Isnin, 28 November 2011

PAS Sabah adakan lawatan muhibbah ke negeri Pakatan Rakyat

KUALA LUMPUR, 28 Nov: Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah (DPPNS) hari ini mengadakan lawatan kerja seminggu ke negeri-negeri yang dipimpin oleh kerajaan Pakatan Rakyat.

Lawatan yang berteraskan muhibbah dan semangat setiakawan itu akan mengadakan perbincangan dua hala mengenai tawaran Pakatan Rakyat, pilihan raya dan kerjasama ekonomi.

Ketua Penerangannya, Mohd Zulfikar Abd. Mijan berkata, PAS Sabah sedang berusaha membawa keluar rakyat di negeri itu dari kepompong kekuasaan dan kerakusan pemimpin di bawah kerajaan Barisan Nasional.

“Kita mengadakan lawatan ke negeri-negeri pimpinan Pakatan Rakyat ini, bukan sahaja akan mengambil manfaat keseluruhan peluang malah akan membincangkan juga mengenai apa tawaran kita selaku parti dalam komponen Pakatan Rakyat kepada rakyat Sabah,” jelasnya.

Menurutnya, generasi muda pada hari ini sudah mula sedar dengan suasana perubahan yang turut dirasai oleh rakyat Sabah yang berada di semenanjung.

“Kita melihat ini merupakan mood perubahan dalam diri rakyat, terutama golongan muda.

“Mereka tidak sekadar melihat dan menonton apa yang dihidangkan... tapi apa yang mereka lakukan ialah mencari sebanyak mana sumber isu untuk dijadikan pelengkap kepada sesuatu dakwaan,”  ujarnya.

Kata Zulfikar, lawatan ini juga secara langsung akan membincangkan persediaan menghadapi pilihanraya yang akan berlaku pada bila-bila masa.

“Kesediaan pilihanraya pada tahun ini merupakan sesuatu yang amat mencabar.

“Kita akan menggunakan seluruh medium penyebaran yang ada untuk menyebarkan apa sahaja maklumat yang benar mengenai Sabah dan Malaysia kepada rakyat,” katanya.

Katanya, beliau juga tidak menolak kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini bahawa pilihanraya pada kali ini merupakan yang paling sengit dalam sejarah pilihanraya umum.

“Pemuda akan memberikan saingan sengit kepada pasukan lawan dengan perlawanan satu lawan satu.

“Kita juga percaya, mereka tidak senang dengan kerja kita. Tapi, apa salahnya kalau kita bekerja dan bersaing secara sihat,” katanya yang juga Ketua Penerangan PAS Sepanggar.

Lawatan yang disertai Ketua Pemuda, Lahirul Latigu bersama kepimpinan PAS Sabah itu bermula di Selangor pada 26 Nov lalu hingga 29 Nov akan turut berkunjung ke Kedah (30 Nov – 1 Dis) dan berakhir di Kelantan (2 Dis – 3 Dis).

Ahad, 27 November 2011

Perutusan Hijrah 1433




Ketua Penerangan Pemuda PAS Sabah, Sdr Mohd Zulfikar Abdul Mijan menyeru kepada semua masyarakat di Sabah agar melakukan satu perubahan pada PRU ke 13 akan datang sempena kedatangan hijrah 1433.

Zulfikar mewakili saf kepimpinan Dewan Pemuda PAS Sabah mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan salam maal hijrah 1433 kepada semua masyarakat di Sabah khususnya dan rakyat Malaysia umumnya.

Beliau menjelaskan, hijrah sebenarnya satu konsep yang seerti dengan perubahan dan ia boleh di aplikasikan kepada semua tanpa mengira latar belakang agama dan suku kaum di Sabah.

Kata Zulfikar, hijrah atau perubahan di Sabah ini adalah sesuatu yang mesti dilakukan memandangkan suasana pembangunan di negeri ini yang masih jauh ketinggalan dalam pelbagai aspek kehidupan.

Beliau mengambil contoh bagaimana umat Islam di Makkah ketika sebelum hijrah hidup dalam keadaan serba kemunduran samada dari sudut ilmu ataupun teknologi. Apabila hijrah berlaku, umat Islam menjadi kuat dan digeruni lawan serta mampu mencabar kuasa besar dunia ketika itu.

Jelas beliau lagi, hijrah bukan sahaja sambutan yang penuh meriah tetapi apa yang lebih penting iaitu perlaksanaan hijrah itu sendiri. Jika selepas 50 tahun merdeka masyarakat di Sabah masih banyak ketinggalan, maka sudah tentu perubahan mesti dilakukan.

Perubahan ini kata beliau sudah tentu memerlukan pengorbanan yang tidak sedikit daripada semua masyarakat di Sabah. Jika tidak, negeri ini tidak akan dapat menikmati kemakmuran pembangunan hasil daripada khazanah buminya yang kaya dengan sumber semulajadi.

Apa ertinya 50 merdeka tetapi tanah-tanah milik rakyat dirampas tanpa hati perut dan hasil kekayaan muka buminya dikaut oleh pemimpin-pemimpin Umno-BN yang tamak harta dan kuasa tanpa memperdulikan nasib rakyat, persoal Zulfikar.

