Khamis, 31 Januari 2013

Projek IC: Siasat Siapa Dalang Sebenar

KOTA KINABALU: Tindakan beberapa pihak tertentu yang membabitkan Ketua Pemuda PAS Sabah dalam Projek IC dilihat sebagai tindakan terdesak bagi mengalih isu sebenar dalam pemberian kewarganegaraan kepada pendatang asing.

Ketua Pemuda PAS Sabah, Lahirul Latigu berkata, tindakan beberapa pihak tertentu yang bertindak mengheretnya bersama Projek IC merupakan tindakan terdesak yang cuba mengalih isu dan dalang sebenar dalam Projek IC itu.

“Sebenarnya, mereka ingin mengalih perhatian dari isu dan dalang sebenar Projek IC yang sanggup menggadai kewarganegaraan demi mendapat undi dalam pilihanraya,” kata Lahirul yang ditemui selepas sesi keterangan RCI di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, kelmarin.

Dalam sesi pendengaran sesi kedua tersebut, beliau turut memberikan penjelasan berkenaan bapa beliau yang berasal dari Indonesia dan telah berkahwin dengan ibunya, seorang warganegara Malaysia yang berasal dari Beaufort dan berbangsa Murut.

“Setahu saya, kita boleh mengikuti sama ada etnik bapa atau ibu kita,” katanya kepada Pegawai Pengendali Siasatan RCI, Jamil Aripin.

Lahirul turut mempertikai kenapa harus suruhanjaya mempersoal identiti beliau sedangkan mengikut Perkara 14 (1)(b) Perlembagaan Malaysia.

“Bagaimana mereka boleh mempersoalkan identiti saya, sedangkan taraf saya adalah sah mengikut Perlembagaan Malaysia dalam Perkara 14(1)(b),” kata Lahirul.

Mengikut Perlembagaan Malaysia, Perkara 14(1)(b), “seseorang yang diahirkan pada atau selepas hari Malaysia dan mempunyai mana-mana daripada kelayakan yang ditentukan dalam Bahagian II Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan seperti yang berikut: (a) Dia dilahirkan di Persekutuan dan pada masa kelahiran itu sekurang-kurangnya ibu atau bapanya seorang warganegara atau bermastautin tetap di Persekutuan”.

Undang-Undang Sabah

Mengikut Undang-Undang Sabah, Interpretation (Definition of Native) Ordinance (Sabah Cap. 64) dalam Fasal 2(1)(b) turut menjelaskan bahawa: any person ordinarily resident in Sabah and being and living as a member of a native community, one at least of whose parents or ancestors is or was a native within meaning of paragraph (a) hereof.

Justeru katanya, pihak Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) tersebut perlu mencari dan mengenalpasti dalang yang terlibat dalam pemberian kewarganegaraan tersebut.

“Siapa dalang utama, mesti menjadi syarat penting kepada suruhanjaya tersebut dalam bertindak dan menyelesaikan isu.

“Tidak hanya menyiasat dan mengambil keterangan daripada peringkat bawahan sahaja,” tegasnya.

Lahirul memberi keterangan sebagai saksi ke-46 di hadapan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) terhadap pendatang tanpa izin di Sabah.

Sehingga kini, seramai 49 saksi telah tampil memberi keterangan sejak RCI memulakan sesi pertama pendengaran pada 14 Januari hingga 18 Januari lalu. Sesi kedua pendengaran yang bermula 28 Januari akan berakhir pada 1 Februari depan.

Sila Tinggalkan Pesan, K!

Catat Ulasan

 
back to top