Ahad, 27 Disember 2009

Kursus Pengurusan PASTI peringkat negeri Sabah

Oleh: almansur

27 Dis (Sabtu): Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah telah menganjurkan kursus pengurusan PASTI peringkat negeri Sabah. Program yang di adakan sehari semalam tersebut antara lain bermatlamatkan untuk meningkatkan kefahaman, kemahiran dan kualiti pengurus pasti di seluruh negeri Sabah. Beberapa kertas kerja telah dibentangkan, antaranya ialah visi dan misi PASTI, sistem pengurusan PASTI, pengurusan kewangan dan halatuju PASTI. Selain dari itu taklimat berkaitan pengurusan kesihatan dan keselamatan kanak-kanak pra-sekolah, dan akta berkaitan turut didedahkan.

Antara peserta yang hadir pada kursus pengurusan PASTI peringkat negeri Sabah

Program yang diadakan di Pusat Penerangan PAS & PKR tersebut telah dihadiri oleh wakil-wakil PASTI dari seluruh Sabah. Manakala para pembentang adalah terdiri dari Ahli Lembaga Pengarah PASTI Pusat iaitu Abdul Kadir Dewa (Tim. Pengarah PASTI Malaysia, Sektor Pengurusan), Hashan Aladi Hj Ahmad (Tim. Pengarah PASTI Malaysia, Sektor Pembanggunan Sumber) dan Rosli Suhaime (s/u PASTI Malaysia).

Menurut Ishar Hamka Ismail selaku peserta kursus yang juga Timbalan Pengarah PASTI 4 Sabah (Sandakan), program yang diaturkan sangat bermanfaat kerana ianya banyak memberi ilmu yang berguna sebagai panduan dalam menguruskan PASTI di Sabah. Menurut beliau lagi PASTI Sabah mensasarkan pertumbuhan sebanyak 10% jumlah PASTI setiap tahun bermula 2010-2014. Sehubungan dengan itu ALP PASTI negeri Sabah juga perlulah sentiasa mempertingkatkan usaha ke arah memperkasakan PASTI di seluruh negeri Sabah.

Seorang lagi peserta Jumat Jamaluddin iaitu wakil dari Kudat berpendapat bahawa kursus yang diadakan ini sangat penting bagi memperbaiki lagi sistem pengurusan PASTI di Sabah yang masih banyak kekurangan dan kelemahan. Menurut beliau lagi dengan adanya program seumpama ini, maka semua penggerak-penggerak PASTI di Sabah akan dapat menimba ilmu yang berguna daripada pimpinan pusat bagi memantapkan lagi pengurusan PASTI di Sabah. Selain dari itu menurut beliau lagi, masyarakat di Sabah dilihat lebih mudah untuk bersama-sama dengan PASTI berbanding PAS. Oleh yang demikian, dengan adanya PASTI, dakwah akan dapat digerakkan bagi mendekatkan masyarakat dengan PAS sebagai sebuah gerakan Islam.

Semua perserta yang hadir sangat berpuas hati dengan program yang diaturkan, seterusnya berazam akan menggerakkan PASTI di negeri Sabah dengan lebih kemas dan tersusun demi melebar luaskan dakwah Islam di tengah-tengah masyarakat.

Isnin, 21 Disember 2009

Majlis Makan Malam Konvensyen PKR Sabah

Sumber: http://passepanggar.blogspot.com/


20hb (ahad)
: Bersempena dengan Konvensyen Parti Keadilan Rakyat Sabah pada sebelah siangnya, PKR Sabah telah menganjurkan Majlis Makan Malam Konvensyen PKR Sabah. Antara pimpinan pusat PKR yang turut serta pada majlis makan malam tersebut ialah YB Tian Chua, YB Zuraida dan Datuk Chua Jui Meng. Manakala antara pimpinan PAS yang hadir sebagai jemputan ialah Tn Hj. Aminudin Aling selaku timbalan pesuruhjaya PAS Sabah, Sdr Abd Hamid YDP PAS kawasan Putatan dan Sdr Amir Saifuddin selaku ketua pemuda PAS kawasan Sepanggar. Turut serta pada majlis tersebut ialah wakil dari DAP. Majlis yang diadakan di Ocean Seafood Restaurant, Kota Kinabalu tersebut telah dihadiri oleh lebih 1300 masyarakat dan ahli PKR Sabah.


