Khamis, 8 Oktober 2009

Penjelasan Isu Kontrovesi SELCAT-Dr Hasan Ali


oleh: Roslan Sms

Baru sebentar tadi wartawan dari Nanyang menghubungi saya dan meminta komen berhubung isu SELCAT yang didakwa kini sudah menjadi begitu kontroversial. Ada pemimpin PAS Selangor menurutnya kononnya telah memberi kata dua minta Dr Hasan Ali menyokong kerajaan negeri Pakatan Rakyat atau keluar sahaja dari PR. Begitu juga kata beliau beberapa pemimpin PR yang lain (selain PAS).

Saya tidak berhasrat mengulas kata dua pemimpin itu, biarlah beliau begitu kerana orang PAS Selangor kenal sangat beliau dan gelagatnya.

Saya menjelaskan kepada wartawan tersebut yang penting kita tidak lari dari isu sebenar yang perlu menjadi perkara pokok dalam membincangkan permasalahan ini. Jangan tokok-tambah cerita-cerita lain, jangan humbankan sekali dendam kesumat dan hasad dengki peribadi, jangan ada agenda tikam dari belakang dan lain-lain.

Yang paling penting apa yang diutarakan oleh Dr Hasan adalah teguran ke arah memperbaiki perjalanan SELCAT. SELCAT ini tidak wujud dizaman BN. Ia lahir setelah PR memerintah Selangor, ia disokong oleh PKR, DAP dan PAS. Oleh kerana ia suatu institusi yang baru, walaupun falsafah dan objektifnya baik, namun ia perlu melalui proses pembaikian dari masa ke semasa supaya ia benar-benar menjadi sebuah badan yang berwibawa dan dihomrati rakyat.

Membuat teguran terhadap SELCAT bukan bermakna menentang kerajaan. Isu ini bukan perkara baru malah pernah dibincangkan diperingkat Majlis Pakatan Rakyat Negeri Selangor, dan saya berani menyatakan yang Dr Hasan serta PAS Selangor bukan keseorangan dalam hal ini.

Kerajaan Pakatan Rakyat diberi mandat oleh rakyat kerana ia menjanjikan sebuah pentadbiran yang bersih, telus dan adil. Ia mahu menjadi alternatif kepada kerajaan BN yang kotor, korap dan zalim terhadap rakyat itu. Kalau semasa zaman BN dahulu ruang untuk tegur menegur ke arah kebaikan tidak pernah terbuka. Sesiapa menegur dikira anti kerajaan, anti MB lalu dilibaslah pedang untuk mencantas pemimpin tadi.

Budaya cantas-mencantas tidak sewajarnya wujud dalam sebuah kerajaan yang bersih, telus dan adil. Pemimpin dalam Pakatan Rakyat berhak bersuara, dan untuk pengetahuan dalam isu yang melibatkan SELCAT termasuklah kakitangan awam ini Dr Hasan pernah bersuara bukan sekadar diperingkat Majlis Pakatan Rakyat Negeri Selangor malah sehingga Majlis Pakatan Rakyat Pusat yang dihadiri pimpinan terkanan ketiga-tiga parti peringkat kebangsaan.

Semalam Dr Hasan mengeluarkan satu kenyataan rasmi berhubung isu ini (saya sertakan di bawah). Kenapa ada pihak pandang serong terhadap teguran beliau? Tidak ada sesiapa pun dalam PAS Selangor yang mahu melihat kerajaan PR yang dibentuk bersama dengan PAS ini jatuh gugur setelah bersusah payah kita menegakannya. Mengapa beliau ditohmah begitu sekali?

PR Selangor mesti mantap dan padu. Mana-mana ruang yang longgar dan lemah perlu diperbaiki. Saya teringat dalam satu mesyuarat PR Selangor YB Ronnie Liu menjelaskan bahawa jangan sampai rakyat ada persepsi tidak baik terhadap kita angkara keghairahan kita.

PAS Selangor berbangga kerana menjadi sebahagian dari kerajaan PR. PAS Selangor mahu menyumbang dan berperanan secara aktif dalam kerajaan bukan sekadar menjadi pemanas kerusi. PAS Selangor mahu kekal bertapak di Selangor malah kalau boleh dengan izin Allah swt mahu menang banyak lagi kerusi dalam PRU ke 13 nanti sekaligus memantapkan lagi kedudukan PR.

Sebagai ahli “team” kerajaan PR Selangor ini saya yakin Dr Hasan dan EXCO PAS yang lain mahu menjadi “team player” yang efektif. Bukan yang bisu atau yang “pak angguk” atau “pak pacak”. Bukti PAS Selangor mahu demikian, PAS Selangor tidak pernah mengugut mahu keluar PR seperti yang berlaku pada DAP di Kedah apabila berhadapan dengan isu “panas”.

Oleh itu semua pihak perlu berlapang dada. Usahakanlah agar PAS, PKR dan DAP Selangor dapat terus mantap dan memantapkan pentadbiran kerajaan. Budaya tegur-menegur ini perlu disuburkan, yang perlu ditembak mati adalah budaya ugut-mengugut, kata dua dan politik hasad dengki.

PAS Selangor insyallah akan terus kekal dalam PR dan tiada kata dua oleh sesiapa pun yang dapat memecah-belahkan kepimpinan dan jemaah ini.

Sila Tinggalkan Pesan, K!

Catat Ulasan

 
back to top