Selasa, 27 Mac 2012

Pendidikan: PAS Sabah berkongsi pandangan

KOTA KINABALU, 27 Mac: Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah (DPPNS) menyambut baik pelbagai saranan pihak kementerian dan Jabatan Pelajaran di negeri ini yang mengambil langkah penyelesaian terhadap permasalahan kemampuan pelajar luar bandar dalam mata pelajaran Inggeris dan Matematik.

Ketuanya, Lahirul Latigu berkata, gesaan yang dibuat bagi menangani permasalahan itu boleh dirungkai secara satu persatu dan tidak menjadi rumit sehingga membebankan keupayaan kecemerlangan pelajar dan keterlibatan guru-guru.


 
“Kita (PAS) melihat dari sudut yang berbeza perspektif. Tetapi, matlamat tetap sama yakni membina dan membangunkan potensi pelajar terutama pelajar luar bandar dalam menguasai dua subjek yang dikatakan sukar iaitu Inggeris dan Matematik,” katanya.

Menurutnya, gesaan oleh Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Bolkiah Ismail pada Ahad lalu perlu dipandang secara serius. Hal ini katanya, ketidakseriusan pelbagai peringkat agensi yang terlibat sama ada secara langsung mahupun tidak langsung bakal menjejaskan sistem pendidikan yang telah dirangka.

“Apa yang disampaikan oleh beliau itu, kena dianggap serius. Ini hal pendidikan anak-anak. Jelas matlamat, kita tidak boleh mengejar pangkat dan kedudukan. Tapi, kualiti pendidikan yang berkesan itu adalah lebih penting dan berguna dari segala hal,” ujar beliau.

Berkongsi cadangan dan panduan

Menurutnya lagi, Pemuda PAS ingin mengemukakan beberapa panduan bagi berkongsi cadangan penambahbaikan terhadap permasalahan berkenaan. Antaranya ialah, gesaan terhadap pihak kementerian agar mempercepatkan proses penyerapan guru-guru terlatih ke sekolah-sekolah kawasan luar bandar yang bermasalah dari sudut kekurangan guru.

“Guru-guru perlu segera diserapkan ke sekolah-sekolah yang ada masalah kekurangan guru. Bebanan kerja guru yang bertambah, ditambah dengan ketidakcukupan guru memaksa guru berkenaan memangku pelbagai tugas. Dan, lahirlah rungutan serta perasaan letih dalam mengajar.

“Guru yang perlu fokus kepada sesuatu bidang, terpaksa melakukan kerja lain. Ada ketikanya, kerja itu di luar bidang akademiknya. Kalau itu yang berlaku, sungguh ianya terlalu membebankan,” jelas Lahirul lagi.

Selain itu, Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) juga perlu diberikan kelonggaran untuk terus dilantik semula dengan diberikan pelbagai latihan serta kursus pengukuhan perguruan bagi membantu bilangan guru yang tidak mencukupi.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong turut mengesahkan terdapat 7,920 telah dilantik semula sebagai GSTT di seluruh negara termasuk Sabah. Daripada jumlah itu, kira-kira 1,258 sedang mengikuti Kursus Dalam Cuti melalui mode KPLI-KDC atau KDPM-KDC. Manakala di Sabah, sebanyak 516 orang GSTT telah dilantik semula manakala selebihnya ditawarkan terus untuk mengikuti latihan di Institut Pendidikan Guru (IPG) mulai awal tahun ini.

“Ada sebab kenapa GSTT ini perlu diteruskan. Mereka ini boleh diserapkan terus sebagai guru terlatih apabila cukup proses kematangan mereka dalam bidang perguruan.

“GSTT ini perlu diteruskan bagi menampung kekurangan guru terlatih terutama di kawasan luar bandar ini. Tapi, ini tidak bermakna membelakangkan graduan-graduan perguruan yang telah tamat tempoh pengajian,” ujarnya.

