Khamis, 31 Januari 2013

Projek IC: Siasat Siapa Dalang Sebenar

KOTA KINABALU: Tindakan beberapa pihak tertentu yang membabitkan Ketua Pemuda PAS Sabah dalam Projek IC dilihat sebagai tindakan terdesak bagi mengalih isu sebenar dalam pemberian kewarganegaraan kepada pendatang asing.

Ketua Pemuda PAS Sabah, Lahirul Latigu berkata, tindakan beberapa pihak tertentu yang bertindak mengheretnya bersama Projek IC merupakan tindakan terdesak yang cuba mengalih isu dan dalang sebenar dalam Projek IC itu.

“Sebenarnya, mereka ingin mengalih perhatian dari isu dan dalang sebenar Projek IC yang sanggup menggadai kewarganegaraan demi mendapat undi dalam pilihanraya,” kata Lahirul yang ditemui selepas sesi keterangan RCI di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, kelmarin.

Dalam sesi pendengaran sesi kedua tersebut, beliau turut memberikan penjelasan berkenaan bapa beliau yang berasal dari Indonesia dan telah berkahwin dengan ibunya, seorang warganegara Malaysia yang berasal dari Beaufort dan berbangsa Murut.

“Setahu saya, kita boleh mengikuti sama ada etnik bapa atau ibu kita,” katanya kepada Pegawai Pengendali Siasatan RCI, Jamil Aripin.

Lahirul turut mempertikai kenapa harus suruhanjaya mempersoal identiti beliau sedangkan mengikut Perkara 14 (1)(b) Perlembagaan Malaysia.

“Bagaimana mereka boleh mempersoalkan identiti saya, sedangkan taraf saya adalah sah mengikut Perlembagaan Malaysia dalam Perkara 14(1)(b),” kata Lahirul.

Mengikut Perlembagaan Malaysia, Perkara 14(1)(b), “seseorang yang diahirkan pada atau selepas hari Malaysia dan mempunyai mana-mana daripada kelayakan yang ditentukan dalam Bahagian II Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan seperti yang berikut: (a) Dia dilahirkan di Persekutuan dan pada masa kelahiran itu sekurang-kurangnya ibu atau bapanya seorang warganegara atau bermastautin tetap di Persekutuan”.

Undang-Undang Sabah

Mengikut Undang-Undang Sabah, Interpretation (Definition of Native) Ordinance (Sabah Cap. 64) dalam Fasal 2(1)(b) turut menjelaskan bahawa: any person ordinarily resident in Sabah and being and living as a member of a native community, one at least of whose parents or ancestors is or was a native within meaning of paragraph (a) hereof.

Justeru katanya, pihak Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) tersebut perlu mencari dan mengenalpasti dalang yang terlibat dalam pemberian kewarganegaraan tersebut.

“Siapa dalang utama, mesti menjadi syarat penting kepada suruhanjaya tersebut dalam bertindak dan menyelesaikan isu.

“Tidak hanya menyiasat dan mengambil keterangan daripada peringkat bawahan sahaja,” tegasnya.

Lahirul memberi keterangan sebagai saksi ke-46 di hadapan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) terhadap pendatang tanpa izin di Sabah.

Sehingga kini, seramai 49 saksi telah tampil memberi keterangan sejak RCI memulakan sesi pertama pendengaran pada 14 Januari hingga 18 Januari lalu. Sesi kedua pendengaran yang bermula 28 Januari akan berakhir pada 1 Februari depan.

Jumaat, 25 Januari 2013

Pemuda Sabah Tanya Siapa KM Yang Digugurkan?

KOTA KINABALU: Teka teki siapakah Ketua Menteri dan Menteri Besar yang tersangkut di tapisan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini menjadi semakin panas dengan pelbagai andaian yang dibuat.

Bagi Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah, mereka mengalu-alukan proses tapisan yang dilakukan oleh SPRM melalui Cawangan Tapisan Keutuhan, Bahagian Pengurusan Rekod dan Teknologi Maklumat suruhanjaya berkenaan.

