Isnin, 29 Mac 2010

Minyak Sabah Untuk Siapa?


Semua rakyat Sabah, tidak kira apa fahaman politiknya , NGO, anak sabah, dijemput hadir untuk mendengar dan berkongsi cerita sebenar di sebalik royalti minyak. Ianya amatlah penting kerana kita merupakan salah sebuah negeri pengeluar minyak dan Tengku Razaleigh merupakan mantan Pengerusi Petronas. Pasti banyak pengalaman dan cerita yang bakal kita kongsi bersama. Ceramah Perdana tersebut akan diadakan pada 2 April 2010 (Jumaat) bertempat di Dewan Hongkod Koisaan (KDCA), Penampang bermula jam 8 Malam.

Banyak perkara yang kita semua tidak maklum mengenai royalti minyak ini terutama Minyak Sabah Untuk Siapa?. Apakah faedahnya disalurkan kepada rakyat Sabah atau ‘mereka’ yang berkepentingan? Maka untuk mengetahui dengan sejelasnya, datanglah beramai-ramai ke Ceramah Perdana ini dan segalanya bakal terjawab dengan ceramah Tengku Razaleigh Hamzah.

Adalah dipercayai oleh rakyat Sabah bahawa 5 % royalti yang diterima Negeri Sabah adalah daripada sumber minyak sahaja dan tidak termasuk gas asli.Petronas pada masa kini mempunyai kepentingan di dalam 31 buah Negara pada 2005, kumpulan Petronas terdiri daripada 103 buah anak Syarikat, 19 buah separuh pemilikan dan 57 buah syarikat berkepentingan, kesemua terlibat dalam aktiviti asas gas dan minyak.Sabah adalah diantara pemilik minyak dan gas cecair, di mana pada masa kini mengeluar 290,000 tong minyak sehari. Bagaimanapun, Sabah (NEGARA) adalah sebuah negeri yang paling miskin dan paling mundur di Malaysia.

PAS Kota Belud Seru 'Tinggalkan Umno'

Kota Belud, 20 Mac : PAS Kota Belud seusai melakukan ziarah ke sekitar Kampung Kesapang sekali lagi mengulangi gesaannya agar seluruh masyarakat disana menolak barisan nasional pada piliharaya umum akan datang.



Program Ziarah ini dianggotai oleh Timbalan Pesuruhjaya Sabah Ustaz Aminudin Aling, Yang Dipertua PAS Kota Belud Ustaz Mustakim Aling , bekas calon adun Tempasuk Ustaz Awang Laiman, unit amal dan muslimat Kota Belud.

Kenyataan ini berdasarkan bukti bahawa barisan nasional telah gagal membangunkan daerah tersebut ke tahap yang lebih baik.



Jelas sekali barisan nasional gagal membawa perubahan kepada masyarakat di sekitar kawasan ini kerana kemudahan asas seperti air, elektrik dan jalan raya masih berada ditahap yang menyedihkan, kata Ustaz Aminuddin Aling.

“masih terdapat rumah-rumah yang menggunakan air perigi yang digali sendiri untuk kegunaan seharian serperti memasak, mandi dan kegunaan lain”




Sudah tentu dunia luar akan terkejut melihat apa yang berlaku di Kota Belud kerana keadaan ini tidak sepatutnya berulang sesudah 52 tahun umur kemerdekaan Negara ini, ujar beliau kesal.

Sementara itu, Ustaz Awang Laiman menempelak sikap angkuh pemimpin barisan nasional kerana begitu berani mendabik dada sebagai juara rakyat sedangkan masih ramai lagi rakyat yang hidup melarat dan tidak terbela nasib mereka khususnya di Sabah.

Beliau berkata, banyak projek-projek besar yang kononnya akan dilaksanakan di daerah ini untuk membantu meningkatkan tahap kualiti masyarakat disini tapi sehingga ke hari ini pekan kota belud pun masih digelar pekan koboi.

Pada program ziarah tersebut, Ustaz Awang Laiman meluangkan masa menghulurkan sedikit bantuan kebajikan berbentuk keperluan seharian seperti beras dan pakaian.

“kita sangat sedih kerana kebanyakkan mereka yang kami temui merupakan golongan kurang bernasib baik yang terdiri daripada ibu tunggal, golongan kurang upaya dan anak yatim, tambah beliau.