Bagi memastikan tahap pengajaran dan pembelajaran (P & P) menjadi lebih baik, kemudahan infrastruktur dan kelengkapan alat bantuan mengajar serta kemudahan prasarana yang lebih baik perlu dibangunkan.

Hal ini bagi mewujudkan suasana sebenar alam persekolahan di kalangan guru-guru dan pelajar-pelajar sekolah.

“Berapa banyak sekolah di kawasan luar bandar ini yang imej dan wajahnya tidak mencerminkan peredaran semasa.

“Tidak hairan jika Laporan Audit 2010 turut mendedahkan projek makmal komputer sekolah harian di Sabah yang bernilai RM 160.74 juta yang bertujuan membina bangunan, membekalkan dan pemasangan perabot dan peralatan ICT didapati telah gagal mencapai objektifnya,

“Ini isu yang bakal mengundang kebejatan dalam sistem pendidikan. Mengapa dan bagaimana ketirisan ini boleh berlaku? Di saat kita mahu melahirkan kualiti pelajar, di situ jugalah ketirisan dan kecelaruan akhlak berlaku,” jelas beliau.

Sekolah daif, undang masalah kepada guru dan pelajar

Katanya, keadaan sekolah yang uzur dan dhaif turut menjadi sasaran keengganan guru berkhidmat dengan lebih cemerlang.

“Tahun lalu, ada 500 sekolah atau 39 peratus daripada 1,283 sekolah rendah dan menegah di negeri ini yang mengalami kerosakan termasuk bangunan yang tidak selamat diduduki.

“Macam mana guru dan pelajar ingin duduk dalam sekolah yang daif itu? Infrastruktur usang dan uzur merencatkan pemikiran mereka. Perhatian ini perlu diberikan secara serius. Suasana harmoni dan selesa perlu diterapkan. Suasana pembelajaran yang kondusif dan baik turut memainkan peranan membantu kecemerlangan pelajar dan guru-guru,” luah Lahirul.

Insentif kepada guru di kawasan luar bandar

Lahirul turut mencadangkan agar pihak kementerian memberikan insentif dan bantuan kepada guru-guru yang berkhidmat di kawasan luar bandar.

Katanya, kesanggupan seorang guru yang meredah sungai dan hutan belantara semata mahu berkhidmat kepada masyarakat perlu diberikan pengiktirafan yang sewajarnya.

“Mereka ini sanggup untuk meredah hutan, menyeberangi sungai semata mahu menabur bakti buat anak-anak di kawasan luar bandar.

“Kita di bandar, ada segala kemudahan... mereka di sana, biarpun jawatan yang sama tapi kemudahan tidak sama. Persekitaran tidak sama. Justeru, insentif atau sebarang usaha boleh diambil bagi memberikan galakkan serta dorongan buat mereka ini. Tanda kita bersama mereka.

“Mereka ini perlu diberi galakkan agar lebih ramai berminat untuk berkhidmat dengan cemerlang di kawasan luar bandar,” jelasnya.

Ahad, 25 Mac 2012

Perkataan ‘Allah’: PAS sifatkan PBS berniat jahat

SANDAKAN, 25 Mac: PAS Sabah hari ini mendesak Naib Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Herbert Timbon Lagadan menarik balik kenyataan yang disifatkan berniat jahat serta bersangka buruk mengenai jaminan PAS kepada masyarakat Kristian dalam penggunaan perkataan ‘Allah’. 

Timbalan Pesuruhjayanya, Hamzah Abdullah menegaskan bahawa, sangkaan Herbert tersebut sengaja menutup fakta tentang kesungguhan PAS yang mengutuk tindakan merosakkan rumah ibadat penganut Kristian seperti yang berlaku di Mesir dan Selangor beberapa tahun lalu.