Ketuanya, Lahirul Latigu dalam satu kenyataan hari ini turut tertanya-tanya mengenai beberapa nama-nama besar yang dijangka tidak dicalonkan semula akibat masalah kegagalan dalam ujian tapisan SPRM.

“Siapa calon Ketua Menteri yang seorang itu.? Di Malaysia ini, ada empat Ketua Menteri... di Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak.

“Sudah tentu bukan dari Pulau Pinang, sebab Ketua Menterinya Lim Guan Eng dari Pakatan Rakyat. Tinggal lagi tiga buah negeri,” soalnya.

Menurutnya, kes rasuah bernilai RM40 juta yang membabitkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman telah dilaporkan kepada pihak SPRM oleh beberapa pertubuhan termasuklah Jingga 13 pada awal tahun ini.

“Kita minta agar pihak SPRM menyegerakan siasatan terhadap isu ini daripada terus berlarutan hingga ke tarikh pilihanraya. Rakyat sudah semestinya mahu tahu perkembangan isu ini,” ujarnya.

Dalam laporan sebuah media berdasarkan sumber SPRM ada menyebut, beberapa individu termasuk menteri besar dan ketua menteri serta beberapa pemimpin tertinggi sebuah parti yang dijangka tidak dicalonkan bagi mengelakkan implikasi terhadap parti terbabit.

Pemuda PAS Sepanggar Beri Minuman Percuma

KOTA KINABALU: Seusai solat Jumaat kebiasaanya mereka yang bermurah hati menghulurkan sedekah seperti pisang masak kepada jemaah, tetapi berlainan di Sepanggar apabila Dewan Pemuda PAS Kawasan menghidangkan minuman percuma untuk jemaah.

Bagi Pemuda PAS Sepanggar selain menggunakan pendekatan seperti ini untuk mengeratkan PAS dengan masyarakat ianya satu amalan bersedekah yang digalakkan dalam Islam.

"Selain sedekah, minuman tersebut juga bagi menambahkan kesegaran para jemaah yang baru selesai menunaikan solat untuk meneruskan kerja masing-masing," kata  Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatannya, Fansuri Ahmad.

Walaupun program yang agak ringkas, namun katanya ia mendapat perhatian orang ramai yang kelihatan berpusu-pusu mendapatkan minuman yang disediakan secara percuma itu, di Masjid Likas di sini.

“Aktiviti ini merupakan yang pertama kali kita anjurkan di sini, dan Alhamdulillah, sambutan daripada orang ramai amat memberangsangkan,” katanya.

Tambah Fansuri, pihak Pemuda PAS Sepanggar juga akan memperluaskan minuman percuma ke seluruh kawasan di Sepanggar dalam usaha mendekati dan menyampaikan maklumat mengenai Pakatan Rakyat kepada masyarakat.

“InsyaAllah... kita akan perluaskan pemberian minuman percuma ini, sekali gus menyampaikan maklumat yang benar kepada masyarakat mengenai Pakatan Rakyat,” katanya.

Khamis, 24 Januari 2013

Selamat Menyambut Maulidur Rasul: Mari Kita Ikut Nabi

PERUTUSAN MAULIDUR-RASUL 1434H

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Firman Allah SWT yang bermaksud :

Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang) - Surah al-Ahzab, ayat 21

Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran kita panjatkan ke hadrat Allah SWT kerana masih lagi berpeluang untuk berada di dalam bulan Rabiul Awwal tahun 1434 Hijrah ini.
Sekali lagi kita sama-sama berada dalam suasana menyambut Maulidur-Rasul yang merupakan satu rutin tahunan kepada umat Islam bukan sahaja di Malaysia bahkan di seluruh dunia.

Sesungguhnya Rasulullah SAW adalah contoh yang terbaik untuk manusia dalam menjalani kehidupan seharian. Sengaja Allah SWT, melantik rasulNya dari kalangan manusia agar boleh dicontohi dan dijadikan tauladan.

