Ahad, 3 Julai 2011

Lahirul Kecam Penangkapan 7 Aktivis Pemuda



Kota Kinabalu, 2 Julai
– Penangkapan 2 orang aktivis Pemuda PAS Sabah bersama 5 yang lain membuktikan gelombang BERSIH 2.0 yang akan diadakan 9 Julai nanti sudah sampai ke Sabah, kata Ketua Pemudanya, Sdr Lahirul Latigu.

“Beliau menegaskan bahawa penangkapan 7 orang tersebut adalah tidak mengikut lunas undang-undang sebaliknya dipengaruhi oleh sentimen politik yang takutkan kebangkitan rakyat di Sabah”

Kami mengecam sekeras-kerasnya tindakan pihak polis yang bertindak menahan mereka tanpa sebarang apa-apa kesalahan jenayah, tegas Lahirul.

Kejadian yang berlaku sekitar pukul 10 pagi tersebut berlaku di Restoran Sempelang ketika mereka sedang menikmati sarapan pagi.

Zaiem Al-Hilmee dan Mohd Adnan merupakan 2 orang aktivis Pemuda PAS yang ditahan bersama 5 orang aktivis AMK.

Menurut Zaiem, ketika mereka sedang menikmati sarapan pagi tiba-tiba sekumpulan hampir 40 orang anggota polis IPD Karamunsing dan Cawangan Khas Kepayan mengepung restoran tersebut.

“Tanpa sebarang keterangan mengapa mereka di tangkap, Zaiem dan yang lain terus dibawa ke Balai Polis Karamunsing hanya kerana ada sebahagian mereka yang berpakaian kuning, kata Zaiem.

“Sungguh mengejutkan kerana bilangan polis yang begitu ramai ketika membuat tangkapan sedangkan kami hanya seramai 7 orang sahaja, ulas Zaiem.

“Saya tidak berpakaian BERSIH malah berbaju putih berjaket hitam ketika ditahan dan hanya seorang sahaja yang memakai baju BERSIH 2.0, kata Zaiem.

Ketujuh-tujuh aktivis yang ditangkap tersebut ditahan dan disoal siasat selama 9 jam di IPD Karamunsing sehingga diikat jamin oleh barisan peguam Pakatan Rakyat Sabah sekitar jam 7 petang tadi dan diminta melapor diri semula pada 9 Julai nanti.

Ketua Penerangan Pemuda PAS Sabah Sdr Mohd Julfikar pula berkata, penangkapan ini tidak akan menakutkan rakyat Sabah malah menaikkan lagi semangat mereka untuk menuntut hak sepatutnya.

Turut hadir ke IPD Karamunsing mengikuti perkembangan penangkapan tersebut iaitu Ketua Pemuda PAS Sabah Lahirul Latigu, Ahli Pimpinan PKR Negeri Hj Ansari Abdullah, Ketua AMK Sdr Jefri dan beberapa lagi aktivis Pemuda PAS dan AMK.

Sila Tinggalkan Pesan, K!

Catat Ulasan

 
back to top