Isnin, 30 November 2009

BENARKAH PEMIMPIN UMNO SUDAH BERUBAH?


Oleh: HAMZAH ABDULLAH

*penulis adalah Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Negeri Sabah
 

KALAU pasal hiruk pikuk dengan paluan gendang kosong, memang itu benchmark UMNO. Dalam perhimpunan UMNO yang baru lalu, Najib berteriak, "bersedia untuk berubah?" Gegak gempitalah PWTC dengan sahutan perwakilan UMNO yang spontan menjawab, "bersedia"! Tapi itulah gendang kosong yang dipalu oleh para pemimpin UMNO lalu dianggukkan oleh para ahlinya.

Mana ada UMNO berubah! Bila masa UMNO sedia untuk berubah bagi kemaslahatan masyarakat pribumi? Bohong! Yang UMNO pandai ialah mengubah. UMNO mengubah nama Islam kepada Islam Hadhari. 

UMNO mengubah gejala rasuah kepada politik wang, untuk menghalalkan sogokan wang dalam UMNO bagi membolot jawatan dan mempertahankan kuasa! UMNO mengubah supaya hukuman sebat yang dipersetujui oleh Kartika Sari ditukar hanya kepada denda dalam bentuk wang. Memang pun UMNO berjuang untuk wang. Wang adalah segala-galanya bagi UMNO.

Musibah yang menimpa penduduk Kg. Lembaga Padi di mana mereka dipaksa merempat ke satu penempatan yang tidak pasti setelah menghuni kampung tersebut sejak berdekad lamanya adalah manifestasi sikap pembohong UMNO yang konon bersedia untuk berubah. 

Pengusiran para penduduk kampung tersebut juga membuktikan kebenaran bahawa slogan 1 Malaysia sebenarnya adalah "rakyat didahulukan untuk dijadikan mangsa, kepentingan UMNO/BN mesti diutamakan"
 

Kenyataan Ketua Bahagian UMNO Sepanggar, Jumat Idris, yang mengaku tidak mengetahui tentang arahan mahkamah (court order) yang menghendaki penduduk Kg. Lembaga Padi mengosongkan penempatan mereka dalam tempoh 2 minggu, juga adalah manifestasi bahawa para pemimpin UMNO hidup di suatu alam yang sebenarnya terpisah dengan masyarakat miskin dan golongan peneroka bandar (UMNO menggelar mereka setinggan dan penghuni rumah haram). 

Ini juga adalah bukti pembohongan yang kononnya para pemimpin UMNO akan bersama merasai denyutan nadi dan jantung rakyat! Whheeek!, dengar ucapan sebegini pun sudah cukup untuk masyarakat yang celik dengan sepak terajang UMNO menjadikan mereka merasa mual dan muntah!

Sama-sama kita tengok di mana kesudahannya episod pengusiran para penduduk Kg. Lembaga Padi ini. Biar kita saksikan sendiri sejauh mana seriusnya Wakil Rakyat Karambunai, Datuk Jainab Ahmad, yang konon mahu melantik seorang peguam bagi mendapatkan perintah injunksi untuk menghalang sementara arahan mengosongkan kawasan penempatan Kg. Lembaga Padi ini.

Datuk Jainab Ahmad ini pun bukan calang-calang Menteri dari kalangan Mak Datin UMNO. Dulu bila dia kempen di Kuala Terengganu, dia pandai-pandai buat tuduhan kononnya Kerajaan PAS Trengganu telah mewujudkan Jawatankuasa Syurga Rakyat!

Apalah punya pemimpin! Mujur tidak kena saman malu oleh pemimpin PAS Terengganu. Untuk pengetahuan Datuk Jainab, yang diwujudkan itu ialah Jawatankuasa Syura Rakyat yang bererti ‘People's Consultative Committee’, bukannya Syurga Rakyat. Sebab itu, kalau tidak tahu jangan cakaplah Mak Datin oooii. Buat-buat senyap dan bisu lagi bagus daripada buat tuduhan melulu yang hanya menambah dosa yang semakin bertimbun!

SELAMAT PENGANTIN BARU KEPADA EDITOR SABAHKINI.NET

gambar : dipetik dari sabahkini.net


Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah (DPPNS) dengan ini merakamkan ucapan tahniah kepada editor sabahkini.net yang telah selamat mendirikan rumahtangga bersama pasangannya pada 29 November 2009 yang lalu. Semoga "MASJID" yang dibina akan berkekalan di dunia dan akhirat!

Rabu, 25 November 2009

Rombakan Kepimpinan Pemuda PAS Sabah?


oleh : Abu Asma

Kota Kinabalu: Desas-desus bertiup kencang menyatakan bahawa Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah (DPPNS) salah satu sayap PAS di Sabah akan mengalami rombakan kepimpinan setelah berlaku kekosongan jawatan Timbalan Ketua Pemuda. Jawatan tersebut dilaporkan kosong apabila penyandangnya selama 3 penggal, Ust Hafiz Ubaidillah telah berpindah meninggalkan negeri ini atas urusan kerjaya.

Menurut sumber dalaman pemuda, Dewan Harian akan mengadakan mesyuarat dalam tempoh terdekat bagi membincangkan perkara ini dan akan mengambil ketetapan bagi melantik pemangku bagi jawatan no. 2 dalam kepimpinan pemuda tersebut. Hal ini akan dilakukan secepat yang mungkin bagi memastikan setiap agenda yang telah dirancang oleh pemuda dapat dilaksanakan dan dicapai sesuai dengan halatuju pemuda negeri iaitu "Perkasakan Pemuda, Teguhkan Pakatan".