Allah SWT tidak melantik rasulNya dari kalangan malaikat kerana malaikat ialah makhluk yang tidak mempunyai nafsu. Bagaimana manusia yang mempunyai nafsu mahu menjadikan malaikat yang berlainan fitrah sebagai tauladan?

Sesungguhnya, apabila Rasulullah SAW menjadi tauladan, ia bukan sahaja contoh di dalam ibadat tetapi dalam semua apsek kehidupan.
Aspek rumahtangga sebagai contoh, Rasulullah SAW terkenal sebagai seorang suami yang suka bergurau dengan isterinya.

Gurauan ini tidak pernah melunturkan nilai nubuwwah yang ada pada diri Baginda bahkan ia merupakan penyeri kepada kehidupan berumahtangga yang diperlukan oleh setiap manusia.

Kadang-kadang sudut ini yang dicuaikan oleh sebahagian daripada kita yang menjadikan kehidupan kita kaku dan beku tanpa gurau senda.

Demikian juga dalam aspek muamalat dengan rakyat. Rasulullah SAW terkenal sebagai seorang yang gemar menuturkan kata-kata manis sehingga menyenangkan pendengar.
Bahkan terdapat juga situasi Rasulullah SAW bergurau dengan gurauan yang benar sehingga menjadikan dirinya lebih dikagumi dan disayangi.

Apa yang lebih penting ialah kejayaan Rasulullah SAW merubah paradigma pemikiran masyarakat jahiliyyah yang tebal dengan tradisi karut dalam tempoh perjuangan baginda selama 23 tahun.

Sekalipun baginda merupakan seorang nabi yang juga kekasih Allah SWT, tetapi tempoh yang diambil oleh baginda untuk menjayakan misi dakwah di Mekah dan Madinah tidak mengambil masa sekelip mata.

Sirah inilah yang mengajar kita bahawa setiap perjuangan memerlukan tempoh masa yang tersendiri. Inilah lumrah dalam perjuangan yang wajib diterima oleh semua pendokong perjuangan Islam hari ini.

Hakikatnya, maulidur-rasul bukan hanya setakat meraikan kelahiran baginda Rasulullah SAW tetapi juga menjunjung tinggi syariat yang dibawa olehnya.

Syariat ini perlu diletakkan di tempat yang tertinggi dalam pelbagai aspek kehidupan. Jika semangat ini dipupuk, insya-allah kita akan melihat suasana sambutan Maulidur-rasul yang benar-benar bermakna akan wujud di negara ini, Insya-Allah.

Sekian.

Selamat Menyambut Maulidur Rasul 1434H
Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat,
Al-Mursyidul Am,
Parti Islam Semalaysia (PAS)
Bertarikh : 12 Rabiul Awwal 1434H

Selasa, 22 Januari 2013

PAS Sabah Terima Permohonan Tubuh Cawangan Baru

SANDAKAN: Ibarat belum pun reda menahan penat dan lelah, PAS Sabah terus dihujani permohonan demi permohonan untuk menjadi ahli di kalangan para belia dan juga warga veteran.

Terbaru, PAS Sabah menerima dua lagi permohonan bagi menubuhkan cawangan PAS di Pulau Terong dan Pulau Timbang dalam Parlimen Batu Sapi.

Yang DiPertua PAS Kawasan Batu Sapi, Hamzah Abdullah yang berkongsi kegembiraan tersebut menjelaskan mengenai niat dan minat yang mendalam rakyat terutama di Batu Sapi terhadap PAS.

“Kami menerima permohonan ini dengan hati yang terbuka, dan semestinya berasa gembira dengan kehadiran ini.

“Ini turut membuktikan bahawa PAS terus mendapat tempat di hati masyarakat,” ujar beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah.

Permohonan penubuhan cawangan tersebut disampaikan oleh wakil bagi setiap cawangan kepada Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar sempena Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden PAS yang diadakan di Hotel Sandakan, dekat sini pada Sabtu.