Justeru kata beliau, PRU ke 13 ini adalah peluang terbaik masyarakat negeri ini untuk melakukan perubahan dengan menukar kerajaan Barisan Nasional kepada kerajaan Pakatan Rakyat.

Mangsa kebakaran terima bantuan


KOTA KINABALU, 27 Nov: Mangsa kebakaran 55 buah rumah di Kampung Tanjung Aru Baru, dekat sini Khamis lalu menerima sumbangan daripada PAS Kawasan Putatan pagi tadi.

Sumbangan yang berbentuk pakaian dan keperluan harian itu disampaikan sendiri oleh Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr. Hatta Ramli yang juga AJK PAS Malaysia.

Dr. Hatta berkata, sumbangan yang diberikan itu diharap dapat membantu meringankan beban yang ditanggung mangsa.

Menurutnya, selain bantuan tersebut, pihaknya juga menggesa kerajaan Sabah agar lebih memberi perhatian termasuklah mengenai kesihatan, kemudahan tempat tinggal dan sebagainya.

“PAS menyampaikan ucapan dukacita dan simpati kepada mangsa kebakaran. Setakat hari ini, apa yang telah kita ketahui bahawa masa depan mereka ini masih tidak terjamin.

“PAS mengharapkan kerjasama agensi kerajaan seperti Jabatan Kesihatan untuk terus memantau kesihatan mangsa bagi memastikan air yang digunakan itu selamat untuk diminum dan digunakan.

“PAS khuatir, kemungkinan terdapat jangkitan penyakit berjangkit sekiranya langkah awal pemeriksaan ini tidak dilakukan,” katanya.

Menurut Ketua Pemuda PAS Sabah, Lahirul Latigu yang turut menemui wakil mangsa kebakaran berkata, pihaknya bersimpati atas musibah yang dialami dan berusaha untuk membantu sedaya upaya bagi meringgankan beban yang terpaksa dihadapi.

“Kita juga dapat maklum bahawa, ada calon-calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang mengambil peperiksaan tahun ini terpaksa mengulangkaji dalam keadaan yang kurang selesa,” ujarnya yang juga Naib Yang DiPertua PAS Putatan.

Turut hadir menyampaikan sumbangan tersebut ialah Pesuruhjaya PAS Sabah, Aminuddin Aling; Naib Ketua Muslimat PAS Sabah, Faizah Antong dan Setiausaha PAS Sabah, Awang Laiman serta beberapa pimpinan PAS Sabah.

Khamis lalu, lebih 1000 orang kehilangan tempat tinggal apabila sekurang-kurangnya 55 buah rumah di kampung tersebut musnah dalam kebakaran yang berlaku menjelang subuh pada jam 2.15 pagi.

Kebakaran itu bagaimanapun berjaya dikawal sepasukan bomba yang menggunakan lima buah jentera daripada Balai Bomba Sembulan, Lintas dan Penampang. Kebakaran itu juga berjaya dikawal pada jam 5.15 pagi dan operasi tamat sepenuhnya kira-kira jam 6.30 pagi.

Dalam kejadian itu, tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan kerana semua penghuni berjaya menyelamatkan diri.

Jumaat, 25 November 2011

Keluarga tahanan ISA ke Parlimen serah memo


KUALA LUMPUR, 25 Nov: Keluarga lima tahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Sabah minggu lalu ke Parlimen kelmarin bagi menyerahkan memorandum kepada wakil Pakatan Rakyat dan BN.

Mereka yang ditemani Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) menuntut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membebaskan kesemua tahanan tersebut dan membawa mereka ke mahkamah terbuka untuk dibicarakan.

Pengerusi GMI, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, keluarga mangsa cukup tertekan dengan penahanan tanpa bukti kesalahan yang kukuh itu. Apatah lagi katanya, penahanan tersebut dilakukan selepas Najib mengumumkan akan memansuhkan ISA, 15 September lalu.

"Tindakan penahanan ini menimbulkan keraguan serius terhadap kredibilti dan janji Perdana Menteri tersebut. Ia menunjukkan semua proses berjalan seperti biasa dalam kerja melanyak hak asasi manusia. Najib perlu berasa malu dengan penangkapan ini," kata beliau pada sidang media di lobi Parlimen.

Apa yang lebih malang, sebab penahanan 13 orang di bawah ISA itu tidak dinyatakan secara jelas sebaliknya hanya dikaitkan dengan keganasan. Mereka ditahan oleh pegawai polis dari Jabatan Petugas Khas Bukit Aman diketuai DSP Azman Omar di Tawau sebelum dibawa ke Kota Kinabalu dan kemudiannya ke Bukit Aman.

Menurut kakak kepada salah seorang tahanan, Mohd Sarail Osman, nama adiknya itu tidak terdapat dalam senarai yang dikeluarkan Ketua Polis Negara (KPN) namun dia ditangkap ketika berada di rumah.

Manakala kakak seorang lagi tahanan, Mohd Nazri Dollah, adiknya yang merupakan guru agama ditahan ketika baru pulang mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Kinabutan. Dia ditahan di hadapan isteri dan anak-anaknya dan kini berada di Bukit Aman.

