Isnin, 7 September 2009

Isu Kampung Numbak





Kota Kinabalu, 6 September - Kampung Numbak walaupun terletak hanya 5 kilometer dari kawasan pembangunan seperti One Borneo namun suasananya seperti kawasan kampung yang nun jauh di pedalaman Sabah. Bukan itu sahaja, kampung Numbak sebenarnya berjiran dengan universiti terbesar di Malaysia iaitu Universiti Malaysia Sabah kerana lokasinya betul-betul di belakang universiti tersebut.



Namun persoalan yang bermain di kepala iaitu, mengapakah ditengah-tengah kerancakkan pembangunan teluk Sepanggar pada hari ini masih terdapat kampung-kampung yang ketinggalan dari sudut kemudahan asas seperti kemudahan air dan jalan raya walaupun sudah 52 tahun umur kemerdekaan Malaysia yang tercinta.



Hal inilah yang amat dikesali kerana jika diperhatikan sekitar teluk Sepanggar ini megahnya berdiri bangunan Yayasan Sabah, bangunan Pentadbiran Persekutuan dan pejabat Ketua Menteri Sabah, Dato' Sri Musa Aman. Jurang perbezaan yang begitu ketara ini sudah tentu memberikan mesej yang begitu jelas bahawa rakyat sebenarnya masih ditabur dengan janji-janji kosong, pada masa sama hak mereka sebagai rakyat tidak dipedulikan.



Pengerusi Masjid kg Numbak ini, En. Aliatab Bin Hj Sain dengan nada kesal berkata, kami sangat sedih kerana walaupun kawasan kampung ini tidak jauh dari kawasan pembangunan tapi masih lagi jalan raya belum berturap dan berlopak sana-sini. Keadaan jalan raya ini menyebabkan perjalanan keluar masuk kampung mengambil masa hampir 40 minit walaupun jaraknya cuma 5 kilometer dari One Borneo.



Tambah beliau lagi, mereka juga berhadapan dengan masalah bekalan air yang tidak pernah selesai walaupun sudah dijanjikan dengan bermacam-macam bantuan. Beliau juga simpati melihat anak-anak kampung ini kerana terpaksa bertukar bas sebanyak dua kali untuk sampai ke sekolah mereka seperti di Tebobon dan Inanam.
Harapan beliau agar pihak-pihak yang berwajib dapat melangsaikan segera hutang mereka kepada rakyat. Penduduk kampung tidak tidak sepatutnya dijadikan seperti lembu dicucuk hidung, kemana diheret ke situlah dia, ujar beliau.






Sila Tinggalkan Pesan, K!

Catat Ulasan

 
back to top