Antara nama-nama yang disebut bakal memangku jawatan tersebut ialah Darmansah (Naib Ketua Pemuda) dan Salman Amin (Ketua Penerangan). Walau bagaimanapun, menurut orang no.1 Pemuda PAS Sabah, Lahirul Latigu perebutan jawatan bukanlah masalah di dalam PAS kerana sebagai Parti Islam setiap ahli tentunya cukup arif dan maklum betapa semakin besar jawatan seseorang maka semakin besarlah amanah yang dipikulnya dan semakin beratlah perhitungannya di hadapan Allah di akhirat nanti. Beliau juga menegaskan bahawa segalanya akan bergantung kepada hasil mesyuarat (Dewan Harian) yang akan diadakan nanti.

Dikesempatan itu juga, beliau mewakili seluruh anggota pemuda merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada Ust Hafiz seorang Ulama Muda yang berwibawa atas segala sumbangan dan khidmat bakti yang telah dicurahkan untuk menyuburkan Islam dan PAS di negeri ini.

Isnin, 23 November 2009

PEMUDA PAS DESAK PEGUAM NEGARA DIHADAP SEGERA KE TRIBUNAL


KENYATAAN MEDIA
21 NOVEMBER 2009

DEWAN PEMUDA PAS PUSAT

PARTI ISLAM Se MALAYSIA (PAS)

IMPLIKASI DARI DUA KEPUTUSAN MAHKAMAH TINGGI:

PEMUDA PAS DESAK PEGUAM NEGARA DIHADAP SEGERA KE TRIBUNAL


1. Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) memandang serius implikasi dari dua keputusan Mahkamah Tinggi yang terbaru, iaitulah keputusan di dalam kes Semakan Kehakiman terhadap Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) berhubung isu kedudukan ADUN Kota Siputeh, Kedah dan juga kes Saman yang dikemukakan oleh Ahli Majlis Perbandaran Kajang, Tan Boon Wah terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

2. Keputusan dari kedua-dua kes tersebut, yang berakhir dengan ketewasan di pihak SPR dan SPRM yang diwakili oleh Jabatan Peguam Negara, jelas menunjukkan bagaimana Peguam Negara selaku penasihat undang-undang utama kepada kerajaan sebagaimana yang diperuntukkan di dalam Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan, telah gagal menjalankan tugas dengan baik dalam memberikan nasihat perundangan yang tepat dan selaras dengan kehendak undang-undang yang sebenar hingga memalukan dan menjejaskan imej kerajaan.


3. Timbul persoalan apakah nasihat undang-undang oleh Peguam Negara, diberikan secara profesional ataupun didasari oleh sentimen politik semata-mata untuk mempertahankan tindakan kerajaan dan agensinya, meskipun jelas tindakan tersebut menyalahi peruntukan undang-undang bertulis. Lihat sahajalah bagaimana nasihat yang diberikan oleh kepada SPR berkaitan dengan pentafsiran Perkara 51 Undang-Undang Tubuh Negeri Kedah sedangkan peruntukan tersebut sudah sebegitu jelas dan terang di mana seseorang ADUN Kedah yang gagal menghadiri mesyuarat DUN dua-dua kali berturut-turut tanpa mendapat kebenaran dari Speaker, secara automatik hilang kerusinya.


4. Meskipun jawatan Peguam Negara dilantik oleh Yang Dipertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri, namun jawatan tersebut tetap merupakan public office yang mesti mempunyai akauntabiliti moral terhadap rakyat Malaysia. Maka, di dalam keadaan ini di mana Peguam Negara gagal menjalankan tugas dengan baik hingga mendatangkan kerugian kepada kerajaan yang kosnya turut ditanggung oleh rakyat, maka DPPP merasakan adalah wajar secara moralnya untuk Peguam Negara meletakkan jawatan serta merta.


5.. Di dalam amalan biasa, mana-mana peguam yang memberikan nasihat perundangan yang salah dan silap kepada anakguamnya, maka ianya dianggap sebagai suatu professional negligence (kecuaian profesional) yang membolehkan anakguam tersebut mengambil tindakan undang-undang terhadap peguam yang terbabit. Namun, di dalam situasi yang membabitkan Peguam Negara ini, sekiranya Peguam Negara enggan melepaskan jawatannya, maka DPPP mendesak supaya Peguam Negara dihadapkan segera ke Tribunal yang dibentuk berdasarkan peruntukan yang sama sebagaimana proses pemecatan hakim Mahkamah Persekutuan
.

HJ NASRUDIN HASSAN TANTAWI

Ketua

Dewan Pemuda PAS Pusat.

Web rasmi http://pemuda.pas.org.my

INTERBIU EKSKLUSIF: Tuan Ibrahim Tuan Man



Mursyidul Am berhak tegur pimpinan PAS : Tuan Ibrahim Tuan Man

MUQADIMAH: Jawatan Kuasa Disiplin PAS sudah mengadakan mesyuarat khas pada Sabtu, 31 Okt lalu. Dalam mesyuarat itu, beberapa dokumen yang dibekalkan dan apa yang dibangkitkan dalam Mesyuarat Khas Jawatan Kuasa PAS Pusat, 28 Oktober lalu sudah diteliti. Berdasarkan maklumat itu, Jawatan Kuasa Disiplin parti akan menghantar surat kepada beberapa nama untuk tujuan pembelaan mereka. Respons surat itu mesti dikembalikan kepada jawatankuasa ini dalam tempoh 14 hari dari tarikh surat tersebut. Menyingkap lebih lanjut, wartawan ANIS NAZRI menghubungi Naib Presiden PAS, merangkap Pengerusi Jawatan Kuasa Disiplin PAS Pusat, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man bagi mendapatkan butiran lanjut.