Menurutnya yang tidak mahu namanya disiarkan, ketika melawat Mohd Nazri, adiknya itu kelihatan tidak bermaya dan tidak banyak bercakap. Namun apabila ditanya samaada dia dipukul sewaktu dalam tahanan, dia mengakui perkara itu. Sementara itu, Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub berkata, beliau dan wakil Pakatan Rakyat yang lain akan membawa isu ini sewaktu membahaskan usul untuk menarik balik tiga perisytiharan darurat yang dibentangkan Najib pagi kelmarin.

"Semalam saya sudah bawa isu ini dan Timbalan Menteri Dalam Negeri kata polis ada bukti mereka yang ditahan ini terlibat dengan kegasanasan. Saya tegaskan kalau ada bukti, dakwa di mahkamah. Tidak guna Perdana Menteri umum mahu mansuh ISA tapi dalam masa yang sama membiarkan tangkapan ini," kata beliau yang juga Naib Presiden PAS.

Beliau turut mewakili Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima memorandum bantahan tersebut. Bagaimanapun, tiada wakil daripada kerajaan yang ingin memorandum tersebut.

Turut bersama pada sidang media tersebut ialah Ahli Parliman Pendang, Datuk Dr. Hayati Othman, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar yang juga Naib Presiden PKR dan Ahli Parlimen Sungai Siput daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM) serta beberapa wakil NGO yang bersama-sama dalam GMI.

Rombongan tersebut turut ke Bukit Aman bagi menyerahkan memorandum sama.

Selasa, 22 November 2011

ISA: Keluarga serah memo kepada SUHAKAM


KOTA KINABALU, 22 Nov: Anggota keluarga mangsa yang ditahan pihak polis di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Sabah baru-baru ini menyerahkan satu memorandum kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM).

Penyerahan itu dibuat di pejabat suruhanjaya itu di Kota Kinabalu kepada Pesuruhjaya SUHAKAM, Jannie Lasimbang kira-kira jam 9 pagi kelmarin.

Turut mengiringi penyerahan itu AJK PAS Pusat, Mazlan Aliman, Pesuruhjaya PAS Sabah Mohd Aminuddin Aling, Ketua Penerangan, Hisammudin Sulaiman serta Ketua Pemuda Lahirul Latigu.

Dalam pertemuan sejam dengan SUHAKAM itu, anggota keluarga menuntut pihak SUHAKAM campur tangan dengan mendesak tahanan dibebaskan segera.

"Keluarga mahu pihak SUHAKAM jumpa tahanan. Kita dapat maklumat, kemungkinan mereka yang ditahan akan dipaksa mengaku bersalah," katanya yang juga Pengerusi Lajnah Tanah dan Pembangunan Wilayah PAS Pusat.

Menurutnya, keluarga juga melahirkan kebimbangan jika mangsa yang ditahan itu dibawa keluar dari Kota Kinabalu sama ada ke Kuala Lumpur atau ke luar Sabah.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein semalam mendakwa kumpulan 13 individu yang ditahan pihak berkuasa di Tawau, Sabah awal minggu ini amat berbahaya kepada keselamatan negara dan serantau.

Menurut beliau, kumpulan 13 individu terbabit termasuk enam warga asing "tidak takut mati" dan "mahu mati jihad" dan menyifatkan isu penahanan 13 individu terbabit sebagai "amat serius" dan berkata, pada ketika ini mereka sedang ditahan di pusat tahanan di Tawau.

Hishammuddin juga mendedahkan, operasi penahanan 13 individu yang dilaksanakan oleh unit khas anti keganasan polis turut menemui sejumlah besar senjata api dan bahan letupan.

Tuduhan jahat

Mengulas lanjut, Mazlan berkata tuduhan oleh Hishammuddin itu berniat jahat dan mendahului siasatan.

Menurutnya, anggota keluarga dalam pertemuan dengan SUHAKAM juga memaklumkan, mereka yakin mangsa tidak terlibat dengan aktiviti keganasan seperti didakwa oleh pihak KDN.

"Saya yakin mereka ditangkap untuk disiasat, tetapi bagaimana boleh menteri membuat kesimpulan mendahului siasatan polis.

"Bagi saya, ini sangkaan berniat jahat yang memalukan mangsa dan keluarga mangsa," katanya sambil mendesak mangsa tahanan dibawa ke mahkamah segera jika dibuktikan bersalah.

Rabu, 16 November 2011

PAS Sabah anjur Wacana Rakyat

KOTA KINABALU, 16 Nov: Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah (DPPNS) akan menganjurkan satu wacana berkonsep perundangan bagi mengetengahkan isu berkaitan perundangan Sabah dan Persekutuan.

Ketuanya, Lahirul Latigu (gambar) berkata wacana tersebut yang julung kali diadakan ini bakal menyaksikan tumpuan ramai terutama rakyat Sabah dalam mengetahui perkara berbangkit sama ada berkaitan perkara 20 mahupun institusi perlembagaan negara.

Katanya, pengetahuan rakyat umum kepada aspek berkaitan perlembagaan dan enakmen negeri Sabah adalah perlu bagi memastikan setiap warga Sabah mengetahui hak dan kebajikan yang perlu dipertahankan.

“Sudah sampai masanya rakyat Sabah memahami dengan jelas apa sebenarnya perkara 20 dan apakah disebalik pembentukkan perkara berkenaan.

“Kita ingin mengajak rakyat bagi sama-sama untuk ‘celik’ undang-undang terutama berkait dengan negeri Sabah ini,” katanya semasa di temui di pejabat Pemuda PAS di sini.

