Rabu, 25 Januari 2012

Bosan! Jalanraya di Sabah terus menakutkan

KOTA KINABALU, 25 Jan: Rakyat di negeri ini sudah bosan dan kecewa dengan kegagalan pihak kerajaan negeri yang hingga kini masih gagal mencari formula terbaik menangani masalah jalan rosak yang terpaksa dilalui setiap hari.

Biarpun pendedahan demi pendedahan dan laporan demi laporan termasuklah kajian strategik yang dibuat mengenai isu itu, namun ia bagaikan ‘bising hanya dibibir’ kerana tiada perubahan yang ketara terhadap kualiti jalan raya terutama di negeri ini seperti mana yang diharapkan pengguna.

Ketua Penerangan Pemuda PAS Sabah, Mohd Julpikar Abd Mijan berkata, rakyat sudah muak dengan janji-janji kosong yang ditaburkan pihak tertentu hanya semata mahu meraih undi semasa pilihan raya.

“Rakyat sudah bosan dan kecewa dengan keadaan begini.

“Keadaan jalan berlubang, mendap, beralun serta tampalan yang tidak sempurna dan berpasir terpaksa dihadapi pengguna jalan raya menyebabkan pemilik resah memikirkan kos bagi penyelenggaraan kenderaan,” ujarnya dalam nada yang kecewa.

Menurutnya, jalan utama yang menghubungkan beberapa daerah di negeri ini seperti Kota Kinabalu, Tuaran, Ranau, Telupit, Beluran, Sandakan, Kinabatangan dan Lahad Datu boleh diklasifikasikan jalan yang paling teruk bermasalah.

Beberapa siri kejadian di mana kenderaan mengalami masalah tayar meletup, rim bengkok akibat hentakan jalan berlubang dan sebagainya sentiasa berlaku di jalan-jalan ini.

“Ini adalah antara laluan yang berbahaya terutama di waktu malam. Pengguna kerap kali melalui jalan yang teruk yang terpaksa memikirkan kos sampingan selain kos penyelengaraan kenderaan,” katanya.

Selain itu, kegagalan kerajaan negeri melihat permasalahan ini diselar berikutan begitu banyak pembaziran yang dibuat berbanding menyediakan kemudahan asas yang lebih baik untuk rakyat.

“Kita (PAS) tidak nafikan bahawa, keindahan itu penting. Tapi alangkah baik sekiranya kerajaan juga menyediakan kemudahan infrastruktur yang baik untuk rakyat.

“Ini jelas menepati slogan rakyat didahulukan... bukan kroni dan bukan juga perut menteri,” ujar Julpikar.

Rabu, 18 Januari 2012

BR1M: Pengunjung program Muhyiddin kecewa

SEMPORNA, 18 Jan: Hampir 10,000 pengunjung kecewa dengan pemberian Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) yang dijanjikan tidak ditepati oleh kerajaan negeri.
 
Yang Dipertua PAS Semporna, Mohd Julpikar Abd Mijan (gambar) mendakwa, hampir sebahagian daripada pengunjung yang hadir ke Program Pemimpin Bersama Rakyat di pekan ini yang turut dihadiri oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pulang dalam perasaan yang kecewa setelah berpanas dan bersesak-sesak bagi mendapatkan bantuan BR1M tersebut.


 
“Mereka datang dari seluruh daerah Semporna ini bagi mendapatkan BR1M yang telah dijanjikan kerajaan.

“Namun, mereka agak kecewa kerana hanya sekitar 3,000 sahaja yang menerima bantuan tersebut,” katanya.

Menurutnya, kerajaan perlu berperanan secara serius dan adil dalam pemberian bantuan kepada rakyat.

“Apabila janji sudah dibuat, maka peranan perlu secara serius dan adil,” katanya.

Program pemberian BR1M yang diadakan sempena Program Pemimpin Bersama Rakyat yang diadakan di Padang Pekan Semporna kelmarin turut dihadiri Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal.

Beliau yang juga Ketua Penerangan Pemuda PAS Sabah turut menempelak Muhyiddin kononnya BR1M tersebut tidak ada kaitan dengan politik.

“Cakap tak ada main-main politik. Tapi, ucapan-ucapannya jelas bermotifkan politik bagi meraih undi.

