Isnin, 29 Oktober 2012

PAS cadang tubuh tribunal bantu Peneroka Koyah A

KINABATANGAN: PAS Sabah akan berusaha menubuhkan satu tribunal bagi penyiasat penyelewengan keatas para peneroka tanah di Koyah A yang telah dinafikan hak mereka jika Pakatan Rakyat menguasai tampuk pemerintahan Negeri Sabah dalam PRU 13 ini.

Tribunal ini akan mempunyai bidang kuasa melakukan siasatan serta kuasa memutus yang boleh memuktamadkan arahan memulangkan kembali geran-geran tanah  para peneroka di Koyah A malah dibanyak tempat lain seperti di Segaliud, Paitan, Beluran, Telupid, Merotai, Tongod dan Keningau.


Demikian kata Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah, Haji Hamzah Abdullah dalam satu kenyataannya.

Menurut beliau, PAS Sabah mengikuti dengan serius pergolakan yang melanda para peneroka di Koyah A, Kinabatangan, dimana hak pemilikan ke atas tanah-tanah mereka telah dirampas secara licik oleh individu dan pemilik syarikat yang mempunyai hubungan yang rapat dengan pemimpin-pemimpin atasan UMNO/BN.

"Bagi pihak PAS Negeri Sabah, saya menegaskan bahawa isu ini telah berlarutan selama lebih 20 tahun.

"Saya telah turut terlibat membantu para peneroka untuk mendapatkan semula hak-hak mereka seawal tahun 1994 lagi serta telah beberapa kali berusaha mengadakan pertemuan diantara para peneroka dengan 'penceroboh'  tanah ini yang juga terlibat dalam operasi kuari haram di Silam, Lahad Datu," katanya.

Namun, usaha-usaha yang beliau lakukan ini telah gagal kerana 'penceroboh' tanah ini enggan bertemu dengan para peneroka, kata Hamzah.

Menurutnya, setelah meneliti Ahli Lembaga Pengarah syarikat yang dimiliki 'penceroboh' tanah ini, beliau membuat satu kesimpulan yang tepat bahawa didalam syarikat tersebut terdapat beberapa pemimpin UMNO yang berpengaruh memiliki saham serta duduk sebagai Ahli Lembaga Pengarah.

"Disini lah punca sebenar kenapa masalah ini tidak boleh selesai dan telahpun berlanjutan selama lebih 20 tahun," kata beliau kepada Harakahdaily.

'Penceroboh' tanah ini, katanya, memiliki Sijil Anak Negeri dan mendakwa beliau sebagai seorang pribumi.
Tetapi rekod-rekod dokumen kelahiran beliau mengesahkan bahawa beliau dan juga ayah beliau adalah seorang pendatang dari Fujian, China.

Rekod dokumen peribadi beliau juga telah disiarkan dalam beberapa blog khususnya sabahkini.net

Tanah di kawasan Koyah A ini adalah anugerah Kerajaan Berjaya yang Ketua Meterinya masa itu ialah Datuk Harris Salleh.

Ia bertujuan supaya diusahakan oleh para peneroka yang sebahagian besarnya adalah petani dari kelompok Bumiputera Sabah yang berada dibawah paras miskin.

Masalah pencerobohan tanah di Koyah A ini timbul dizaman kerajaan PBS yang Ketua Menterinya masa itu ialah Datuk Pairin Kitingan.

Hampir 1 juta ekar tanah-tanah pekebun kecil anugerah Kerajaan Berjaya ini  telah dirompak oleh tauke-tauke kroni dizaman PBS dengan cara menukarkannya kepada geran besar, dan terus berlanjutan hingga saat ini.

"Jadi, kalau tanah-tanah peneroka ini dirompak dizaman PBS yang dipimpin oleh Datuk Pairin Kitingan satu ketika dulu, maka persoalannya ialah dimana pula kedudukan Datuk Pairin sekarang?

"Maka, saya katakan kepada para peneroka, kalaulah mereka mahu mendapatkan semula hak pemilikan keatas tanah-tanah mereka, pilihan yang ada ialah dengan menumbangkan kerajaan UMNO/BN yang ada sekarang ini, yang jelas telah mengkhianati amanah rakyat Negeri ini, dalam PRU 13 akan datang," tegasnya.