Majlis yang sepatutnya dihadiri oleh Dato Seri Anwar Ibrahim, selaku pemidato utama terpaksa diganti dengan YB Tian Chua disebabkan masalah penerbangan DSAI yang ‘delay’. YB Tian Chua telah menyampaikan ucaptama dengan menekan bahawa inilah masa yang terbaik untuk melakukan perubahan kearah Malaysia yang lebih baik. Selain dari itu, YB Tian Chua turut menyeru rakyat Sabah agar berani melakukan perubahan pada PRK ke-13 nanti.


Sebelum dari itu Datuk Chua Jui Meng turut memberi ucapan dengan menekan bahawa Pakatan Rakyat ingin membawa satu perubahan besar dari pelbagai aspek. Perubahan tersebut melibatkan fahaman perkauman, integriti, pendidikan dan ekonomi. Seterusnya antara perubahan besar akan dibawa ke Sabah ialah, pemberian royalti hasil minyak dan gas sebanyak 20% yang akan diberikan kepada kerajaan negeri Sabah sekiranya Pakatan Rakyat diberi peluang untuk memerintah Malaysia.


Majlis berakhir yang pada pukul 11 malam tersebut turut membuat cabutan bertuah kepada tetamu yang hadir.


Penulis: Ketua Pemuda PAS Kawasan Sepanggar

Sabtu, 12 Disember 2009

Perjuangan PAS : Tarbiyyah , Dakwah dan Siasah



Masih ada mereka yang tidak memahami , bagaimana PAS berjuang sehingga masih kedengaran suara yang mengatakan perjuangan PAS salah , bida'ah , sesat , tidak mengikut sunnah , bercanggah dengan syariat , hanya mementingkan politik dan 1001 tohmahan dilemparkan kepada PAS .

Terlebih dahulu saya akui bahawa PAS tidak sunyi dari kelemahan dan kesilapan sebagai sebuah organisasi yang dipimpin oleh manusia. Namun kesilapan dan kelemahan itu tidaklah membawa PAS terbabas ke 'gaung dalam' yang membunuh aqidah dan mencederakan syakhsiyyah sebagai sebuah organisasi yang memperjuangkan Islam .
[1]

Sebaliknya kelemahan dan kesilapan yang berlaku , bukan sahaja masih boleh diperbaiki dan disempurnakan tetapi nyata PAS mempunyai cara dan kaedah yang cukup baik untuk terus memantau perjalanan organisasinya agar menepati objektif dan ghayahnya ( matlamat )
[2] .

Organisasi PAS juga mempunyai pelbagai medium untuk memastikan segala misi dan visi perjuangannya berjalan berasaskan syara' .

Kepimpinan Ulama' , Jawatan Kuasa Disiplin Parti , Muktamar Tahunan , Mesyuarat Dewan Harian , Mesyuarat Bulanan , Mesyuarat Khas , Liqa' Fikri , Tamrin , Mukhayyam , Kuliah Haraki , Usrah Mingguan , Konvensyen PAS Negeri , Ijtimak Pilihanraya , Kuliah Agama dan banyak lagi cara dan kaedah untuk PAS mengawal organisasinya berjalan melandasi syariat Ilahi dan sunnah an Nabawi .

Jika terdapat perbedaan dalam approach atau method perjuangan PAS berbanding kumpulan Islam yang lain , ini tidak bermakna PAS salah dan bercanggah dengan syariat dan sunnah.

Secara umumnya , wajar saya tegaskan bahawa PAS bergerak dalam ruang orientasi yang saya pecahkan secara kasar kepada 3 ruang utama iaitu :

Tarbiyyah dan Pengkaderan ( pembinaan dan pembentukan )
Dakwah ( penerangan )
Siasah ( politik )

Tarbiyyah dan Pengkaderan .

Aset penting yang meletakkan PAS terus istiqamah dan komited dengan perjuangan ialah agenda tarbiyyah dan pengkaderan yang menjadi nadi kepada pergerakkan PAS .

Tarbiyyah digerak dan diaktifkan untuk membina :

· Aqidah yang benar berasaskan manhaj Ahlis sunnah wal Jamaah
· Fikrah yang syumul sebagaimana syumulnya ajaran Islam itu sendiri
· Syakhsiyyah yang solehah berasaskan akhlak mahmudah bimbingan Rasulullah saw.

Sementara pengkaderan pula berfungsi untuk membina :

Kepimpinan yang berkarisma dan berwibawa .
Organisasi yang mantap dan hebat.
Tindakan yang strategic dan berkesan .

