Isnin, 30 Disember 2013

Himpunan TURUN: Pemuda PAS Sabah Sedia TURUN

Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah ingin menarik perhatian seluruh rakyat Malaysia berhubung satu himpunan aman Gerakan Turun Kos Sara Hidup Rakyat atau singkatannya TURUN yang akan diadakan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada 31 Disember ini.

Apa yang menarik, kebimbangan beberapa kelompok tertentu yang mengaitkan himpunan tersebut sebagai cubaan untuk 'menggulingkan kerajaan' adalah bersifat daif dan dangkal yang boleh diibaratkan seperti 'bodoh sombong'. Apa yang jelas, taraf hidup rakyat semakin hari semakin meningkat. Ditambah dengan pelbagai kenaikan harga barang dan keperluan termasuk barangan keperluan harian, elektrik, dan sebagainya.

Inilah salah satu bentuk kezaliman yang dilakukan pemimpin ke atas rakyat. Dalam pada negara mengalami ketirisan perbelanjaan yang besar, mereka bermewah dengan penganjuran dan aktiviti yang membazir. Akibatnya, rakyat sama ada yang berpendapatan tinggi mahupun rendah diperah semahu-mahunya untuk mengembalikan keseimbangan ekonomi negara. Rakyat dinafikan peluang untuk menikmati kehidupan yang selesa dan makmur, rakyat disogok dengan alasan pelbagai cara termasuklah kononnya hendak men'transformasi'kan kualiti perkhidmatan.

Adalah disini, sebagai cabang dalam Parti Islam Se-Malaysia yang mendokong aspirasi Negara Berkebajikan dan Keadilan Untuk Semua, maka Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah melaungkan nada yang sama dengan perjuangan rakyat dan anak muda dalam himpunan TURUN.

Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah turut dimaklumkan bahawa Himpunan TURUN juga bakal diadakan di Sabah dan mengarahkan seluruh ahli pemuda sama ada di peringkat kawasan dan cawangan di seluruh Sabah untuk turun beramai-ramai di Tanjung Lipat, Kota Kinabalu dan memakai pakaian hitam.

Perlu ditegaskan, himpunan ini bukan dirancang untuk menggulingkan kerajaan dan kita juga tidak ada masa untuk tujuan tersebut. Himpunan ini bagi menunjukkan solidariti PAS terhadap rakyat Sabah yang sememangnya sudah lama sengsara akibat dasar dan perintah yang menzalimi.

Kebebasan berhimpun adalah hak yang diperuntukkan dalam Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan, sebagai rakyat yang menjunjung tinggi keluhuran perlembagaan kami percaya ruang ini harus digunakan sepenuhnya bagi mempertegaskan suara penentangan terhadap kenaikan harga barang yang menindas penghidupan rakyat negara tercinta ini.


Oleh:
LAHIRUL LATIGU
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah

Sila Tinggalkan Pesan, K!

Catat Komen

 
back to top