Turut hadir ialah, Pesuruhjaya PAS Sabah, Aminuddin Aling, Ketua Pemuda PAS Sabah, Lahirul Latigu serta beberapa lagi Ahli Jawatankuasa PAS Negeri dan Kawasan.

Isnin, 21 Januari 2013

Mantan Ketua Daerah Kinabatangan Sertai PAS

KINABATANGAN: PAS Sabah sekali lagi mencatat kejayaan besar sebelum bertempur di ‘medan perang’ Pilihanraya Umum ke-13 akan datang apabila mantan Ketua Daerah Kinabatangan menyerahkan borang menyertai PAS dalam satu Himpunan Selamat Tinggal BN di Kg. Batu Putih dekat sini, petang tadi.

Ahdah Sulaiman yang juga bekas calon Bebas dalam PRU 2008 turut mewakili 360 orang lagi menyerahkan borang menyertai PAS kepada Datuk Mahfuz Omar, Naib Presiden PAS yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.

Dalam ucapan ringkasnya, beliau memberikan kata semangat dengan mengajak seluruh rakyat Kinabatangan bersama meninggalkan Barisan Nasional yang sudah lama bertapak di Sabah.

“Kita menyatakan rasa tidak puas hati terhadap pentadbiran selama 18 tahun Umno BN di Sabah ini.

“Umno BN telah gagal membawa pembangunan ekonomi kepada rakyat Sabah terutama di kawasan ini,” ujar beliau.

Dalam PRU12, Ahdah bersama lapan calon lain termasuk seorang calon PAS, Imran Ibrahim dan Datuk Saddi Abdul Rahman (BN) merebut kerusi DUN Sukau. Beliau memperoleh undi tertinggi dengan mendapat 1,171 undi berbanding calon PAS, hanya sebanyak 76 undi sahaja. Manakala calon BN pula mendapat 3,278 undi dengan kemenangan majoriti sebanyak 2,107 undi.

Himpunan ini turut dihadiri Datuk Seri Ir Mohamad Nizar Jamaludin, Dr. Mohd Hatta Ramli, Aminuddin Aling (Pesuruhjaya PAS Sabah), Lahirul Latigu (Ketua Pemuda PAS Sabah), ahli jawatankuasa PAS Sabah dan rakan-rakan Pakatan Rakyat Sabah yang terdiri Parti Keadilan Rakyat (PKR), Pertubuhan Pakatan Perubahan Sabah (PPPS) dan masyarakat setempat.

Rabu, 16 Januari 2013

Masalah Tiada Bekalan Air Juga Berlaku di Sabah


BEAUFORT: Pemuda PAS Sabah mendesak pihak Umno Barisan Nasional agar lebih menumpukan perhatian mereka terhadap permasalahan di peringkat negeri yang dikuasainya daripada berterusan ‘menyerang’ dan ‘memperbodohkan’ rakyat di negeri-negeri Pakatan Rakyat.

Ketuanya, Lahirul Latigu (gambar) berkata masalah kemudahan dan infrastruktur dilihat lebih bermasalah di Sabah berbanding negeri-negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat, antara yang paling ketara ialah, masalah ketiadaan bekalan air yang kerap berlaku di beberapa buah daerah di negeri ini.

Menurutnya, masalah air turut sering berlaku di daerah Beaufort yang dikatakan daerah maju oleh sesetengah wakil rakyatnya.



“Ada wakil rakyat di Beaufort mendakwa banyak kemajuan sudah dibuat, tapi saya nak beritahu bahawa wakil rakyat ini cuba untuk membohongi rakyat setempat.

“Sudah bertahun-tahun penduduk kampung terseksa dengan bekalan air yang sering terputus ditambah elektrik yang ‘sekejap ada sekejap tiada’ seolah-olah ini kemajuan yang dibangga-banggakan pemimpin Umno,” jelasnya.

Lahirul mendakwa, pemasangan saluran paip ke Labuan melalui Beaufort turut menghampakan sebilangan besar penduduk setempat di daerah itu yang lebih memerlukan bekalan air untuk kegiatan harian.