Menurut Lahirul lagi, perkembangan positif untuk rakyat mengetahui mengenai perkaitan undang-undang juga mesti dipupuk dan disemai memandangkan peredaran perubahan zaman telah berlaku.

“Sudah 54 tahun negara ini mencapai kemerdekaan. Sudah banyak revolusi sistem, baik pendidikan, ekonomi, budaya dan sebagainya. Hari ini, kita ingin turut sama melihat rakyat sama-sama boleh bercakap mengenai undang-undang dan hak.

“Kita sudah tidak boleh untuk duduk sekadar hanya menerima sahaja. Rakyat boleh menyuarakan pandangan dan perbezaan pandangan bakal dilihat sebagai satu persaingan dan perkembangan positif,” ujarnya.

Beliau turut mengajak rakyat seluruhnya untuk turut sama menjayakan program tersebut. Hal ini katanya, peluang berbicara mengenainya tidak banyak yang menganjurkan, dan PAS merupakan agen utama membawa masyarakat ke arah perubahan.

“Pihak pemuda PAS mengajak seluruh rakyat yang berkelapangan untuk sama-sama mengikuti program ini,” katanya.

Wacana bertajuk “Perkara 20 dan Perlembagaan Malaysia” tersebut akan diadakan pada 19 November di Likas Square, Kota Kinabalu ini bakal menyaksikan penglibatan aktif Prof. Dr. Abdul Aziz Bari yang juga merupakan Pakar Perlembagaan dan Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Penyertaan tersebut terbuka kepada semua warga dengan bayaran pendaftaran adalah sebanyak RM10 setiap seorang.

Orang ramai yang berminat untuk mengikuti wacana berkenaan, bolehlah merujuk terus kepada Salman Muhammad Amin di talian 019-8963075 atau Mohd Firdaus Bin Muhammad Nor (013-5409308/ 088-430832).

Selasa, 15 November 2011

Kemudahan awam umpama 'projek terbengkalai BN'


PENSIANGAN, 15 Nov: PAS hari ini melahirkan dukacita terhadap pembangunan yang ‘tidak mampu siap’ oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).

Meskipun projek yang dibina itu atas nama pembangunan untuk rakyat, namun pelaksanaan tersebut boleh juga sekaligus mengundang kemarahan dan kritikan oleh rakyat.

Ketua Penerangan PAS Sabah Hishammudin Sulaiman berkata, pembinaan beberapa kemudahan awam terutama di Pekan Sook, dekat sini boleh dikalsifikasikan sebagai ‘projek terbengkalai Barisan Nasional’.

Menurutnya, kemudahan yang siap dan akan dibina itu bakal menjadi titik hitam dalam sejarah pentadbiran BN di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman.

“Apa guna tandas cantik-cantik, besar-besar di Sook ini, tapi airnya tiada. Masuk tandas, puji-puji sikit tandas di sini… buka pili tak keluar-keluar itu air. Apa macam?” katanya.

Beliau turut mempertikai pembangunan kemudahan taman rekreasi yang disifatkannya sebagai ‘projek glamour Barisan Nasional’ yang tidak ada manfaatnya kepada seluruh masyarakat dan rakyat di pekan tersebut.

“Apa kepentingan ini kepada rakyat disini… Bukan ini yang rakyat mahukan,” ujarnya.

Jelasnya, pembangunan seperti kemudahan balai polis, balai bomba, masjid, kompleks sukan, pejabat pos, kemudahan bank dan kemudahan jalan yang berturap merupakan tanggungjawab pemerintah untuk menyediakannya.

“Mana balai polis, mana bank, mana balai bomba… sudah lebih 48 tahun ini merdeka, tapi suasana dan kemudahan yang ada tidak nampak macam sudah merdeka,” jelasnya dalam nada yang kecewa.

Beliau yang juga Yang DiPertua PAS Kawasan Pensiangan, kecewa dengan sikap kepimpinan BN yang masih gagal membawa perubahan malah sering melakukan penindasan terhadap masyarakat luar bandar.

“Kita tak nafikan, banyak sumbangannya dalam urus tadbir negeri… datanglah lihat di kawasan-kawasan pedalaman, jalan-jalan masih berbatu, airnya masih yang ‘percuma’ turun dari langit.. entah bersih, entah tidak… kita pun tidak tahu.

“Duduk dibandar, semua apa yang kita nak mesti dapat. Internet, air bersih, jalan yang selesa, rumah dibina bukan setakat tinggi-tinggi, tapi juga kukuh, nyaman dan selesa diduduki.

Beliau turut mengajak rakyat untuk sama-sama menolak kerajaan yang ada sekarang supaya mengembalikan urusan pentadbiran mengurus negeri dan negara  kepada kepimpinan Pakatan Rakyat.

“Mari rakyat, bersama saya kita ubah ini negeri, ubah ini negara… tolak BN, angkat Pakatan Rakyat… kita bukan lagi menunggu berbaris meminta simpati tapi sama-sama berpakat memajukan negara dan negeri,” katanya.

Sabtu, 12 November 2011

170 bukan Islam sertai DHPP


KOTA KINABALU, 12 Nov: Keserlahan dan keupayaan melihat PAS memimpin negeri menjadi tarikan dan dorongan seramai 170 orang bukan Islam dinegeri ini untuk menyertai Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP).