“Ini duit, duit rakyat yang bayar cukai. Bukan duit Umno BN. Kenapa perlu mengatakan Umno yang bagi?” ujarnya.

Sehubungan itu, Julpikar menyeru rakyat Sabah untuk mengajar pemimpin-pemimpin Umno BN yang ‘besar kepala’ dengan terus memberi sokongan kepada Pakatan Rakyat.

Selasa, 17 Januari 2012

BN Sabah dicabar isytihar harta

KOTA KINABALU, 17 Jan: Pemuda PAS Sabah hari ini mencabar Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman serta semua Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) Sabah mengisytiharkan harta peribadi dan keluarga masing-masing bagi memudahkan rakyat menilai tahap dan jurang perbezaan antara rakyat dan pemimpin.

Ketuanya, Lahirul Latigu (gambar) berkata, pemimpin Sabah tidak seharusnya ‘bercakap besar’ dan perlu membuktikan bahawa taraf hidup mereka menepati citarasa rakyat.

“Cakap besar kita tidak mahu. Cukuplah cakap-cakap Umno/ Bn berjuang kebajikan rakyat.

“Kita (PAS) mahu, mereka isytihar harta masing-masing,” ujarnya.

Menurutnya, langkah pengistiharan harta yang dibuat oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang terhadap barisan kabinet exconya baru-baru perlu diberi pujian kerana mencerminkan keprihatinan sebuah kerajaan terhadap rakyat.

“Ini membuktikan bahawa kerajaan Pakatan Rakyat serius membangunkan kebajikan rakyat. Kita tidak hanya beromongan kosong, malah membuktikan bahawa kita benar-benar telus dan terus kepada rakyat.

“Rakyat boleh menilai secara seluas-luasnya. Tiada halangan dan tiada sembunyi-sembunyi,” katanya.

Katanya, pemimpin Umno/BN di negeri ini khususnya tidak perlu berasa terbeban dan teragak-agak untuk menyenarai dan mempamerkan harta masing-masing, jika mereka benar-benar pemimpin sejati yang memiliki jiwa rakyat.

“Mereka tidak perlu gusar. Pemimpin Umno/BN mesti berani, sebagaimana mereka berani terhadap rakyat,” ujar Lahirul.


Jejak Pulau Pinang

Pada 12 Januari lalu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan ahli exco Majlis Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mengisytiharkan harta mereka secara terbuka. Bagaimanapun, pegawai ex-officio seperti Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri dan Pegawai Undang-Undang Negeri tidak diwajibkan berbuat demikian.

Lim Guang Eng memiliki pelaburan dalam Amanah Mutual Bhd yang menunjukkan sedikit peningkatan dari 112,843 unit kepada 124,845 unit antara Mac 2008 dan akhir tahun lalu, pelaburan Dana Public Mutual miliknya meningkat dari 10,000 unit hingga 25,989 unit manakala simpanan tetapnya  menunjukkan kenaikan daripada RM245,000 hingga RM298,785. Pelaburan lain iaitu sebanyak 8,000 unit tidak menunjukkan peningkatan dari tahun 2008.

Lim juga memiliki dua rumah kedai di Melaka, satu daripadanya adalah harta milik bersama yang bernilan RM435,000 dan satu lagi bernilai RM530,000. Beliau turut membuat pinjaman sebanyak RM650,000 bagi membayar hartanah itu.

Exco Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna yang juga ADUN Batu Maung Datuk Abdul Malek Kassim hanya mempunyai sebuah kereta Proton Tiara bernilai RM36,000 dan Honda CRV 2.0  berharga RM143,000 yang baru dibeli menggunakan pinjaman kerajaan negeri. Beliau merupakan antara exco yang tidak berharta.

Hasil pengisytiharaan tersebut juga mendapati Exco Kebajikan, Kesihatan dan Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh menjadi exco paling kaya iaitu memiliki tanah dan rumah di New Zealand bernilai RM1.39 juta,  kereta Alphard bernilai RM169,000 dan beberapa unit saham.

Kata Lahirul, Pakatan Rakyat Sabah juga bersedia untuk mengisytiharkan harta masing-masing sekiranya berjaya mentadbir negeri ini.

