Khamis, 8 Oktober 2009

PAS DESAK TUBUH TASK FORCE HUTAN

Oleh: DJAMIL M NASRA

SKANDAL Pembalakan yang dilakukan secara bersindiket di Sabah mendorong Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mendesak Kerajaan Negeri Sabah dan Kabinet Malaysia menubuhkan Jawatankuasa Khas atau ‘Task Force’ yang dianggotai oleh Jabatan Penguatkuasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia SPRM), Tentera Di-Raja Malaysia, Polis DiRaja Malaysia, Jabatan Kastam, Lembaga Hasil Dalam Negeri, Angkatan Pengawal Maritim Malaysia (APMM) dan jabatan kawalselia seperti Jabatan Audit Negara, Jabatan Remote Sensing Negara, Jabatan Pemetaan Negara dan sebagainya.

“Pembalakan ‘Haram’ yang dijalankan pembalak berlesen sudah mencapai tahap kritikal yang begitu membimbangkan terutama apabila balak yang bersaiz melebihi 150cm (Mother Tree) atau kurang 60 cm dan spesis dilindungi seperti buah-buahan hutan ditebang sewenang-wenangnya dengan subahat pegawai Perhutanan yang tidak memantau operasi pembalakan di lapangan,” ujar Lahirul Latigu, Ketua Pemuda Pas Sabah.

Kata Lahirul, rasuah di Jabatan Perhutanan Sabah sudah semakin tidak terkawal apabila pegawai kanan termasuk Pengarah Perhutanan Sabah terdorong menyediakan ‘laporan lapangan palsu’ berhubung sesuatu konsesi pembalakan tanpa rasa malu apabila secara wewenang melakukan penyimpangan daripada Enakmen Hutan 1968 dan menyalahguna kuasa untuk kepentingan diri.

Kejadian pemalsuan pelan pembalakan yang dilaporkan oleh Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat, Datuk Dr Jeffrey Kitingan merupakan satu jenayah kolar putih yang gagal disiasat Kontingen Polis Sabah kerana bercanggah kepentingan.

Ketua Polis Negara, tegas Lahirul, sewajarnya mengambil alih siasatan terhadap dua laporan polis Jeffrey sebagaimana kejayaan Unit Khas D7 Bukit Aman menggempur Pusat Maksiat, Perjudian di Sabah minggu lalu sehingga berjaya menangkap ramai China Doll di Strawbery dan Lee Bee Kim Karaoke, Kota Kinabalu.

“Dalam hal ini, Pas tidak lagi boleh bertolak ansur kerana bukti ada di hadapan mata terutama tunggul kayu yang masih berada di lapangan pembalakan. Semuanya sudah tidak terkawal. Jabatan Perhutanan dan pembalak menganggap Enakmen Perhutanan sebagai surat khabar lama dan terus mengingkari segala peraturan yang ditetapkan,” ujar Lahirul yang kesal kerana pembalak dan pegawai Jabatan Perhutanan dengan niat bersama melakukan kemusnahan hutan terutama di kawasan tanah tinggi.

Lahirul yang mengetuai Panitia Siasatan dan Pencegahan dengan bantuan Sekritariat Pemuda Pakatan Rakyat, telah menjalankan siasatan awal dan mendapati begitu banyak bukti yang boleh dianalisa untuk dijadikan asas bagi menangkap mereka yang terlibat, melainkan Jabatan Penguatkuasa telah dirasuah atau terpaksa tunduk kepada tekanan pihak atasan.

Sebagai contoh kata Lahirul, pihaknya kesal laporan yang disediakan oleh Pengarah Jabatan Perhutanan Sabah, Datuk Manan bagi Konsesi YS 1/06 dan YS 2/06 yang dilesenkan kepada Rimba Kita Sdn.Bhd, milik Michael Chia Tien Foh yang masih menghadapi pertuduhan menjalankan kegiatan Penggubahan Wang Haram di Hong Kong

Kata Lahirul, pihaknya mendapati Michael Chia telah menebang balak melebihi 150 cm di Konsesi YS 1/06 dan mencabar Pengarah Jabatan Perhutanan Sabah membawa media ke lokasi untuk melihat tunggul kayu yang terdapat di lokasi jika mempertikaikan dakwaannya.

Manakala di Konsesi YS 2/06, kata Lahirul, Michael Chia telah menebang kayu di bawah 60 cm dan melantik sub-kontraktor, Runlong Sdn.Bhd yang dimiliki seorang penyeludup dan pembalak haram yang terkenal di Sabah iaitu Simon Ling.

“Bagaimana Kerajaan Negeri Sabah, terutama Ketua Menteri Sabah boleh terlibat membantu penjenayah yang dikehendaki Interpol dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Hong Kong (ICAC) ini dengan meluluskan konsesi tersebut dan langsung tidak memantau kegiatan haram yang dilakukan Michael Chia,” tegas Lahirul yang telah menyediakan Kertas Konsep untuk dibentangkan kepada Ketua Pemuda Pas Pusat sebelum dibahaskan di Dewan Rakyat dalam sesi Parlimen Oktober 2009.

Bukankah Kegiatan Penggubahan Wang Haram, kata Lahirul dikaitkan dengan Kegiatan Membiayai Keganasan dan Akta berkenaan telah diluluskan di parlimen, namun Kerajaan Malaysia hanya membutakan mata terhadap jenayah yang dilakukan Michael Chia di Hong Kong.

Melalui siasatan dan risikan mereka, kata Lahirul, Michael Chia lebih berpengaruh daripada Pengarah Jabatan Perhutanan dan semua penguat kuasa yang sepatutnya menguatkuasakan undang-undang dan menghadap pesalah dan penjenayah alam sekitar ini ke Mahkamah Undang-Undang dan bukannya diputuskan oleh budibicara Pengarah Perhutanan atau Ketua Menteri Sabah.

