Jumaat, 30 Oktober 2009

USIA Mesti Tampil Berikan Penjelasan


Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah mendesak agar beberapa pihak yang dikatakan terlibat dengan skandal penyelewengan harta milik USIA supaya tampil untuk membuat penjelasan kepada umat Islam.

Merujuk kepada laman Sabahkini.net baru-baru ini, beberapa orang Ahli Majlis Tertinggi USIA termasuk Yang Dipertua USIA, Tun Sakaran Dandai dipertanggungjawabkan atas kehilangan aset yang bernilai jutaan ringgit.

Menurut sumber lagi, Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan sebanyak RM500 ribu setahun sejak tahun 1995 dan peruntukkan sebanyak RM300 ribu setahun daripada Kerajaan Negeri kepada pertubuhan tersebut dengan tujuan untuk merancakkan kegiatan dakwah di Sabah.

Selain itu, turut dipersoalkan iaitu peruntukkan sebidang tanah seluas 10 ribu ekar yang diberikan oleh Kerajaan Negeri Sabah kepada USIA tidak dapat dikesan walaupun pihak yang terbabit telah merujuk kepada Jabatan Pendaftar Pertubuhan Sabah (ROS) untuk membuat semakan.

Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Sabah, Salman Amin berkata, “USIA merupakan sebuah pertubuhan yang penting milik umat Islam di Sabah dan tindakan mendiamkan diri tanpa sebarang penjelasan yang konkrit akan memberikan imej yang lebih buruk kepada USIA.

Sehubungan dengan itu tambah beliau lagi, Dewan Pemuda PAS akan terus mendesak agar tindakan segera mesti diambil oleh pihak polis dan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) dengan menjalankan siasatan yang telus dan terbuka dan pihak yang terlibat mesti tampil ke depan untuk membuktikan bahawa dakwaan tersebut adalah tidak benar.

Sila Tinggalkan Pesan, K!

Catat Ulasan

 
back to top