Selasa, 6 Mac 2012

PAS Sabah sokong Himpunan Bangkit 123

KUALA LUMPUR, 6 Mac: Badan Perhubungan PAS Negeri Sabah (BPPNS) menyokong usaha Bela Tanah Rakyat Sabah (Tabah) dan NGO-NGO lain untuk mengadakan Himpunan Rakyat Sabah Mempertahankan Tanah Adat atau ‘123 Bangkit’ dalam usaha membebaskan rakyat daripada terus dibelenggu penindasan dan penyelewengan hak terhadap pemilikan tanah.
 
“Justeru, PAS Sabah berani untuk menyahut kebangkitan ini dengan mengerakkan hampir 1,000  ahli di pelbagai peringkat, negeri, kawasan dan cawangan seluruh Sabah untuk bersama-sama dalam himpunan 123 Bangkit bagi menyatakan sokongan demi menuntut keadilan dan kesaksamaan,” kata Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Hamzah Abdullah.


Katanya, ia sekaligus memberi sokongan bagi menjamin keyakinan terhadap sistem demokrasi Malaysia berparlimen.

PAS Sabah, jelasnya sudah merasakan keperluan mendesak yang agak konkrit bagi membina sebuah ketamadunan kerajaan dalam menggembleng tenaga mencapai kata sepakat untuk mengatakan ‘tidak’ kepada kezaliman.

“Kita mesti berusaha membela tanah yang telah kita usahakan sejak sekian lama ini. Tanah NCR/Tanah Adat mesti dikembalikan kepada rakyat sepenuhnya,” tegasnya yang juga Pengerusi Lajnah Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia PAS negeri kepada Harakahdaily.

Oleh yang demikian, tegasnya lagi hak rakyat mesti dikembalikan sepenuhnya kepada rakyat.

Tambahnya, amanah rakyat mestilah dikendalikan secara baik dan berhemah.

Beliau berkata, adalah malang bagi sesebuah negeri yang kaya ini langsung mempunyai barisan kepimpinan yang rosak akhlaknya, lemah daya pengurusan dan lompang sana-sini dari aspek penstruktural kuasa dan bidang.

Justeru, katanya apakah tidak ada inisiatif kerajaan dalam menyelesaikan masalah tanah ini.

Menurutnya, laporan Suhakam tentu tidak mengejutkan kebanyakan wakil pemimpin politik.

“Tapi, apakah dengan angka 977 yang juga angka tertinggi di Malaysia mengenai kes tanah tidak mendapat perhatian serius.

“Apakah ini satu kebanggaan atau satu permasalahan?” soalnya.

Mengenai Bangkit 123, jelasnya perhimpunan itu mempunyai tujuan yang amat murni dan perlu disokong oleh semua pihak serta dijamin aman sesuai dengan matlamatnya yang murni.

“Ahli-ahli dan penyokong-penyokong PAS serta setiap pihak yang menyertainya dilarang melakukan sebarang kekacauan, mengganggu ketenteraman awam dan kerosakan harta benda awam,” ujarnya.

Sila Tinggalkan Pesan, K!

Catat Ulasan

 
back to top