Rabu, 27 Februari 2013

Manifesto PR: Tawaran Terbaik Untuk Rakyat Sabah


KOTA KINABALU: Pemimpin Barisan Nasional diingatkan agar tidak dilihat ‘orang hilang akal’ dengan menyerang manifesto Pakatan Rakyat yang baru sahaja dibentang pada Konvensyen Pakatan Rakyat ke-4, Isnin lalu.

Ketua Dewan Pemuda PAS Sabah, Lahirul Latigu menegaskan, jika Barisan Nasional yakin mereka mendapat kepercayaan dan sokongan yang kuat daripada penyokong, maka mereka juga perlu mengisytiharkan manifestonya kepada semua rakyat Malaysia.

“Kalau benar apa yang manifesto Pakatan Rakyat itu salah dan tidak betul, maka saya kira, mereka juga perlu mengeluarkan manifestonya.

“Menyerang manifesto Pakatan Rakyat dilihat mencerminkan pemikiran sebenar pemimpin Barisan Nasional yang kelihatan gelabah dan huru-hara dengan tawaran menarik Pakatan Rakyat kepada rakyat,” ujarnya.

Menurut Lahirul, rakyat Sabah telah diberikan tawaran menarik oleh Pakatan Rakyat dan sudah semestinya mereka turut tertanya-tanya di mana tawaran Barisan Nasional dalam menghadapi pilihanraya ini.

“Pakatan Rakyat sudah menawarkan yang terbaik kepada rakyat terutama di Sabah termasuk dalam menyentuh intipati Perjanjian Malaysia dengan mengembalikan semula autonomi kepada Sabah dan Sarawak mengikut lunas Perlembagaan Persekutuan.

“Termasuklah juga dalam pemberian royalti minyak daripada 5% kepada 20%, ada pemimpin Barisan Nasional dakwa akan mengakibatkan kerugian dalam industri Petronas dan Negara. Sedangkan, apa yang berlaku antara tol-tol dan kensensi lebuhraya di Semenanjung Malaysia, mereka mengaut keuntungan berlipat kali ganda walaupun angka sebenar perbelanjaan telah melepasi had tempoh,” jelas Lahirul.

Katanya, pemimpin Barisan Nasional di negeri ini perlu bersikap adil kepada rakyat Sabah dan bukan bertindak membelakangkan rakyat sendiri yang terpinggir serta dipinggirkan oleh pemimpin anak negeri sendiri.

“Apa yang dikecapi oleh pemimpin, mesti juga dirasai oleh rakyat bawahan. Jangan ada pemimpin yang rumahnya besar, keretanya besar.

“Tapi masih berkira-kira dalam isu menaik taraf kehidupan dan keselesaan rakyat. Ini kezaliman,” tegas beliau.

Beliau turut mempertikaikan kenyataan beberapa pemimpin Barisan Nasional yang masih lagi berangan-angan dan tidak sedar bahawa Pakatan Rakyat juga sudah memerintah di beberapa buah negeri termasuk hampir menguasai keseluruhan Wilayah Persekutuan.

“Di Kedah, Pulau Pinang, Kelantan dan Selangor. Barisan Nasional merupakan pembangkang. Mana boleh mereka jelajah negeri berkenaan, mereka dakwa mereka sebagai kerajaan. Itu yang saya katakan, mereka ini sudah tidak nampak kebenaran. Mereka meracau hingga ke subuh.

“Apa yang perlu ialah, biar rakyat yang menilai dan mengadili manifesto setiap parti sama ada Barisan Nasional mahupun Pakatan Rakyat. Rakyat Malaysia sudah bijak,” katanya.

Isnin, 25 Februari 2013

Diugut, Karnival Rakyat PAS Sepanggar Dibatal

KOTA KINABALU: Karnival Rakyat PAS Kawasan Sepanggar yang sepatutnya berlangsung semalam di Kampung Warisan di sini terpaksa dibatalkan ekoran tindakan sabotaj dan ugutan kekacauan yang dilakukan pihak tertentu.

Menurut Ketua Pemuda PAS Sepanggar Saifuddin Samsuddin, sekumpulan Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), mendatangi mereka dan mengugut akan melakukan kekacauan sekiranya program tersebut diteruskan.

Menurut Saifuddin, pihaknya sebelum ini telah mengadakan pertemuan bersama JKKK, namun ketegangan berlaku apabila mereka mendakwa pihak Belia kampung tersebut telah merancang untuk mengadakan aktiviti sama sejak Januari lalu.

Walaubagaimanapun katanya, penganjur yang telah beberapa kali mengadakan perbincangan dan mesyuarat bersama beberapa penduduk kampung tidak pernah dimaklumkan mengenai program Belia yang akan menganjurkan aktiviti sama pada hari tersebut.

Malahan, penganjuran Karnival Rakyat ini juga telah mendapat kebenaran pihak Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan turut dimaklumkan kepada pihak polis.

