Jumaat, 20 Disember 2013

JHEAINS Disaran Perkukuh Sistem Perbekalan Buku Sekolah Agama

KENYATAAN MEDIA

JHEAINS DISARAN PERKUKUH SISTEM PERBEKALAN BUKU SEKOLAH AGAMA

Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) disaran untuk mengemaskini sistem perbekalan buku agamanya dalam memastikan mutu sekolah agama rakyat di negeri Sabah terus berjalan lancar.

Sistem perbekalan buku agama yang dibekalkan oleh JHEAINS kepada sekolah agama rakyat yang beroperasi menggunakan sistem pendidikan jabatan agama negeri agak sedikit bermasalah terutama kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR) bagi tahun 2014.

Pemuda PAS memahami langkah JHEAINS untuk mengadakan transformasi sistem perbekalan buku sekolah agama menggunakan konsep skim pinjaman buku teks secara menyeluruh pada tahun 2015. Namun, pihak JHEAINS sewajarnya melakukan transisi perubahan ke arah itu dengan lebih baik dan tidak mengalami masalah untuk membekalkan buku kepada semua sekolah agama di negeri Sabah.

Menjelang sesi persekolahan tahun 2014, ada beberapa buah Sekolah Agama Rakyat (SAR) yang mengeluh dengan kehabisan stok buku agama untuk tahun 2014. Ini kerana bekalan yang tidak mencukupi untuk menampung permintaan beberapa buah sekolah agama di Sabah. Kita cukup khuatir ia akan menjejaskan aspek pengajaran di sekolah agama yang menjadi satu medium dalam mengilmukan masyarakat Islam di Sabah.

Pemuda PAS juga percaya bahawa masalah ini akan menjejaskan aspek pengajaran mutu di sekolah agama. Permasalahan terhadap perbekalan buku ini akan menimbulkan masalah yang lain dalam aspek pengajaran di dalam kelas terutama kepada guru-guru agama dan ianya lebih kronik jika kesannya akan dihadapi oleh pelajar terutama dalam aspek pemahaman terhadap teks dan ilmu agama.

Justeru itu, Pemuda PAS menyarankan JHEAINS untuk mengemaskini sistem perbekalan buku sekolah agama dan diharapkan segala permasalahan berkaitan hal ini akan selesai sebelum sekolah dibuka bagi sesi 2014 tahun hadapan.
 
 
Zaim al-Hilmee
Exco Dakwah dan Pendidikan
Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah

Sila Tinggalkan Pesan, K!

Catat Ulasan

 
back to top