HARAKAH: PAS memutuskan untuk mengadakan seminar khas yang dinamakan 'Seminar Memperkasakan Parti' bagi menggantikan Mesyuarat Luar Biasa (EGM), sedangkan ia dua benda yang berbeza. Mengapa memilih seminar berbanding EGM?
DATO' TUAN IBRAHIM TUAN MAN: Pertamanya, apabila kita berbincang dalam mesyuarat khas tempohari, perkara yang dibangkitkan itu bukanlah perkara yang memerlukan EGM kerana ia tidak melibatkan pindaan perlembagaan, juga tidak melibatkan hilangnya kepercayaan kepada pemimpin, yang mendesak supaya diadakan EGM.
Ia hanya perkara biasa, yang melibatkan dalam pengurusan parti. Sebab itu kita fikir memadai sahaja dengan mengadakan seminar untuk mengukuhkan parti dan membuat penegasan terhadap apa yang dipersetujui sebelum ini, iaitu mengukuhkan Pakatan Rakyat.
Jadi, tiada keperluan untuk mengadakan EGM dan Tuan Guru Mursyidul Am pun setuju tidak perlu EGM. Bila kita bincang, tanya balik dengan Mursyidul Am, ternyata ia melibatkan soal disiplin yang mungkin berpunca kepada kenyataan dalam tulisan-tulisan, blog dan ianya memang melibatkan soal disiplin.

Bagaimana nama-nama yang dibangkitkan itu?
Kalau tengok nama-nama yang dibangkitkan itu, Setiausaha Agung (Dato' Mustafa Ali), Pesuruhjaya PAS Selangor (Dato' Dr Hassan Ali). Ini nama-nama yang dilantik, bukan dipilih dalam muktamar.
Jadi, tiada keperluan untuk EGM. Mungkin kalau dalam mesyuarat khas tempohari, sebulat suara minta diubah (pemimpin tertentu) pada Dato' Presiden, mungkin dia boleh buat pertukaran. Kedua-dua yang dibangkitkan itu dilantik, bukan dipilih.
Nama lain, iaitu Presiden (Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang). Apabila kita 'check' semula dengan Mursyidul Am, beliau hanya sebut istilah yang digunakan (Dr) Aziz Bari sebagai 'kapten'.
Jadi, mungkin dia beranggapan kapten itu Presiden, mungkin Timbalan Presiden (Ustaz Nasharuddin Mat Isa). Tiada nama khusus diberikan sebagai 'kapten' itu. Nik Aziz sendiri pun setuju untuk adakan seminar, malah menegaskan dia berpuas hati dengan mesyuarat khas tersebut.
EGM dilihat sebagai jalan keluar bagi menyelesaikan kemelut dalam PAS. Seminar pula dilihat lebih terbuka kepada umum. Adakah ia mampu menyelesaikan masalah dalaman PAS ini?
Seminar ini melibatkan sebahagian besar pimpinan parti, tetapi kita mengundang beberapa tokoh luar untuk memberi pandangan. Yang hadir, ialah pimpinan parti. Hanya pembentangan dari ahli luar.
Penyertaannya dilihat mirip muktamar, tetapi untuk perbincangan ia lebih terbuka. Maknanya kita boleh mendengar pandangan orang luar. Itu lebih baik untuk kita melihat secara menyeluruh. Oleh kerana kita hendak memperkasakan parti, maka ia melibatkan pemimpin.
Dalam pada itu, saya yakin dengan seminar ini, ia boleh menyelesaikan kemelut yang ada.. Sebagaimana dalam mesyuarat khas itu ada menyebut perkara yang perlu tindakan iaitu mengadakan seminar dan merujuk ke peringkat jawatan kuasa disiplin. Jadi, mungkin ada yang buat teguran, ada yang kena rujuk ke jawatan kuasa disiplin.
Sesetengah pihak berpendapat, seminar itu lebih kepada pembinaan 'public opinion' atau membentuk tanggapan ahli bawahan terhadap pimpinan parti. Sedangkan masalah itu berlegar di kalangan pimpinan parti. Apa respons Dato' terhadap pandangan tersebut?
Seingat saya tidak. Itu tidak betul. Kita harus merujuk kepada isu. Kalau sekiranya yang dikatakan boleh diselesaikan melalui EGM, contoh, tetapi bila fikir balik, nilai balik... tiada apa-apa yang hendak di'EGM'kan.
Tiada 'point' untuk adakan EGM. Jadi, kalau tidak puas hati, dalam PAS sudah ada saluran tertentu untuk menyatakan rasa tersebut. Jadi kena gunakan saluran yang sedia ada. EGM ini diadakan setelah semua saluran yang digunakan gagal menyelesaikan masalah.
Yang tidak puas hati ini pun kita kena tengok, kadang-kadang kalau penulisan dalam blog. Adakalanya ia hanya mencetuskan idea. Biasalah... ada golongan yang sentiasa tidak berpuas hati. Kita buat ini, dia rasa tidak betul. Kita tidak buat pun, dia tidak puas hati. Golongan ini hanya cuba mencari kesempatan di kalangan keriuhan yang ada.

Berhubung isu 'beberapa nama' diseret ke Jawatan Kuasa Disiplin yang diketuai Dato' sendiri. Setakat ini, sejauh mana siasatan terhadap mereka dijalankan?
Kita sudah mengadakan mesyuarat khas pada Sabtu, 31 Okt lalu. Dalam mesyuarat khas disiplin itu, kita sudah meneliti beberapa dokumen yang dibekalkan dan apa yang dibangkitkan dalam mesyuarat khas tempohari.
Berdasarkan maklumat itu, kita akan menghantar surat kepada beberapa nama untuk tujuan pembelaan mereka. Kita bagi masa 14 hari dari tarikh surat tersebut diterima, jadi mereka perlu menghantar maklum balas sesegera mungkin.
Selepas itu, kita akan teliti sama ada terdapat kes atau tidak, kemudian dari itu barulah ada tindakan-tindakan berikutnya diambil.
Walaupun ada keperluan untuk kita segerakan isu-isu yang berbangkit, tapi dari sudut keadilan, kita harus berlaku adil kepada semua. Bukan hendak 'pressure' hingga mengetepikan elemen keadilan, sama ada kepada yang dituduh dan yang menuduh.