Hamzah yakin, Pengarah Jabatan Tanah telah bertindak diluar bidangkuasanya apabila membenarkan geran-geran bertaraf 'smallholder' yang tidak melebihi 15 ekar telah di tukar (converted) menjadi geran besar (grand title/parent title) dan meluluskannya kepada syarikat 'penceroboh' ini.

"Saya pasti ada sesuatu imbuhan yang diterima oleh pihak yang bertanggungjawab meluluskan penukaran geran tanah ini kepada dari 'smallholder' kepada 'grand/parent title'. Hanya masa dan tempat akan menentukan kedudukan sebenarnya," dakwa beliau yang juga Yang Dipertua PAS kawasan Batu Sapi.

Khamis, 18 Oktober 2012

AES: 'Kementerian tak endahkan suara dari Parlimen'

KOTA KINABALU: Keengganan kerajaan memansuhkan pemasangan kamera Sistem Pelaksanaan Automatik (AES) di 831 lokasi yang ditentang banyak pihak, termasuk anggota parlimen didakwa seolah-olah merendahkan martabat Dewan Rakyat.

Pemuda PAS Sabah mempertikaikan sikap itu kerana bukan sahaja wakil rakyat pembangkang, tetapi di pihak BN juga menentang pelaksanaannya.

"Ini jelas bahawa, kementerian tersebut tidak mengendahkan suara pemimpin yang dilantik rakyat sekaligus merendah-rendahkan martabat Dewan Parlimen selaku penguasa penuh dalam setiap keputusan terhadap rakyat," kata ketua dewan itu Lahirul Latigu.

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abd Rahim Bakri hari ini dilaporkan berkata, kerajaan tidak berhasrat memansuhkan pemasangan kamera AES kerana ia tindakan holistik bagi mengurangkan kadar kemalangan maut.

Dalam kenyataannya hari ini, Lahirul juga memuji Pulau Pinang dan Kelantan yang menangguhkan AES kerana ia selari dengan konsep negara berkebajikan yang dilaungkan PAS.

Sementara itu, menyentuh cadangan pelaksanaan AES di 21 kawasan di seluruh Sabah, Lahirul berkata ia tidak membawa apa-apa kesan terhadap pembangunan prasarana negeri.

"Buat apa dipasang sistem AES, sedangkan jalan-jalan raya di Sabah boleh disifatkan terlalu teruk dan mundur ke belakang," katanya lagi.

Bukan sahaja wakil rakyat pembangkang, penyokong kerajaan seperti Mohamad Aziz (BN-Seri Gading) dan Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong) juga sebelum ini meluahkan rasa tidak senang dengan langkah itu di Parlimen.

Isnin, 15 Oktober 2012

Bekas ahli USNO dipelawa sertai PAS

PAS Sabah mempelawa semua bekas ahli Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) untuk menyertai parti itu untuk merealisasikan sebuah 'perjuangan berasaskan keadilan dan kesejahteraan rakyat negeri itu'.

Ketika membuat pelawaan tersebut, Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah, Hamzah Abdullah berkata parti itu telahpun menerima banyak permohonan dari bekas ahli USNO, khususnya dari daerah Tawau.


Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata, pihaknya PAS Sabah telah menghantar permohonan mereka untuk menjadi ahli PAS kepada ibupejabat PAS pusat.

"Terdapat sejumlah ahli USNO dari Sandakan dan Kota Kinabalu yang juga telah mengisi borang keahlian PAS dan telah diterima menjadi ahli," katanya.

Hamzah berkata, perjuangan PAS mempunyai banyak persamaan dengan USNO di mana asas perjuangan kedua-dua parti ini adalah berdasarkan kepada keadilan sejagat.

"Allahyarham Tun Mustapha, pengasas USNO dan Bapa Kemerdekaan Sabah mempunyai hubungan yang cukup akrab dengan Allahyarham Datuk Yusof Rawa, Presiden PAS kelima selepas Datuk Asri Muda," katanya.

Beliau berkata, Allahyarham Tun Mustapha juga mempunyai hubungan yang baik dengan Subky Latiff, seorang wartawan dan penulis terkenal, yang juga merupakan bekas Pesuruhjaya PAS Selangor.

Menurutnya, UMNO pernah melukakan hati Allahyarham Tun Mustapha sewaktu parti itu hendak memulakan langkah mengembangkan sayapnya ke Sabah.

