Jumaat, 27 Disember 2013

Lantikan Exco DPPM: Terima Kasih Beri Kepercayaan

Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah mengucapkan tahniah kepada saf kepimpinan Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) yang diketuai oleh Sdr. Suhaizan Kaiat atas pembentukkan kabinet DPPM. Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah berharap dan juga percaya, kabinet yang dibentuk mampu membawa aspirasi dan sekaligus membentuk satu momentum yang tersendiri dalam meneruskan agenda perjuangan khususnya dalam usaha memasyarakatkan PAS dan memasarkan Islam di medan rakyat.

Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah juga mengucapkan jutaan penghargaan terima kasih atas kepercayaan yang diberikan kepada Sdr. Lahirul Latigu, Ketua Pemuda PAS Negeri Sabah menganggotai barisan Ahli Jawatankuasa Kerja, Dewan Pemuda PAS Malaysia bagi sesi 2013-2015 ini dan sekaligus meneruskan legasi memimpin perubahan diperingkat Lajnah Hal Ehwal Sabah dan Sarawak.

Kami percaya bahawa, dengan kesungguhan dan komitmen di peringkat Pemuda PAS Malaysia yang begitu serius untuk melantik anak kelahiran Sabah bagi sama-sama berusaha dan menjadi penggerak utama sayap Pemuda PAS di peringkat Nasional dilihat satu prestasi yang tertinggi yang belum pernah dicapai dalam tahun-tahun dan sesi-sesi sebelum ini.

Masakan tidak, usia Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah yang kini sudah mencecah angka 27 tahun merupakan proses kematangan dalam usaha membina, merekrut serta mengetengahkan anak-anak Sabah sebagai 'ikon' kepada PAS bukan sahaja di Sabah malah diperingkat Nasional juga.

Sungguh, dua negeri ini perlu terus diberikan perhatian serius memandangkan ia bukan sahaja agak ketinggalan dalam aspek pembangunan, malah ianya perlu menerus menafikan istilah 'fixed deposit' buat kemenangan Barisan Nasional.

Sudah acap kali kita mendengar beberapa isu besar yang dikaitkan dengan Sabah dan Sarawak, namun ianya belum berjaya menjadi topik utama dalan merakyat perjuangan. Mungkin, inilah ruang dan peluang yang diberikan bagi mengetengahkan isu-isu dan perkembangan sosio-politik dan ekonomi bagi negeri Sabah dan Sarawak. Ianya tidak berakhir di meja perbincangan semata, malah ianya bakal mewajahkan semula landskap politik Malaysia pada satu hari nanti.

Dengan kepelbagaian kepakaran dan karisma tokoh-tokoh kepimpinan yang ada, maka Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah mendoakan agar segala gerak kerja yang dirancang berada dilandasan dan senantiasa mendapat pertolongan dan keberkatan Allah.

"SABAH TANAH AIRKU"

MOHD MUKMIN MOHD AMIN
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah

Sila Tinggalkan Pesan, K!

Catat Ulasan

 
back to top