Jumaat, 27 Julai 2012

Himpunan Aman selamatkan umat Islam Rohingya


KOTA KINABALU: Kira-kira 200 umat Islam berhimpun secara aman bagi menunjukkan bantahan terhadap kezaliman yang dilakukan  oleh tentera Myanmar terhadap penduduk Islam di Rohingya.

Perhimpunan aman yang dianjurkan oleh Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah itu, mengajak rakyat khususnya di negeri ini berdiri teguh dengan mempertahankan hak yang sepatutnya dimiliki oleh penduduk Islam di negara tersebut.

Ketua Pemudanya, Lahirul Latigu yang ditemui pada perhimpunan itu berkata, umat Islam khusunya di negeri ini perlu bersatu dan menunjukkan kebersamaan terhadap umat Islam di negara-negara lain. Sudah tiba masanya, untuk umat Islam kembali menyelami penderitaan dan kesengsaraan yang dialami umat Islam di negara-negara bergolak.

“Kekejaman terhadap umat Islam Rohingya ini merupakan isu sejagat umat Islam yang lain. Kita mesti bersama dengan mereka... menyokong serta menghulurkan apa-apa yang boleh disumbangkan hatta dengan harta sekalipun.

“Kita juga mendesak, kerajaan Malaysia mengambil tindakan sewajarnya. Sebagai sebuah negara Islam seperti mana yang digembar-gemburkan, adalah amat malang sekiranya kerajaan hanya mahu melihat tidak berdaya berbuat apa-apa,” jelasnya.

Sebahagian umat Islam yang menunjukkan komitmen melawan sebarang bentuk penindasan
Katanya, kerajaan Malaysia harus melihat isu ini secara tegas dan matang dengan menyatakan secara tegas terhadap kerajaan Myanmar.

“Kita mahu, kerajaan Malaysia selaku rakan ASEAN dengan Myanmar melihat secara tegas. Katakan secara tegas kepada Myanmar untuk tidak berlaku kekejaman terhadap umat Islam di sana,” ujar Lahirul.

Perhimpunan aman yang berlangsung di Masjid Bandar dekat Kota Kinabalu berakhir dengan beramai-ramai mengaminkan bacaan doa dan doa qunut nazilah yang diketuai oleh Murtaza Othman yang juga Exco Tarbiyah, Pemuda PAS Sabah. 

Khamis, 26 Julai 2012

Lajim jumpa Nik Aziz di Kota Bharu


KOTA BHARU: Ketika panas cerita tentang kedudukan Datuk Seri Lajim Ukim dalam Umno, tiba-tiba hari ini Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu mengunjungi Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Kedua-duanya kelihatan berbual mesra di pejabat Menteri Besar Kelantan itu hari ini.

Bulan lalu, Lajim mengumumkan perletakan jawatannya sebagai Ketua Cawangan Umno Kerambai Kebatu.

Difahamkan pengumuman berkenaan dibuat pada majlis sambutan Ulang Tahun ke-57 kelahirannya pada Sabtu bulan lalu.

"Surat peletakan jawatannya sebagai Ketua Umno Cawangan telahpun di hantar kepada Setiausaha Umno Bahagian Beaufort beberapa hari lalu.

"Langkah pertama tidak akan pertahankan kerusi Ketua Bahagian dan langkah kedua peletakan ketua cawangan Umno dan langkah ketiga katanya tunggu dan lihat," katanya yang dipetik daripada portal berita New Sabah Times pada Isnin.

Sebelum ini Lajim mengumumkan tidak akan mempertahankan kerusi Ketua Umno Bahagian Beaufort.

Menurut laporan itu lagi, Lajim berkata beliau masih 'pemimpin kerajaan' dan masih meneruskan tugasnya sebagai pemimpin dalam parti kerajaan.

Pemuda alukan Lajim sertai PAS


BEAUFORT: PAS bersedia menerima kemasukan orang ramai termasuk tokoh masyarakat dan politik untuk menjadi ahli parti tanpa mengira latar belakang dan kedudukan seseorang.

Ketua Pemuda PAS Sabah, Lahirul Latigu berkata, PAS sudah menunjukkan keterbukaan dengan menerima kemasukan sesiapa sahaja yang berminat untuk menyertai parti tersebut tanpa sebarang halangan dan latar belakang.

“PAS sudah banyak pengalaman yang dilalui. PAS juga menerima pelbagai latar sama ada doktor, peguam, professional malah orang kampung yang tidak berpendidikan pun PAS terima kalau dia mahu jadi ahli.