Boleh Dato' sebut mereka yang dihantar surat itu?
Polisi kita, kita tidak akan dedahkan nama-nama tersebut. Sebab persepsi ini berbagai-bagai. Keseluruhannya dalam tiga hingga lima orang yang disiasat, melibatkan seluruh negara. Dalam kes di Selangor, adalah beberapa nama. Lebih baik, tidak payah disebutkan nama.
Cuma, saya hendak ingatkan di sini. Kepada sesiapa yang terlibat, jika sudah menerima surat, lebih baik respons segera. Itu lebih baik dan memudahkan siasatan berakhir dengan lebih cepat.
Merujuk kepada dokumen-dokumen yang diterima pihak Dato'. Adakah dokumen tersebut melibatkan disiplin pemimpin-pemimpin tertentu semata-mata, atau ada juga berkaitan dengan dakwaan terdapat pemimpin yang berhasrat untuk mengusahakan Kerajaan Perpaduan (UG)?
Kedua-duanya ada. Jadi kita akan teliti. Prosedur jawatan kuasa disiplin ini, sebarang aduan dibuat melalui Setiausaha Agung akan diangkat ke jawatan kuasa dispilin. Kadang-kadang, yang diadukan itu tidak melibatkan soal disiplin parti atau ahli, tetapi lebih kerana kelemahan cawangan, jadi kita akan teliti semua aduan tersebut untuk dirujukkan ke jawatan kuasa disiplin parti.
Dato' katakan tadi, ada dokumen berkaitan disiplin dan juga dakwaan berkaitan Kerajaan Perpaduan (UG). Andai kata, ada kes melibatkan UG ini, apakah cadangan untuk mengadakan EGM akan dibangkitkan kembali?
Saya fikir tidak, kerana dalam perlembagaan parti menjelaskan mana-mana yang boleh menjejaskan nama baik parti, ada peruntukan khas untuk dikenakan tindakan. Tidak perlu EGM, tidak perlu.

Isu UG ini pernah ditutup suatu ketika dahulu, dan Dato' sendiri pernah mengeluarkan kenyataan sesiapa yang membangkitkan isu ini akan diambil tindakan disiplin. Jadi, dalam hal ini adakah Dato' Mursyidul Am akan dikenakan tindakan?
Dalam hal ini, kita menghormati Dato' Mursyidul Am. Cuma saya fikir, dalam isu ini kenyataan beliau tidak disambut dalam konteks Kerajaan Perpaduan. Secara umumnya saya lihat tiada yang sambut isu ini untuk mengangkat dan membesarkan kembali isu UG ini.
Kita pun selalu mengadakan kunjung hormat terhadap Mursyidul Am. Beliau adalah pemimpin yang dihormati dan disanjungi. Dia berhak menegur mana-mana yang dia rasakan tidak betul atau bimbang.

Dalam menghadapi kemelut ini, apa nasihat Dato' kepada ahli-ahli PAS bagi meredakan keadaan?

Bagi saya dalam konteks ahli parti, ukhuwah jamaah harus dibina. Kadang-kadang memang akan ada isu yang melanda parti. Apabila ia berlaku, kita kenalah mengutamakan akhlak jamaah. Perlu hormat pandangan orang lain supaya akhlak itu sentiada terpelihara

Ahad, 22 November 2009

BAI’AH TALAK TIGA, ISU MURAHAN

Oleh: FAIZAL OKADAU

TINDAKAN media massa pro Barisan Nasional (BN) memainkan isu bai'ah talak 3 yang kononnya dijalankan oleh pimpinan PAS bagi menyekat wakil Rakyat PAS melompat parti disifatkan sebagai isu murahan dan tindakan terdesak pimpinan BN setelah melihat istiqamahnya ADUN dan MP PAS dalam memperjuangkan hasrat parti.

Telah terbukti, BN gagal mempengaruhi dan membeli ADUN dan MP PAS sekalipun dengan habuan jutaan ringgit. Demikian tegas, Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah, Hj Hamzah Abdullah semasa merasmikan Konvokesyen PASTI ke 20, Zon Sandakan.

Hamzah juga menyifatkan isu Bai'ah ini sebagai usaha fitnah mereka yang tidak suka kepada perjuangan Islam dan Islam tegak di muka bumi ini. Banyak persoalan pokok Islam dibiarkan dan diperlekehkan oleh pemimpin UMNO tetapi sibuk menimbulkan isu-isu yang syubhat dan mengelirukan masyarakat.

Beliau hairan bagaimana manusia boleh patuh kepada hukum solat, haji dan sebagainya akan tetapi menolak undang-undang Allah yang hendak ditegakkan oleh perjuangan Islam.

"Tindakan manusia menolak hukum Allah seperti hudud dan pemerintahan Islam seolah-olah manusia beranggapan Allah tidak faham akan keperluan hakiki manusia. Bukankah fahaman ini boleh merosakan aqidah seorang muslim?" soal beliau.

Beliau mengakui, perjuangan menegakkan agama Allah pasti terpaksa merintis jalan kepayahan. Kalaulah Rasulullah yang terkenal dengan ‘Al-Amin’nya ditolak dakwahnya oleh bapa saudara dan keluarganya. Apalah sangat kita yang tidak sempurna ini.