Memastikan perkara ini berlaku dalam PAS , Lajnah Tarbiyyah dibentuk pada semua peringkat organisasi PAS , bermula dari peringkat Pusat , Negeri , Kawasan bahkan cawangan. Begitu juga di peringkat dewan – dewan seperti Dewan Ulama' , Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat turut meletakkan Lajnah Tarbiyyah antara Lajnah kanan yang diberi tumpuan utama.

Aktiviti asas bagi melaksanakan cita – cita tarbiyyah banyak tertumpu kepada pembentukkan usrah dipelbagai peringkat ( kepimpinan atau ahli ) , tamrin , liqa fikri dan pelbagai program atau aktiviti semasa yang dilihat perlu dari masa ke semasa dengan berbagai wajah yang menghormati kepentingan kepelbagaian approach .

Kini PAS melalui Dewan Pemudanya pula menubuhkan Akademi Kepimpinan Pemuda yang akan berfungsi bersama pelbagai modulnya untuk mengkaderkan kepimpinan pelapis yang berwibawa menepati karisma seorang pemimpin Islam yang soleh.

Dakwah Ilallah ( Penerangan )

Berlandaskan perintah Allah yang mewajibkan setiap individu muslim menyampai dan menyebarkan Islam , dakwah telah menjadi aktiviti asas yang sangat principal sifatnya.
[3]

Biarpun PAS menghadapi aneka halangan dan ancaman dari pelbagai pihak termasuk polis/FRU yang sering digunakan oleh musuh – musuh Islam yang menghalang kemaraan dakwah Islam ke tengah masyarakat , dakwah untuk menginsafkan ummah agar kembali kepangkuan Islam serta berjuang mendaulatkannya tetap diteruskan .

Ada dikalangan pemimpin PAS yang dibunuh , dipenjara , dibuang daerah dan dikenakan pelbagai tindakan kerana dakwah mereka . Namun segalanya tidak menghalang PAS dari terus melaksanakan amanah besar ini sebagai sebuah Gerakan Islam yang pastinya bertanggungjawab terhadap masa depan ummah.

Tugas dakwah ini digalas oleh semua , dari Presiden hinggalah ahli biasa dengan peranan masing – masing berasaskan keupayaan atau kemahiran mereka malah turut menghormati tahap keupayaan masing - masing.

Maudhu' ( kandungan ) dakwah PAS sangat jelas
[4] , menepati apa yang diajar oleh Allah swt. PAS mendekati semua lapisan masyarakat . Bermula dengan masyarakat yang tertindas hinggalah pemimpin yang menindas dan ummat yang lesu hinggalah ulama' yang bisu .

Pelbagai pendekatan diketengahkan dalam membawa mesej perjuangan. Dewan Pemuda PAS membawa pendekatan Pemuda sebagai Duta Kasih Sayang dan Penyelamat .

Pendekatan dakwah PAS melengkapi 2 kategori utama :

1 : Dakwah Ammah ( umum )

Kuliah Agama , Forum , Seminar
Ceramah Umum , Muzakarah , Debat
Motivasi , Demonstrasi
Penerbitan Buku , Penerbitan akhbar ,
Edaran VCD , Edaran Risalah ,
Talk Show , Dialog dll

2 : Dakwah Fardiyyah . ( khas )

Pertemuan Tertutup
Ziarah dan Dakwah
Aktiviti Amal Kebajikan

Dakwah PAS tidak bermusim dan tidak juga tertakluk kepada kepentingan pengaruh individu dan politik . Biarpun sehari selepas tamatnya pilihanraya , PAS telah memulakan aktiviti dakwahnya kepada masyarakat , demikian juga sehari selepas dibebaskan dari penjara pimpinan PAS terus melangsungkan dakwahnya.

Sekalipun dakwah yang dibawa oleh PAS tidak popular malah menerima tentangan sengit dari pelbagai pihak seperti hukuman hudud , PAS tetap menunaikan tanggungjawab dakwahnya dengan memberi penjelasan kepada masyarakat mengenai peri pentingnya Negara kita melaksanakan undang – undang dan peraturan Islam itu.

Biarlah kita kehilangan undi popular dan sokongan ramai yang membawa kita kalah dalam pilihanraya , namun dakwah untuk membawa Islam kesetiap pintu hati manusia tetap diteruskan.

Siasah ( politik )

Islam adalah agama yang syumul , merangkumi seluruh aspek kehidupan termasuklah politik. Mengasingkan politik dari perjuangan Islam ertinya mengurangkan sukatan perjuangan Islam yang telah diperjuangkan oleh Nabi saw.
[5]

PAS meletakkan politik sebahagian dari tanggungjawab perjuangan yang mesti diperjuangkan.

