Rabu, 16 Januari 2013

Rasa Dulu Masakan, Baru Tahu Sedap Atau Tidak


BEAUFORT: Rakyat di negeri ini, khususnya di Sipitang tidak perlu ragu-ragu memilih Pakatan Rakyat dalam Pilihanraya Umum ke-13 akan datang.

Yang Dipertua PAS Kawasan Sipitang, Ahmad Khambar berkata sudah tiba masanya rakyat di negeri ini perlu melakukan perubahan demi kelangsungan hidup dan masa depan yang lebih baik.

“Kita adalah tuan, tuan kepada wakil-wakil rakyat yang ada sekarang. Sebab itu kita mesti tahu hak kita,” katanya.

Katanya, demokrasi di Malaysia yang mengadakan pilihanraya setiap lima tahun menunjukkan bahawa rakyat mempunyai kuasa memilih pemimpin dan membentuk kerajaan yang lebih merakyat.

“Rakyat yang lebih berkuasa, bukan Datuk Seri Najib. Sebab itu ada pilihanraya dan pengundian memilih wakil rakyat.

“Insya Allah, kalau Pakatan Rakyat diberi peluang untuk memimpin negeri Sabah, kita akan berusaha menyelesaikan permasalahan yang dialami rakyat khususnya di daerah ini,” ujarnya selepas mengadakan pertemuan dan penyampaian sumbangan kepada penduduk di Kampung Suasa dekat sini petang kelmarin.

Beliau turut menyentuh mengenai Himpunan Kebangkitan Rakyat yang diadakan beberapa hari lalu yang menyaksikan ribuan rakyat berhimpun di Kuala Lumpur dan Kota Kinabalu sebagai petanda bahawa rakyat sudah bersedia melakukan perubahan.

“Kita di sini, kata orang... mesti rasa dulu masakan. Baru dapat tahu sedap atau tidak. Jangan kita terus menolak dengan mengatakan ‘tidak sedap’.

“Justeru, cuba dulu Pakatan Rakyat, baru dapat tahu bagus atau tidak,” jelas beliau.

Pertemuan dan penyampaian bantuan tersebut turut dihadiri Ketua Pemuda PAS Sabah yang juga Yang Dipertua PAS Beaufort, Lahirul Latigu serta beberapa pimpinan PAS kawasan yang lain.

Sila Tinggalkan Pesan, K!

Catat Ulasan

 
back to top