Isnin, 16 Januari 2012

Rakyat Sabah diajak bersama Pakatan Rakyat

KOTA KINABALU, 16 Jan: Rakyat di negeri ini diajak untuk bersama Pakatan Rakyat  membina sebuah negeri dan negara yang maju, adil dan beramanah menjelang Pilihanraya Umum ke-13 memandangkan Umno BN sudah tidak berdaya dan lemah dalam membangunkan nasib dan hak rakyat.
 
Ketua Penerangan, Mohd Julpikar Abd. Mijan berkata, selain kenyataan penghinaan pemimpin Umno BN terhadap Sabah sebagai deposit tetap, terdapat juga beberapa faktor yang membenarkan rakyat untuk memastikan Umno BN terutama dinegeri ini ditumbangkan.

 
“Rakyat Sabah perlu sedar bahawa, kekerapan beberapa kenyataan yang keluar dari mulut pemimpin Umno BN yang menjadikan Sabah sebagai fixed deposit (deposit tetap) merupakan kenyataan berbaur penghinaan dan tidak layak untuk dituturkan oleh seseorang pemimpin yang memiliki jiwa dan berhati rakyat,” jelasnya.

Beliau berkata, hasil bumi dan kekayaan Sabah yang tinggi berbanding di negeri-negeri lain seluruh Malaysia dan dalam masa yang sama, kadar kemiskinan rakyat Sabah yang tinggi juga menimbulkan tanda tanya mengenai pembangunan rakyat yang dibawa Umno BN negeri ini.

“Semua kita maklum bahawa, Sabah mempunyai hasil kekayaan yang tinggi. Lebih tinggi daripada mana-mana negeri yang ada di Malaysia ini.

“Tapi, apakah kita percaya bahawa Sabah juga mencatatkan kadar kemiskinan yang jauh lebih tinggi juga berbanding di negeri-negeri seluruh Malaysia. Ikut dari logik dan matematik, semakin tinggi hasil hasil dan kekayaan bumi maka semakin senanglah hidup rakyat,” kata Julpikar.

Katanya, kegagalan kerajaan negeri menguruskan masalah setinggan di negeri ini menambahkan lagi jurang pendapatan dan keselesaan yang dialami rakyat.

“Isu setinggan, sampai sekarang tidak mampu ditanggani dengan baik oleh kerajaan negeri.
“Projek-projek perumahan banyak didirikan, namun kehidupan rakyat masih dihantui kesempitan dan ketidakselesaan mengurus kehidupan,” ujarnya.

Beliau turut mendedahkan bahawa terdapat beberapa penghuni setinggan yang dipindahkan ke pusat penempatan turut dihalau keluar akibat kesempitan membayar sewa dan kemudahan infrastruktur yang lain.

“Kita (PAS) mempunyai maklumat dan bukti yang benar mengenai isu ini. Penghuni setinggan yang tidak mampu bayar sewa di penempatan baru terpaksa dihalau keluar.

“Beginikan caranya pihak kerajaan menyelesaikan masalah?” katanya dalam nada kekesalan.

Keseriusan Ahli Parlimen Sabah menyuarakan hak dan kebajikan rakyat negeri ini juga dipertikai memandangkan kegagalan mereka menyuarakan dan membangkitakan isu ini di Parlimen.

“Kita (PAS) melihat, terdapat beberapa Ahli Parlimen yang lantang menyuarakan kebenaran... yang lain hanya angguk dan geleng mengatakan ‘yes bos’.

“Sudahlah enak menikmati gaji dan elaun yang tinggi, duduk pula di kerusi-kerusi empuk dan tilam yang lembut. Tapi, amat lembap dan lemah meningkatkan taraf hidup rakyat,” katanya.

Katanya, Sabah akan menikmati kehidupan yang jauh lebih baik dan dinaungi kerajaan adil yang beramanah sekiranya Pakatan Rakyat diberi peluang memimpin negeri ini dan negara secara keseluruhannya.

Rabu, 11 Januari 2012

Jangan ugut rakyat ‘hanya Umno bagi makan’

KOTA KINABALU, 11 Jan: Para pemimpin Umno Barisan Nasional di negeri ini diingatkan tidak memperalatkan kemaslahatan dan kesempitan rakyat sebagai medan meraih undi dan populariti.
 
