Jumaat, 30 Oktober 2009

USIA Mesti Tampil Berikan Penjelasan


Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah mendesak agar beberapa pihak yang dikatakan terlibat dengan skandal penyelewengan harta milik USIA supaya tampil untuk membuat penjelasan kepada umat Islam.

Merujuk kepada laman Sabahkini.net baru-baru ini, beberapa orang Ahli Majlis Tertinggi USIA termasuk Yang Dipertua USIA, Tun Sakaran Dandai dipertanggungjawabkan atas kehilangan aset yang bernilai jutaan ringgit.

Menurut sumber lagi, Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan sebanyak RM500 ribu setahun sejak tahun 1995 dan peruntukkan sebanyak RM300 ribu setahun daripada Kerajaan Negeri kepada pertubuhan tersebut dengan tujuan untuk merancakkan kegiatan dakwah di Sabah.

Selain itu, turut dipersoalkan iaitu peruntukkan sebidang tanah seluas 10 ribu ekar yang diberikan oleh Kerajaan Negeri Sabah kepada USIA tidak dapat dikesan walaupun pihak yang terbabit telah merujuk kepada Jabatan Pendaftar Pertubuhan Sabah (ROS) untuk membuat semakan.

Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Sabah, Salman Amin berkata, “USIA merupakan sebuah pertubuhan yang penting milik umat Islam di Sabah dan tindakan mendiamkan diri tanpa sebarang penjelasan yang konkrit akan memberikan imej yang lebih buruk kepada USIA.

Sehubungan dengan itu tambah beliau lagi, Dewan Pemuda PAS akan terus mendesak agar tindakan segera mesti diambil oleh pihak polis dan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) dengan menjalankan siasatan yang telus dan terbuka dan pihak yang terlibat mesti tampil ke depan untuk membuktikan bahawa dakwaan tersebut adalah tidak benar.

PAS Gesa Tambah Penguatkuasa Agama

Harakah, 23 Okt - Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Sabah Salman Amin menggesa kerajaan menambah kakitangan penguatkuasa syariah bagi memastikan usaha mencegah kemungkaran dapat berjalan dengan berkesan.


"PAS difahamkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam (JHEAINS) menghadapi kekurangan kakitangan penguatkuasa hakiki, kekurangan pakar malah kekurangan kemudahan prasarana.


"Sabah mempunyai lebih 30 daerah dan bentuk muka buminya yang sangat luas, sudah tentu Jabatan Agama memerlukan kakitangan yang ramai," ujarnya.


Salman juga mahu kemahiran kakitangan JHEAINS dipertingkatkan dan kemudahan prasarana mahkamah syariah perlu dinaiktaraf bagi memastikan mutu perkhidmatan mahkamah syariah berjalan dengan baik.


Dewan Pemuda PAS Sabah mencadangkan agar bahagian penguatkuasa syariah diasingkan daripada Jabatan Agama sepertimana Jabatan Kehakiman Syariah bagi memastikan keberkesanan perlaksanaan hukum syariah itu sendiri.

Jumaat, 9 Oktober 2009

Dari Bagan Pinang

Menjelang Pembuangan Undi pada 11 oktober ini, suasana pilihanraya di N31 Bagan Pinang nampak semakin meriah dengan perang poster dimana-mana. Sejak penamaan calon 3 oktober lepas, pelbagai program dilakukan oleh kedua-dua pihak BN dan PAS seperti ceramah, ziarah pengundi, sukaneka, ceramah umum, tidak kurang juga rasuah pengundi dan sebagainya masih berlangsung sehingga ke hari ini.

Saya di Markaz Sirusa, setiap hari menerima kunjungan dari pimpinan-pimpinan parti kompenen Pakatan Rakyat PKR-DAP-PAS. Baru sebentar tadi, beberapa kumpulan DMP dan Wanita Keadilan keluar menaiki beberapa kenderaan menuju kawasan pengundi. Kelmarin, beberapa orang pimpinan DMP seperti Dr Mariah Mahmud dan Ustazah Siti Nuridah Salleh dan beberapa pimpinan DAP dan Keadilan yang tidak saya kenali berpecah kepada beberapa kumpulan menuju kepada sasaran pengundi.