“Satu keputusan Mesyuarat Badan Perhubungan di Sandakan telah memutuskan untuk mendesak Naib Presiden PBS itu menarik balik balik tuduhan yang berniat jahat berkaitan kenyataan Ahli Parlimen PAS Bukit Gantang, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin yang secara jujur menegaskan pendirian PAS berhubung penggunaan perkataan ‘Allah’ oleh penganut Kristian,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Hamzah, PAS Sabah melalui Dewan Ulamaknya bersedia untuk mengadakan dialog berkaitan pendirian PAS dengan Herbert atau sesiapa sahaja bagi maksud menjelaskan pendirian PAS mengenai isu penggunaan perkataan ‘Allah’ itu.

“PAS Negeri Sabah melalui Dewan Ulamak PAS Negeri Sabah menghulurkan tangan sebagai tanda kesediaan untuk mengadakan dialog berkaitan pendirian PAS dengan Datuk Herbert atau sesiapa sahaja bagi maksud menjelaskan pendirian PAS.

“PAS Sabah mempunyai ramai intelektual muslim yang bersedia memberikan hujah berdasarkan ayat Al-Quran dan sejarah zaman lampau tentang perkataan Allah yang telah digunakan oleh penganut agama Samawi,” jelas beliau yang juga Pengerusi Lajnah Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia PAS Sabah.

Rabu, 21 Mac 2012

Tanah: Musa Aman 'jaguh belakang pintu'

KOTA KINABALU, 21 Mac: Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah (DPPNS) hari ini menyifatkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman sebagai 'jaguh belakang pintu' yang hanya pandai melalak di sebalik tirai dengan tidak berani bersua muka di hadapan orang kampung bagi menyelesaikan masalah tanah di negeri ini.

Ketuanya, Lahirul Latigu berkata, sifat hipokrit Ketua Menteri itu melukakan hati ramai pihak termasuk penduduk kampung yang teraniaya disebabkan isu tanah adat mereka yang dirampas tanpa pengetahuan mereka.

 
“Macam mana beliau boleh jadi Ketua Menteri kalau orang kampung pun beliau tidak boleh jumpa? Mereka bukan bawa senjata mau pergi buat rusuhan, mereka hanya bawa sekeping dua kertas yang didalamnya terdapat luahan hati rakyat.

“Bersembunyi disebalik pintu kaca tanpa menghiraukan hak rakyat, ini jelas menunjukkan Ketua Menteri ini tidak berani berhadapan situasi rakyat. Tidak berani tampil memperjuangkan hak rakyat, hanya melalak-lalak di dalam akhbar dan di media sahaja,” ujar beliau.

Boleh kekal, tapi sebagai pembangkang

Menurutnya, selaku Ketua Menteri yang dipilih, beliau bertanggungjawab memikul amanah rakyat, mendengar dan memahami isi hati rakyat dan menyelesaikan permasalahan berbangkit yang berkaitan rakyat.

Adalah malang baginya, Sabah mempunyai seorang Ketua Menteri yang hilang identiti kepimpinan tetapi cuba merayu dan menagih simpati untuk mengekalkan seorang Ketua Menteri yang ternyata lemah dan longlai berhadapan rakyat.

“Mereka merayu untuk terus kekal di Sabah. Kita boleh bagi mereka kekal. Tapi bukan sebagai Ketua Menteri, tapi jadi pembangkang Dun Sabah.

“Mana boleh kita kekalkan mereka yang lemah menguasai kerajaan ini. Ini kali kalau mereka itu kita kekalkan, maka semua hasil bumi dan tanah rakyat dirampas. Di mana kita mahu duduk?

“Kita berhimpun, tidak sampai 30 minit, tapi tanah yang rakyat usahakan hampir 30 tahun dirampas begitu sahaja. Tidakkah ini satu hipokrit yang besar yang dibawa oleh kerajaan Umno BN pada hari ini,” tegas Lahirul.

Justeru katanya, rakyat Sabah perlu sedar akan kepentingan memperjuangkan hak dan keadilan.

Tidak dinafikan, kekuatan rakyat Sabah bersatu dengan menumbangkan kerajaan sebelum ini telah cukup membuktikan bahawa kuasa rakyat adalah kuasa keramat yang tidak boleh dipertikai sama sekali.