Kini kuasa politik berada ditangan UMNO dan BN yang enggan melaksanakan syariat meskipun berbuih mulut mereka mengisytiharkan Malaysia sebagai sebuah Negara Islam . Malah UMNO dan BN telah menyuburkan bumi Malaysia ini dengan pelbagai maksiat dan mungkar yang telah dihalalkan melalui mazhab Islam Hadharinya.

PAS berkewajipan mengambil tampuk kuasa politik dari golongan yang enggan melaksanakan syariat Islam dan PAS telah berijtihad untuk menggunakan pendekatan aman dan damai tanpa peperangan dan pertumpahan darah , dalam usaha PAS mahu mengambil alih kuasa politik tersebut.

Realiti ini membawa PAS mendaftarkan organisasinya di bawah Pendaftar Pertubuhan dan ianya sah untuk bergerak di sisi undang – undang Negara waktu ini. Semua orang boleh mengakui bahawa Islam tidak boleh dilaksana tanpa kuasa politik. Justeru itu , penglibatan dibidang politik ( siasah ) adalah kewajipan besar untuk kembali mengangkat Islam ini ke tempat yang selayaknya sebagai agama suci .

KESIMPULAN

Saya tidak nampak alasan yang munasabah bagi pihak yang menolak perjuangan PAS. Mereka barangkali boleh untuk tidak menyertai PAS , tetapi untuk mereka menolak dan menafikan perjuangan PAS adalah suatu yang sangat tidak adil.

Kelemahan dan kesilapan boleh diperbaiki jika ada. Menolak dan menafikan perjuangan sucinya yang diasaskan sejak tahun 51 yang lalu memerlukan alasan yang konkrit dan dalil yang pasti , bukan beralaskan emosi dan sentiment perbedaan kumpulan.

Saya selalu menegaskan kepada umum , jika terdapat suatu yang dilakukan oleh PAS bercanggah dengan syariat dan sunnah , sila nyatakan ! Jika ianya berbentuk dakwaan , sila kemukan bukti !

Kita mencari kebenaran . Andai benar atau ada , PAS melakukan perkara yang bercanggah dengan syariat , saya dan seluruh ahli PAS yang ikhlas terhadap perjuangan pasti akan menyanggahinya. Namun begitu , janganlah tuduhan melulu tanpa lampiran bukti , dakwaan palsu tanpa kepastian dalil dan emosi berprasangka tanpa berlaku adil.

[1] Fasal 3 . Perlembagaan PAS : Dasar PAS ialah Islam .
Fasal 4 . Perlembagaan PAS : Seruan PAS ialah ALLAHU AKBAR .

[2] Fasal 5 . Perlembagaan PAS : Tujuan PAS ialah :

1 : Memperjuangkan wujudnya di dalam Negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai – nilai hidup Islam dan hokum – hukumnya menuju keredhaan Allah .

2 : Mempertahankan kesucian Islam serta kemerdekaan dan kedaulatan Negara .

[3] ولتكن منكم أمة يدعون إلى الخير و يأمرون بالمعروف و ينهون عن المنكر و أولئك هم المفلحون
" dan hendaklah ada dikalangan kamu ummat yang berdakwah kearah kebaikan , menegakkan syariat dan mencegah kemungkaran dan mereka adalah golongan yang beroleh kemenangan."

Surah ali – imraan : 104

[4] Fasal 6 . Perlembagaan PAS : Usaha – usaha :

1 . Menyeru ummat Manusia kepada syariat Allah dan Sunnah RasulNya melalui dakwah secara lisan , tulisan dan amalan .

2 . Memperjuangkan Islam sebagai aqidah dan syariah serta menjadikannya sebagai panduan berpolitik dan bernegara serta memperkenalkan nilai – nilai keislaman dalam usaha menegakkan keadilan dan kemajuan disegenap bidang termasuk pemerintahan dan pentadbiran , ekonomi dan social serta pelajaran dan pendidikan .