Lagikan Rasullullah pernah disihir, dituduh gila, sukakan perempuan dan segala macam tohmahan yang tidak masuk akal. Kita pejuang biasa yang rendah iman dan serba kekurangan mesti tabah melalui rintangan dan halangan dalam perjuangan menegakkan syiar Islam.

PAS PERSOAL KREDIBILITI SKN ?




Oleh: SALIHIN LADJA MURA

KETUA Pemuda Pas Sabah, Lahirul Latigu mempersoalkan kredibiliti Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Sukarti Wakiman apabila melantik pegawai Skil hakiki S 44 sebagai Pengarah Jabatan Kerajaan Negeri, sedangkan kelayakan pegawai tersebut diragui.

“Adalah keterlaluan jika Kerajaan Negeri melantik pegawai rendah sebagai Ketua Jabatan, seolah-olah tidak ada pegawai yang berkelayakan. Bayangkan pegawai ini hanya berskel S44 tetapi memangku jawatan S48 dan menanggung kerja Skel S54,” tegas Lahirul yang merahsiakan nama dan Ketua Jabatan berkenaan. 

Dalam hal ini, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Sukarti Wakiman mungkin terlepas pandang atau terdapat campurtangan politik sehingga pegawai junior dilantik memangku dan menanggung kerja jawatan kanan sedangkan ramai yang berkelayakan di jabatan berkenaan.

Kecenderungan Kerajaan Negeri Sabah melantik pegawai junior ini sebagai Ketua Jabatan memberikan impak yang begitu ketara kepada operasi dan sistem penyampaian jabatan yang amat penting ini sehingga Jabatan yang sering dikaitkan dengan rasuah ini terus dibelenggu masalah yang serupa.

“Kita kesal kerana Ketua jabatan tersebut gemar mengadakan lawatan ke luar daerah, namun tidak ke pejabat jabatan di daerah berkenaan, sebaliknya banyak menghabiskan masa di rumah urut atau melakukan kegiatan maksiat secara terbuka,” ujar Lahirul yang mendesak agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat tuntutan TNT yang dikemukakan Ketua Jabatan berkenaan kerana dipercayai sebagai tuntutan palsu.

TIADA PERUNTUKAN HOSPITAL QUEEN ELIZABETH?




PAS Sabah merasa kesal dan dukacita kerana kerajaan tidak menyenaraikan Hospital Queen Elizabeth sebagai salah satu Hospital yang diberi keutamaan untuk dinaik taraf dalam belanjawan 2010 yang dibentang oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak di Parlimen baru-baru ini.

Menurut Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah, Mohd Aminudin Aling, keadaan Hospital Queen Elizabeth sekarang amat menyedihkan sekali.

“Pesakit diletakkan dalam keadaan berhimpit-himpit, rapat diantara satu sama lain. Keadaan ini menyebabkan para pesakit dan kakitangan Hospital merasa tertekan dan amat tidak selesa. Jika katil penuh, pesakit akan diletakkan diatas lantai (bertilam)”. kata Aminudin yang juga Pengerusi Lajnah Kebajikan PAS Sabah.

Aminudin mempertikai slogan Gagasan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan kerana kerajaan Barisan Nasional gagal mendahulukan masalah rakyat berikutan masalah bangunan Hospital Queen Elizabeth yang tidak selamat.

Dalam belanjawan tersebut pada tahun 2010 hospital dalam peringkat pembinaan dan dinaik taraf ialah Kluang, Bera, Shah Alam, Alor Gajah dan Tampoi.

Menara utama, blok podium dan blok forensik Hospital Queen Elizabeth telah diisytiharkan tidak selamat untuk diduduki oleh IKRAM dan JKR Sabah tahun lepas.

“PAS sangat berharap Sabah dan Sarawak juga diberi keutamaan 50 buah klinik yang akan dibuka di kawasan perumahan dengan menyewa rumah kedai bagi membolehkan masyarakat mendapat kemudahan rawatan biasa. Di Semenanjung, jarak satu klinik ke satu klinik hanya beberapa kilometer sahaja, di Sabah jarak satu klinik ke satu klinik berpuluh kilometer malah beratus kilometer.”, katanya

PAS SABAH BANTAH LOJI ARANG BATU!





EXCO Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Anuar Ali menyatakan sokongan PAS terhadap usaha oleh lima gabungan NGO menentang penggunaan tenaga tidak bersih di negeri Sabah.

“PAS menyokong usaha samada individu atau persatuan bagi memelihara ekosistem dan alam sekitar negeri ini daripada sebarang ancaman pencemaran . Usaha ini sangat bertepatan dengan ajaran Islam dimana Al Quran mengajar agar umat manusia jangan melakukan kerosakan di atas muka bumi,” kata Anuar sebagai tanda sokongan lima Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang membentuk satu pakatan yang dikenali sebagai Green Surf (Sabah Unite to Re-Power the future).

Lima NGO tersebut dianggotai Land Empowerment Animals and People (Leap), Partners of Community Organisation (Pacos Trust), Persatuan Perlindungan Alam Sekitar Sabah (Sepa), Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) Cawangan Sabah dan Pejabat WWF- Malaysia Sabah. Pakatan yang telah dilancarkan di Pantai Tanjung Aru ingin mengemukakan satu penyelesaian positif terhadap keadaan tenaga di negeri ini.

Menurut pengasas dan pengarah Green Surf, Cynthia Ong pakatan ini dibentuk bagi memenuhi gesaan dan rayuan orang ramai.

“Pembinaan loji yang menggunakan tenaga arang batu adalah bertentangan dengan semua usaha pemuliharaan dan mengancam kebersihan alam sekitar,” katanya pada sidang akhbar di sini.

