Jumaat, 15 Mac 2013

Pemuda PAS Lancar Kempen ‘Keamanan Untuk Sabah’

KOTA KINABALU: Insiden pencerobohan di Lahad Datu yang semakin meruncing dengan perkembangan terbaru melibatkan dua anggota tentera Malaysia terbunuh telah menyuntik semangat cintakan keamanan di seluruh negara.

Justeru, Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah telah melancarkan kempen ‘Keamanan Untuk Sabah’ kelmarin dengan memberikan fokus kepada perpaduan serta kemakmuran kepelbagaian etnik dan budaya yang sekian lama disematkan di kalangan rakyat Malaysia khususnya di Sabah.

Ketuanya, Lahirul Latigu berkata, kempen itu akan menggerakkan seluruh pemuda PAS setiap kawasan bagi memberikan gambaran dan menarik golongan belia untuk mencintai keamanan negara yang setelah sekian lama dikecapi.

“Kita sudah merdeka hampir 50 tahun, sejak dari itu segala kemakmuran dan keamanan yang kita nikmati hingga ke hari ini merupakan titik usaha perpaduan kaum dan etnik yang dibawa oleh ibu-ibu dan bapa-bapa kita terdahulu.

“Oleh yang demikian, sebagai generasi pewaris Negara, kita mestilah mempertahankan kemakmuran ini demi anak cucu kita pula yang mana mungkin mereka akan mempersoalkan tindakan ibu bapanya yang gagal mempertahankan keamanan negara ini daripada tangan-tangan penderhaka negara yang cuba merobek semangat patriotisme rakyat,” ujarnya.

Sehubungan itu, Lahirul menggesa agar rakyat khususnya anak muda mengenepikan perbezaan politik, kepercayaan dan bangsa dengan membangkitkan semangat patriotisme demi mempertahankan keamanan negara.

“Hari ini, kita melancarkan kempen ini bagi memberi kesedaran kepada rakyat khususnya anak muda bagi sama-sama menghargai dan mencintai keamanan Negara,” jelas Lahirul.

Sila Tinggalkan Pesan, K!

Catat Ulasan

 
back to top