“kebanyakkan mereka memang layak dan sudah beberapa kali memohon untuk mendapatkan bantuan daripada jabatan kebajikan tetapi tidak tahu apakah puncanya mereka tidak mendapat sesenpun daripada pihak yang berkenaan”

Selasa, 2 Mac 2010

Mahasiswa UMS-KAL Demonstrasi Pulihkan Bekalan Air


Lebih 1,000 pelajar Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) mengadakan piket bagi menuntut pihak berkuasa mencari penyelesaian segera terhadap masalah bekalan air di kampus itu.

Piket tersebut adalah yang pertama seumpamanya di pulau ini berikutan kekurangan bekalan air yang berlaku di sini sejak pertengahan tahun lepas.

Sambil membawa sepanduk dan poster, mereka berkumpul di kampus itu, yang terletak kira-kira 14km dari bandar Labuan, sejak pukul 9 pagi di bawah pengawasan polis.

Kuliah di kampus berkenaan dihentikan sementara berikutan piket itu.

Bercakap kepada Bernama, Naib Presiden Majlis Perwakilan Pelajar UMSKAL, Herry Anto Hasanudin berkata mereka telah menyerahkan satu memorandum kepada Jabatan Hal Ehwal Pelajar universiti itu sebelum piket tersebut diadakan.

Katanya dalam memorandum itu, pelajar meminta Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin melawat UMSKAL bagi melihat sendiri keadaan di situ; meminta bekalan air bersih disediakan secara berterusan; dan meminta universiti itu ditutup sehingga masalah bekalan air di situ diselesaikan.

Lebih 2,500 pelajar menuntut di universiti itu, sebahagian besarnya berasal dari tanah besar Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia serta sebilangan kecil dari China, Indonesia dan negara lain.

"Akibat masalah bekalan air ini, ada pelajar yang berhenti dan melanjutkan pengajian di universiti lain," katanya.

Herry Anto berkata pelajar menghadapi masalah bekalan air di kampus itu sejak semester pertama tahun lepas dan berharap keadaan akan bertambah baik pada semester kedua.

"Malangnya, keadaan bertambah buruk. Kami telah suarakan masalah ini sejak tahun lepas, tapi ia terus berlarutan. Kami harap menteri berkenaan akan mencari jalan bagi membantu kami," katanya.

Kini, pelajar universiti itu bergantung pada bekalan air yang dihantar oleh lori tangki Jabatan Bekalan Air bagi memenuhi keperluan harian mereka.

Herry Anto berkata mereka cuba menghubungi Naib Canselor universiti itu untuk mendapatkan bantuan, tetapi tidak berjaya.

Usaha Bernama untuk menghubungi pengarah UMSKAL juga tidak berhasil.

Sementara itu, Anggota Parlimen Labuan, Datuk Yussof Mahal berkata beliau telah meminta Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air mencari penyelesaian bagi masalah kekurangan bekalan air di Labuan.

"Kami tidak boleh biarkan para pelajar dan rakyat kami terus mengalami masalah ini sepanjang masa. Kami tak akan dapat menarik pelabur sekiranya masalah ini berterusan," katanya.

UMSKAL memerlukan sekurang-kurangnya 120,000 gelen air sehari bagi memenuhi keperluan pelajar dan petugasnya.

Sementara itu, berikutan perbincangannya dengan Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Ahmad Phesal Talip, Jabatan Bekalan Air dijangka menghantar bekalan air yang secukupnya ke universiti itu.

Masalah kekurangan bekalan air di Labuan dijangka berakhir Disember ini apabila projek saluran paip dasar laut dari Beufort ke pulau berkenaan berharga RM365 juta, disiap sepenuhnya.

Kini, Labuan bergantung pada bekalan air dari tanah besar Sabah melalui saluran paip dasar laut dari Sungai Padas di daerah Beaufort. Permintaan terhadap bekalan air di Labuan ialah kira-kira 56 juta liter sehari, sedangkan bekalan semasa hanya berjumlah 42 juta liter.

Masalah bekalan air di Labuan bermula apabila dua daripada tiga empangan kering awal tahun lepas.