“PAS tidak pernah halang kemasukan mereka”, ujar beliau.

PAS katanya, turut menyambut baik dan mengalu-alukan tindakan Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Seri Lajim Ukin untuk menyertai PAS sekiranya beliau dipecat oleh Umno.

“PAS mengalu-alukan tindakan beliau untuk bersama perjuangan PAS dan Pakatan Rakyat.

“Beliau (Lajim) sudah pun mengakui bahawa Pakatan Rakyat mampu melakukan perubahan dan memperbetulkan apa yang diseleweng Umno. Ini kata beliau, dan PAS amat berterima kasih terhadap pandangan beliau ini,” katanya.

Beliau diminta mengulas terhadap kenyataan Datuk Seri Lajim yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu dalam sebuah akhbar tempatan Daily Express kelmarin yang tidak kisah dipecat oleh Umno serta bersedia menyertai sama ada Parti Keadilan Rakyat (PKR), PAS atau DAP berdasarkan kehendak para penyokongnya.

Katanya Lahirul, pimpinan Umno dan rakyat di negeri Sabah sebenarnya tidak perlu gusar dan takut-takut untuk menyatakan pendirian mereka terhadap Umno kerana parti tersebut sudah tidak mampu mengubah dan berubah apa-apa yang sepatutnya dimiliki oleh negeri ini.

“Apa yang ada dalam Umno kini hanyalah rasuah, kronisme, putar belit dan sebagainya.

“Kenapa perlu dipertahankan Umno dan Barisan Nasional lagi,  seandainya ada Pakatan Rakyat yang mampu mengubah landskap politik dan kehidupan rakyat Sabah.?” Jelas Lahirul.

Selasa, 10 Julai 2012

PAS tinjau kegagalan BN di Sabah


KENINGAU: Kegagalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk melawat ke beberapa sekolah daif di seluruh daerah ini telah menarik perhatian PAS untuk mendekati sekaligus merasai keadaan dan kedaifan yang digembar-gemburkan seperti mana yang telah didedahkan oleh media internet terutama Facebook sejak beberapa bulan lalu.


Antara sekolah yang sempat ditinjau ialah  Sekolah Kebangsaan Tuarid Taud yang hanya 5 kilometer dari Pekan Keningau.




Keadaan pondok pengawal yang usang, bangunan yang membahayakan keselamatan serta keadaan yang daif menarik minat beberapa rombongan PAS Malaysia yang diketuai Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Ketua Penerangan PAS Malaysia bersama Timbalan Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Malaysia, N. Subramaniam serta Ketua Penerangan PAS Sabah, Hisammuddin Sulaiman; Ketua Pemuda PAS Sabah, Lahirul Latigu dan beberapa rombongan lain.

Menurut Datuk Tuan Ibrahim, pihaknya seakan tidak percaya apabila dikatakan harga yang mencecah RM 170,000 untuk satu bangunan berukuran 20 x 20 kaki itu yang akan menempatkan pelajar seramai 30 orang dalam satu kelas.

"Apakah benar kelas sekecil ini bernilai RM170,000 sebagaimana yg dihebahkan," soal Tuan Ibrahim.
DAIF... belajar hanya beratapkan khemah yang disediakan oleh pihak PIBG sekolah
Ada juga kelas sementara yang dibina hasil sumbangan ikhlas guru guru dan inisiatif Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan. Ia dibina untuk menyelesaikan masalah pelajar yang belajar di bawah khemah.

Sementara itu, Ketua Penerangan PAS Sabah, Hisammuddin Sulaiman turut menyelar sikap pemimpin Kerajaan Sabah yang gagal memberikan komitmen dengan kehadiran Perdana Menteri ke Keningau bulan lalu.

“Ini salah satu tempat yang gagal untuk Najib dan pemimpin BN Sabah lain lawati. Ada banyak lagi kawasan-kawasan daif yang ada didaerah ini dan juga Pensiangan.

“Dan, kita akan dedahkan satu persatu,” ujar beliau yang juga Yang DiPertua PAS Pensiangan.

Terdahulu, Datuk Tuan Ibrahim turut dibawa melewati beberapa jalan utama di Sook, Pensiangan yang menghubungkan beberapa buah kampung antaranya Kg. Sinulihan Baru, Kg. Batu Luguyan, Kg. Mansiat dan sebagainya.
 
back to top