“Sabah ada peranan tersendiri. Kali ini kita tukar baju sekali lagi. Baju yang kita pakai pada hari ini sudah koyak dan kotor. Kita tukar baju baru yang nampak lebih cantik, menarik dan tertawan semua pihak.

“Itulah baju yang kita namakan Pakatan Rakyat,” jelas Lahirul

Ahad, 18 Mac 2012

Tabah cadang Bangkit 2.0 di Padang Merdeka

KUALA LUMPUR, 18 Mac: Bela Tanah Rakyat Sabah (Tabah) bercadang mengadakan perhimpunan aman Bangkit 2.0 di Padang Merdeka, Kota Kinabalu.

Setiausahanya, Lahirul Latigu berkata, perhimpunan itu sebagai menyahut saranan ACP Ahmad Sofi Zakaria, Ketua Polis Kota Kinabalu semasa 123 Bangkit pada 12 Mac lalu mengenai lokasi perhimpunan yang dibenarkan.

Katanya, Menurut Sofi, lokasi yang dibenarkan bagi perhimpunan aman di sekitar Kota Kinabalu ialah sama ada di Stadium Likas atau di Padang Merdeka, dekat Kota Kinabalu.

 
Sehubungan dengan itu, ujarnya Tabah akan mengadakan Bangkit 2.0 seperti di atas di lokasi Padang Merdeka.

“Tabah juga memohon agar pihak berkuasa dan keselamatan mempertimbangkan hasrat ini,” ujarnya yang juga Ketua Pemuda PAS Sabah dalam satu kenyataan.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada para petugas keselamatan yang mengawal pergerakan dan kelancaran semasa Himpunan 123 Bangkit pada 12 Mac lalu.

Tabah juga, ujarnya telah menyediakan sebuah sijil penghargaan kepada pasukan keselamatan dan akan diserahkan kepada ACP Ahmad Sofi Zakaria, selaku Ketua Polis Kota Kinabalu atas kerjasama tersebut.

Tabah juga, jelasnya menyangkal dakwaan beberapa pihak tertentu seperti mana laporan yang tidak berasas mengenai perhimpunan tersebut dalam sebuah akhbar tempatan Sabah pada 13 Mac lalu.

Menurutnya, dakwaan yang dibuat oleh wakil Persatuan Pekebun-Pekebun Kecil Kampung Landau Cenderamata (Masyarakat Melayu), Kampung Merotai Besar Tawau, Suratmin Yusof bersama dua lagi rakannya yang memberi laporan tidak berasas mengenai Tabah.

Ini, jelasnya merupakan satu usaha untuk memburuk-burukkan keadaan dan juga Tabah.

Jelasnya lagi, oleh kerana layanan yang kurang memuaskan yang diterima oleh Tabah semasa penghantaran memorandum, maka Tabah akan melancarkan seterusnya menggerakkan satu lagi himpunan sama pada satu masa yang akan ditetapkan kemudian.

“Apa yang bezanya, Tabah tidak lagi menghantar memorandum serupa kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman tetapi akan mengadakan perhimpunan besar-besaran dengan jangkaan akan turut dihadiri oleh pimpinan utama Pakatan Rakyat diketuai Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang,” katanya.

Beliau menambah, berita penahanan dan sekatan terhadap Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) yang juga AJK PAS Pusat, Mazlan Aliman oleh Kerajaan Negeri Sabah turut menarik perhatian Tabah dengan memohon kerjasama kepada pihak kerajaan negeri membenarkan ketiga-tiga pimpinan parti seperti yang disebutkan di atas serta beberapa pimpinan lain yang mungkin menyebabkan ketiga-tiga pimpinan itu mengalami kemaslahatan untuk hadir pada hari berkenaan untuk masuk ke Negeri Sabah bagi melancarkan perhimpunan pada hari berkenaan.

“Ini bagi membuktikan semangat 1Malaysia dan menghormati prinsip kebebasan dan semangat demokrasi negara Malaysia,” tegasnya.