Pagi semalam, sebelum program berlangsung, beberapa buah kenderaan dan kumpulan yang dipercayai penyokong BN berkawal di padang dan kelihatan bendera BN sudah mula dipacak disekitar padang di mana lokasi penganjuran Karnival Rakyat akan diadakan.

Selain itu penganjur mendapati beberapa banner dan banting yang dipasang sekitar kawasan kampung telah diconteng dan ditulis dengan beberapa perkataan ugutan.

Sehubungan itu kata Saifuddin, bagi mengelak sebarang perkara tidak diingini berlaku, program tersebut terpaksa ditunda kepada satu tarikh lain.

Isnin, 18 Februari 2013

Parlimen Dan DUN Sabah Perlu Sidang Tergempar

KUALA LUMPUR: Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah perlu mengadakan persidangan tergempar sekirannya Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein tidak mampu memelihara kedaulatan Sabah dan Malaysia serta hak dan keselamatan rakyat Sabah.

Demikian pandangan Ahli Parlimen Ipoh Timur, Lim Kit Siang dalam satu kenyataan, semalam.

Ketua Parlimen DAP itu merujuk Malaysiakini telah memetik laporan Ahad Philippine Daily Inquirer bahawa meskipun penguasa Malaysia mengisytiharkan berakhirnya rundingan dengan lebih daripada 100 orang rakyat Filipina bersenjata yang mendarat di Sabah awal minggu ini dan berkata mereka akan dihantar pulang, ketua kumpulan itu bertegas mereka tidak akan berganjak.

Katanya, ia telah memburukkan nama Kementerian Dalam Negeri memandangkan kesabaran dan keyakinan rakyat Sabah dan Malaysia terhadap kemampuan Hishammuddin untuk menyelesaikan kebuntuan di Lahad Datu dengan segera dan aman semakin tipis, terutamanya Menteri Dalam Negeri lebih berminat dan sibuk bermain politik menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 berbanding fokus terhadap isu keselamatan melibatkan rakyat dan negara, seperti:
  • Cuba mengiyakan “kisah yang sukar dipercayai” bahawa nyawa Perdana Menteri  Datuk Seri Najib Razak dan bintang K-Pop Korea Psy diancam ketika pesta Tahun Baru Cina Barisan Nasional di Pulau Pinang pada Isnin lalu, sedangkan tiada bukti atau sekulmit kebenaran pun;
  • Mempertahankan penahanan dan pengusiran Senator Australia Nick Xenophon kerana memperjuangkan pilihan raya bersih dan adil di Malaysia dan mengundang kutukan seluruh dunia; dan
  • Menyebarkan penipuan tentang DAP tidak menghantar keputusan pilihan raya parti kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan walhal ia telah diserahkan sebelum Tahun Baru Cina, menimbulkan persoalan sama ada dia sedang mempersiapkan alasan untuk kerajaan UMNO/BN mengisytiharkan DAP sebagai parti politik yang haram dan tidak sah.
“Sekiranya Hishammuddin tidak mampu memberikan tumpuan menyelesaikan kebuntuan dengan pasukan bersenjata berbangsa Filipina di Lahad Datu dengan kadar segera dan aman, beliau sepatutnya biar orang lain yang lebih mampu memberikan keutamaan sewajarnya kepada isu keselamatan negara  bukannya mencipta kontroversi politik untuk melakukan tugas itu,” ujarnya lagi.

Bagi Kit Siang, adalah amat malang jika Hishammuddin di dalam fikiran rakyat Malaysia, terutamanya rakyat Sabah dikaitkan dengan ungkapan ‘Nero sedang main-main sementara Rome terbakar’.

Selasa, 5 Februari 2013

Akta Laut Wilayah Jejas Kedaulatan Sabah


KOTA KINABALU: Dewan Pemuda PAS Sabah menyifatkan penggubalan rang undang-undang berkaitan pelantar benua dan dasar laut di negeri ini sebagai satu cubaan halus yang menghapuskan secara halus hak dan kedaulatan negeri.

Ketuanya, Lahirul Latigu berkata, akta yang diluluskan pada April 2012 lalu telah menghapuskan hak dan kuasa kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak yang sudah termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963.

“Meskipun akta ini adalah bertujuan menetapkan lebar laut wilayah Malaysia, namun ianya perlu dilihat juga sebagai satu akta yang bakal menghapuskan hak dan kuasa kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak yang sudah termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 dan dipelihara dalam Perkara 2 Perlembagaan Malaysia.

“Ini sekaligus menyaksikan kedaulatan, kehormatan dan hak kerajaan Negeri Sabah bakal ‘hilang’ buat selama-lamanya,” ujar beliau.

Menurutnya, telah ada satu ordinan yang berkaitan sempadan Negeri Sabah yang meliputi pelantar benua dan dasar laut serta tanah dalam Perjanjian Malaysia 1963.