Turut memeriahkan juga di Bagan Pinang ini tindakan-tindakan diluar jangka oleh petugas-petugas Barisan Nasional sepertimana yang dilaporkan oleh pihak media. Sinar Harian hari ini memaparkan kekecewaan PAS terhadap tindakan menyerang petugas PAS dengan pedang samurai, menyerang pusat gerakan Pemuda PAS dan pelbagai lagi tindakan provokasi 'budak-budak BN' yang tidak menggambarkan semangat pilihanraya.
 

Akhirnya, takutnya pemimpin BN dengan kekalahan yang menghantui mereka menjalar kepada anak-anak buah mereka. 'buat apa yang patut, kita tidak boleh kalah di Bagan Pinang'. Begitulah agaknya arahan pemimpin-pemimpin BN kepada samseng-samseng mereka. Kalau anda berada sekarang di Bagan Pinang, anda sendiri akan melihat perangai 'budak-budak BN'.

Terbaru, sebuah sampul yang ditemui oleh petugas-petugas PAS berisi beberapa keping wang palsu yang dilaporkan oleh penduduk kampung disini diberikan oleh orang yang tidak dikenali. Petugas-petugas PAS masih menyiasat kejadian tersebut untuk memastikan ada tindakan yang diambil kepada pihak yang terbabit.

Khamis, 8 Oktober 2009

Pertemuan Ukhwah Anak Sabah & Sarawak





Kota Kinabalu, 9 Sept - Pengarah Jabatan Hal Ehwal Sabah dan Sarawak DPP Pusat, Ustaz Anuar Ali mengingatkan anak Sabah dan Sarawak yang menyambung pelajaran di semenanjung agar tidak lupa bahawa mereka merupakan amanah yang besar terhadap keluarga dan masyarakat.


Sehubungan dengan itu, satu perjumpaan bersama anak Sabah dan Sarawak di perantauan akan diadakan di Taman Melewar pada 13 September 2009 bermula pada jam 10.00 pagi dan dijangkan tamat pada jam 2.00 petang.


Ustaz Anuar Ali menyatakan tujuan pertemuan tersebut antaranya untuk mengeratkan ukhwah diantara Dewan Pemuda PAS Pusat dan anak Sabah dan Sarawak. Selain itu kata beliau, sesi dialog juga akan diadakan untuk memberikan ruang kepada peserta bertukar pandangan dan berkongsi masalah.


'banyak perkara yang perlu dikongsi bersama berkenaan situasi dakwah di Sabah dan Sarawak yang perlu ditingkatkan dari masa kesemasa dan tanggungjawab inilah yang mesti dipikul oleh anak Sabah dan Sarawak yang berilmu, ujar beliau.


Pertemuan Ukhwah bersama anak Sabah dan Sarawak dibawah anjuran Jabatan Hal Ehwal Sabah dan Sarawak dijangka akan dirasmikan oleh Ustaz Nassarudin Tantawi Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat.




PAS DESAK TUBUH TASK FORCE HUTAN

Oleh: DJAMIL M NASRA

SKANDAL Pembalakan yang dilakukan secara bersindiket di Sabah mendorong Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mendesak Kerajaan Negeri Sabah dan Kabinet Malaysia menubuhkan Jawatankuasa Khas atau ‘Task Force’ yang dianggotai oleh Jabatan Penguatkuasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia SPRM), Tentera Di-Raja Malaysia, Polis DiRaja Malaysia, Jabatan Kastam, Lembaga Hasil Dalam Negeri, Angkatan Pengawal Maritim Malaysia (APMM) dan jabatan kawalselia seperti Jabatan Audit Negara, Jabatan Remote Sensing Negara, Jabatan Pemetaan Negara dan sebagainya.

“Pembalakan ‘Haram’ yang dijalankan pembalak berlesen sudah mencapai tahap kritikal yang begitu membimbangkan terutama apabila balak yang bersaiz melebihi 150cm (Mother Tree) atau kurang 60 cm dan spesis dilindungi seperti buah-buahan hutan ditebang sewenang-wenangnya dengan subahat pegawai Perhutanan yang tidak memantau operasi pembalakan di lapangan,” ujar Lahirul Latigu, Ketua Pemuda Pas Sabah.