[5] فما لا أصل له فمهدوم و ما لا حارس له فضائع الدين أصل و السلطان جارس
" Agama adalah tapak dan pemerintah ( kedaulatan ) adalah pengawal , suatu yang tiada tapak pasti runtuh dan suatu yang tiada pengawal pasti hilang ." – al Imam Ghazali dalam Ihya' Ulumiddin

PENDIRIAN PEMUDA PAS TERHADAP KENYATAAN YB NGA KOR MING BERKENAAN ISU MASJID


KENYATAAN MEDIA
10hb Disember 2009

DEWAN PEMUDA PAS PUSAT
PARTI ISLAM SE-MALAYSIA (PAS)


Dewan Pemuda PAS Pusat memandang serius kenyataan akhbar yang telah di buat oleh Ahli Parlimen Taiping, YB Nga Kor Ming apabila membandingkan perbelanjaan kerajaan membina masjid dan mendesak kerajaan memberi peruntukan lebih besar kepada rumah ibadat bukan Islam.

Pemuda PAS amat menghormati kebebasan beragama yang diperuntukkan oleh perlembagaan selaras dengan prinsip kebebasan beragama yang dipegang oleh Islam. Pemuda PAS juga yakin prinsip Kepercayaan Kepada Tuhan akan menghasilkan warganegara yang baik melalui pegangan agama yang mantap. Justeru Pemuda PAS menyokong sebarang usaha untuk mendekatkan penganut-penganut semua agama untuk mengamalkan agama masing-masing.

Pemuda PAS sangat mengambil berat terhadap isu-isu yang menyentuh sensitiviti agama dan perkauman. Kami meminta semua pihak menghormati kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan dan pada masa yang sama kami menghormati hak-hak beragama semua rakyat Malaysia.

Justeru itu Pemuda PAS akan mengadakan perjumpaan dengan YB Nga Kor Ming untuk mendapatkan penjelasan sebenar terhadap isu ini.

Kamaruzaman Muhamad
Setiausaha
Dewan Pemuda PAS Pusat

Khamis, 3 Disember 2009

Tindakan Nik Aziz gambarkan ikhlas dan jiwa besar


Keputusan yang diambil oleh Tok Guru Mursyidul Am PAS dengan meminta menantu beliau Ir. Abdul Ariffahmi Abd Rahman untuk meletakkan jawatan dari kedudukan sebagai CEO PMBK adalah jelas merupakan satu tanda keikhlasan dan jiwa besar yang ditunjukkan oleh Tok Guru yang bersedia menerima keputusan parti.

Sifat berjiwa besar ini juga ditunjukkan oleh seluruh ahli keluarga beliau yang bersabar dengan ujian yang dan ini sangat berbeza dengan konsep kronisme yang diamalkan oleh kerajaan Barisan Nasional yang tidak boleh dirombak dan dirungkaikan.

Kita juga berhadapan dengan undang-undang manusia yang seringkali menjatuhkan hukuman dengan tidak adil – iaitu hukuman telah dijatuhkan sebelum maklumat sepenuhnya diperolehi dari sumber yang amanah dan benar.

Benarlah keadaan yang digambarkan oleh Rasulullah saw “Akan berlaku di akhir zaman keadaan yang celaru, orang amanah dikatakan khianat, orang khianat dikatakan amanah, orang benar dikatakan bohong dan orang bohong dikatakan benar”.

Kita dapati Tok Guru selaku Pengerusi PMBK telah menjalankan pelantikan yang ikhlas.

Apa yang kurangnya ialah mereka yang bertugas di sekeliling yang tidak memberi nasihat perundangan dan politik yang betul kepada Tok Guru.

Kita dapati bahawa selama 19 tahun pemerintahan PAS di Kelantan, Tok Guru selaku Menteri Besar dan ahli keluarganya tidak pernah mengambil peluang dari jawatan yang diamanahkan ini.

Seluruh ahli PAS menjunjung tinggi keikhlasan Tok Guru dalam menjalankan amanah yang sangat besar dan berat ini.

Kita juga sangat hairan dengan sikap orang yang menyerang Tok Guru ini kerana mereka berdiam diri pula dengan membiarkan kesalahan dan ketidakadilan terhadap rakyat yang dilakukan oleh para pimpinan UMNO dan BN sewenang-wenangnya.

Kita berharap agar Tok Guru dan keluarga bersabar dengan ujian masyarakat yang tidak memahami keadaan sebenar yang berlaku.

Kita mengharapkan agar mereka yang suka menyebarkan api kebencian agar segera bertaubat kerana sabda Rasulullah saw “Barangsiapa yang bermusuh dengan orang-orang yang mentaati perintahku maka aku mengisytiharkan kemurkaan yang sekeras-kerasnya”.

Saya juga menyeru seluruh ahli PAS agar berbangga dengan keputusan Tok Guru beserta ahli keluarganya yang bersedia menerima keputusan parti, dan marilah kita bersama-sama dengan Tok Guru dalam menghadapi ujian fitnah media yang tidak putus-putus dan cubaan musuh untuk meletakkan kerajaan PAS di Kelantan dalam keadaan tidak tenteram.

