Isnin, 5 Mac 2012

Pemuda PAS Sabah sertai Himpunan 123Bangkit

KUALA LUMPUR, 5 Mac: Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah (DPPNS) menyokong penuh usaha badan NGO, Bela Tanah Rakyat Sabah (Tabah) dan NGO-NGO lain untuk mengadakan Himpunan Rakyat Sabah Mempertahankan Tanah Adat (123Bangkit).
 
“DPPNS tampil menyahut kebangkitan ini dengan akan menggerakkan hampir 1,000 ahli dan pimpinan pelbagai peringkat sama ada peringkat negeri, kawasan atau cawangan seluruh Sabah untuk bersama-sama dalam himpunan 123Bangkit bagi menyatakan sokongan dan memperjuangkan keadilan rakyat,” ujar Ketua Penerangannya, Mohd Zulfikar Abd Mijan dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

 
Tambahnya, DPPNS turut mengalu-alukan penyertaan pelbagai pihak NGO, pertubuhan politik dan orang perseorangan dalam menyahut semangat itu.

Menurutnya, himpunan aman itu hendaklah dijadikan sebagai salah satu medan menyuarakan pandangan dan perhatian rakyat secara keseluruhannya setelah pelbagai cara dan alternatif dilakukan bagi menyelamatkan tanah rakyat daripada terus dicerobohi dan dirampas.

“Apa yang pasti ialah, memorandum demi memorandum telah dihantar namun apa yang mengecewakan ialah perhatian daripada YAB Datuk Seri Musa Aman tidak menyeluruh dan disifatkan sebagai ‘sambil lewa’,” katanya.

Justeru, ujarnya DPPNS mengharapkan kerjasama pasukan keselamatan dan peserta himpunan untuk memberikan komitmen terbaik sepanjang tempoh sebelum, semasa dan selepas himpunan itu berjalan.

Beliau berkata, ianya sebagai cerminan kepada sebuah negara dan negeri yang berdemokrasi.

Sila Tinggalkan Pesan, K!

Catat Ulasan

 
back to top