Kata Lahirul, rasuah di Jabatan Perhutanan Sabah sudah semakin tidak terkawal apabila pegawai kanan termasuk Pengarah Perhutanan Sabah terdorong menyediakan ‘laporan lapangan palsu’ berhubung sesuatu konsesi pembalakan tanpa rasa malu apabila secara wewenang melakukan penyimpangan daripada Enakmen Hutan 1968 dan menyalahguna kuasa untuk kepentingan diri.

Kejadian pemalsuan pelan pembalakan yang dilaporkan oleh Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat, Datuk Dr Jeffrey Kitingan merupakan satu jenayah kolar putih yang gagal disiasat Kontingen Polis Sabah kerana bercanggah kepentingan.

Ketua Polis Negara, tegas Lahirul, sewajarnya mengambil alih siasatan terhadap dua laporan polis Jeffrey sebagaimana kejayaan Unit Khas D7 Bukit Aman menggempur Pusat Maksiat, Perjudian di Sabah minggu lalu sehingga berjaya menangkap ramai China Doll di Strawbery dan Lee Bee Kim Karaoke, Kota Kinabalu.

“Dalam hal ini, Pas tidak lagi boleh bertolak ansur kerana bukti ada di hadapan mata terutama tunggul kayu yang masih berada di lapangan pembalakan. Semuanya sudah tidak terkawal. Jabatan Perhutanan dan pembalak menganggap Enakmen Perhutanan sebagai surat khabar lama dan terus mengingkari segala peraturan yang ditetapkan,” ujar Lahirul yang kesal kerana pembalak dan pegawai Jabatan Perhutanan dengan niat bersama melakukan kemusnahan hutan terutama di kawasan tanah tinggi.

Lahirul yang mengetuai Panitia Siasatan dan Pencegahan dengan bantuan Sekritariat Pemuda Pakatan Rakyat, telah menjalankan siasatan awal dan mendapati begitu banyak bukti yang boleh dianalisa untuk dijadikan asas bagi menangkap mereka yang terlibat, melainkan Jabatan Penguatkuasa telah dirasuah atau terpaksa tunduk kepada tekanan pihak atasan.

Sebagai contoh kata Lahirul, pihaknya kesal laporan yang disediakan oleh Pengarah Jabatan Perhutanan Sabah, Datuk Manan bagi Konsesi YS 1/06 dan YS 2/06 yang dilesenkan kepada Rimba Kita Sdn.Bhd, milik Michael Chia Tien Foh yang masih menghadapi pertuduhan menjalankan kegiatan Penggubahan Wang Haram di Hong Kong

Kata Lahirul, pihaknya mendapati Michael Chia telah menebang balak melebihi 150 cm di Konsesi YS 1/06 dan mencabar Pengarah Jabatan Perhutanan Sabah membawa media ke lokasi untuk melihat tunggul kayu yang terdapat di lokasi jika mempertikaikan dakwaannya.

Manakala di Konsesi YS 2/06, kata Lahirul, Michael Chia telah menebang kayu di bawah 60 cm dan melantik sub-kontraktor, Runlong Sdn.Bhd yang dimiliki seorang penyeludup dan pembalak haram yang terkenal di Sabah iaitu Simon Ling.

“Bagaimana Kerajaan Negeri Sabah, terutama Ketua Menteri Sabah boleh terlibat membantu penjenayah yang dikehendaki Interpol dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Hong Kong (ICAC) ini dengan meluluskan konsesi tersebut dan langsung tidak memantau kegiatan haram yang dilakukan Michael Chia,” tegas Lahirul yang telah menyediakan Kertas Konsep untuk dibentangkan kepada Ketua Pemuda Pas Pusat sebelum dibahaskan di Dewan Rakyat dalam sesi Parlimen Oktober 2009.

Bukankah Kegiatan Penggubahan Wang Haram, kata Lahirul dikaitkan dengan Kegiatan Membiayai Keganasan dan Akta berkenaan telah diluluskan di parlimen, namun Kerajaan Malaysia hanya membutakan mata terhadap jenayah yang dilakukan Michael Chia di Hong Kong.