Ketua Penerangan Pemuda PAS Sabah, Mohd Julpikar Abd Mijan (gambar) menegaskan bahawa politik ugut mengugut dan ‘hanya Umno yang bagi makan’ perlu dihindarkan selagi mana keyakinan dan keesaan yang tinggi kepada Allah.

“Rosak Umno BN yang ada pada hari ini bukan disebabkan kepimpinannya yang lemah. Bukan juga faktor ketandusan kepimpinan yang baik.


“Tapi, rosak dan tandusnya Umno BN disebabkan kejahilan dan khurafat yang tidak pernah padam dalam diri mereka,” ujarnya.

Katanya, kesempitan hidup yang dialami rakyat menjadi tugas utama Umno BN bagi mengekalkan kuasa dan pemerintahan yang ada pada hari ini.

“Rakyat miskin, mereka tindas. Diberi macam-macam ugutan. Kononnya tiada Umno tiadalah tempat tinggal, tiadalah makanan dan tiadalah keselesaan.

“Ini fahaman khurafat yang Umno BN Sabah berjangkit dengan Semenanjung. Yang jadi mangsa, rakyat Sabah,” ujarnya.

Menurut beliau lagi, kedaifan dan kekurangan yang ada pada rakyat sebenarnya perlu ditingkatkan pengetahuan bagi mewujudkan sebuah masyarakat yang berilmu dan berpendidikan.

“Umno sepatutnya bila sudah berkuasa, mampu untuk membawa keluar rakyat daripada kepompong kemiskinan dan kedaifan ini. Jangan tahu mengkritik negeri yang dipimpin Pakatan Rakyat. Lihat dulu negeri yang dipimpin ini, sama ada betul atau tidak sudah menepati citarasa rakyat.

“Bagi pendidikan kepada anak-anak kampung, beri mereka sekolah dan pelajaran. Beri mereka penempatan yang bagus-bagus, punya kemudahan dan keperluan asas bukan suap mereka dengan ugutan dan kuasa,” tegas Julpikar.

Dalam perkembangan yang lain, Julpikar yang juga Ketua Penerangan PAS Sepanggar mempelawa para media dan wartawan untuk melihat sendiri hasil usaha dan kerja kuat Umno Sepanggar yang dikatakan menjiwai kehidupan rakyat.

“Kita (PAS) jemput semua para media dan wartawan untuk menilai sendiri kerja kuat Umno Sepanggar yang dikatakan sejak tahun 2009 ini.

“Sehingga ke hari ini, penduduk Kampung Numbak dan Kibagu masih tidak mempunyai jaringan perhubungan jalan raya yang baik,” jelasnya.

Kedua-dua kampung berkenaan hanya bersebelahan dengan mercu tanda dan kemegahan pasaraya One Borneo dan gedung ilmu Universiti Malaysia Sabah.

Jumaat, 6 Januari 2012

Pemuda PAS Sabah ketuai gerakan anak muda

KOTA KINABALU, 6 Jan: Pemuda PAS Sabah akan mengiringi gerakan anak muda yang terdiri di kalangan pemuda-pemuda Sabah bagi menyatakan bantahan terhadap kezaliman dan menuntut keadilan bagi memastikan hak rakyat dijamin berdasarkan peruntukan perlembagaan negara.


Ketuanya, Lahirul Latigu akan mengetuai gerakan tersebut bagi memecah keegoan dan keceluparan Umno BN yang memperhambakan rakyat Sabah sebagai fixed deposit Umno BN berkuasa.


“Kita nyatakan pendirian dengan tegas bahawa, sebarang kezaliman dan ketidakadilan yang berlaku dinegara ini adalah berpunca daripada Umno BN.



“Jangan terlalu ego dengan kesenangan yang ada ini. Hari ini, waktu ini dan di sini… anak-anak muda Sabah akan beraksi menentang kezaliman Umno BN,” ujarnya.


Momentum Bersih 2.0 merupakan satu bentuk manifestasi kebangkitan rakyat pada perhimpunan aman 901 ini yang menyaksikan kebangkitan kuasa rakyat terhadap kepimpinan zalim.


