KUALA LUMPUR, 9 Mac: Markaz Siswa Siswi Islam Sabah (Marsis) menyokong sepenuhnya tuntutan Tabah bagi mempertahankan tanah adat pada 12 Mac ini sebagai usaha untuk membebaskan rakyat daripada terus dieksploitasi dan diseleweng hak pemilikan tanah adat.
“Bagi menyatakan kebersamaan ini, Marsis sudah menjana golongan mahasiswa Sabah di seluruh Semenanjung untuk menyatakan sokongan terhadap isu ini,” ujar presidennya, Mohamad Matassian Ogus.
Menurutnya, selain Lembah Klang, ahli yang berada di Pahang, Kelantan, Melaka dan Johor akan turut serta dalam menyebarkan gelombang kesedaran bahawa hak rakyat Sabah ditindas di negeri sendiri.
Sehubungan dengan itu, tegasnya, pihaknya selaku mahasiswa Sabah yang berada di Semenanjung inginkan tuntutan tanah adat itu menjadi realiti dan dilaksanakan segera.
Tambahnya, rakyat Sabah kini sudah celik minda dan bukannya lagi boneka untuk diperlekehkan hak pemilikan tanah adat oleh mana-mana pihak.
Justeru, tegasnya Marsis menyeru agar pihak yang berkenan tidak lagi menggunakan kepercayaan rakyat dengan membiarkan hak pemilikan tanah dinafikan secara terang-terangan.
“Kami bertegas bahawa kezaliman mesti dihentikan daripada terus berlaku.
“Sabah itu negeri kita, maka wajarlah bagi semua mahasiswa yang berada di Semenanjung, Sarawak dan luar negara untuk turut sama menolak ketidakadilan yang berlaku daripada terus menyusahkan rakyat,” tegasnya.
Justeru, tambahnya kembalikan tanah adat atau tanah NCR yang menjadi hak mereka.
Sila Tinggalkan Pesan, K!
Catat Ulasan