Melalui siasatan dan risikan mereka, kata Lahirul, Michael Chia lebih berpengaruh daripada Pengarah Jabatan Perhutanan dan semua penguat kuasa yang sepatutnya menguatkuasakan undang-undang dan menghadap pesalah dan penjenayah alam sekitar ini ke Mahkamah Undang-Undang dan bukannya diputuskan oleh budibicara Pengarah Perhutanan atau Ketua Menteri Sabah.

Senario ini kata Lahirul menyebabkan Kerajaan Negeri mengalami kerugian berbilion ringgit akibat balak bulat dieksport secara haram kerana kayu yang melebihi saiz atau spesis dilindungi turut memasuki pasaran gelap terutama di Teluk Suioun, Silam Kennedybay yang telah dihentikan operasi secara rasmi sejak 2003 tetapi masih beroperasi ‘secara haram’ memunggah balak yang ‘mencurigakan’ kerana Jabatan Perhutanan Lahad Datu memaklumkan bahawa tidak ada lagi pembalakan atau tidak ada lagi lesen pembalakan dikeluarkan di Lahad Datu sejak 2008.

“Dari mana datangnya kayu balak yang bersaiz besar, bersaiz kecil atau spesis yang dilindungi ini sedangkan semua operasi balak di Kinabatangan, Pinangah dan Telupid menggunakan Pangkalan Kuala Sapi dan bukannya Silam Kennedybay?,” tanya Lahirul yang mendesak diadakan pemeriksaan lapangan bersama Jabatan Kastam dan Jabatan Audit Negara kerana kayu kayan berkenaan dieksport tanpa TDP atau dokumen yang sah.

Kata Lahirul, pihaknya mendapat maklumat bahawa semua balak di bawah atau melebihi saiz di bawa ke Pangkalan Silam untuk kegunaan industri hiliran tempatan dan eksport ke negara luar tanpa melalui saluran yang sah kerana kapal pengangkut balak terlindung dan berlabuh di tengah laut adalah milik Michael Chia.

Kajian inventori yang kononnya dijalankan oleh Jabatan Perhutanan Sabah tidak pernah wujud dan hanya disediakan di atas kertas kerana catatan di TDP tidak sama dengan tunggul kayu di sesuatu konsesi atau pangkalan kerana semua data di dalam TDP dipalsukan untuk kepentingan sindiket berkenaan.

“Kami kecewa kerana balak yang dimuat di Pangkalan Silam tidak mempunyai TDP dan dieksport secara haram terutama pada waktu malam, sedangkan Jabatan Perhutanan Sabah tidak lagi mengeluarkan permit menjalankan kegiatan pada waktu malam,” kata Lahirul yang kesal kerana SPRM tidak lagi aktif menjalankan siasatan sejak Mantan Pengarah SPRM Sabah, Puan Hajjah latifah Md Yatim ditukarkan 24 jam ke Pulau Pinang.

Pihaknya, kata Lahirul turut kesal kerana Jabatan Perhutanan Sabah gagal memantau pembalakan yang dijalankan oleh semua pembalak berlesen kerana tidak ada sebarang pihak dihadapkan ke mahkamah sedangkan Enakmen Hutan 1968 mengenakan denda RM5,000 bagi sebatang balak melebihi saiz iaitu 150 cm ke atas atau kurang daripada 60cm ditebang daripada konsesi.

“Belum ada lesen yang ditarik balik, terutama konsesi yang diberikan kepada kroni Ketua Menteri walaupun mereka melakukan kesalahan yang ketara,” kata Lahirul yang menegaskan Jabatan Perhutanan Sabah seolah-olah menjadi anak syarikat atau subsidiari kepada Michael Chia kerana sewenang-wenangnya boleh mengubah pelan pembalakan atau menebang balak di kawasan larangan.

Kerajaan BN, kata Lahirul begitu kejam menguatkuasa undang-undang terhadap rakyat Sabah terutama anak negeri yang tanah mereka terperangkap di dalam Hutan Simpan sehingga sanggup membakar rumah, memusnahkan tanaman, merosak harta benda dan menghalau penduduk tempatan daripada tanah tumpah darah mereka.