Khamis, 15 Mac 2012

123BANGKIT: Kerajaan UMNO/BN Sabah terdesak

.
Berikutan dengan himpunan '123BANGKIT' yang dianjurkan oleh sebuah NGO yang dikenali sebagai TABAH (Bela Tanak Rakyat Sabah) baru-baru ini, akhbar-akhbar di Sabah difahamkan telah mendapat arahan dari pejabat Ketua Menteri agar tidak menyiarkan sebarang berita tentang himpunan tersebut. Namun begitu terdapat juga beberapa buah akhbar bertindak untuk tidak menurut arahan. Berikut adalah kenyataan saudara Lahirul Latigu yang diambil dari [Official Page] Himpunan Rakyat Sabah Mempertahankan Tanah Adat (123 Bangkit):
[TabahNews] Dapat maklumat dari wartawan yang Pejabat Ketua Menteri ada menelefon semua suratkhabar petang Isnin (12 Mac 2012) memberi amaran tidak memasukkan liputan berkenaan 123 Bangkit. Nampaknya mereka sudah melampau! Jangan ingat kemarahan rakyat akan dapat disembunyikan. Tunggu 123 BANGKIT 2.0!

Lahirul Latigu,
Setiausaha TABAH (Bela Tanah Rakyat Sabah)
Selain dari itu, terdapat juga pihak yang telah mengupah beberapa orang untuk mengaku bahawa penganjur himpunan tersebut telah menipu penduduk yang hadir. Selain dari mereka ditipu, mereka juga dipergunakan oleh parti-parti politik untuk tujuan lain. Berikut ialah keratan akhbar yang disiarkan oleh beberapa akhbar tempatan Sabah.


Sehubungan dengan itu Dewan Pemuda PAS Sabah melihat semua ini adalah petanda awal bahawa kerajaan UMNO/BN yang ada sekarang pasti akan tumbang pada pilihanraya umum ke-13 nanti. Menurut Pengarah Jabatan Pilihanraya Pemuda PAS Sabah, saudara Amir Saifuddin Samsuddin, "Pihak pengajur telah berkali-kali menyatakan bahawa perhimpunan ini adalah aman. Malah pihak penganjur telah menjemput semua parti-parti politik, NGO dan rakyat yang prihatin untuk hadir sama pada perhimpunan tersebut sebagai tanda solidariti terhadap kezaliman yang berlaku pada penduduk kampung yang terlibat. Namun yang hadir hanya lah parti-parti politik selain dari BN, walaupun UPKO juga menyatakan pendirian menyokong himpunan aman tersebut. Ini jelas menunjukkan bahawa BN Sabah hanya mempermainkan rakyat demi untuk survival kuasa politik mereka semata-mata".

NGO TABAH merupakan sebuah NGO bebas yang membela tanah rakyat Sabah. Setelah sekian lamanya rakyat Sabah telah ditindas dan dizalimi oleh kerajaan yang ada sekarang. Maka sudah tiba masanya untuk rakyat bangkit menyatakan bantahan terhadap hak mereka yang telah dicabuli.

Jumaat, 9 Mac 2012

Mahasiswa Sabah sokong pertahan tanah adat

KUALA LUMPUR, 9 Mac: Markaz Siswa Siswi Islam Sabah (Marsis) menyokong sepenuhnya tuntutan Tabah bagi mempertahankan tanah adat  pada 12 Mac ini sebagai usaha untuk membebaskan rakyat daripada terus dieksploitasi dan diseleweng hak pemilikan tanah adat.

“Bagi menyatakan kebersamaan ini, Marsis sudah menjana golongan mahasiswa Sabah di seluruh Semenanjung untuk menyatakan sokongan terhadap isu ini,” ujar presidennya, Mohamad Matassian Ogus.



 
Menurutnya, selain Lembah Klang, ahli yang berada di Pahang, Kelantan, Melaka dan Johor akan turut serta dalam menyebarkan gelombang  kesedaran bahawa hak rakyat Sabah ditindas di negeri sendiri.