Oleh itu, Hamzah mendakwa lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke Istana Tun Mustapha di Kudat kelmarin "tidak lebih hanya sebagai sebuah lakonan dan helah yang agendanya cuba melunakkan hati para penyokong dan ahli USNO".

"PAS Sabah menasihatkan para penyokong serta ahli USNO agar 'tidak jatuh di lubang yang sama sebanyak dua kali'.

"Insiden yang pernah menimpa USNO juga telah dialami PAS di mana PAS yang telah berkorban dengan menyertai BN atas pelawaan UMNO pada tahun 1974, akhirnya ditendang keluar oleh UMNO apabila merasakan UMNO tercabar dengan kekuatan PAS yang semakin meningkat," dakwanya.

Hamzah mendakwa, USNO juga 'pernah ditendang keluar oleh UMNO' kerana parti itu membangkitkan isu penyerahan Pulau Labuan sebagai Wilayah Persekutuan.

Sehubungan itu, katanya, PAS bersedia mempertimbangkan cadangan bagi meletakkan beberapa bekas pemimpin USNO sebagai calon untuk pilihan raya umum ke-13.

"PAS Sabah telahpun bermesyuarat sebelum ini dan bakal mengumumkan keputusannya pada masa yang sesuai," tambah Hamzah.

Isnin, 1 Oktober 2012

PAS kesal ASRNS tidak dipulihkan

Oleh: Hj. Hamzah Abdullah
PAS Sabah merasa kesal dengan pembentangan Bajet 2013 yang langsung tidak mengambil kira hak kebajikan rakyat Negeri ini. Bagi pihak rakyat Sabah, saya telah meneliti kandungan Bajet yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan dan merumuskan bahawa yang akan 'kenyang' daripada dentuman Bajet ini hanya pemimpin UMNO/BN.

Rakyat Sabah khususnya pribumi Sabah, yang rata-rata masih berada di bawah paras kemiskinan hanya bakal menerima tangki-tangki air dan keperluan asas yang hanya boleh bertahan paling lama 8 bulan.
Sebanyak 40,000 tangki air 1Malaysia yang bakal diagih-agihkan kepada orang kampung hanya 'menggemukkan' pembekal yang tentunya kroni-kroni UMNO/BN dan mempunyai saham dalam bentuk komisyen. Tangki air ini hanya mempunyai jangka hayat paling lama 8 bulan kerana daripada jenis berkualiti rendah.

BN sewajarnya tidak berfikir bahawa rakyat masih bodoh dan boleh diperbodohkan seperti zaman sebelum wujudnya ICT. Sekarang kita berada pada era maklumat berada di hujung jari.

Rakyat Sabah masih tidak lupa dengan teguran Ketua Audit Negara bagaimana peralatan sekolah dan alat kelengkapan tentera seperti teropong telah dibeli dengan harga sehingga melonjak 1,000% dari harga asal! Ini lah yang mesti rakyat fikir dan usah teruja terhadap pembentangan yang masih jauh daripada jangkauan kita.

PAS Sabah menuntut supaya dipulihkan semula Amanah Saham Rakyat Negeri Sabah (ASRNS) atau popular dengan panggilan Amanah Saham Tun Mustapha yang telah diasaskan oleh Bapa Kemerdekaan Sabah, Almarhum Tun Mustapha di era pemerintahan USNO.

Almarhum Tun Mustapha adalah pemimpin Sabah pertama yang mempunyai ciri-ciri pemimpin seorang yang berjiwa rakyat dan menitikberatkan kebajikan rakyat Sabah. Di zaman Tun Mustapha jugalah pelajar-pelajar Sabah yang cemerlang dalam peperiksaan Senior Cambridge akan berpeluang melanjutkan pelajaran ke UK atau Australia dengan pembiayaan wang Yayasan Sabah, yang mempunyai konsesi balak pemberian Kerajaan Negeri.

Almarhum Tun Mustapha juga telah menggunakan wang kerajaan Negeri bagi membiaya kos menunaikan haji bagi jemaah haji Sabah, termasuk membiayai guru-guru agama yang bertauliah untuk mengajar di sekolah-sekolah agama seluruh Sabah.

PAS Sabah menuntut supaya Datuk Pairin mengambil tanggungjawab sepenuhnya di atas pemansuhan Amanah Tun Mustapha kerana di zaman PBS lah amanah saham ini telah dimansuhkan!