“Saluran pemasangan paip air dipasang melalui Beaufort ke Labuan, tetapi apa yang penduduk sekitar dapat.

“Masalah air di sini masih keadaan kritikal, sedangkan air merupakan sumber utama kegiatan rakyat... nak mandi, nak berniaga... apa semua orang Beaufort ni tak perlukan air ke,” dakwa Lahirul yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Beaufort.

Beliau turut kecewa dengan pentadbiran negeri ini yang langsung tidak mempedulikan nasib rakyat, sebaliknya hanya mementingkan diri sendiri.

“Inilah satu kezaliman yang dibuat oleh Umno. Saban hari mereka memburuk-burukkan kerajaan negeri Pakatan Rakyat... TV1, TV2, TV3... saling bersilih ganti memutarbelitkan isu.

“Tapi masalah rakyat yang ada di negeri mereka sendiri, mereka tidak nampak,” ujar Lahirul.

Rasa Dulu Masakan, Baru Tahu Sedap Atau Tidak


BEAUFORT: Rakyat di negeri ini, khususnya di Sipitang tidak perlu ragu-ragu memilih Pakatan Rakyat dalam Pilihanraya Umum ke-13 akan datang.

Yang Dipertua PAS Kawasan Sipitang, Ahmad Khambar berkata sudah tiba masanya rakyat di negeri ini perlu melakukan perubahan demi kelangsungan hidup dan masa depan yang lebih baik.

“Kita adalah tuan, tuan kepada wakil-wakil rakyat yang ada sekarang. Sebab itu kita mesti tahu hak kita,” katanya.

Katanya, demokrasi di Malaysia yang mengadakan pilihanraya setiap lima tahun menunjukkan bahawa rakyat mempunyai kuasa memilih pemimpin dan membentuk kerajaan yang lebih merakyat.

“Rakyat yang lebih berkuasa, bukan Datuk Seri Najib. Sebab itu ada pilihanraya dan pengundian memilih wakil rakyat.

“Insya Allah, kalau Pakatan Rakyat diberi peluang untuk memimpin negeri Sabah, kita akan berusaha menyelesaikan permasalahan yang dialami rakyat khususnya di daerah ini,” ujarnya selepas mengadakan pertemuan dan penyampaian sumbangan kepada penduduk di Kampung Suasa dekat sini petang kelmarin.

Beliau turut menyentuh mengenai Himpunan Kebangkitan Rakyat yang diadakan beberapa hari lalu yang menyaksikan ribuan rakyat berhimpun di Kuala Lumpur dan Kota Kinabalu sebagai petanda bahawa rakyat sudah bersedia melakukan perubahan.

“Kita di sini, kata orang... mesti rasa dulu masakan. Baru dapat tahu sedap atau tidak. Jangan kita terus menolak dengan mengatakan ‘tidak sedap’.

“Justeru, cuba dulu Pakatan Rakyat, baru dapat tahu bagus atau tidak,” jelas beliau.

Pertemuan dan penyampaian bantuan tersebut turut dihadiri Ketua Pemuda PAS Sabah yang juga Yang Dipertua PAS Beaufort, Lahirul Latigu serta beberapa pimpinan PAS kawasan yang lain.

Isnin, 14 Januari 2013

20 Belia Pulau Gaya Sertai PAS


KOTA KINABALU:
Seramai 20 belia di Pulau Gaya dekat sini menyerahkan borang untuk menyertai PAS dalam satu majlis anjuran PAS Kawasan Putatan, petang tadi.

Borang-borang itu diserahkan kepada Ketua Pemuda PAS Negeri Sabah, Lahirul Latigu yang turut hadir dalam majlis itu. (Gambar atas)

Lahirul dalam ucapannya menyentuh berkenaan permasalahan utama yang membelenggu kehidupan rakyat serta beberapa isu berkaitan kebangkitan rakyat yang semakin ketara akibat kezaliman dan penindasan yang dilakukan pemerintah Umno dan Barisan Nasional.