“Anwar telah diaib dan dimalukan sebelum keputusan mahkamah dibuat. Adakah ini keadilan yang dipertahankan Umno BN,” katanya.


Katanya, rakyat Sabah sudah muak dengan janji yang dimainkan saban hari oleh media perdana Umno BN.


“Pagi hari dia bagi tanah, malam hari dia rompak hasil tanaman rakyat. Siang hari dia derma baja, cukup bulan dia rampas tanah… apa ini?,” kata Lahirul.


Pemuda PAS Sabah katanya, akan memainkan peranan yang lebih agresif dalam mendepani kezaliman Umno BN.


Justeru katanya, pihak polis perlu mengawal dan menjamin kelancaran perhimpunan dan bukan mengikut telunjuk Umno BN.


“Uniform biru yang dipakai itu menunjukkan kesetiaan kepada Raja dan Perlembagaan Negara, bukan setia kepada Najib dan takut kepada Umno BN.


“Ingat semula surat aku janji yang dilafazkan itu,” jelasnya.

Khamis, 5 Januari 2012

BN Sabah bergolak kencang?

KOTA KINABALU, 5 Jan: Pemuda PAS Sabah hari ini menganggap bahawa pergolakan dalaman mengenai kedudukan Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Seri Lajim Ukin sebagai badai yang bakal meruntuhkan tampuk kekuasaan Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman.

Ketuanya, Lahirul Latigu berkata, desas-desus tindakan Lajim yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan tersebut bakal menyaksikan pertikaian dan pergolakan dalaman seumpama yang dialami parti perkauman itu.

“PAS percaya, walaupun ditangkis tohmahan kita oleh pegawainya.


“Ini satu bentuk serangan dalaman yang dilakukan Lajim dan para penyokongnya. Ada signifikan bahawa kedua-dua belah pihak ini tidak sehaluan dan sependapat,” ujarnya.

Katanya, pertikaman lidah dan kegusaran pemimpin atasan dan bawahan Umno/ BN sudah tidak dapat disembunyikan lagi. Ahli Jawatankuasa Umno Beaufort, Ibrahim Salim dan Ketua Umno Sepanggar, Datuk Jumat Idris juga sudah menunjukkan bahawa berlakunya ketidaksefahaman antara pimpinan bahagian dan negeri tersebut.

“Jumat sudah minta Lajim menyatakan pendirian dan meletak jawatan politik. Sudah tunjukkan kepada kita bahawa mereka ini ada kepentingan politik tertentu yang menambah bebanan Umno/ BN,” dakwanya.

Selasa lalu, Jumat, Ketua Umno Sepanggar itu meminta Datuk Seri Lajim Ukin meletakkan jawatan dari jawatan politik dan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Menurut Lahirul, kesan daripada PRU-12 lalu juga telah menyaksikan beberapa tindakan luar jangka beberapa Ahli Parlimen terutama Sabah yang dikatakan turut akan melompat keluar dari paksi Umno/ BN.

"Selepas PRU ke-12, ramai Ahli Parlimen telah hilang kepercayaan kepada BN.

“Tindakan drastik beberapa Ahli Parlimen ini sedikit sebanyak menganggu gugat kedudukan Datuk Seri Musa Aman yang dikatakan bermasalah,” dakwa Lahirul.

Beliau memaklumkan bahawa, walaupun tiada perubahan pucuk kepimpinan negeri pada waktu itu, namun ia membawa impak yang besar.

“Kita percaya bahawa ada beberapa tindakan yang dibuat Musa Aman ketika ini tidak disenangi oleh rakan-rakannya dalam politik.

“Barangkali ada usaha pihak-pihak tertentu yang mengambil kesempatan untuk menyingkirkan Musa,” dakwanya sambil merujuk kepada apa yang berlaku salah seorang Ahli Parlimen yang senyap setelah ditawarkan Menteri sebagai cengkaman politik yang memeningkan kepala Umno/ BN.

Selasa, 3 Januari 2012

Lajim Ukin mahu keluar UMNO?

KOTA KINABALU, 3 Jan: Pemuda PAS Sabah hari ini menyambut baik dan mengalu-alukan tindakan Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Seri Lajim Ukin jika mahu keluar daripada UMNO/ BN.