Marilah kita sama-sama mempertahankan kerajaan yang telah dibina di atas dasar amanah Allah ini dengan seluruh tenaga yang kita ada.


Presiden PAS
Abdul Hadi Awang

Bila Agaknya Doa Nik Aziz Sampai Ke Kota Belud?



Mungkin tidak ada yang terfikir dikalangan kita jika pada PRU-13 yang akan datang salah satu DUN di Kota Belud, hatta Parlimennya menjadi milik Pembangkang. Mungkin di benak kita menafikan sekeras-kerasnya situasi itu. Mungkin juga ada yang memperlekehkan idea politik ini. Atas sebab kerana keyakinan kita bahawa sesungguhnya politik Kota Belud belum bersedia menerima pemimpin pembangkang dalam kamus politiknya, apatah lagi jika pembangkang yang dilahirkan oleh parti dari Semenanjung..Jika dulu ada juga parti pembangkang menjadi wakil rakyat di Kota Belud zaman PBS tetapi itu parti kelahiran Sabah. Ada juga barangkali yang mengambil lewa kepada pembacaan awal politik pembangkang di kota belud. Bagi yang memang orang kuat Umno, yang dilahirkan membawa dan mendukung prinsip perjuangan UMNO..idea-idea mereka mestilah sudah diUMNOkan, justeru menafikan sekeras-kerasnya bahawa kota belud “bakal” mencipta politik sonsang pada dasawarsa politik mendatang khasnya pada PRU-13 nanti.


Tapi apakah kita lupa, bahawa kebangkitan pemikiran politik golongan muda di kota Belud cenderung kepada parti pembangkang..? Lupa kita agaknya bahawa antara daerah yang ‘keras’ fahaman PAS..di sabah ialah daerah Kota Belud..? Lalu..persoalannya apa kaitannya dengan perebutan DUN di Kota Belud antara calon-calon UMNO..? Agaknya juga kita terfikir kalau Tempasuk dan Kadamaian..tentu sukar kerana posisi pengundi adalah bercampur aduk dengan golongan Non-Muslim. Jadi jika yang begitu apa khabarnya di Usukan, yang pengundinya adalah muslim terdiri dari Bajau dan Iranun..? lantas kita menjawab ahhh…jauh “panggang dari api”..tak kan PAS menang di Usukan..bukankah kita lupa bahawa sokongan ke atas PAS pada PRU-12 yang lalu menyaksikan peningkatan..?

Apakah ada sesiapa yang berkeyakinan penuh bahawa PAS tidak akan memenangi kerusi Usukan biarpun telah menemui calon yang benar-benar berpengaruh..?Benar-benar berkemampuan dan menunjukkan kewibawaan…Menunjukkan ketertiban sebagai seorang pejuang yang ampuh dan cekal..? Memilki kredibiliti yang maha memukau..?Siapa calon tersebut..? Bukankah Kota belud seawalnya sudah biasa mendengar PAS sejak Allahyarham Abang kepada Sdr Musli Oli membawa obor perjuangan ini beberapa dekad yang lampau..? lupakah kita bahawa TSP sendiri pernah “mengaibkan politik DSSK dan keturunannya di Usukan, biarpun Usukan adalah kubu kuat DSSK dan keluarganya turun temurun..? Bukankah itu juga satu bukti bahawa politik KB sentiasa menjanjikan kelainan..? Lihat kelainannya bukankah sekarang TSP dan DSSK bersahabat kembali..? Lihat Polemik Usukan sekarang..bukankah menunggu untuk dikosongkan…? Nyata Usukan begitu berprestij bagi dunia politik di kota Belud.Bukankah kita juga telah sedar bahawa gerakan PAS di Kota Belud sekian lama sudah berakar..? bagaimana dengan tertubuhnya sekolah Pondok di Rosok yang memperjuangkan untuk melahirkan “Daei” yang berketrampilan..?

Maka apakah kita melupakan bahawa bila doa Tuan guru Nik Aziz sampai di Kota belud..di manakah kita..? setelah banyak berlaku “cantas-mencantas” sehingga kita lupa dan alpa bahawa ‘rakyat’ juga mula berdoa..Lihat doa mereka tatkala berlaku penindasan ke atas pembinaan Jalan raya Bypass..? bukankah itu juga doa Nik Aziz ketika merasa tertindas tidak diberikan royalty minyak..? bukankah doa orang yang tertindas itu mustajab, tidak ada hijab dihadapan Tuhan..?