“Tetapi mereka begitu berlembut dengan pembalak berlesen atau pembalak haram yang boleh memberikan mereka kesenangan hidup. Bukankah rakyat jelata yang membayar gaji mereka selama ini dan bukannya pembalak haram yang memberikan kesenangan sementara,” tegas Lahirul yang menggesa agar Pengarah Perhutanan Sabah, Datuk Sam Mannan dan Setiausaha Hasil Bumi, Halim Nayan meletakkan jawatan masing-masing kerana gagal memastikan pembalak mematuhi peraturan bagi kawasan yang telah difaraidkan terus segala kayu kayan tanpa memikirkan kepentingan generasi akan datang.

Lahirul tidak menafikan pihaknya telah memasuki beberapa konsesi pembalakan di Kuamut dan Pinangah untuk mendapatkan bukti terutama di Konsesi YS 1/06, YS 2/06 dan YS 3/07 untuk merakamkan gambar balak besar dan tunggul kayu, namun tidak dapat masuk jauh ke dalam hutan kerana dikawal ketat.

Memandangkan lumpuhnya sistem penguatkuasa di Malaysia, maka kata Lahirul, pihaknya telah menghubungi Greenpeace International yang beribu pejabat di Belanda dan mereka bersetuju membantu mengesan ke mana balak berkenaan dibawa dan menjalankan siasatan lapangan kerana mempunyai kepakaran dalam bidang berkenaan.

Bagaimanapun Lahirul enggan mengulas lanjut bentuk bantuan yang diberikan dan siapa yang menaja Greenpeace di Malaysia terutama daripada Thailand dan Indonesia yang sudah berada di Sabah sejak seminggu lalu.

Pilihanraya Kecil N.31 Bagan Pinang (Negeri Sembilan)





KERATAN KENYATAAN AKHBAR
SURUHANJAYA PILIHAN RAYA MALAYSIA
KEDUDUKAN KERUSI DEWAN UNDANGAN NEGERI N.31
BAGAN PINANG, NEGERI SEMBILAN
1. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menerima pemakluman rasmi daripada Speaker Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan pada 7 September 2009 berhubung dengan kekosongan kerusi bahagian pilihan raya N.31 Bagan Pinang, Negeri Sembilan berikutan dengan kematian penyandangnya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Y.B. Azman bin Mohammad Noor pada 04 September 2009.
2. Fasal LVI (5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan memperuntukkan seperti yang berikut:
“ (5) A casual vacancy shall be filled within sixty days from the date on which it is established that there is vacancy: Provided that if a casual vacancy is established on a date within two years of the date the Legislative Assembly shall, in accordance with Clause (3), stand dissolved, such casual vacancy shall not be filled unless the Speaker notifies the Election Commission in writing that the numerical strength the party that constitutes a majority of all the members of the Legislative Assembly is being affected by such vacancy; and in that event such vacancy shall be filled within sixty days from the date of the receipt of that notification.”
3. Berikutan dengan pemakluman mengenai kekosongan kerusi tersebut dan selaras dengan Fasal LVI (5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan, SPR telah memastikan dan mengesahkan bahawa kerusi bahagian pilihan raya Dewan Undangan Negeri N.31 Bagan Pinang, Negeri Sembilan menjadi kosong berkuat kuasa pada 05 September 2009.
4. Dengan pengesahan kekosongan kerusi N.31 Bagan Pinang, Pulau Pinang, subseksyen 12(3) Akta Pilihan Raya 1958 memperuntukkan seperti yang berikut: “12. (3) Berhubung dengan sesuatu kekosongan yang hendaklah dipenuhi dalam sesuatu pilihan raya kecil, suatu writ hendaklah dikeluarkan tidak dahulu daripada empat hari dan tidak lewat daripada sepuluh hari dari tarikh kekosongan itu disahkan berlaku oleh Suruhanjaya Pilihan Raya”.
5. Menurut Subseksyen 12(3) Akta Pilihan Raya 1958, SPR hendaklah menjalankan pilihan raya kecil bagi mengisi kekosongan kerusi tersebut dalam tempoh 60 hari dari tarikh disahkan berlakunya kekosongan. Dengan ini, SPR yang telah bermesyuarat pada hari ini, 14 September 2009 memutuskan untuk menjalankan pilihan raya kecil itu dan menetapkan tarikh-tarikh yang berkaitan dengan pilihan raya kecil kerusi N.31 Bagan Pinang, Negeri Sembilan seperti yang berikut:
Tarikh Keluar Writ : 14 September 2009 (ISNIN)
Tarikh Keluar Notis : 15 September 2009 (SELASA)
Tarikh Penamaan Calon : 03 Oktober 2009 (SABTU)
Tarikh Pengundian : 11 Oktober 2009 (AHAD)-(Jika ada pertandingan)....

