Jumaat, 25 Januari 2013

Pemuda PAS Sepanggar Beri Minuman Percuma

KOTA KINABALU: Seusai solat Jumaat kebiasaanya mereka yang bermurah hati menghulurkan sedekah seperti pisang masak kepada jemaah, tetapi berlainan di Sepanggar apabila Dewan Pemuda PAS Kawasan menghidangkan minuman percuma untuk jemaah.

Bagi Pemuda PAS Sepanggar selain menggunakan pendekatan seperti ini untuk mengeratkan PAS dengan masyarakat ianya satu amalan bersedekah yang digalakkan dalam Islam.

"Selain sedekah, minuman tersebut juga bagi menambahkan kesegaran para jemaah yang baru selesai menunaikan solat untuk meneruskan kerja masing-masing," kata  Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatannya, Fansuri Ahmad.

Walaupun program yang agak ringkas, namun katanya ia mendapat perhatian orang ramai yang kelihatan berpusu-pusu mendapatkan minuman yang disediakan secara percuma itu, di Masjid Likas di sini.

“Aktiviti ini merupakan yang pertama kali kita anjurkan di sini, dan Alhamdulillah, sambutan daripada orang ramai amat memberangsangkan,” katanya.

Tambah Fansuri, pihak Pemuda PAS Sepanggar juga akan memperluaskan minuman percuma ke seluruh kawasan di Sepanggar dalam usaha mendekati dan menyampaikan maklumat mengenai Pakatan Rakyat kepada masyarakat.

“InsyaAllah... kita akan perluaskan pemberian minuman percuma ini, sekali gus menyampaikan maklumat yang benar kepada masyarakat mengenai Pakatan Rakyat,” katanya.

Sila Tinggalkan Pesan, K!

Catat Ulasan

 
back to top