Naib Pengerusi DHPP Malaysia, S. Suria Narayanan berkata, jumlah tersebut akan bertambah dari semasa ke semasa selepas memperlihatkan keupayaan dan keseragaman pucuk kepimpinan PAS mentadbir dan mengurus negeri yang dikuasainya dengan cemerlang.

“Kita akan turun sekali lagi ke Sabah dan berkemungkinan besar lebih ramai orang bukan Islam untuk menyertai dewan ini.

“Kita mengalu-alukan mereka. Ini hasrat mereka, dan kita akan raikan,” katanya.

Kesemua 170 ahli DHPP dari kawasan Pensiangan tersebut telah menyerahkan borang permohonan kepada Setiausaha Agung PAS Malaysia, Dato’ Mustafa Ali.

Turut hadir dalam penyerahan borang tersebut ialah Pesuruhjaya PAS Sabah, Mohd Aminuddin Aling; Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah, Hamzah Abdullah, Ketua Penerangan PAS Sabah, Hishammudin Sulaiman; Setiausaha PAS Sabah, Awang Laiman; Ketua Pemuda PAS Sabah, Lahirul Latigu dan semua kepimpinan PAS Sabah.

Khamis, 10 November 2011

PAS Sabah selar UMNO/ BN cuba mempolitikkan kenyataan DAP

KOTA KINABALU, 10 Nov: Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah (DPPNS) hari ini menyelar sikap pemimpin Barisan Nasional yang disifatkannya sebagai “nampak kuman diseberang laut, gajah didepan mata tidak dipandang”.

Ketua Penerangannya, Mohd Zulfikar Abd. Mijan (gambar) mendakwa, ramai pemimpin UMNO dan Barisan Nasional seolah-olah sudah buta mata dan telinga dan mati akalnya setelah mempolitikkan kenyataan Setiausaha Penerangan DAP, Tony Pua dalam sebuah akhbar berbahasa Cina baru-baru ini yang mengatakan hasrat DAP untuk mengurangkan bilangan penjawat awam sekiranya pembangkang memerintah kerajaan pusat.

Beliau turut menjelaskan bahawa, setiap keputusan mahupun hasrat yang dikeluarkan oleh individu dalam parti yang mewakili Pakatan Rakyat adalah bukan keputusan tepat. Sebaliknya, keputusan hanya diputuskan oleh ketiga-tiga parti dalam komponen pakatan tersebut.

“Ini hanya hasrat, perbincangan dan keputusan hanya berdasarkan kesepakatan ketiga-tiga parti dalam Pakatan Rakyat,” katanya.

Menurutnya, tiga parti utama yang bergabung dalam Pakatan Rakyat merupakan intipati utama yang harus menjadi prioriti berdasarkan setiap keputusan yang bakal diambil. 

“Janganlah bila ada orang dalam parti ini menyuarakan hasrat, terus nak kaitkan dengan keputusan pakatan… itu tidak betul,” jelasnya.

Sambil menyoroti kembali pendedahan penindasan terhadap hampir 1,000 anggota apprentices Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), beliau mendakwa bahawa kerajaan UMNO/ BN sebenarnya sudah lama mempelopori penindasan dan penghinaan penjawat awam.

“DAP belum perintah Malaysia pun lagi. UMNO/ BN ni dah perintah lama lebih 50 tahun, tapi isu ni pun dia nak sebarkan. Apa kes dengan isu pemberhentian 1,000 anggota perintis TLDM itu? ujarnya.

Pada 26 Oktober lalu, Pemuda PAS Sabah telah melontarkan cabaran kepada Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi selaku Menteri Pertahanan bagi menjawab persoalan dan perkaitan berbangkit berhubung penindasan anggota apprentices yang didakwanya diberhentikan tanpa suara hak dan pembelaan.

Walaubagaimanapun, lontaran cabaran tersebut sehingga ke hari ini tidak diendahkan oleh pihak berkenaan dan mendakwa penindasan tersebut merupakan peristiwa benar berlaku.

Kenapa sampai sekarang tidak ada suara-suara pemimpin TLDM dan kementerian menjawab isu ini? Apakah takut sekiranya isu ini benar?, ujarnya lagi.

Pemuda PAS Sabah sedia bawa suara rakyat pelbagai kaum

KOTA KINABALU, 10 Nov: Keunikan negeri Sabah yang terdiri daripada pelbagai kaum dan suku merupakan satu anugerah yang tidak ternilai. Faktor georafi dan demografi yang timbul tidak sama sekali mematahkan semangat Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah (DPPNS) untuk bergiat cergas dan aktif ditengah-tengah lautan manusia.

Ketua Penerangannya Mohd Zulfikar Abd. Mijan (gambar) berkata, PAS sudah mula dikenali oleh semua lapisan masyarakat Sabah tanpa mengira kaum dan keturunan.

“PAS sudah mula diminati oleh golongan remaja dan anak muda. Masuk lah ke kampung-kampung sejauh pedalaman di Keningau, PAS sudah mula dibicarakan di bibir rakyat,” jelasnya.

