Isnin, 25 Februari 2013

Diugut, Karnival Rakyat PAS Sepanggar Dibatal

KOTA KINABALU: Karnival Rakyat PAS Kawasan Sepanggar yang sepatutnya berlangsung semalam di Kampung Warisan di sini terpaksa dibatalkan ekoran tindakan sabotaj dan ugutan kekacauan yang dilakukan pihak tertentu.

Menurut Ketua Pemuda PAS Sepanggar Saifuddin Samsuddin, sekumpulan Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), mendatangi mereka dan mengugut akan melakukan kekacauan sekiranya program tersebut diteruskan.

Menurut Saifuddin, pihaknya sebelum ini telah mengadakan pertemuan bersama JKKK, namun ketegangan berlaku apabila mereka mendakwa pihak Belia kampung tersebut telah merancang untuk mengadakan aktiviti sama sejak Januari lalu.

Walaubagaimanapun katanya, penganjur yang telah beberapa kali mengadakan perbincangan dan mesyuarat bersama beberapa penduduk kampung tidak pernah dimaklumkan mengenai program Belia yang akan menganjurkan aktiviti sama pada hari tersebut.

Malahan, penganjuran Karnival Rakyat ini juga telah mendapat kebenaran pihak Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan turut dimaklumkan kepada pihak polis.

Pagi semalam, sebelum program berlangsung, beberapa buah kenderaan dan kumpulan yang dipercayai penyokong BN berkawal di padang dan kelihatan bendera BN sudah mula dipacak disekitar padang di mana lokasi penganjuran Karnival Rakyat akan diadakan.

Selain itu penganjur mendapati beberapa banner dan banting yang dipasang sekitar kawasan kampung telah diconteng dan ditulis dengan beberapa perkataan ugutan.

Sehubungan itu kata Saifuddin, bagi mengelak sebarang perkara tidak diingini berlaku, program tersebut terpaksa ditunda kepada satu tarikh lain.

Sila Tinggalkan Pesan, K!

Catat Ulasan

 
back to top