“Dalam Section (2) of the North Borneo (Alteration of Boundaries) Order in Council 1954.

“Di sini apa yang tercatat dalam bahasa Inggerisnya, the boundaries of the colony of North Borneo are hereby extended to include the area of the continental shelf being the seabed and its subsoil which lies beneath the high seas contiguous to the territorial waters of North Borneo... maksudnya sudah jelas mengenai satu-satu perlembagaan dan akta,” jelasnya.

Katanya, rang undang-undang Laut Wilayah 2012 turut menafikan hak Kerajaan Negeri Sabah dan rakyatnya seperti mana yang terkandung dalam Perlembagaan Malaysia.

“Dalam perkara 2, Perlembagaan Malaysia ada menyebut mengenai pengubahan sempadan mana-mana negeri yang tidak boleh diluluskan tanpa persetujuan negeri tersebut.

“Dalam kes ini, adakah penguatkuasaan akta baru tersebut sudah melalui perbincangan dan saringan dan kelulusan di peringkat Dewan Undangan Negeri Sabah,” soalnya.

Beliau turut menyentuh mengenai dua seksyen dalam Akta Laut Wilayah 2012 yang menunjukkan had wilayah laut di semua negeri di Malaysia termasuk sabah dan Sarawak.

“Dua seksyen utama yang terkandung dalam akta ini, iaitu Seksyen 3 dan Seksyen 4 yang menghadkan wilayah laut di semua negeri di Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak hanya kepada tiga batu nautika, berbanding dengan kuasa Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak yang meliputi keseluruhan pelantar benua.

“Dua seksyen dalamyang baru diperkenalkan ini dilihat ingin menghapuskan secara halus kedudukan istimewa, kuasa negeri dan hak Negeri Sabah dan Sarawak ke atas pelantar benua tersebut,” ujarnya.

Jelasnya, akta tersebut juga telah menjejaskan kedaulatan Sabah termasuk dalam soal pembayaran royalti petroleum.

“Royalti petroleum akan tertakluk kepada hanya ehsan Kerajaan Persekutuan semata-mata dan tidak lagi wajib dibayar sebagai satu kewajipan dalam perjanjian,” jelasnya.

Pemuda PAS Sabah katanya, meminta wakil rakyat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (Dun) menyatakan pendirian mereka dan menolak akta ini.

“Buka setakat  Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak patut menolak akta ini, malah setiap wakil ahli-ahli Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (Dun) Sabah dan Sarawak perlu menyatakan pendirian mereka terhadap akta ini.

“Rakyat di kedua-kedua buah negeri Sabah dan Sarawak diajak untuk bersama-sama mempertahankan kuasa dan hak sedia ada ini bagi menjamin sebuah negeri yang berdaulat, berprinsip dan tidak mudah dijadikan bahan eksploitasi mana-mana pihak,” tegas beliau.

Isnin, 4 Februari 2013

'Ini Kalilah' Sudah Dirasai Penduduk Pulau Sepanggar

KOTA KINABALU: Penduduk Pulau Sepanggar, Kota Kinabalu, yang terletak kira-kira 10 hingga 15 minit dari Pulau Gaya mempunyai hanya kira-kira 400 penduduk di 70 buah rumah merintih diabaikan BN sekian lama.

Ketua Penduduk Pulau Sepanggar yang juga Ketua SAPP (Sabah Progressive Party), Haji Ahmad Abu Bashar berkata sudah sekian lama penduduk Pulau Sepanggar diabaikan kerajaan Barisan Nasional.

Katanya, infrastrukur Pulau Sepanggar tidak dibangunkan dan masjid yang ada juga uzur tanpa dipedulikan oleh kerajaan BN. Lebih teruk, kebajikan penduduk seperti kesihatan juga diabaikan.

Semalam, rombongan PAS yang diketuai Setiausaha Majlis Syura Ulamak, Datuk Nik Muhammad  Zawawi Nik Salleh telah berkunjung ke Pulau Sepanggar untuk meninjau keadaan penduduk dan menjalin ukhuwah Islam.

“Kami datang memahami masalah mereka dan juga mengambil kesempatan untuk mengadakan sambutan dan penghayatan kepada Maulidur Rasul,” kata Nik Zawawi ketika dihubungi Harakahdaily.

Di dalam lawatan ini juga, Nik Zawawi berkata PAS memberikan pemeriksaan kesihatan percuma.

“Alhamdulilah, program kebajikan ini disambut meriah. Hampir semua penduduk Sepanggar menghadiri program ini. Mereka semua menyokong PAS,” katanya lagi.

Nik Zawawi, yang juga Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS berkata penduduk Pulau Sepanggar kini sedar mereka mempunyai pilihan alternatif, iaitu Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kali ini.

“Insya Allah. mood ‘Ini Kalilah – Tukar’ sudahpun dirasai di sini,” kata beliau lagi.
 
back to top