Rabu, 27 Februari 2013

Manifesto PR: Tawaran Terbaik Untuk Rakyat Sabah


KOTA KINABALU: Pemimpin Barisan Nasional diingatkan agar tidak dilihat ‘orang hilang akal’ dengan menyerang manifesto Pakatan Rakyat yang baru sahaja dibentang pada Konvensyen Pakatan Rakyat ke-4, Isnin lalu.

Ketua Dewan Pemuda PAS Sabah, Lahirul Latigu menegaskan, jika Barisan Nasional yakin mereka mendapat kepercayaan dan sokongan yang kuat daripada penyokong, maka mereka juga perlu mengisytiharkan manifestonya kepada semua rakyat Malaysia.

“Kalau benar apa yang manifesto Pakatan Rakyat itu salah dan tidak betul, maka saya kira, mereka juga perlu mengeluarkan manifestonya.

“Menyerang manifesto Pakatan Rakyat dilihat mencerminkan pemikiran sebenar pemimpin Barisan Nasional yang kelihatan gelabah dan huru-hara dengan tawaran menarik Pakatan Rakyat kepada rakyat,” ujarnya.

Menurut Lahirul, rakyat Sabah telah diberikan tawaran menarik oleh Pakatan Rakyat dan sudah semestinya mereka turut tertanya-tanya di mana tawaran Barisan Nasional dalam menghadapi pilihanraya ini.

“Pakatan Rakyat sudah menawarkan yang terbaik kepada rakyat terutama di Sabah termasuk dalam menyentuh intipati Perjanjian Malaysia dengan mengembalikan semula autonomi kepada Sabah dan Sarawak mengikut lunas Perlembagaan Persekutuan.

“Termasuklah juga dalam pemberian royalti minyak daripada 5% kepada 20%, ada pemimpin Barisan Nasional dakwa akan mengakibatkan kerugian dalam industri Petronas dan Negara. Sedangkan, apa yang berlaku antara tol-tol dan kensensi lebuhraya di Semenanjung Malaysia, mereka mengaut keuntungan berlipat kali ganda walaupun angka sebenar perbelanjaan telah melepasi had tempoh,” jelas Lahirul.

Katanya, pemimpin Barisan Nasional di negeri ini perlu bersikap adil kepada rakyat Sabah dan bukan bertindak membelakangkan rakyat sendiri yang terpinggir serta dipinggirkan oleh pemimpin anak negeri sendiri.

“Apa yang dikecapi oleh pemimpin, mesti juga dirasai oleh rakyat bawahan. Jangan ada pemimpin yang rumahnya besar, keretanya besar.

“Tapi masih berkira-kira dalam isu menaik taraf kehidupan dan keselesaan rakyat. Ini kezaliman,” tegas beliau.

Beliau turut mempertikaikan kenyataan beberapa pemimpin Barisan Nasional yang masih lagi berangan-angan dan tidak sedar bahawa Pakatan Rakyat juga sudah memerintah di beberapa buah negeri termasuk hampir menguasai keseluruhan Wilayah Persekutuan.

“Di Kedah, Pulau Pinang, Kelantan dan Selangor. Barisan Nasional merupakan pembangkang. Mana boleh mereka jelajah negeri berkenaan, mereka dakwa mereka sebagai kerajaan. Itu yang saya katakan, mereka ini sudah tidak nampak kebenaran. Mereka meracau hingga ke subuh.

“Apa yang perlu ialah, biar rakyat yang menilai dan mengadili manifesto setiap parti sama ada Barisan Nasional mahupun Pakatan Rakyat. Rakyat Malaysia sudah bijak,” katanya.

Sila Tinggalkan Pesan, K!

Catat Ulasan

 
back to top