PAS Sabah seterusnya mencabar Pairin supaya 'cakap serupa bikin' kalau benar dia bersetuju dengan slogan 'rakyat didahulukan'. Ini masanya kehendak rakyat diutamakan memandangkan Datuk Pairin masih berkuasa di dalam kerajaan UMNO/BN Sabah.

PAS Sabah menuntut supaya pembayaran amanah saham ini dibuat dengan mengambil kira tahun ia dimansuhkan iaitu sekitar tahun 1988. Ertinya rakyat Sabah berhak mendapat saham ini untuk tempoh tertunggak sejak 1988 yang bererti selama 24 tahun.

Kalau setiap tahun rakyat Sabah yang layak mendapatnya berjumlah RM200 setiap tahun, maka setiap seorang rakyat yang layak mesti diberikan hak mereka berjumlah RM4,800!

PAS Sabah akan membawa isu ini ke dalam mesyuarat Jawatankuasa Pakatan Rakyat yang akan datang agar diterima sebagai sebahagian daripada Manifesto Pilihanraya. 
_____________________________________________
Hj. Hamzah Abdullah, Timbalan Pesuruhjaya I PAS Sabah merangkap Yang Di-Pertua PAS Kawasan Batu Sapi, Sandakan

Bajet 2013: Sabah di'anaktiri'kan

KOTA KINABALU: Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah hari ini menyifatkan Belanjawan 2013 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jumaat lalu adalah disifatkan sebagai ’Belanja Makan Kroni’.

Ketuanya, Lahirul Latigu berkata, kedudukan Sabah sebagai ‘rakan kongsi’ Malaya (kini Semenanjung Malaysia) terus dipandang sebelah mata oleh kepimpinan Datuk Seri Najib.
“Apa hasilnya yang Sabah dapat? Apakah Sabah hanya dapat 57 buah Kedai Rakyat yang dibahagi 3 antara Labuan, Sabah dan Sarawak?

“Kalau betul kerajaan ini mahu menyeragamkan harga barang di Sabah dan Semenanjung, tidak perlu nak buka kedai rakyat umpama itu... laksanakan terus. Mansuhkan dasar kabotaj yang selama ini membelenggu rakyat Sabah. Ini baru dikatakan hak rakyat,” katanya.

Katanya, terdapat banyak ruang kelompangan dan ketirisan dalam pelaksanaan pembangunan termasuklah pengagihan peruntukkan pada masa akan datang.

“Banyak peruntukkan diberikan secara one-off kepada rakyat. Tetapi, lagi banyak sebenarnya peruntukkan itu disalurkan menerusi agensi, kontrak-kontrak yang terlibat”, ujar beliau.

Bagi maksud tersebut, beliau mendesak supaya kerajaan memainkan perhatian khusus mengenai keperluan asas utama rakyat dalam memberi perlindungan daripada hujan dan panas.

Beliau menambah, kenaikan harga rumah di pasaran Sabah yang meningkat secara mendadak mengatasi bandar besar seperti Kuala Lumpur juga sepatutnya perlu diberi perhatian.

“Kita melihat, banyak projek perumahan baru bakal didirikan. Adakah pembangunan ini mengambil kira faktor harga semasa dari Sabah?

Kerajaan juga katanya, perlu melaksanakan pembangunan bersifat jangka panjang dan tidak hanya menumpukan usaha meraih undi di saat pilihanraya umum akan datang.

“Pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada seluruh ketua isi rumah dan golongan bujang adalah satu pendekatan yang agak membebankan.

“Sejauh mana pemberian tersebut boleh bertahan sampai setahun? Ditambah dengan harga minyak yang naik, harga barang tidak menentu, kos taraf hidup yang meruncing... sepatutnya ini diambil kira dalam belanjawan. Bukan setakat beri, tabur beratus ringgit sedangkan hak dan keperluan rakyat semakin hari semakin terabai”, jelas Lahirul.

Beliau turut menempelak kerajaan yang sebenarnya mahu memerah harta rakyat sebelum pemberian itu dilaksanakan.

“Bila kita tengok balik, setiap pemberi itu bermula pada Januari 2013... tapi rakyat terpaksa menanggung kenaikan harga gula serta merta, pembayaran PTPTN yang berdiskaun juga bermula 1 Oktober.

“Ini yang dikatakan... rakyat didahulukan,” sinis beliau.
 
back to top