Menurutnya, pendedahan isu penjualan pulau Sabah yang didedahkan oleh PAS baru-baru ini telah mula membuka mata masyarakat Sabah yang sudah mula sedar peranan PAS yang dibawa hanyalah untuk kemudahan dan kemajuan rakyat. PAS Sabah terutama katanya, bukan lagi hanya berkisar dipepenjuru masjid dan surau serta disebalik dinding-dinding konkrit malah sudah menjangkaui masa dan setiap sudut pepenjuru di jajahan negeri Sabah.

“Kita tidak sekadar mampu nak kendali program-program keagamaan sahaja. PAS sudah tembusi masjid dan surau… PAS juga telah berjaya menguasai setiap sempadan negeri Sabah,” dakwanya ketika ditemui di Pejabat Pemuda PAS Sabah.

Ketika ditanya mengenai kemampuan Pemuda PAS untuk menjadi teras dan keutamaan suara rakyat, beliau menjawab bahawa PAS Sabah sudah bersedia untuk mewakili golongan sasar seperti golongan belia dan anak muda juga termasuk dengan mana-mana kaum sebagai generasi pelapis bagi mengetengahkan isu dan rintihan mereka.

“PAS Sabah akan menjadi dominan dan penyebar rintihan mereka. Sudah lama mereka ini disisihkan oleh pembangunan Barisan Nasional tanpa kerelaan mereka.

“Kita mampu membawa suara rakyat ke persada politik. PAS bukan politik semata, kerana lahirnya PAS adalah mewakili suara dakwah dan tarbiyah,” ujarnya.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan terdapatnya unsur fitnah yang dibawa golongan tertentu yang berasa terancam setelah melihat kemajuan perjuangan PAS di bumi Sabah.

“Saya memperingatkan bahawa masyarakat Sabah supaya jangan mudah untuk mempercayai berita-berita negeatif terhadap PAS di sini. Itu mereka yang merasakan dirinya sudah terancam kuasanya apabila berhadapan dengan PAS,” katanya.

Jalan Sinua sesuai untuk laluan kereta kebal

KENINGAU, 10 Nov: PAS Kawasan Pensiangan hari ini melahirkan rasa kecewa dan sedih terhadap Kementerian Pembangunan Luar Bandar yang lewat menyiapkan projek naik taraf jalan Sinua dekat Sook, Keningau.
                                                  
Yang DiPertua PAS Kawasan Pensiangan, Hishammudin Sulaiman mendakwa pihaknya amat kecewa dengan sikap kementerian terbabit kerana lewat menyiapkan naik taraf jalan berkenaan yang hanya sesuai untuk kenderaan kereta kebal sahaja.

“Kami berasa kecewa dan sedih kerana rakyat melalui jalan yang tidak berturap yang sesuai dilalui untuk laluan kereta kebal,” jelasnya.

Menurutnya, kesan balingan batu yang jelas dilihat dipapan tanda projek berkenaan juga membuktikan bahawa kemarahan rakyat sudah mencapai kemuncak.

“Ini merupakan kesan balingan batu, kesan kemarahan rakyat terhadap jalan yang tidak dibina dan pembangunan yang dibuat oleh Barisan Nasional,” katanya.

Dalam perkembangan lain, PAS Pensiangan juga menyumbang sebanyak 40 kepingan zink kepada Kg. Sinaron, Terusmadi untuk digunakan bagi pembangunan surau di kampung tersebut.

Turut hadir memberikan sumbangan tersebut ialah Ahli Jawatankuasa Dewan Pemuda PAS Selangor, Husni Zaim Mohmadan dan seluruh pimpinan PAS Kawasan Pensiangan.

Selasa, 8 November 2011

PAS sambut baik pemansuhan PPSMI

 KOTA KINABALU, 8 Nov: Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah (DPPNS) menyambut baik hasrat Kementerian Pelajaran untuk memansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Ketuanya, Lahirul Latigu berkata, langkah pemansuhan tersebut dianggap wajar  apabila memperlihatkan keadaan masyarakat luar bandar terutama kawasan pedalaman Sabah yang begitu daif dari struktur bahasa dan kemudahan yang banyak mempengaruhi potensi penggunaan PPSMI tersebut

“Keadaan di Sabah terutamanya, boleh dinilai secara mudah. Bagaimana kita mahu meneruskan PPSMI ini sedangkan pelajar-pelajar luar bandar masih lemah penguasaan bahasa Inggeris dan kepakaran guru-guru menguasai PPSMI pun dilihat kurang.

“Lihat sahaja di kawasan pedalaman Sabah yang mana bukan sahaja keadaan sekolah yang usang, malah kemiskinan juga menghantui proses PPSMI tersebut,” katanya.

Beliau juga tidak menolak masih ramai guru-guru terutama dikawasan pedalaman yang bukan sahaja berhempas pulas mendidik pelajar-pelajar pedalaman, malah terpaksa juga melaksanakan pengajaran dua subjek berkenaan dalam dwi bahasa.

“Kita percaya, masih ramai dikalangan guru-guru yang terpaksa menggunakan dwi bahawa dalam proses pembelajaran dua subjek berkenaan. Ini sekaligus menyebabkan bebanan yang terpaksa ditanggung oleh guru-guru semakin bertambah,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Peneranganya Mohd Zulfikar Abd. Mijan berkata, Menteri Pelajaran harus mengotakan janjinya bagi memansuhkan PPSMI yang berkuatkuasa tahun 2012.