Senario ini kata Lahirul menyebabkan Kerajaan Negeri mengalami kerugian berbilion ringgit akibat balak bulat dieksport secara haram kerana kayu yang melebihi saiz atau spesis dilindungi turut memasuki pasaran gelap terutama di Teluk Suioun, Silam Kennedybay yang telah dihentikan operasi secara rasmi sejak 2003 tetapi masih beroperasi ‘secara haram’ memunggah balak yang ‘mencurigakan’ kerana Jabatan Perhutanan Lahad Datu memaklumkan bahawa tidak ada lagi pembalakan atau tidak ada lagi lesen pembalakan dikeluarkan di Lahad Datu sejak 2008.

“Dari mana datangnya kayu balak yang bersaiz besar, bersaiz kecil atau spesis yang dilindungi ini sedangkan semua operasi balak di Kinabatangan, Pinangah dan Telupid menggunakan Pangkalan Kuala Sapi dan bukannya Silam Kennedybay?,” tanya Lahirul yang mendesak diadakan pemeriksaan lapangan bersama Jabatan Kastam dan Jabatan Audit Negara kerana kayu kayan berkenaan dieksport tanpa TDP atau dokumen yang sah.

Kata Lahirul, pihaknya mendapat maklumat bahawa semua balak di bawah atau melebihi saiz di bawa ke Pangkalan Silam untuk kegunaan industri hiliran tempatan dan eksport ke negara luar tanpa melalui saluran yang sah kerana kapal pengangkut balak terlindung dan berlabuh di tengah laut adalah milik Michael Chia.

Kajian inventori yang kononnya dijalankan oleh Jabatan Perhutanan Sabah tidak pernah wujud dan hanya disediakan di atas kertas kerana catatan di TDP tidak sama dengan tunggul kayu di sesuatu konsesi atau pangkalan kerana semua data di dalam TDP dipalsukan untuk kepentingan sindiket berkenaan.

“Kami kecewa kerana balak yang dimuat di Pangkalan Silam tidak mempunyai TDP dan dieksport secara haram terutama pada waktu malam, sedangkan Jabatan Perhutanan Sabah tidak lagi mengeluarkan permit menjalankan kegiatan pada waktu malam,” kata Lahirul yang kesal kerana SPRM tidak lagi aktif menjalankan siasatan sejak Mantan Pengarah SPRM Sabah, Puan Hajjah latifah Md Yatim ditukarkan 24 jam ke Pulau Pinang.

Pihaknya, kata Lahirul turut kesal kerana Jabatan Perhutanan Sabah gagal memantau pembalakan yang dijalankan oleh semua pembalak berlesen kerana tidak ada sebarang pihak dihadapkan ke mahkamah sedangkan Enakmen Hutan 1968 mengenakan denda RM5,000 bagi sebatang balak melebihi saiz iaitu 150 cm ke atas atau kurang daripada 60cm ditebang daripada konsesi.

“Belum ada lesen yang ditarik balik, terutama konsesi yang diberikan kepada kroni Ketua Menteri walaupun mereka melakukan kesalahan yang ketara,” kata Lahirul yang menegaskan Jabatan Perhutanan Sabah seolah-olah menjadi anak syarikat atau subsidiari kepada Michael Chia kerana sewenang-wenangnya boleh mengubah pelan pembalakan atau menebang balak di kawasan larangan.

Kerajaan BN, kata Lahirul begitu kejam menguatkuasa undang-undang terhadap rakyat Sabah terutama anak negeri yang tanah mereka terperangkap di dalam Hutan Simpan sehingga sanggup membakar rumah, memusnahkan tanaman, merosak harta benda dan menghalau penduduk tempatan daripada tanah tumpah darah mereka.

“Tetapi mereka begitu berlembut dengan pembalak berlesen atau pembalak haram yang boleh memberikan mereka kesenangan hidup. Bukankah rakyat jelata yang membayar gaji mereka selama ini dan bukannya pembalak haram yang memberikan kesenangan sementara,” tegas Lahirul yang menggesa agar Pengarah Perhutanan Sabah, Datuk Sam Mannan dan Setiausaha Hasil Bumi, Halim Nayan meletakkan jawatan masing-masing kerana gagal memastikan pembalak mematuhi peraturan bagi kawasan yang telah difaraidkan terus segala kayu kayan tanpa memikirkan kepentingan generasi akan datang.

Lahirul tidak menafikan pihaknya telah memasuki beberapa konsesi pembalakan di Kuamut dan Pinangah untuk mendapatkan bukti terutama di Konsesi YS 1/06, YS 2/06 dan YS 3/07 untuk merakamkan gambar balak besar dan tunggul kayu, namun tidak dapat masuk jauh ke dalam hutan kerana dikawal ketat.

Memandangkan lumpuhnya sistem penguatkuasa di Malaysia, maka kata Lahirul, pihaknya telah menghubungi Greenpeace International yang beribu pejabat di Belanda dan mereka bersetuju membantu mengesan ke mana balak berkenaan dibawa dan menjalankan siasatan lapangan kerana mempunyai kepakaran dalam bidang berkenaan.

Bagaimanapun Lahirul enggan mengulas lanjut bentuk bantuan yang diberikan dan siapa yang menaja Greenpeace di Malaysia terutama daripada Thailand dan Indonesia yang sudah berada di Sabah sejak seminggu lalu.

Sila Tinggalkan Pesan, K!

Catat Ulasan

 
back to top