KUALA LUMPUR, 18 Mac: Bela Tanah Rakyat Sabah (Tabah) bercadang mengadakan perhimpunan aman Bangkit 2.0 di Padang Merdeka, Kota Kinabalu.
Setiausahanya, Lahirul Latigu berkata, perhimpunan itu sebagai menyahut saranan ACP Ahmad Sofi Zakaria, Ketua Polis Kota Kinabalu semasa 123 Bangkit pada 12 Mac lalu mengenai lokasi perhimpunan yang dibenarkan.
Katanya, Menurut Sofi, lokasi yang dibenarkan bagi perhimpunan aman di sekitar Kota Kinabalu ialah sama ada di Stadium Likas atau di Padang Merdeka, dekat Kota Kinabalu.
Sehubungan dengan itu, ujarnya Tabah akan mengadakan Bangkit 2.0 seperti di atas di lokasi Padang Merdeka.
“Tabah juga memohon agar pihak berkuasa dan keselamatan mempertimbangkan hasrat ini,” ujarnya yang juga Ketua Pemuda PAS Sabah dalam satu kenyataan.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada para petugas keselamatan yang mengawal pergerakan dan kelancaran semasa Himpunan 123 Bangkit pada 12 Mac lalu.
Tabah juga, ujarnya telah menyediakan sebuah sijil penghargaan kepada pasukan keselamatan dan akan diserahkan kepada ACP Ahmad Sofi Zakaria, selaku Ketua Polis Kota Kinabalu atas kerjasama tersebut.
Tabah juga, jelasnya menyangkal dakwaan beberapa pihak tertentu seperti mana laporan yang tidak berasas mengenai perhimpunan tersebut dalam sebuah akhbar tempatan Sabah pada 13 Mac lalu.
Menurutnya, dakwaan yang dibuat oleh wakil Persatuan Pekebun-Pekebun Kecil Kampung Landau Cenderamata (Masyarakat Melayu), Kampung Merotai Besar Tawau, Suratmin Yusof bersama dua lagi rakannya yang memberi laporan tidak berasas mengenai Tabah.
Ini, jelasnya merupakan satu usaha untuk memburuk-burukkan keadaan dan juga Tabah.
Jelasnya lagi, oleh kerana layanan yang kurang memuaskan yang diterima oleh Tabah semasa penghantaran memorandum, maka Tabah akan melancarkan seterusnya menggerakkan satu lagi himpunan sama pada satu masa yang akan ditetapkan kemudian.
“Apa yang bezanya, Tabah tidak lagi menghantar memorandum serupa kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman tetapi akan mengadakan perhimpunan besar-besaran dengan jangkaan akan turut dihadiri oleh pimpinan utama Pakatan Rakyat diketuai Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang,” katanya.
Beliau menambah, berita penahanan dan sekatan terhadap Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) yang juga AJK PAS Pusat, Mazlan Aliman oleh Kerajaan Negeri Sabah turut menarik perhatian Tabah dengan memohon kerjasama kepada pihak kerajaan negeri membenarkan ketiga-tiga pimpinan parti seperti yang disebutkan di atas serta beberapa pimpinan lain yang mungkin menyebabkan ketiga-tiga pimpinan itu mengalami kemaslahatan untuk hadir pada hari berkenaan untuk masuk ke Negeri Sabah bagi melancarkan perhimpunan pada hari berkenaan.
“Ini bagi membuktikan semangat 1Malaysia dan menghormati prinsip kebebasan dan semangat demokrasi negara Malaysia,” tegasnya.
Sila Tinggalkan Pesan, K!
Catat Ulasan