PAS Sabah sumbang 11 ekor lembu


KOTA KINABALU, 8 Nov: Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah (DPPNS) menyumbang 11 ekor lembu untuk dikorbankan sempena Aidiladha tahun ini.

Sumbangan tersebut telah disalurkan ke seluruh Sabah, antaranya Keningau (4 ekor), Putatan (2 ekor), Tawau (2 ekor) ,Sepanggar (1 ekor), Kota Belud (1 ekor) dan Beaufort (1 ekor).

Ketuanya Lahirul Latigu berkata, hasil daging korban akan diagihkan ke kawasan sekitarnya untuk dinikmati oleh seluruh masyarakat setempat.

“Sumbangan itu akan diagih-agihkan kepada masyarakat Islam setempat,” katanya.

Beliau, yang ditemui ketika mengedarkan sumbangan korban di Pulau Gaya bagaimanapun berharap agar seluruh masyarakat saling bekerjasama dan mengeratkan tali persaudaraan sepanjang masa.

“Setiap daripada kita harus memperkukuhkan tali persaudaraan dan bersikap toleransi dalam setiap tindakan. Amanah dan jujur dalam menguruskan hak rakyat mesti tersemat dalam diri,” jelasnya.

Khamis, 3 November 2011

Jual Pulau: Polis cuba gagalkan kehadiran orang ramai


KALABAKAN, 3 Nov: Hampir 20 anggota polis menggerumuni kawasan pejabat PAS Kalabakan bagi usaha menghalang orang ramai dari mendengar penjelasan mengenai penjualan pulau-pulau Sabah oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah, Lahirul Latigu.

Menurut Naib Ketua Pemudanya Noryusri Ahmad mendakwa, ini merupakan situasi pertama yang berlaku di Tawau sepanjang sejarah penganjuran ceramah umum termasuk yang melibatkan tokoh politik PAS dari semenanjung yang hadir berceramah di situ.

“Ramai pimpinan PAS dari semenanjung datang sini, termasuk Mohamad Sabu pernah ceramah di Tawau pun tidak berlaku seperti malam ini.

“Dulu yang ada hanya 2-3 orang sahaja termasuk special branch. Tapi malam ini umpama satu batolion datang menakut-nakutkan orang ramai yang nak datang dengar isu pulau,” dakwanya.

Sementara itu, Lahirul yang dalam ucapan ceramahnya kepada orang ramai yang hadir menegaskan, kehadiran anggota polis yang begitu ramai bukanlah penyebab utama halangan untuk beliau dari terus mengadakan road showke seluruh pelusuk negeri Sabah bagi memberi kefahaman dan maklumat berhubung isu tersebut termasuklah mengenai isu tanah rakyat Sabah yang gagal ditangani oleh kerajaan Sabah sehingga ke hari ini.

“Datanglah berapa puluh ribu sekalipun, saya sama sekali tidak berganjak untuk menoleh ke belakang membelakangi hak rakyat Sabah,” tegasnya.

Beliau juga mendakwa, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman sebagai menteri yang pengecut kerana tidak berani menyahut cabaran pemuda PAS berhubung isu tersebut yang sudah melepasi tempohnya.

“Musa Aman terpaksa menggunakan polis sebagai usaha terdesak beliau mengekang dari maklumat ini sampai kepada rakyat".

Beliau sebelum ini mengasak Musa Aman untuk turut berada di lapangan politik Sabah sebagai ‘anak tempatan’ yang bertindak sebagai penjaga amanah dan menghalang dari khazanah negeri tergadai bukan mendiamkan dirinya.

Ketua Penerangannya, Mohd Zulfikar Abd. Mijan turut bertindak menghalau keluar tiga anggota polis yang menyamar sebagai orang awam daripada menyertai majlis penerangan tersebut.

“Malam ini, kebanyakan mat rempit serta penjenayah bersenang-lenang merempit dan  merompak apabila polis yang diamanahkan untuk menjaga keselamatan awam bertindak mengawasi perjalanan ceramah PAS,” sinisnya semasa berucap menyampaikan ceramahnya.

Walaupun kehadiran polis seramai itu, namun ianya tidak mengentarkan hampir 100 orang yang datang dari Semporna, Tawau serta Kalabakan. Jumlah tersebut bagaimanapun dijangka meningkat setelah kebanyakan darinya terpaksa berpatah balik apabila mengetahui kehadiran polis yang begitu ramai.

Isu penjualan pulau Sabah kini tersebar luas setelah kenyataan oleh Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur Negeri Sabah, Datuk Osman Jamal yang mengakui terdapatnya pulau-pulau yang ingin dijual.

Penjualan pulau-pulau ini bagaimanapun mendapat bantahan serius oleh Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah yang menjalankan pelbagai usaha menghalang penjualan pulau tersebut termasuklah menghantar memorandum bantahan serta yang terbaru melancarkan kempen “Selamatkan Pulau Sabah” dengan mengutip tandatangan rakyat sebagai tanda sokongan bantahan yang disasarkan sebanyak 100 000 tandatangan dikumpul dan diserahkan kepada Musa Aman serta Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk dibahaskan di Parlimen.

