Selasa, 15 November 2011

Kemudahan awam umpama 'projek terbengkalai BN'


PENSIANGAN, 15 Nov: PAS hari ini melahirkan dukacita terhadap pembangunan yang ‘tidak mampu siap’ oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).

Meskipun projek yang dibina itu atas nama pembangunan untuk rakyat, namun pelaksanaan tersebut boleh juga sekaligus mengundang kemarahan dan kritikan oleh rakyat.

Ketua Penerangan PAS Sabah Hishammudin Sulaiman berkata, pembinaan beberapa kemudahan awam terutama di Pekan Sook, dekat sini boleh dikalsifikasikan sebagai ‘projek terbengkalai Barisan Nasional’.

Menurutnya, kemudahan yang siap dan akan dibina itu bakal menjadi titik hitam dalam sejarah pentadbiran BN di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman.

“Apa guna tandas cantik-cantik, besar-besar di Sook ini, tapi airnya tiada. Masuk tandas, puji-puji sikit tandas di sini… buka pili tak keluar-keluar itu air. Apa macam?” katanya.

Beliau turut mempertikai pembangunan kemudahan taman rekreasi yang disifatkannya sebagai ‘projek glamour Barisan Nasional’ yang tidak ada manfaatnya kepada seluruh masyarakat dan rakyat di pekan tersebut.

“Apa kepentingan ini kepada rakyat disini… Bukan ini yang rakyat mahukan,” ujarnya.

Jelasnya, pembangunan seperti kemudahan balai polis, balai bomba, masjid, kompleks sukan, pejabat pos, kemudahan bank dan kemudahan jalan yang berturap merupakan tanggungjawab pemerintah untuk menyediakannya.

“Mana balai polis, mana bank, mana balai bomba… sudah lebih 48 tahun ini merdeka, tapi suasana dan kemudahan yang ada tidak nampak macam sudah merdeka,” jelasnya dalam nada yang kecewa.

Beliau yang juga Yang DiPertua PAS Kawasan Pensiangan, kecewa dengan sikap kepimpinan BN yang masih gagal membawa perubahan malah sering melakukan penindasan terhadap masyarakat luar bandar.

“Kita tak nafikan, banyak sumbangannya dalam urus tadbir negeri… datanglah lihat di kawasan-kawasan pedalaman, jalan-jalan masih berbatu, airnya masih yang ‘percuma’ turun dari langit.. entah bersih, entah tidak… kita pun tidak tahu.

“Duduk dibandar, semua apa yang kita nak mesti dapat. Internet, air bersih, jalan yang selesa, rumah dibina bukan setakat tinggi-tinggi, tapi juga kukuh, nyaman dan selesa diduduki.

Beliau turut mengajak rakyat untuk sama-sama menolak kerajaan yang ada sekarang supaya mengembalikan urusan pentadbiran mengurus negeri dan negara  kepada kepimpinan Pakatan Rakyat.

“Mari rakyat, bersama saya kita ubah ini negeri, ubah ini negara… tolak BN, angkat Pakatan Rakyat… kita bukan lagi menunggu berbaris meminta simpati tapi sama-sama berpakat memajukan negara dan negeri,” katanya.

Sila Tinggalkan Pesan, K!

Catat Ulasan

 
back to top