Isnin, 1 Mac 2010

Pakatan Rakyat Sabah Pastikan '1 lawan 1 PRU-13





Dari kanan, Cristina Liew, Jefri Kitingan, Hisamudin Sulaiman,Jimmie, Anuar Ibrahim, Lim Kit siang dan Thamrin Jaini

Kota Kinabalu, 1 Mac
– Sambutan Tahun Baru Cina Pakatan Rakyat baru-baru ini memberikan mesej yang jelas bahawa kesatuan jentera Pakatan Rakyat Sabah yang terdiri daripada pelbagai kaum kini bersedia untuk menggempur barisan nasional pada pilihanraya umum ke-13 yang akan datang, jelas Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Sabah, Ustaz Anuar Ali.

Majlis besar-besaran yang diadakan di Dewan utama Sekolah Menengah Kion Kok Likas ini berjaya menghimpunkan lebih kurang tiga ribu orang hadirin yang terdiri daripada masyarakat Tiong Hwa termasuk penyokong daripada parti PAS, PKR dan DAP.

Antara kenamaan utama yang hadir pada majlis sambutan tersebut iaitu Ketua Umum PKR Dato Sri Anuar Ibrahim, Pengerusi DAP Lim Kit Siang dan Wakil Badan Perhubungan PAS Sabah; Timbalan Pesuruhjaya Ustaz Aminudin Aling dan Ketua Penerangan Ustaz Hisamudin Sulaiman.

Kenamaan lain yang turut hadir iaitu Ketua Pimpinan Tertinggi PKR Sabah, Sdr Thamrin Hj Jaini, Ahli Parlimen Kota Kinabalu Dr Hiew Ting Chiew , Presiden SAPP Dato Yong Teck Lee dan barisan kepimpinan PKR Sabah.

Sebagai tuan rumah, MP Kota Kinabalu Dr Hiew Ting Chiew membuka pentas ucapan dengan mengajak semua masyarakat di Sabah agar berani membuat perubahan.

Beliau menggesa agar semua yang hadir melihat perubahan yang berlaku di semenanjung yang banyak memberikan manfaat kepada kesejahteraan masyarakat tempatan itu sendiri.

Sementara itu, wakil daripada ketiga-tiga parti PAS, PKR dan DAP dalam ucapan masing-masing bersepakat bahawa pada pilihanraya umum ke-13, mesej ‘satu lawan satu’ mesti direalisasikan untuk memastikan Barisan Nasional tumbang di Sabah.

Dato Sri Anuar Ibrahim dalam ucapannya berkata, walaupun Sabah memiliki sumber semulajadi yang banyak seperti kayu balak dan minyak asli, namun rakyatnya masih berada ditahap kemiskinan tegar walaupun sudah 52 tahun merdeka.

Ini katanya, berpunca daripada pemimpin umno-barisan nasional yang tidak menjalankan amanah yang diberikan oleh rakyat sebaliknya sibuk mengumpul harta dan kekayaan untuk kroni mereka, ujar beliau lagi.

Beliau menekankan agar semua barisan pembangkang di Sabah bersatu hati untuk memastikan umno-barisan nasional dapat di halau keluar dari Sabah pada pilihanraya umum akan datang.

Ketua Penerangan PAS Sabah, ustaz Hisamudin Sulaiman pula berkata, perubahan mesti dilakukan bermula daripada rakyat Sabah dan kita akan melihat perubahan akan berlaku di seluruh Malaysia.

Beliau mengingatkan semua yang hadir termasuk ahli PAS, PKR dan DAP supaya bersatu dengan misi satu lawan satu melawan barisan nasional dan memastikan pengundi tidak lagi tertipu dengan janji-janji manis oleh pemimpin yang tidak amanah pada PRU ke-13 nanti.

Pengerusi DAP, Sdr Lim kit Siang pula menegaskan supaya rakyat menilai semula kemajuan yang dibawa sepanjang pemerintahan barisan nasional.

Beliau melahirkan rasa kesal kerana kemudahan asas di Sabah seperti air, elektrik dan jalan raya yang masih amat menyedihkan keadaannya dan ini menjadi sebab utama mengapa perubahan kepimpinan di Sabah kepada Pakatan Rakyat mesti menjadi pilihan rakyat Sabah.

Beliau juga dalam ucapan tersebut sempat memberikan tawaran kepada presiden SAPP, Dato Yong Teck Lee agar turut bersama-sama dalam barisan Pakatan Rakyat berdepan barisan nasional pada PRU ke-13.