Bagaimana jika rakyat di usukan, diterbalikkan hati dan fikiran mereka lantas memilih PAS sebagai wakil mereka..? apakah itu satu kemustahilan. Pasti jawabnya TIDAK!..maka kerana itu belum sedarkah kita lagi bahawa perjuangan mempertahankan DUN Usukan Dan Tempasuk harus bermula sejak dulu lagi..? Lihat masalah jelapang padi, rakyat mula merasai kesannya..bukankah nanti bila tangan di tadah Doa Nika Aziz akan sampai di kampung Kaguraan..?

Dalam politik tidak ada siapa yang berani meramal kesudahannya.Kerana politik adalah permainan, kerana politik percaturan, kerana politik adalah kekeluargaan yang harus dipertahankan. Maka satu seruan buat pemimpin kota belud..lupakanlah persengketaan, jika ada, lupakanlah “keghairahan jika berlaku, lupakanlah kerakusan jika terjadi. Lupakanlah keterlanjuran jika terniat, juga lupakanlah ketirisan jika ada yang terselit. Sebelum Doa Nik Aziz sampai di kota Belud.


Sumber : kelapamawar.blogspot.com

KERAJAAN PERPADUAN, UMNO BELASAH NIK AZIZ


Dari Kacamata: HALIK ZAMAN


PARA pemimpin UMNO dilihat dari hari ke sehari semakin ketandusan subjek untuk menyerang kepimpinan Pakatan Rakyat. Mangsa terkini ialah Tuan Guru Nik Aziz Menteri Besar Kelantan yang kita sendiri tidak begitu pasti apakah dosa dan khilafnya Tuan Guru Nik Aziz terhadap halatuju niat ke arah kepimpinan para pemimpin UMNO?


Ada sahaja patah perkataan dan perbuatan Tuan Guru yang menjadi subjek serangan politik para pemimpin UMNO pada ketika ini. Orang nak pegi haji salah, cakap salah. Serba tak kena di buatnya. Tuan Guru Nik Aziz dimata kepimpinan paran pemimpin UMNO bagaikan duri dalam daging. Sakit mata dan hati mereka dengan insan yang bernama NIK AZIZ !


Kerana sakit hati atas pencapaian Kerajaan Negeri pimpinan Pakatan Rakyat yang gilang gemilang lantas nak sedekah korban pun SPRM nak tangkap dan siasat. Orang niat nak sedekah naikan haji keMekah pun SPRM menyibuk nak siasat.


Komisen beli kapal selam dan Musa Aman menyalahgunakan kuasa memberi kelulusan ratusan ribu ekar konsesi balak kepada Michael Chia, membawa masuk wang haram dari Hongkong ke Malaysia itu SPRM diam-diam sahaja. Perkara remeh-temeh Tok Guru Nik Aziz di’highlight’ kan oleh para pemimpin UMNO dan SPRM, ini yang rakyat meluat dengan UMNO.


Jika dilihat, dari motif serangan ini sekiranya dikaji dan diperhalusi sebaiknya, kita akan sampai ke satu asas sahaja. Yakni semua ini berlaku kerana Tuan Guru Nik Aziz tidak bersetuju dengan kewujudan Kerajaan Perpaduan sebagai penyambung oksigen pernafasan para pemimpin UMNO untuk memanjangkan pemerintahan mereka di balik UMNO/BN.


Kerajaan Perpaduan ini kita semua sedar dan amat maklum amat dinanti-nantikan dan diharap-harapkan oleh keseluruhan kepimpinan para pemimpin UMNO dan tidak kurang juga segelintir kepimpinan PAS yang kita yakin mula tergoda dengan fulus dan jawatan yang bakal tersandang dibahu masing-masing andai impian Kerajaan Perpaduan menjadi kenyataan.


Jadi pada mata mereka kini, Pok Nik tak ubah bagaikan penghalang besar atas impian-impian mereka selama ini. Tidakkah anda sedar betapa kemaruknya kerajaan UMNO/BN kepada Kerajaan Perpaduan ini?


Para pemimpin UMNO perlukan kewujudan Kerajaan Perpaduan kerana mereka telah mengenalpasti bahawa sokongan dan kepercayaan rakyat terhadap mereka sudah pupus dan jika dibiarkan ianya bakal menjadi sejarah hitam dalam hidup para pemimpin UMNO yang penuh sandiwara dengan rakyat Malaysia yang dicogankatakan sebagai 1Malaysia yang haprak.


