Isnin, 4 Februari 2013

'Ini Kalilah' Sudah Dirasai Penduduk Pulau Sepanggar

KOTA KINABALU: Penduduk Pulau Sepanggar, Kota Kinabalu, yang terletak kira-kira 10 hingga 15 minit dari Pulau Gaya mempunyai hanya kira-kira 400 penduduk di 70 buah rumah merintih diabaikan BN sekian lama.

Ketua Penduduk Pulau Sepanggar yang juga Ketua SAPP (Sabah Progressive Party), Haji Ahmad Abu Bashar berkata sudah sekian lama penduduk Pulau Sepanggar diabaikan kerajaan Barisan Nasional.

Katanya, infrastrukur Pulau Sepanggar tidak dibangunkan dan masjid yang ada juga uzur tanpa dipedulikan oleh kerajaan BN. Lebih teruk, kebajikan penduduk seperti kesihatan juga diabaikan.

Semalam, rombongan PAS yang diketuai Setiausaha Majlis Syura Ulamak, Datuk Nik Muhammad  Zawawi Nik Salleh telah berkunjung ke Pulau Sepanggar untuk meninjau keadaan penduduk dan menjalin ukhuwah Islam.

“Kami datang memahami masalah mereka dan juga mengambil kesempatan untuk mengadakan sambutan dan penghayatan kepada Maulidur Rasul,” kata Nik Zawawi ketika dihubungi Harakahdaily.

Di dalam lawatan ini juga, Nik Zawawi berkata PAS memberikan pemeriksaan kesihatan percuma.

“Alhamdulilah, program kebajikan ini disambut meriah. Hampir semua penduduk Sepanggar menghadiri program ini. Mereka semua menyokong PAS,” katanya lagi.

Nik Zawawi, yang juga Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS berkata penduduk Pulau Sepanggar kini sedar mereka mempunyai pilihan alternatif, iaitu Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kali ini.

“Insya Allah. mood ‘Ini Kalilah – Tukar’ sudahpun dirasai di sini,” kata beliau lagi.

Sila Tinggalkan Pesan, K!

Catat Ulasan

 
back to top