Sehubungan dengan itu, tegasnya, pihaknya selaku mahasiswa  Sabah yang berada di Semenanjung inginkan tuntutan tanah adat itu menjadi realiti dan dilaksanakan segera.

Tambahnya, rakyat Sabah kini sudah celik minda dan bukannya lagi boneka untuk diperlekehkan hak pemilikan tanah adat oleh mana-mana pihak.

Justeru, tegasnya Marsis menyeru agar pihak yang berkenan tidak lagi menggunakan kepercayaan rakyat dengan membiarkan hak pemilikan tanah dinafikan secara terang-terangan.

“Kami bertegas bahawa kezaliman mesti dihentikan daripada terus berlaku.

“Sabah itu negeri kita, maka wajarlah bagi semua mahasiswa yang berada di Semenanjung, Sarawak dan luar negara untuk turut sama menolak ketidakadilan yang berlaku daripada terus menyusahkan rakyat,” tegasnya.

Justeru, tambahnya kembalikan tanah adat atau tanah NCR yang menjadi hak mereka.

Rabu, 7 Mac 2012

123 Bangkit: Polis beri ‘lampu hijau’

KOTA KINABALU, 7 Mac: Bela Tabah Rakyat Sabah (Tabah) hari ini memberitahu Himpunan 123 Bangkit pada Isnin depan telah mendapat ‘lampu hijau’ oleh pihak polis.

Pengerusinya, Hisammuddin Sulaiman berkata, kebenaran itu daripada Ketua Polis Kota Kinabalu, ACP Ahmad Sofi Zakaria dalam satu perjumpaan di sini, kelmarin.

“Kami telah mendapat maklum balas dan pandangan positif mengenai perhimpunan ini dan lampu hijau yang diberikan itu adalah sesuatu yang baik untuk rakyat Sabah menyuarakan pandangan,” katanya dalam satu sidang media.


Menurut beliau, beberapa pertubuhan politik tempatan turut menyatakan pedndirian positif dengan memberi sokongan terhadap himpunan tersebut.

“Himpunan ini turut mendapat respons positif terutama dari parti-parti politik PAS, DAP, PKR, SAPP serta beberapa NGO dan badan sukarela yang lain. Ini satu perkembangan yang baik,” ujarnya.

Ketika ditanya mengenai bilangan kehadiran semasa himpunan tersebut, beliau memberi keyakinan bahawa sasaran 5,000 orang akan tercapai.

“Kita memberi keyakinan, sasaran menghimpunkan 5,000 orang akan tercapai.

Perhimpunan 123 Bangkit yang akan diadakan di kawasan lapang berhampiran Anjung Selera, dekat Wisma Innoprise, Isnin depan juga bakal diadakan di luar negara termasuk United Kingdom  dan Timur Tengah.

“Himpunan ini akan diadakan serentak di seluruh negara termasuk di luar negara. Ramai anak-anak Sabah yang berada di luar sana, mereka mahu ikut serta sebagai tanda sokongan terhadap rakyat Sabah,” jelas beliau.

Selasa, 6 Mac 2012

PAS Sabah sokong Himpunan Bangkit 123

KUALA LUMPUR, 6 Mac: Badan Perhubungan PAS Negeri Sabah (BPPNS) menyokong usaha Bela Tanah Rakyat Sabah (Tabah) dan NGO-NGO lain untuk mengadakan Himpunan Rakyat Sabah Mempertahankan Tanah Adat atau ‘123 Bangkit’ dalam usaha membebaskan rakyat daripada terus dibelenggu penindasan dan penyelewengan hak terhadap pemilikan tanah.
 
“Justeru, PAS Sabah berani untuk menyahut kebangkitan ini dengan mengerakkan hampir 1,000  ahli di pelbagai peringkat, negeri, kawasan dan cawangan seluruh Sabah untuk bersama-sama dalam himpunan 123 Bangkit bagi menyatakan sokongan demi menuntut keadilan dan kesaksamaan,” kata Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Hamzah Abdullah.