Ketuanya, Lahirul Latigu berkata, jika benar dakwaan itu, tindakan yang dibuat oleh ahli parlimen itu sekaligus memberi petanda bahawa UMNO/ BN juga ditolak oleh pemimpinnya sendiri.

“Pemuda PAS mengalu-alukan tindakan beliau untuk keluar daripada UMNO/ BN.


“Ini merupakan petanda bahawa, UMNO/ BN tidak hanya ditolak oleh rakyat tetapi termasuklah pemimpinnya sudah meragui kewibawaan parti itu,” katanya.

Sehubungan itu, kata Lahirul, pihaknya turut mempelawa Datuk Seri Lajim untuk bersama-sama perjuangan Pakatan Rakyat bagi membela nasib dan taraf hidup rakyat Sabah.

“Kita pelawa beliau untuk sama-sama dengan Pakatan Rakyat. Beliau sudah sedar apabila bersama UMNO/ BN masih tidak berubah.

“Yang berubah ialah pemimpin-pemimpin UMNO/ BN,” ujar Lahirul.

Lajim, yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan sebelum ini diwar-warkan akan keluar dari UMNO/ BN dan akan mengetuai satu front baru yang dikenali sebagai SPF sebagaimana yang telah dilaporkan di media massa perdana.

Desas desus mengatakan demikian semakin kuat apabila tindakan Lajim menghadiri majlis sambutan Krismas bekas wakil rakyat Kuala Penyu, Datuk John Ghani yang turut dihadiri beberapa pimpinan Pakatan Rakyat termasuk Naib Presiden PKR, N. Surendran dan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Tambah Lahirul, sifat pemimpin UMNO/ BN yang tidak mengenang budi dengan jasa-jasa Lajim yang telah memberi kuasa kepada UMNO/ BN untuk memegang tampuk pemerintahan Sabah sekitar tahun 1994 lalu juga menyaksikan bahawa parti itu dalam dilema dan perpecahan.

“Tindakan berani Lajim melompat daripada PBS kepada UMNO/ BN bersama beberapa rakannya yang lain telah memberi laluan UMNO/ BN mendapat majoriti mudah mentadbir negeri,” jelasnya.

Ahad, 1 Januari 2012

Jangan layan mahasiswa dengan cara 'kebinatangan'

KOTA KINABALU, 1 Dis: Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah hari ini mengutuk sekerasnya tindakan keganasan terhadap sekumpulan mahasiswa yang menyertai himpunan aman di hadapan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Ketuanya, Lahirul Latigu berkata, tindakan memukul dan membelasah mahasiswa tersebut untuk menyeleraikan mereka sebagai satu tindakan yang bersifat ‘kebinatangan’ dan terkeluar dari norma manusia beragama.

“Tindakan tidak berperikemanusiaan dan lebih kepada kaedah ‘kebinatangan’ dalam menyuraikan kemaraan mahasiswa dan anak muda ini,” katanya.


Menurutnya, polis perlu menghormati peruntukkan yang sedia ada dan tidak sepatutnya dalam keadaan jahil dengan menuruti apa sahaja kehendak parti politik tertentu.

“Jangan jadi budak hingusan kepada UMNO/ BN. Tugas anda menyelamatkan hak rakyat… bukan melindungi pemimpin zalim.

“Berlaku adillah kepada semua pihak,” tegas beliau.

Beliau turut menyifatkan agenda transformasi politik yang dilaungkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hanya politik murahan yang sebenarnya langsung tidak membawa apa-apa pengertian.

“Jangan termasuk dikalangan petanda dan ciri-ciri golongan munafik. Apabila bercakap, tidak menepati apa yang diucapkan.

"Sudah-sudahlah berjanji menggula-gulakan kehidupan rakyat,” ujarnya.

Tambah beliau, insiden yang berlaku terhadap mahasiswa bukan sahaja dirasai golongan itu, malah turut dirasai golongan anak muda seluruh negara.

Dalam insiden malam tadi, kira-kira 17 mahasiswa ditahan dan dua orang cedera parah dalam perhimpunan aman Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (BEBAS) di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, malam tadi.
 
back to top