Lahirul bersama Ketua Penerangan dan rombongan kini dalam rangka lawatan kerja pilihanraya dan penerangan pemuda PAS ke kawasan Kudat, Lahad Datu, Kota Kinabatangan, Sandakan, Semporna dan Kalabakan termasuk melawat beberapa buah pulau yang diiklankan untuk dijual. 


Hulurkan sumbangan, ringankan beban


TAWAU, 3 Nov: Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah (DPPNS) dan Pemuda PAS Kawasan Tawau telah melancarkan usaha mengumpul dana dan tajaan bagi mengurangkan bebanan yang terpaksa ditanggung oleh Nur Ayu Farhana, 5 tahun anak kepada mantan Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah, Daramansyah Bin Lamasa yang menghidap penyakit buah pinggang sejak beberapa bulan yang lalu.

Menurut Ketuanya, Lahirul Latigu berkata bahawa pihaknya telah menemui Daramansyah atau lebih dikenali sebagai Abg. Dai serta anaknya di Hospital Tawau, petang kelmarin.

Sehubungan dengan itu, DPPNS dan PAS Tawau akan memohon sumbangan orang ramai untuk menghulurkan bantuan dan mengurangkan bebanan yang terpaksa ditanggung oleh Abg. Dai bagi menguruskan perbelanjaan rawatan dan harian anaknya itu.

“PAS Sabah akan menggerakkan seluruh jentera untuk memobilasi bantuan kewangan serta tenaga untuk membantu mengurangkan beban yang ditangung oleh beliau,” katanya.

Oleh itu, mana-mana individu, syarikat korporat atau badan-badan NGO yang ingin membantu beliau bolehlah menghubunginya di talian 019-8732884 atau secara terus masukkan sumbangan anda ke akaun Bank Islam: 10-025-02-035575-9 atas nama DARAMANSYAH BIN LAMASA.

Sumbangan anda adalah amat dialu-alukan. 
 

Rabu, 2 November 2011

Kompaun saman tinggi, ambil kesempatan kaut keuntungan


TAWAU, 2 Nov: Kadar kompaun kesalahan trafik terutama melibatkan kesalahan meletak kenderaan di luar kawasan petak adalah menzalimi dan menindas rakyat.

Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah (DPPNS) Lahirul Latigu, dalam respon segeranya terhadap pesalah jalan raya ini menyifatkan tindakan pihak berkuasa terutama Polis Diraja Malaysia (PDRM) merupakan satu tindakan yang tidak mencerminkan slogan “rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan” yang dilaung-laungkan.

Beliau mendakwa, pertambahan pengguna jalan raya yang semakin meningkat adalah tidak setimpal dengan kemudahan kawasan meletak kenderaan untuk keselesaan rakyat.
                                          
“Kawasan meletak kenderaan terutama kereta tidak cukup untuk menampung pertambahan kenderaan ketika ini.

“Mana slogan rakyat didahulukan? Rakyat tidak didahulukan untuk kemudahan keselesaan. Pencapaian sudah tentu tidak memuaskan,” dakwanya.

Beliau juga mempersoal kewajaran bayaran kompaun sebanyak RM100 yang didakwanya terlalu tinggi nilainya yang dikenakan atas kesalahan tersebut.

Tambahnya, hampir semua rakyat memiliki sekurang-kurangnya sebuah kereta untuk keselesaan dan penggunaan harian.

Beliau turut menempelak PDRM dengan mendakwa mengambil kesempatan atas alasan saman untuk meraih keuntungan.

“Apakah PDRM hari ini mengambil kesempatan atas kesempitan rakyat dengan menggunakan kaedah saman untuk meraih keuntungan?,” soalnya.

Beliau meminta agar PDRM mengkaji semula jumlah kompaun yang dikenakan kepada pesalah tersebut.

“PDRM perlu kaji balik jumlah ini. Rakyat perlu diberi peluang untuk dikurangkan kompaun berdasarkan kawasan meletak kenderaan yang tidak mencukupi untuk menampung kadar pengguna jalan raya,” pintanya. 

Selasa, 1 November 2011

Nahas ngeri: Pemuda PAS Sabah ucap takziah

SANDAKAN, 1 Nov: Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah (DPPNS) merakamkan ucapan takziah kepada semua keluarga mangsa tragedi ngeri pelanggaran keretapi dengan sebuah lori tangki minyak di hadapan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, Isnin lalu.

Ketuanya, Lahirul Latigu juga mendoakan pihak keluarga yang terlibat diberikan kekuatan dan kesabaran meskipun tiada jiwa yang dilaporkan terkorban.

“Pemuda PAS Sabah sangat terkejut dengan kemalangan ini dan mengharapkan semua keluarga yang terlibat dapat bersabar serta diberikan kekuatan untuk meneruskan kehidupan,” katanya.

Beliau yang dalam rangka lawatan gerak kerja pilihanraya ke setiap kawasan bagaimanapun berharap kejadian itu tidak berulang di lain masa.

“PAS berharap pihak yang bertanggungjawab dapat mengambil langkah pencegahan bagi mengelakkan kejadian itu berulang lagi,” ujarnya.

Pada Isnin lalu, lapan orang cedera dalam letupan besar akibat pelanggaran antara keretapi dengan sebuah lori tangki minyak di hadapan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu. Kesemua mangsa dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth untuk rawatan lanjut.
 
 
back to top