“Kami bukan anti kerajaan tetapi kami menyokong usaha kerajaan mencari penyelesaian baru dan kami bersedia memberi sokongan (terhadap penyelesaian tersebut)", kata beliau lagi.

Sebelum ini Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak mengumumkan Felda Sahabat di Lahad Datu sanggup menyediakan tapak alternatif bagi pembinaan loji berkenaan bagi membantu menyelesaikan masalah kekurangan bekalan elektrik yang sedang melanda negeri ini. Namun demikian ianya tertakluk kepada kelulusan laporan kajian kesan terhadap alam sekitar (EIA).

PAS SABAH DESAK SIASAT SIJIL ANAK NEGERI TANPA PILIH BULU

Oleh : RAHIMIN MUSTAPA

TIMBALAN Pesuruhjaya PAS Sabah, Hamzah Abdullah menyambut baik tindakan kerajaan negeri untuk menyiasat penggunaan sijil anak negeri (SAN) yang diperolehi melalui jalan tidak beretika.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi satu laporan akhbar tempatan di mana isu yang berpunca dari perdebatan di DUN Sabah berkaitan seorang ADUN DAP dari Sri Tanjong, Jimmy Wong Sze Phin (DAP) yang didakwa mempunyai taraf Sijil Anak Negeri yang meragukan menyebabkan anggota BN dari UMNO, Datuk Samsuddin Yahya, telah mendesak Polis, Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) menyiasat Adun tersebut.

PAS Sabah menegaskan agar kerajaan tidak memilih bulu dan hanya menjadikan individu yang tidak sehaluan dengan parti Barisan Nasional sebagai mangsa.

“Ramai dikalangan taukeh-taukeh besar yang memiliki sijil anak negeri palsu bagi membolehkan mereka memiliki tanah adat dan membuka ladang-ladang besar serta membolot projek-projek kerajaan yang dikhususkan untuk Bumiputera serta anak-anak mereka mengikuti pengajian di UiTM tetapi terselamat hanya kerana mereka dikaitkan dengan menyokong UMNO/BN,” ujar Hamzah yang mempunyai banyak bukti berhubung amalan songsang ini.

Berita mengenai pemalsuan dan penggunaan Sijil Anak Negeri Palsu ini kata Hamzah, tersebar secara meluas di laman-laman blog serta akhbar tempatan tetapi pemimpin Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO, tidak menunjukkan keghairahan mereka untuk menyiasat jenayah keji ini yang sinonim dengan perangai UMNO.

"Kalau nak tipu boleh, nak selamat dari disiasat pihak berwajib akibat dari perangai menipu boleh, yang penting mesti sokong UMNO/BN", ujarnya lagi.

Hamzah berkata SAN tidak diperlukan kerana mana-mana anak yang dilahirkan oleh suku kaum yang diiktiraf sebagai anak negeri pastinya nama suku kaum tersebut akan dicatit dalam sijil lahir mereka. Jadi apa perlu untuk memohon SAN?

"Pengumuman oleh Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Hajiji Mohd Noor tentang pembekuan pengeluaran SAN sebenarnya hanya mendedahkan individu-individu tertentu yang memiliki kuasa, menyalahgunakan proses pengeluaran SAN tersebut kerana dibimbangi ia dibuat bukan berdasarkan kelayakan pemohon tetapi lebih kepada berapa harga yang perlu dibayar untuk mendapatkan SAN tersebut", katanya lagi yang membidas Pengarah Majlis Hal Ehwal Anak Negeri yang menjadi dalang mengesahkan Sijil Anak Negeri Palsu kerana beliau tidak mempunyai kuasa untuk mengesahkan sesuatu sijil yang dikeluarkan oleh Mahkamah Anak Negeri.

Beliau selanjutnya menegaskan bahawa pendedahan mengenai perangai buruk orang-orang yang berkuasa di Majlis Hal Ehwal Anak Negeri akan dibuat dalam waktu yang terdekat.

Sijil perakuan Bumiputera (sijil anak negeri) ini telah dibekukan oleh Kerajaan BERJAYA pada tahun 1982 ekoran daripada penyalahgunaan kuasa dan pemberian dokumen tersebut kepada golongan yang tidak layak memilikinya.

Isnin, 9 November 2009

Eratkan Ukhuwah sempena bulan Zulkaedah




Salah satu dari 4 bulan-bulan haram dalam Islam adalah bulan Zulkaedah yakni bulan ini. Dikatakan 'haram' adalah merujuk kepada haramnya untuk melakukan  pergelutan dan pergaduhan dan meraikan persefahaman dan persaudaraan serta pendamaian.

Begitu hebat kuasa ALLAH dengan menurunkan konflik media ke atas Parti Islam terbesar di Malaysia tepat di dalam bulan haram ini. Hikmahnya tidak lain untuk merungkai sebab pengharaman seterusnya mengamalkan hikmah yang berada di dalam bulan Zulkaedah ini.

"Sedangkan lidah lagi tergigit", satu ungkapan yang telah lama dan kerap diulang-ulang dari generasi ke generasi menggambarkan bahawa serapat mana individu antara individu pasti akan ada perbezaannya. Cumanya bagaimana untuk mendefinisikan perbezaan itu. Ada yang kata gaduh, ada yang kata tidak berpuas hati, namun lebih teruk lagi ada yang sanggup kata beza itu adalah 'tikam belakang'. Harus kita fahami, apa sahaja definisi yang kita beri tidak semestinya definisi itu adalah berbentuk objektif. Contoh perbezaan dan khilaf yang berlaku antara ulama bukanlah merujuk kepada pergaduhan untuk kepentingan peribadi, ianya tidak lain adalah untuk kebaikan ummat dalam mengatur ibadah kepada ALLAH.