Katanya, ia sekaligus memberi sokongan bagi menjamin keyakinan terhadap sistem demokrasi Malaysia berparlimen.

PAS Sabah, jelasnya sudah merasakan keperluan mendesak yang agak konkrit bagi membina sebuah ketamadunan kerajaan dalam menggembleng tenaga mencapai kata sepakat untuk mengatakan ‘tidak’ kepada kezaliman.

“Kita mesti berusaha membela tanah yang telah kita usahakan sejak sekian lama ini. Tanah NCR/Tanah Adat mesti dikembalikan kepada rakyat sepenuhnya,” tegasnya yang juga Pengerusi Lajnah Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia PAS negeri kepada Harakahdaily.

Oleh yang demikian, tegasnya lagi hak rakyat mesti dikembalikan sepenuhnya kepada rakyat.

Tambahnya, amanah rakyat mestilah dikendalikan secara baik dan berhemah.

Beliau berkata, adalah malang bagi sesebuah negeri yang kaya ini langsung mempunyai barisan kepimpinan yang rosak akhlaknya, lemah daya pengurusan dan lompang sana-sini dari aspek penstruktural kuasa dan bidang.

Justeru, katanya apakah tidak ada inisiatif kerajaan dalam menyelesaikan masalah tanah ini.

Menurutnya, laporan Suhakam tentu tidak mengejutkan kebanyakan wakil pemimpin politik.

“Tapi, apakah dengan angka 977 yang juga angka tertinggi di Malaysia mengenai kes tanah tidak mendapat perhatian serius.

“Apakah ini satu kebanggaan atau satu permasalahan?” soalnya.

Mengenai Bangkit 123, jelasnya perhimpunan itu mempunyai tujuan yang amat murni dan perlu disokong oleh semua pihak serta dijamin aman sesuai dengan matlamatnya yang murni.

“Ahli-ahli dan penyokong-penyokong PAS serta setiap pihak yang menyertainya dilarang melakukan sebarang kekacauan, mengganggu ketenteraman awam dan kerosakan harta benda awam,” ujarnya.

Isnin, 5 Mac 2012

Pemuda PAS Sabah sertai Himpunan 123Bangkit

KUALA LUMPUR, 5 Mac: Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah (DPPNS) menyokong penuh usaha badan NGO, Bela Tanah Rakyat Sabah (Tabah) dan NGO-NGO lain untuk mengadakan Himpunan Rakyat Sabah Mempertahankan Tanah Adat (123Bangkit).
 
“DPPNS tampil menyahut kebangkitan ini dengan akan menggerakkan hampir 1,000 ahli dan pimpinan pelbagai peringkat sama ada peringkat negeri, kawasan atau cawangan seluruh Sabah untuk bersama-sama dalam himpunan 123Bangkit bagi menyatakan sokongan dan memperjuangkan keadilan rakyat,” ujar Ketua Penerangannya, Mohd Zulfikar Abd Mijan dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

 
Tambahnya, DPPNS turut mengalu-alukan penyertaan pelbagai pihak NGO, pertubuhan politik dan orang perseorangan dalam menyahut semangat itu.

Menurutnya, himpunan aman itu hendaklah dijadikan sebagai salah satu medan menyuarakan pandangan dan perhatian rakyat secara keseluruhannya setelah pelbagai cara dan alternatif dilakukan bagi menyelamatkan tanah rakyat daripada terus dicerobohi dan dirampas.

“Apa yang pasti ialah, memorandum demi memorandum telah dihantar namun apa yang mengecewakan ialah perhatian daripada YAB Datuk Seri Musa Aman tidak menyeluruh dan disifatkan sebagai ‘sambil lewa’,” katanya.

Justeru, ujarnya DPPNS mengharapkan kerjasama pasukan keselamatan dan peserta himpunan untuk memberikan komitmen terbaik sepanjang tempoh sebelum, semasa dan selepas himpunan itu berjalan.

Beliau berkata, ianya sebagai cerminan kepada sebuah negara dan negeri yang berdemokrasi.
 
back to top