Penjelasan Isu Kontrovesi SELCAT-Dr Hasan Ali


oleh: Roslan Sms

Baru sebentar tadi wartawan dari Nanyang menghubungi saya dan meminta komen berhubung isu SELCAT yang didakwa kini sudah menjadi begitu kontroversial. Ada pemimpin PAS Selangor menurutnya kononnya telah memberi kata dua minta Dr Hasan Ali menyokong kerajaan negeri Pakatan Rakyat atau keluar sahaja dari PR. Begitu juga kata beliau beberapa pemimpin PR yang lain (selain PAS).

Saya tidak berhasrat mengulas kata dua pemimpin itu, biarlah beliau begitu kerana orang PAS Selangor kenal sangat beliau dan gelagatnya.

Saya menjelaskan kepada wartawan tersebut yang penting kita tidak lari dari isu sebenar yang perlu menjadi perkara pokok dalam membincangkan permasalahan ini. Jangan tokok-tambah cerita-cerita lain, jangan humbankan sekali dendam kesumat dan hasad dengki peribadi, jangan ada agenda tikam dari belakang dan lain-lain.

Yang paling penting apa yang diutarakan oleh Dr Hasan adalah teguran ke arah memperbaiki perjalanan SELCAT. SELCAT ini tidak wujud dizaman BN. Ia lahir setelah PR memerintah Selangor, ia disokong oleh PKR, DAP dan PAS. Oleh kerana ia suatu institusi yang baru, walaupun falsafah dan objektifnya baik, namun ia perlu melalui proses pembaikian dari masa ke semasa supaya ia benar-benar menjadi sebuah badan yang berwibawa dan dihomrati rakyat.

Membuat teguran terhadap SELCAT bukan bermakna menentang kerajaan. Isu ini bukan perkara baru malah pernah dibincangkan diperingkat Majlis Pakatan Rakyat Negeri Selangor, dan saya berani menyatakan yang Dr Hasan serta PAS Selangor bukan keseorangan dalam hal ini.

Kerajaan Pakatan Rakyat diberi mandat oleh rakyat kerana ia menjanjikan sebuah pentadbiran yang bersih, telus dan adil. Ia mahu menjadi alternatif kepada kerajaan BN yang kotor, korap dan zalim terhadap rakyat itu. Kalau semasa zaman BN dahulu ruang untuk tegur menegur ke arah kebaikan tidak pernah terbuka. Sesiapa menegur dikira anti kerajaan, anti MB lalu dilibaslah pedang untuk mencantas pemimpin tadi.

Budaya cantas-mencantas tidak sewajarnya wujud dalam sebuah kerajaan yang bersih, telus dan adil. Pemimpin dalam Pakatan Rakyat berhak bersuara, dan untuk pengetahuan dalam isu yang melibatkan SELCAT termasuklah kakitangan awam ini Dr Hasan pernah bersuara bukan sekadar diperingkat Majlis Pakatan Rakyat Negeri Selangor malah sehingga Majlis Pakatan Rakyat Pusat yang dihadiri pimpinan terkanan ketiga-tiga parti peringkat kebangsaan.

Semalam Dr Hasan mengeluarkan satu kenyataan rasmi berhubung isu ini (saya sertakan di bawah). Kenapa ada pihak pandang serong terhadap teguran beliau? Tidak ada sesiapa pun dalam PAS Selangor yang mahu melihat kerajaan PR yang dibentuk bersama dengan PAS ini jatuh gugur setelah bersusah payah kita menegakannya. Mengapa beliau ditohmah begitu sekali?

PR Selangor mesti mantap dan padu. Mana-mana ruang yang longgar dan lemah perlu diperbaiki. Saya teringat dalam satu mesyuarat PR Selangor YB Ronnie Liu menjelaskan bahawa jangan sampai rakyat ada persepsi tidak baik terhadap kita angkara keghairahan kita.