Tolak tepi melabel puak, tolak tepi emosi diri yang hampir menguasai, ambillah kesempatan di Bulan Haram ini untuk kembali menautkan ukhuwah dan mencari titik persefahaman dan yang paling penting menyelaras perjuangan dengan sama-sama memperkemaskan saff.

"Sesungguhnya mukmin itu adalah bersaudara, maka perteguhkanlah diantara persaudaraan tersebut."

Wallahualam......


Sumber: //suaragunung.blogspot.com

AMAL Berbakti Di Kg Lobou

Saifudin, Miasin, Lahirul pada majlis penyerahan mesin rumput


Kota Kinabalu, 9 Nov - Jabatan AMAL Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah kali ini turun ke kampung Labou, Tebobon dalam rangka kerja mendekati masyarakat dengan aktiviti berbentuk kerja-kerja amal.


Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah Sdr Lahirul Latigu berkata, peluang untuk mendekati masyarakat di sekitar Kota Kinabalu ini begitu terbuka luas dengan kerja-kerja amal seperti ini.


Negeri Sabah mempunyai lebih kurang 30 daerah dan bentuk muka buminya yang luas memerlukan ramai tenaga-tenaga sukarelawan untuk turun menghulurkan bantuan kebajikan kepada masyarakat.


Oleh sebab itu kata beliau, selain pendekatan politik Dewan Pemuda PAS juga sedang meningkatkan aktiviti kerja-kerja kebajikan ke seluruh Sabah kerana mendapat sambutan yang baik dari masyarakat kampung terutamanya sekitar pantai barat Sabah.


Sementara itu, Pengarah Jabatan AMAL Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah Sdr Saifudin Jamaludin berkata, menyedari masyarakat di Sabah ini majoritinya berada di bawah paras kemiskinan tegar, maka menjadi tanggungjawab kita sesama insan untuk membantu mereka yang memerlukan tanpa mengira perbezaan politik.


Selain giat menambah ahli unit AMAL dengan menarik golongan muda terutamanya, beliau juga sedang melebarkan kerjasama dengan badan-badan Kerajaan dan bukan kerajaan (NGO) yang lain seperti JHEAINS, JAKIM, USIA, ABIM, Yayasan AMAL dan JIM untuk menggerakkan aktiviti berbentuk kebajikan yang lebih besar kesannya kepada masyarakat di Sabah.


Turut bersama-sama dalam aktiviti gotong royong Surau Al Islah tersebut iaitu Sdr Miasin, Pengerusi Persatuan Saudara-Saudara Baru merangkap Pengerusi Surau Al Islah. Beliau melahirkan rasa gembira dengan aktiviti yang dianjurkan selain dapat memupuk rasa ukhuwah antara unit AMAL dengan orang-orang kampung disini.


"Saya berterima kasih kepada Unit AMAL kerana sebelum ini mereka juga telah berjaya menubuhkan Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) untuk pendidikan anak-anak pra sekolah di sini", kata beliau.


Alhamdulillah kata beliau, dengan adanya PASTI ramai masyarakat disini yang menghantar anak-anak mereka walaupun dikalangan non-muslim. Ini satu pendekatan dakwah yang baik disini, tambah beliau lagi.


Sumbangan oleh unit AMAL berbentuk mesin pemotong rumput diserahkan kepada Sdr Miasin oleh Ketua Pemuda PAS Negeri Sabah Sdr Lahirul Latigu sebagai tanda prihatin.



Ahad, 8 November 2009

Pendaftaran PASTI sesi 2010 seluruh Sabah

Dewan Pemuda PAS Sabah dengan ini memaklumkan pembukaan pendaftaran PASTI untuk kemasukkan pelajar sesi 2010. Berikut ialah maklumat PASTI seluruh negeri Sabah.


PASTI Kawasan Kinabatangan


Pasti Darul Ulum
Batu 09, Taman Setia, WDR 211,
90200 Kota Kinabatangan,Sabah
Hubungi:
Ust zaidi (019-5850151)
Ust Naim (013-9825701)


Pasti Darul Hikmah
Kampung Sentosa Jaya,
Jalan Lahad Datu, WDR 211,
90200 Kota Kinabatangan,Sabah
Hubungi:
Ust Hamdani (014-5718139)
Ustzh Juliana (019-8320136)

Pasti Darul Anuar
Kedai Anis, Batu 04,
Jalan Sukau, WDR 211,
90200 Kota Kinabatangan, Sabah.
Hubungi:
Cikgu Ghazali (019-2383157)
En Anis (013-5558381)

PASTI KAWASAN KINABATANGAN
http://pastikinabatangan.blogspot.com
email: pastikinabatangan@yahoo.com


PASTI Kawasan Sandakan


PASTI Saidina Abu Bakar as-Siddiq (Batu 1 1/2)
PASTI Saidina Umar al-Khattab(Tmn Indah Jaya)
PASTI Saidina Ali Bin Abi Talib (Flat Kg Sim-sim)
PASTI Saidina Uthman Ibn Affan (Tmn Mawar)
PASTI Saidina Hamzah (Tmn Damai)
PASTI Solahuddin al-Ayubi (Flat Tmn Sejati)
PASTI Khalid al-Walid (Kg Tinusa 2)
PASTI Zaid Bin Harithah (Kg Lupak Meluas, Karamunting)
PASTI Bilal Bin Rabah (Flat MPS Karamunting)
PASTI Abdul Rahman Bin Auf (Tmn Kenari, Batu 7)

Alamat
Lot 5B, Tingkat 1, Blok A,
Taman Hing Lee, Jalan Utara,
90000 Sandakan,
Sabah.
Tel: 089-223260
Faks: 089-223170
Email: pasti_sandakan@yahoo.com