Ini kerana, sebelum ini SAPP masih belum menunjukkan rasa berminat untuk berkerjasama dengan Pakatan Rakyat walaupun ada tawaran dibuka oleh pimpinan pakatan rakyat di Sabah.



Unit AMAL ikhlas membantu


Pada majlis itu juga, kebanyakkan yang hadir memberikan pujian kepada petugas unit amal Dewan Pemuda PAS Sabah kerana berjaya membantu melicinkan pergerakan program sambutan tersebut dengan menjaga parking kereta, mengiringi VIP, membuka kaunter pendaftaran dan lain-lain lagi.

PAS Sabah PRU-13 ; 9 kerusi Parlimen, 15 DUN

KOTA KINABALU : Badan Perhubungan PAS Negeri Sabah dalam satu mesyuarat di Keningau telah memutuskan PAS Sabah telah bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan pilihanraya yang akan diadakan bila-bila masa.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Pesuruhjaya PAS Sabah Muhamad Abdullah, keputusan mesyuarat tersebut menyebut PAS Sabah telah sebulat suara untuk bertanding di 9 kerusi parlimen dan 15 kerusi Dewan Undangan Negeri Sabah pada pilihanraya ke-13 nanti.

Tanpa menamakan kerusi-kerusi yang akan ditandingi, PAS dijangka akan mengekalkan kerusi tradisi seperti Merotai dan Sukau disamping Karambunai, Tanjong Aru, Pantai Manis, Gum-Gum, Sekong, Tanjong Batu, Balung dan beberapa lagi kerusi yang akan dinyatakan kemudian. PAS juga dijangka akan bertanding di parlimen Kalabakan, Batu Sapi, Kota Belud serta beberapa kerusi parlimen yang lain.

Badan Perhubungan PAS Sabah juga telah mengenalpasti calon-calon berpotensi yang mempunyai pelbagai latarbelakang profesionalisme serta kemantapan ilmu agama yang boleh diterima masyarakat dan rakyat negeri ini. PAS Sabah berpendapat bahawa kriteria penting dalam pemilihan calon akan dilihat dari sudut kefahaman dan kemantapan ilmu agama kerana ia mampu membendung gejala lompat parti jika seseorang calon tersebut terpilih memenangi sesuatu kerusi yang ditandinginya.

Menurut Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah, Hamzah Abdullah berkata PAS tidak mahu melihat trend melompat parti sebagaimana yang menjadi budaya yang telah berakar umbi dikalangan beberapa wakil rakyati negeri ini dan di negeri-negeri tertentu di Semenanjung sehingga mengucarkacirkan pentadbiran sesebuah kerajaan, serta mengkhianati amanah rakyat, merebak dan menjalar kedalam PAS.

"Sebab itu PAS meletakkan syarat berbaiah iaitu untuk tidak mengkhianati Allah dan Rasulnya sebelum seseorang dipilih untuk menjadi calon dalam mana-mana pilihanraya yang ditandingi oleh PAS," katanya.

Beliau selanjutnya berkata, "kita bersyukur kepada Allah kerana semua ahli Yang Berhormat dari PAS tidak mudah dipengaruhi dengan pujukan pihak-pihak yang tidak beretika untuk melompat keparti lawan".

Badan Perhubungan PAS Sabah juga sedang dalam rangka membentuk jawatankuasa kajian manifesto. Banyak isu-isu penting serta dokumen yang bernilai bakal dipersembahkan kepada rakyat negeri ini untuk dipertimbangkan supaya tidak berbelah bagi dalam menyokong perjuangan PAS.

Apa yang penting ialah rakyat menilai manifesto PAS yang meletakkan hak dan warisan mereka yang semakin terhakis sebagai fokus utama dalam menentukan undi mereka pada pilihanraya ke-13 ini.

PAS akan berjuang unntk mengembalikan tanah-tanah adat yang telah dirampas dan dibolot oleh kroni-kroni Barisan Nasional. PAS juga akan memastikan supaya kampung-kampung tradisi dikekalkan dan diberikan hakmilik geran kampung.

Walaupun PAS menyedari bahawa Pakatan Rakyat semestinya mempunyai satu manifesto bersama, tetapi PAS juga akan memperjelaskan kepada rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat tentang rasional disebalik manifesto tambahan.
 
back to top