PAS Selangor berbangga kerana menjadi sebahagian dari kerajaan PR. PAS Selangor mahu menyumbang dan berperanan secara aktif dalam kerajaan bukan sekadar menjadi pemanas kerusi. PAS Selangor mahu kekal bertapak di Selangor malah kalau boleh dengan izin Allah swt mahu menang banyak lagi kerusi dalam PRU ke 13 nanti sekaligus memantapkan lagi kedudukan PR.

Sebagai ahli “team” kerajaan PR Selangor ini saya yakin Dr Hasan dan EXCO PAS yang lain mahu menjadi “team player” yang efektif. Bukan yang bisu atau yang “pak angguk” atau “pak pacak”. Bukti PAS Selangor mahu demikian, PAS Selangor tidak pernah mengugut mahu keluar PR seperti yang berlaku pada DAP di Kedah apabila berhadapan dengan isu “panas”.

Oleh itu semua pihak perlu berlapang dada. Usahakanlah agar PAS, PKR dan DAP Selangor dapat terus mantap dan memantapkan pentadbiran kerajaan. Budaya tegur-menegur ini perlu disuburkan, yang perlu ditembak mati adalah budaya ugut-mengugut, kata dua dan politik hasad dengki.

PAS Selangor insyallah akan terus kekal dalam PR dan tiada kata dua oleh sesiapa pun yang dapat memecah-belahkan kepimpinan dan jemaah ini.

PAS Beri Sumbangan Kepada Mahasiswa UMS

Kota Kinablu, 18 Oktober - Seramai lebih kurang 7 orang mahasiswa UMS menerima sumbangan berbentuk keperluan hari raya sempena aidilfitri yang bakal menjelang tiba tidak lama lagi.

Majlis yang diadakan di pejabat Dewan Pemuda PAS tersebut turut melibatkan mahasiswa semenanjung yang tidak balik berhari raya pada tahun ini. Menariknya, salah seorang daripada mereka merupakan mahasiswa yang baru memeluk Islam pada tahun 2008.

Ayuni Ahya Robert Abdullah merupakan seorang mahasiswa tahun pertama UMS dalam bidang perubatan. Anak kelahiran bumi Kionsom ini memeluk Islam setelah mendapat penerangan yang cukup indah tentang Islam ketika berada di Matrikulasi Labuan. Ibu bapa beliau dan adik beradik yang lain masih kekal dalam agama Kristian.

Ketika majlis sumbangan tersebut, beliau mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Dewan Pemuda PAS kerana begitu prihatin dengan nasib saudara seagama. Beliau juga menyarankan agar lebih banyak program sebegini dianjurkan terutamanya kepada golongan saudara baru.


Sementara itu, Bendahari Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah Sdr Khairul Yusri Jusof selesai menyampaikan sumbangan tersebut berkata, Dewan Pemuda sangat prihatin dengan nasib sesetengah mahasiswa UMS yang berasal daripada keluarga yang berpendapatan rendah.

"kita sangat prihatin dengan keadaan mereka yang berasal dari keluarga yang sederhana kerana faktor kewangan mereka tidak dapat berhari raya bersama keluarga di kampung, ujar beliau.

oleh : Bayugunung

PAS Kota Belud Bantu Fakir Miskin

Ustaz Mustaqim Aling memberi sumbangan berbentuk keperluan berhari raya


Kota Belud, 24 Sept - Hari Raya Aidilfitri merupakan hari kemenangan yang seharusnya disambut dengan riang gembira setelah menjalani ibadat puasa selama sebulan. Namun, tidak semua umat Islam mampu menyambut Hari Raya Aidilfitri dengan kelengkapan serba baru.


Sehubungan dengan itu, PAS Kawasan Kota Belud telah mengambil inisiatif untuk turun padang menziarahi golongan fakir miskin yang memerlukan khususnya di kawasan kampung sekitar Kota Belud.


Yang Dipertua PAS Kawasan Kota Belud, Ustaz Mustaqim Aling dan rombongan termasuk Dewan Pemuda PAS Kota Belud dan Dewan Muslimat Kota Belud mengambil langkah pergi menziarahi mereka sambil menghulurkan sedikit buah tangan berbentuk keperluan berhari raya.