Katanya, rakyat tidak perlu takut untuk bersama parti pembangkang kerana parti itu telah membuktikan keupayaan mengurus beberapa buah negeri sejak 2008 termasuk Perak yang dirampas oleh Barisan Nasional.

“Kita sudah menjadi kerajaan di Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor juga di Perak sebelum dirampas semula oleh Barisan Nasional.

“Pencapaian di negeri ini cukup membanggakan apatah lagi dengan laporan audit yang memperlihatkan keupayaan dinegeri yang ditadbir Pakatan Rakyat berjaya menghasilkan pendapatan negeri yang tertinggi,” kata Lahirul.

Beliau menambah, rakyat perlu membuat perubahan dalam pilihanraya akan datang bagi memastikan kestabilan dan hak rakyat terjamin bersama Pakatan Rakyat.

Khamis, 10 Januari 2013

Rakyat Sabah Perlu Bangkit Memperjuangkan Hak


KUALA LUMPUR: Gelombang Kebangkitan Rakyat terutama di kalangan anak-anak muda Sabah dilihat semakin membara, kata Ketua Pemuda PAS Sabah, Lahirul Latigu.

“Hal ini bukan sahaja menjadi fenomena, malah secara tidak langsung memberi signal kepada kepimpinan negeri yang diketuai Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Menurutnya, penubuhan badan bukan kerajaan (NGO) yang berkonsepkan memperjuangkan hak rakyat Sabah dalam Gabungan NGO Menuntut Hak Rakyat Sabah (Gegar) yang dinaungi anak muda merupakan sebagai langkah serta capaian terbaik bagi anak-anak muda Sabah untuk merasai denyut nadi perjuangan rakyat yang dihimpit kesukaran dan kepayahan di bumi sendiri.

Justeru, katanya walaupun, Himpunan Kebangkitan Rakyat yang akan diadakan pada 12 Januari ini dilihat lebih tertumpu kepada Semenanjung Malaysia dan Kuala Lumpur, namun pada hari yang sama juga Himpunan Sabah Bangkit yang dianjurkan Gegar perlu diberi tempat dan perhatian yang sewajarnya.

“Inilah anak-anak Sabah yang sedar akan tanggungjawab besar yang bakal menanti mereka kelak.

“Inilah kebangkitan Sabah yang sudah mula terasa kesengsaraan di bawah kepimpinan Kerajaan gabungan Barisan Nasional yang dipimpin oleh Datuk Seri Najib Tun Razak,” katanya lagi.

Menruutnya, siapa yang tidak ‘sakit’ apabila melihat bumi tanah airnya yang dahulunya kaya menjadi sekangkang kera.

“Siapa yang tidak terguris hatinya apabila dirampas harta tanah dan kebun serta hasil tanamannya yang diusahakan bertahun lamanya.

“Siapa yang tidak ‘bingung’ melihat telatah kepimpinan negerinya yang mampu melihat setiap harta dan ‘karun’nya diangkut serta dijual ditangan asing. Siapa lagi yang tidak mahukan perubahan,” ujarnya.

Justeru, beliau menyeru seluruh anak muda Sabah perlu bangkit dan bingkas bangun untuk terus memperjuangkan hak miliknya.

“Masa ini bukan masanya untuk kita berpeluk tubuh, menggaru kepala dan mengangguk menggeleng antara setuju dan tidak. Masa ini, merupakan masa kebangkitan rakyat secara besar-besaran,” katanya.

Sehubungan itu, ujar Lahirul dalam Himpunan Sabah Bangkit yang diadakan serentak dengan Himpunan Kebangkitan Rakyat, Dewan Pemuda PAS negeri sekali lagi mengajak seluruh warga Sabah tanpa mengira peringkat umur, darjat, warna kulit, bangsa dan agama untuk terus bersama kebangkitan rakyat.

“Ini kalilah, berabis kita,” tegasnya.
 
back to top