Ahad, 15 Disember 2013

PAS Pusat: Satu Penilaian Awal

Oleh: Lahirul Latigu

Salam Borneo,

Akhirnya suara Sabah didengari..!

Mungkin terlewat sikit komen saya, tapi saya rasakan komen ini perlu. Amat perlu untuk memberikan “direction” atau arahpandu. Dalam pada Dewan Pemuda PAS Malaysia masih belum memuktamadkan jawatankuasa mereka, mungkin boleh juga mengambil inti bicara ini.

Apabila seorang wakil Sabah dilantik, bersama seorang wakil Sarawak dalam Mesyuarat pertama PAS Pasca Muktamar ke-59, ini satu kejayaan. Kejayaan dari tekanan yang kami usahakan dalam Muktamar. Saya ingat, kami melalui PAS Kawasan Beaufort yang saya sebagai YDPnya cuba dengan usul “gila-gila” iaitu Naib Presiden ke-4 untuk Sabah dan Sarawak. Ideanya, kalau Naib Presiden tidak lekat paling tidak setiap negeri ini mendapat wakil AJK masing-masing. Apatahlagi sewaktu gelanggang muktamar dibuka, wakil Sabah terus menggempur gelanggang. Akhirnya bila saya dimaklumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Usul, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang usul kami akan dibincangkan diperingkat Jawatankuasa, saya cukup teruja. Bila seorang Ahli Jawatankuasa dimaklumkan dilantik dari Sabah, saya cuma mampu ucap Alhamdulillah. Mesej kami telah sampai..!

Mungkin ada yang lihat ini tidak lebih dari persaingan mendapat kerusi. Adat orang tiada tempat, bising dan buat perangai untuk dapat perhatian. Itu silap. Kalau setakat itulah asbabnya, tidak perlulah kami terhegeh-hegeh. Kalau setakat mahu mengejar kerusi untuk kuota khas Sabah dan Sarawak, menjadi penghadir mesyuarat yang setia dan penyampai khabar berita dari pusat, lebih baik jawatan ini tidak perlu diadakan. Tapi relevensi PAS di Sabah perlu direalisasikan di peringkat PAS nasional. Kedudukan pemimpin Sabah dalam PAS Pusat akan memberi mesej yang betul kepada rakyat Sabah. Kedudukan juga adalah saluran penting bagi menghantar suara Sabah. Perjuangan terhadap hak Sabah mesti diangkat diatas. Kepimpinan PAS Pusat terutamanya perlu menghadam inti dan pati survival rakyat Sabah, agar tidak terbabas dan hilang punca. Hilang punca bila diasak oleh isu-isu penting dari Sabah seperti Perkara 20, Perjanjian Malaysia, Polisi Kabotaj, Autonomi dan lain-lain.

Mungkin kita perlu menyoroti dan mempelajari perjuangan bekas Presiden PAS, Dr. Burhanudin Al-Helmi yang begitu kental prinsipnya dalam mempertahankan “nation building”. Beliau tegas menentang neo-kolonialism, mempertahankn hak sepatutnya untuk Sabah dan Sarawak peluang untuk berdiri atas kaki sendiri sebelum bergabung membentuk Malaysia. Beliau menentang malah melalui Kerajaan PAS Kelantan telah menyaman Kerajaan Malaysia pada 10 September 1963. Prinsip inilah yang menyebabkan beliau merengkok dalam tahanan ISA sehingga mencabut kerjaya politik hingga nyawa beliau.

Sabah dan Sarawak bergabung membentuk Malaysia

Sabah dan Sarawak tidak menyertai Malaysia pada 16 September 1963, tapi ia bergabung bersama Singapura dan Tanah Melayu membentuk Malaysia. Antara bergabung dan menyertai, konotasinya berbeza..! Perkongsian kuasa ini dimetrai dalam Perjanjian Malaysia 1963 yang diperincikan melalui Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) dan syor-syor dalam Laporan Suruhanjaya Cabbold. Perjanjian inilah yang membentuk kerangka sebenar negara Malaysia yang ada sekarang.

Kegagalan memahami kerangka inilah menyebabkan kita masih tersilap langkah. Kita gagal memahami akar masalah yang sebenar atau “root of the problem”. Umpama penyakit, kita gagal memberi diagnose yang betul lantas memberi ubat yang salah..! Malang lagi apabila kita menyediakan penyelesaian dari luar konteks, lantas memberi signal yang salah kepada minda separa sedar orang Sabah yang PAS juga hanya parti luar. Senang cerita, PAS ini Parti Semenanjung, PAS parti Malaya. PAS belum sesuai di Sabah, ...bla..bla.. Inilah momokan yang masih belum mampu kita larutkan dalam survival PAS di Sabah. Cabaran krisis keyakinan rakyat Sabah terhadap PAS. Polisi dan penampilan PAS di Sabah masih belum cukup diyakini..! Dalam PRU-13 lepas walaupun ada peningkatan, namun ia tidak lebih dari kekuatan pengaruh dan kerjasama dalam Pakatan Rakyat Sabah.

Kita masih skeptikal terhadap isu-isu kritis Sabah. Dalam isu Autonomi umpamanya, walaupun DAP dan PKR telah bergerak jauh, di pihak kita masih ada ragu-ragu dan gambaran yang ia seolah-olah memberi limpahan kuasa. Daripada sesuatu yang tidak ada kepada ada. Ini satu pandangan yang cukup naif..! Perlu diingat, Autonomi adalah perjuangan Sabahan menuntut sesuatu yang menjadi hak dalam perjanjian perkongsian kuasa pembentukan Malaysia yang telah lama dicabuli oleh UMNO dan Barisan Nasional. Autonomi Sabah telah lama wujud dalam bidang kuasa kerajaan negeri seperti ada dalam bidangkuasa Imigresen, Perundangan, Tanah, Pentadbiran dan Perkhidmatan Awam dan sebagainya. Ini telah jelas dalam terma-terma perjanjian perkongsian kuasa ini.

10 Arahan Presiden

Sabah dan Sarawak mendapat perhatian termasuk 10 Arahan dalam Ucapan Dasar Presiden pada Muktamar baru-baru ini. Antara petikan ucapan tersebut;

Sabah dan Sarawak adalah rakan penting dalam pembentukan Malaysia. Rakyat di sana telah bersama dalam referendum yang melahirkan negara Malaysia, maka hargailah hasil yang turut dibina oleh rakyat Sabah dan Sarawak. Badan Perhubungan PAS di Sabah dan Sarawak perlu melengkap dan memperkemaskan organisasi, mempertingkatkan kerja dakwah, menghilangkan phobia masyarakat di sana terhadap pas dan seterusnya merakyatkan PAS supaya diterima sebagai parti yang berupaya menjadi tempat bergantung mereka”.

Nampaknya, laluan telah dibuka untuk bergerak ke arah itu. Persoalan utamanya, adakah kita ada “Political Will” atau Kesungguhan Politik.? Adakah ada konsistensi terhadap apa yang dilontarkan dengan apa yang mau dan bakal dilaksanakan. Nah,tepuk dada tanya selera..! Kata orang, "untung sabut timbul, untung batu tenggelam".

Rakyat sabah akan menanti dan memerhatikan.

"SABAH TANAH AIRKU"

Wassalam.

__________
Penulis merupakan Ketua Pemuda PAS Negeri Sabah

Sila Tinggalkan Pesan, K!

Catat Komen

 
back to top