Ahad, 3 Mac 2013

Lahad Datu: Umat Islam Diseru Adakan Solat Hajat

KOTA KINABALU: Dewan Ulamak PAS Negeri Sabah hari ini menyeru kepada semua umat Islam di seluruh negara untuk mendirikan solat hajat secara berterusan bagi memelihara dan menyelamatkan negara ini daripada pencerobohan luar yang kini telah menumpahkan darah.

Ketuanya, Nuruddin Ibrahim berkata, pihaknya juga mencadangkan kepada pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) agar dapat mengeluarkan arahan kepada seluruh masjid dan surau di negeri ini untuk melakukan solat hajat bagi tujuan tersebut.

“Kita minta kepada semua masyarakat Malaysia agar sama-sama mendirikan solat hajat sama ada secara bersendirian mahupun berjemaah bagi mendoakan keselamatan di bumi Sabah ini.

“Kita juga telah memohon kerjasama pihak berkuasa agama negeri untuk mengarahkan masjid dan surau di seluruh negeri ini bagi mengadakan solat hajat.

“Ini dapat menunjukkan kebersamaan dalam memastikan negara dan negeri ini berada dalam keadaan aman dan terpelihara daripada bahaya petaka,” ujarnya.

Sehingga kini, dua anggota polis Malaysia dilaporkan terbunuh setelah terkena serangan mortar di Kampung Tanduo, Lahad Datu.

Jurucakap Jabatan Hal Ehwal Luar Filiphina, Raul Hernandez bagaimanapun dilaporkan berkata pencerobohan pengikut Sultan Sulu di Sabah telah tamat.

ABC-CBNnews memetik Hernandez berkata bahawa pihak berkuasa Malaysia, khususnya pasukan polis, sedang memburu kumpulan tersebut.

Sila Tinggalkan Pesan, K!

Catat Ulasan

 
back to top