Ustaz Mustqim selesai memberikan sumbangan tersebut berkata, mengambil berat urusan umat Islam merupakan ciri-ciri pengikut Nabi Muhammad s.a.w dan menjadi tanggungjawab besar kepada umat Islam seluruhnya untuk menjaga kebajikan sesama saudara seakidah.





Isu SELCAT: Kenyataan Rasmi Dr. Hasan Ali




KENYATAAN MEDIA
DATO’ DR HASAN MOHAMED ALI
EXCO KERAJAAN NEGERI SELANGOR/ PESURUHJAYA PAS SELANGOR

Sekali lagi saya ingin menegaskan bahawa selaku ahli EXCO kerajaan negeri Selangor serta Pesuruhjaya PAS Negeri, saya menyokong penuh obejektif dan falsafah penubuhan SELCAT. Walaubagaimanapun ekoran siasatan awam yang dilakukan baru-baru ini khasnya yang melibatkan pegawai-pegawai kanan kerajaan negeri ternyata SELCAT perlu mengkaji semula prosedur serta teknik penyiasatan yang dilakukan.

Sesi penyiasatan yang menggunakan kaedah menghina serta menjatuhkan maruah disamping lahirnya unsur tekanan sehingga mencetuskan ketegangan jelas tidak mencerminkan objektif dan falsafah penubuhan SELCAT. Akibat kaedah ini maruah dan harga diri para pegawai kanan kerajaan telah teruk tercalar dan moral mereka menurun.

Sepatutnya siasatan SELCAT yang berkisar sekitar perbelanjaan peruntukkan ADUN-ADUN BN dalam kerajaan dahulu tidak sekadar memanggil pegawai-pegawai daerah untuk memberikan keterangan tetapi juga memanggil ADUN-ADUN yang berkenaan. Dengan cara ini SELCAT akan memperolehi maklumat yang seimbang tanpa menyalahkan satu pihak semata-mata.

Oleh itu dalam hal ini, saya ingin mencadangkan agar segera diadakan petemuan antara Menteri Besar dan ahli-ahli EXCO dengan SELCAT bagi membincangkan segala pandangan, hujah dan dakwaan terhadap para pegawai kanan kerajaan negeri yang telah dipanggil SELCAT. Selepas itu perlu disusuli dengan rundingan tiga penjuru antara Menteri Besar dan ahli-ahli EXCO serta SELCAT dan pegawai-pegawai kanan kerajaan yang terbabit demi menjernihkan suasana.

Sesungguhnya pentadbiran negeri tidak mampu berfungsi dengan baik seandainya tidak wujud suasana harmoni antara ketiga-tiga pihak ini.

Sesuai dengan semangat Hari Raya Idul Fitri saya merasakan sangat molek diadakan satu majlis ramah mesra dalam susana yang informal untuk membolehkan ketiga-tiga pihak ini berinteraksi dan berkomunikasi dalam susana kesetiakawanan dan mahabah.

Saya juga ingin menegaskan bahawa saya tidak sekali-kali berniat untuk menjejaskan pentadbiran kerajann negeri, sebaliknya pandangan yang diberikan adalah demi memperbaiki dan mengukuhkan pentadbiran kerajaan negeri bagi menjamin kerjasama erat diantara penggubal dasar dan pihak yg melaksanakannya. Saya yakin dengan pandangan jujur dan ikhlas yang diberikan ini, insyallah kerajaan Pakatan Rakyat pimpinan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim, akan menjadi bertambah kukuh dan dihormati rakyat.

Sehubungan dengan itu saya juga ingin menjelaskan bahawa saya tidak pernah mencadangkan agar keanggotaan SELCAT dirombak dan dilantik dari kalangan bekas-bekas hakim, penjawat awam dan individu yang berpengaruh sebagaimana yang dilaporkan. Sebaliknya apa yang saya cadangkan adalah supaya keanggotaannya dipilih dari kalangan ahli-ahli dewan negeri Selangor yang berwibawa, dan memiliki kepakaran dan kebijaksanaan setaraf dengan keanggotaan Surhanjaya Di Raja, demi memilhara kehormatan institusi SELCAT itu sendiri.
 
back to top