PASTI Kawasan Tawau


Nurul Hannani, Jln Kuhara
Nurul Iman, Tg. Batu Laut
Nurul Huda, Pasir Putih
Nurul Mawaddah, Taman Ria
Nurul Falah, Titingan
Nurul ain, Bt.2 Jln Apas
Nurul Izzah, Jln Saddani
Nurul Farah Ain, Merotai
Nurul Siddiq, Tmn Semarak
Nurul Syuhada, Bt. Payong
Nurul Hidaya, Log Pond
Nurul Hasanah, Sg. Gading
Nurul Sakinah, Balung
Nurul Haq, Tmn Kinabutan
Nurul Faizin, Bndr Sri Indah
Nurul Najah, Tmn Megah Jaya
Nurul Ikhwan, Felda Umas

alamat:
http://pastikawasantawau.blogspot.com/
pastitawau@yahoo.com.my



PASTI KAWASAN PUTATAN
1) PASTI al-Aqsa, Lot 156, Lorong 2A, Taman Limauan, Kinarut
2) PASTI al-Furqan, Lot 303 Jalan Dinawan 2, Taman Pantai Lok Kawi(Sabindo) Jalan Papar, Kinarut - Ust Zainuddin Lateh – 013-758974
3) PASTI Nur Fathonah, No 4, Lorong 1, Taman Union, Pekan Putatan – Ust Akmal 013-8510199
4) PASTI ar-Raihan, Surau al-Firdaus, Kg Sri Pandan, Jalan Bukit Vor, Perkampungan Pasir Putih, Putatan
5) PASTI al-Hidayah, Surau Quarters Keretapi, Tanjung Aru Kota Kinabalu. – Cikgu Firusah 088-266904
6 ) PASTI al-Hikmah, No 2, Lorong Selunsung E, Taman Sempelang Sembulan 88100 Kota Kinabalu – Cikgu Firusah 014-8745157
7) PASTI Nurul Hasanah, Surau Perumahan Bukit Padang, Quarters Flat Hospital Mesra Bukit Padang, Jalan Kolam Luyang, Kota Kinabalu. -Cikgu Wahyu 013-8607242
8) PASTI al-Amal, Kg Likas Kota Kinabalu. Cikgu Kasminah Sulaiman - 016-8382621


PASTI KAWASAN SEPANGGAR
1) PASTI asy-Syifa’, No 12 Lorong Pokok Seraya 5F/1 Taman Khidmat, Kolombong. Cikgu Musriani – 016-8135500
2) PASTI ar-Rahman, No 15 Jalan Raja Udang 3a, Taman Kingfisher, Likas - Cikgu Musriani – 016-8135500
3) PASTI an-Najah, No 55 Lorong 12 Fasa 1, Taman Kuala Menggatal - Cikgu Musriani - 016-8135500
4) PASTI Kg Lobou, Menggatal
5) PASTI as-Solihin, Lorong 14 Taman Puterajaya Telipok - Cikgu Musriani - 088-412512


PASTI KAWASAN KOTA MARUDU
1) PASTI al-Hikmah, No 45 Taman KDC, Jalan Pekan Baru 89108 Kota Marudu - Cikgu Zakaria Ali Hanafiah - 019-9745489
2) PASTI Pinggan-Pinggan, Peti Surat 441, 89108 Kota Marudu - Ust Wan 019-8808047


PASTI KAWASAN KUDAT
1) PASTI al-Furqan, Jalan Taman Tanjung Kapur, 89057 Kudat – Cikgu Samad – 013-8639117


PASTI KAWASAN KOTA BELUD
1) PASTI al-Firdaus, Pekan Kota Belud D/A Datuk Ismail Gimbad, Peti Surat 147, 89150 Kota Belud – Ust Mustaqim Aling -014-8515289


PASTI KAWASAN TUARAN
1) PASTI al-Iman, Peti Surat 366 89208 Tuaran – 088-793103 (Cikgu Anisa Sakim)


PASTI KAWASAN PAPAR
1) PASTI Nor Mawaddah, S8 Taman Papar, Kg Sungai Padang Papar – Ust Salim 019-8102728


PASTI KAWASAN BEAUFORT
1) PASTI Darul Falah, No. 5 Taman Inti Subur, 89808 Beaufort – Ust Razali 019-8208489







Selasa, 3 November 2009

Tahniah kepada PAS Tawau

Sumber berita: http://matbulan.blogspot.com/

Kelantan,Sabtu : Sekalung tahniah diucapkan kepada pihak PASTI Kawasan Tawau yang telah dianugerahkan sebagai PASTI Kawasan Terbaik di Malaysia pada majlis sambutan Jubli Perak PASTI Malaysia yang diadakan di Kota Bahru pada 31 Oktober 2009 baru-baru ini.Majlis yang dirasmikan pembukaannya oleh Mursyidul Am PAS,Tuan Guru Dato Nik Abdul Aziz Nik Mat yang juga Menteri Besar Kelantan telah berlangsung selama 3hari bermula pada 30 Oktober hingga 1 November 2009.


Hadiah kepada penerima anugerah telah disampaikan oleh YB Hj Che Abdullah bin Mat Nawi ADUN N-04,Wakaf Bahru merangkap EXCO kerajaan negeri Kelantan yang telah merasmikan penutupan majlis tersebut. Pengerusi PASTI Kawasan Tawau,sdr Karim Dulah yang menerima penganugerahan tersebut bagi mewakili PASTI kawasan Tawau mengucapkan rasa syukur dan terima kasih kepada semua pihak yang telah berkorban tenaga,masa dan wang ringgit demi memastikan agar PASTI Kawasan Tawau terus diterima oleh masyarakat umum seterusnya boleh sampai ke tahap sekarang ini.



 
back to top