yang Dipertua PAS Kawasan Kota Belud, Ustaz Mustakim Aling mengetuai ziarah satu keluarga yang terletak di kampung Tapukan II, Rampaian Laut.

Kali ini, beliau bersama rombongan lajnah Kebajikan PAS Kawasan kota Belud menziarahi seorang pesara tentera, Bakrin Said yang hanya bergantung kepada tanaman sara diri untuk meneruskan kehidupan sehari-hari.

Rombongan seramai 10 orang ini mengambil masa hampir 2 jam perjalanan untuk sampai ke tempat yang di tuju daripada pekan Kota Belud.

Menurut Pakcik Bakrin, sekiranya mereka kehabisan beras, ubi kayu menjadi ganti untuk mengisi perut.

“Selepas bersara dari pada tentera, kehidupan keluarga saya agak menyedihkan kerana tiada bantuan diterima dari pihak kerajaan”

“Saya sangat bersyukur dengan kehadiran PAS kerana dapat membantu meringankan beban yang saya tanggung,ujar beliau lagi.

Ustaz Mustakim berkata, PAS Kawasan melalui lajnah kebajikan akan meneruskan aktiviti ziarah dan menyampaikan sumbangan berbentuk keperluan seharian kepada golongan yang memerlukan di sekitar daerah Kota Belud.

“mengikut data yang kami perolehi, masih terdapat banyak lagi golongan kurang bernasib baik seperti golongan muallaf, ibu tunggal dan anak yatim tidak mendapat bantuan sepatutnya oleh pihak kerajaan”

Selain itu katanya, ini menggambarkan bahawa PAS bukan sahaja parti politik semata-mata, tetapi juga PAS adalah sebuah badan kebajikan dan dakwah yang prihatin terhadap kesusahan rakyat.

Penduduk Kg Melayu Delima Dalam Dilema



Kota Kinabalu, 9 Feb – Sempena Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Selangor di Sabah, YB Iskandar Abdul Samad membuat lawatan ringkas ke kampung Melayu Delima yang berhadapan masalah diusir keluar daripada kampung tersebut.

“Dasar kerajaan pakatan semasa mengambil Selangor daripada umno iaitu berbincang dengan penduduk kampung apabila ada masalah berkenaan tanah”

Sebelum ini kata YB Iskandar, kerajaan negeri yang dipimpin oleh umno bertindak sesuka hati meroboh rumah setinggan yang dahulunya mereka ini dijemput datang untuk memenuhi pekerjaan yang ada ketika itu.

Tambah beliau lagi, banyak kes-kes perumahan setinggan yang dapat diselesaikan oleh kerjaan negeri dan masyarakat berpuas hati dengan khidmat yang diberikan oleh kerajaan negeri Selangor.

Menurut maklumat yang diberikan oleh penduduk kampung melayu delima, mereka tidak pernah dibekalkan dengan bekalan elektrik dan kemudahan jalan yang baik kerana mereka berkeras tidak mahu keluar dari kampung tersebut.

“kami telah membuat permohonan tanah mengikut prosedur yang digariskan dan kebenaran bertulis telah diberikan oleh Tuan Yang Terutama”

Salah seorang daripada jawatankuasa bertindak menghalang pengusiran penduduk kampung tersebut berkata, beliau berasa hairan mengapa kampung mereka tidak dibekalkan dengan bekalan elektrik sedangkan kampung tersebut terletak bersebelahan dengan Universiti Malaysia Sabah dan One Borneo.

Ekoran daripada tindakan pengusiran tersebut jawatankuasa bertindak kampung melayu delima membawa kes ini ke Mahkamah untuk diputuskan.

Pada majlis ringkas bersama penduduk kampung melayu delima tersebut, YB Iskandar menghulurkan sedikit sumbangan wang berjumlah RM500 kepada pengurusi Surau.

