Isnin, 27 April 2009

PEMUDA PAKATAN DESAK JAPLIN LETAK JAWATAN



PEMUDA Pakatan Rakyat mencapai keputusan sebulat suara mendesak Pembantu Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Japlin Akim meletakkan jawatannya setelah didapati bersalah oleh Lembaga Disiplin UMNO kerana mengamalkan politik wang.

"Memandangkan beliau telah ditahan reman selama tiga hari dan sedang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), maka adalah wajar beliau meletakkan jawatan," ujar jurucakap Pemuda Pakatan Rakyat, Abdul Razak Haji Jamil selepas membuat kenyataan akhbar lima perenggan di pejabat guamannya di Asiacity, Kota Kinabalu.




SEPAKAT....Razak (duduk), Teddy (dua dari kiri) dan Salman (kanan sekali) menunjukkan kenyataan akhbar bertulis mereka di pejabat guaman Razak.


Razak menarik perhatian, pemimpin Pakatan Rakyat seperti Fairus meletakkan jawatan sebaik sahaja disiasat oleh SPRM walaupun akhirnya didapati tidak ada kes untuk diambil tindakan di bawah undang-undang rasuah.

"Sikap telus pemimpin Pakatan Rakyat ini sewajarnya dicontohi Barisan Nasional yang mewar-warkan untuk memerangi rasuah. Bukankah Lembaga Disiplin UMNO telah mendapati beliau bersalah, jadi mahu tunggu apa lagi," tanya Razak yang kesal kerana Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman 'menutup sebelah mata' di atas jenayah yang dilakukan Japlin dengan mengekalkan Japlin sebagai Pembantu Menteri.

Kenyataan bersama antara tiga Dewan Pemuda Pakatan Rakyat tersebut kata Razak dibuat setelah mengkaji sentiviti rakyat Sabah yang menolak pemimpin yang rasuah dan mereka hanya melestari keluhan rakyat agar pemimpin yang telah didapati bersalah sama ada oleh Parti atau Mahkamah disingkirkan daripada memegang jawatan di dalam kerajaan.

Tegas Razak, sebagai persediaan untuk menghadapi senario politik dan ekonomi Malaysia yang agak gawat, pemimpin yang terlibat dengan rasuah harus diketepikan segera atau meletakkan jawatan agar sistem akauntabiliti dan ketetelusan kerajaan tidak diragui masyarakat.

Dalam pada itu, Ketua Pemuda DAP Sabah, Yang Chang Tze @ Teddy Yang, ketika ditanya kenapa tidak melaporankan isu ini kepada SPRM, Teddy menjawab dan ianya tidak perlu kerana SPRM sedang menjalankan siasatan dan telah mengenakan ikat jamin RM100,000 ke atas Japlin.

"Apa yang kita perlukan sekarang ialah komitment kerajaan membasmi rasuah yang berleluasa di dalam sistem penyampaian dan pentadbiran kerajaan dan oleh kerana Lembaga Disiplin UMNO telah mendapati Japlin bersalah, maka beliau harus meletakkan jawatan, walaupun SPRM masih menjalankan siasatan," ujar Teddy yang menjelaskan DAP memandang berat isu pengekalan jawatan Japlin.

Manakala Wakil Dewan Pemuda Pas, Salman Mohd Amin mendakwa pihaknya tidak boleh bertolak ansur dengan amalan rasuah dan menyokong penuh deklarasi Pemuda Pakatan Rakyat yang mendesak Japlin meletakkan jawatan.

"Pendirian Pas amat jelas iaitu menentang amalan rasuah dan sekutu dengannya. Kita akan menentang setiap amalan rasuah pada masa sekarang dan akan datang," tegas Salman yang mengalu-alukan tindakan Kerajaan membasmi rasuah bagi memastikan konsep 1Malaysia menjadi realiti dan bukannya mimpi ngeri rakyat Malaysia.

Dalam pada itu, Japlin tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen berhubung desakan berkenaan. Sms yang dihantar juga belum dijawab.


Sumber : Sabahkini.net



Sila Tinggalkan Pesan, K!

Catat Ulasan

 
back to top