Oleh sebab itulah para pemimpin UMNO tersangat memerlukan Kerajaan Perpaduan dengan PAS untuk 'menjernihkan' kembali hubungan rakyat dan diri para pemimpin UMNO yang telah terjejas teruk dalam PRU13.


Para pemimpin UMNO terpaksa menumpang populariti PAS untuk kembali di yakini rakyat Malaysia. Tidakkah semua rakyat 1Malaysia sedar niat para pemimpin UMNO yang busuk dan yang telah patah kemudi kearah yang dituju itu selain bertaut idea Kerajaan Perpaduan dengan PAS?


Tanpa Kerajaan Perpaduan sokongan PAS UMNO akan ghaib, BN akan menjadi nostalgia. Justeru itu keghairahan mewujudkan Kerajaan Perpaduan begitu meluap-luap. Begitu pentingnya Kerajaan Perpaduan dimata Najib, Muhyiddin dan semua pemimpin UMNO.


Bila ada kepimpinan yang tidak bersetuju, maka pemimpin itulah mereka gasak, kehidupan pemimpin itu akan mereka cerobohi bagi mencari hatta sekelumit kesilapan untuk mereka perbesarkan dan jadikan isu yang bisa membangkitkan kemarahan rakyat. Sedar atau tidak, para pemimpin UMNO berharap kontroversi ini mampu mengalihkan setitik sokongan dari rakyat.


Perselisihan faham antara kepimpinan adalah satu perkara yang biasa dalam parti. Bilamana berlaku sedikit perselisihan dalam Pakatan Rakyat, maka para pemimpin UMNO mencari ruang dan peluang meriuh-rendahkan lagi situasi dan memperbesar-besarkan dalam setiap media. Walhal kepincangan dan kemusnahan yang berlaku dalam UMNO/BN tidak mereka endahkan.


Sudah-sudahlah buat kerja tak berfaedah ni. Ini bukan cara terbaik untuk menawan kembali hati rakyat yang sudah dilukai oleh para pemimpin UMNO. Orang yang kamu kerjakan adalah seorang Ulama' agama. Buat sayang air liur sahaja kamu semua mengutuk beliau, sedangkan pengundi dan rakyat Kelantan lebih kenal siapa itu YAB Tuan Guru Nik Aziz.


*dipetik dari sabahkini.net

Selasa, 1 Disember 2009

Perutusan hari Raya Aidil Adha


Pada hari yang sangat besar ertinya kepada umat Islam ini, ketika mana Allah menjadikan manusia dari pelbagai bangsa dan keturunan berhimpun di tempat letaknya kiblat umat Islam, kita dipersatukan dengan Islam yang menjadi panduan hidup manusia sehinggalah ke hari kiamat. Iman yang dimiliki oleh umat manusia inilah yang juga mempersaudarakan kalangan manusia dari pelbagai rupa bangsa samada dekat atau jauh, semuanya adalah bersaudara di antara satu sama lain.

Kita membaca bagaimana umat Islam di zaman dahulu berpegang teguh dengan Al-Quran dan Hadis Nabi saw, termasuklah dalam perkara hubung-kait antara satu sama lain walaupun mereka berselisih pendapat dan berbeza pemimpin, mazhab dan guru tetapi mereka berkasih sayang dan bermaafan. Kalau mereka berselisih pendapat atau berkelahi dengan mudah sahaja mereka berdamai kerana mereka menyelesaikan masalah dengan kembali kepada kepada Al-Quran dan Hadith Nabi saw.



Kepada seluruh ahli Parti Islam SeMalaysia (PAS), marilah kita terus menerus memperkukuhkan parti kita dengan sama-sama kita mengikhlaskan niat perjuangan kita kerana Allah, dan seterusnya kita beramal dengan kaedah perjuangan yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah saw.

Marilah kita berpegang teguh kepada firman Allah dalam Surah An-Nisa’ ayat 59.

Hai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul (Nya), dan ulil amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al Qur’an) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya

Juga sabda nabi s.a.w yang diucapkan ketika menunaikan haji selamat tinggal :

Janganlah kamu menyeleweng, menjadi kafir selepas aku wafat sehingga ada di kalangan kamu memancung leher dengan pedang-pedang di antara satu sama lain” (Riwayat Imam Ahmad, Bukhari & Muslim)

Ikhlas,


Tuan Guru Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang
Presiden PAS

 
back to top