Rabu, 27 Januari 2010

PAS Sabah semakin diterima




Keningau, 26 Jan
– Yang Dipertua PAS Kawasan Keningau, Sdr Hisamuddin Sulaiman yakin bahawa PAS semakin mendapat sambutan daripada masyarakat Sabah berikutan kegagalan Barisan Nasional membawa masyarakat disini kepada taraf hidup yang baik.

Beliau yang dalam rangka lawatan ke kampung-kampung sekitar daerah sook untuk menyampaikan sumbangan melahirkan rasa simpati dengan nasib masyarakat disini yang masih belum mendapat kemudahan asas yang sepatutnya seperti kemudahan jalan raya, air dan elektrik walaupun sudah 50 tahun merdeka.


Baru-baru ini, PAS Kawasan keningau bersama rombongan seramai 15 orang terdiri daripada ahli majlis syura Dewan Ulama PAS Pusat, Dr Daeng Sanusi ; wakil daripada unit AMAL Pusat, Sdr Rosli ; wakil Badan Perhubungan PAS Sabah, Ustaz Aminuddin Aling dan beberapa orang exco Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah turun ke kampung mansiat dan sinua untuk menyampaikan sumbangan berbentuk keperluan seharian.


Perjalanan yang mengambil masa selama 3 jam dari pekan kecil sook diburukkan lagi dengan keadaan jalan yang tidak berturap sangat menyukarkan perhubungan antara penduduk kampung dengan pekan kecil sook. Menurut seorang tenaga pengajar yang telah berkhidmat selama 3 tahun di sini, keadaan jalan akan bertambah buruk apabila hujan lebat menyebabkan jalan raya disini hanya dapat dilalui oleh kereta pacuan empat roda.




Sdr Hisamudin menegaskan, rakyat perlu faham bahawa tanggungjawab sebagai pemimpin sebaik saja dilantik iaitu menyediakan keperluan asas seperti kemudahan jalan raya, air dan elektrik kepada rakyat. Jika kemudahan asas ini pun tidak mampu disediakan, jangan berbohong kepada rakyat dengan menabur janji-janji manis setiap kali pilihanraya semakin hampir, ujar beliau sewaktu menyampaikan kata-kata aluan dalam majlis penyampaian bantuan berbentuk keperluan seharian kepada penduduk kampung mansiat dan sinua.






Pada majlis yang sama, Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah Sdr Lahirul Latigu berkata, tujuan PAS turun kepada masyarakat disini adalah untuk memperkenalkan PAS dan perjuangannya. Media yang dikuasai oleh Barisan Nasional selama ini telah memberikan imej yang buruk kepada PAS menyebabkan masyarakat tidak mendapat gambaran yang sebenar mengenai perjuangan PAS. Beliau yakin, sebagaimana PAS diterima oleh semua kaum dan agama di semenanjung, PAS juga akan diterima oleh pelbagai suku kaum dan agama di Sabah sedikit masa lagi.


Sementara itu, pengerusi surau kg mansiat ustaz Radzi berkata, hampir 20 tahun kerajaan barisan nasional menjanjikan jalan raya berturap masuk ke kampung mereka, namun sehingga sekarang belum ada tanda-tanda janji tersebut akan dikotakan. Menurutnya lagi, penduduk kampung disini kecewa dengan sikap pemimpin Barisan Nasional yang tidak memperdulikan nasib mereka sebagai majoriti umat Islam. Katanya, ahli jawatankuasa surau ini sudah beberapa tahun memohon agar surau di kampung dibaik pulih memandangkan strukturnya sudah agak rapuh dan sudah tidak boleh menampung jumlah ahli jamaah yang semakin ramai namun belum ada jawapan yang diberikan kepada penduduk kampung.




Pada majlis tersebut juga, sebanyak 30 borang keahlian PAS di serahkan kepada ahli majlis syura Dewan Ulama PAS Pusat, Dr Daeng Sanusi sebagai tanda sokongan dan kepercayaan masyarakat disini kepada PAS. Turut sama menyampaikan sumbangan berbentuk keperluan seharian iaitu Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah, ustaz Aminuddin Aling sambil diperhatikan oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Sabah, Sdr Lahirul Latigu.
 
back to top