Ahad, 19 Februari 2012

Sabah lebih maju bersama Pakatan Rakyat

KOTA KINABALU, 19 Feb: Rakyat Sabah akan menikmati peluang kemudahan yang lebih baik sekiranya Pakatan Rakyat diberi mandat membentuk kerajaan negeri pada Pilihan raya Umum ke-13 nanti.
 
Ketua Pemuda PAS Sabah, Lahirul Latigu berkata, ini kerana negeri-negeri yang dipimpin Pakatan Rakyat telah berjaya menunjukkan aliran gerakan ekonomi dan pembangunan yang jauh lebih baik berbanding prestasi Barisan Nasional (BN) pada sebelumnya.




“Ini bukan dongengan, bukan juga rekaan cerita semata. Rakyat diberi pilihan untuk menilai mana yang baik dan mana yang tidak baik.

“Pakatan Rakyat telah membuktikan bahawa kita boleh memimpin dengan baik di sebuah negeri maju seperti Selangor,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, kekayaan hasil bumi Sabah seharusnya dinikmati semua pihak termasuk rakyat, pengurusan perlu dijalankan secara adil dan berhemah.

“Sabah yang kaya ini, perlu selaras dengan kekayaan yang dimiliki rakyat. Tidak ada gunanya, jika sebuah negeri hanya kaya tapi rakyatnya hidup susah... nak makan susah, nak minum, cari air pun susah... apatah lagi untuk menikmati kehidupan yang lebih selesa.

“Ini bukan isunya kerajaan terlepas pandang, tapi ke mana hasil kekayaan bumi Sabah ini?” soal Lahirul.

Tambahnya, beliau turut mendesak Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman agar tidak terus menyembunyikan fakta dan kedudukan sebenar tahap kemiskinan rakyat di negeri ini.

Hal ini bagi menjamin, satu kualiti kehidupan yang jauh lebih baik dari setahun ke setahun.

“Kita (PAS) desak, Musa Aman agar tidak terus menyembunyikan masalah sebenar kepada rakyat. Tidak usah untuk membohongi rakyat lagi... cukuplah dengan beberapa kenyataan Perdana Menteri sendiri yang nyata telah mengguris hati rakyat,” ujarnya.

Sabtu, 18 Februari 2012

Rakyat Sabah jangan terpedaya pujian Najib

KOTA KINABALU, 18 Feb: Rakyat Sabah diperingatkan agar tidak termakan dengan pujian menggunung Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abd. Razak berkenaan negeri Sabah yang tidak lagi merupakan negeri yang miskin.

Ketua Penerangan Pemuda PAS Sabah, Mohd Julpikar Abd. Mijan dalam kenyataannya turut mengakui bahawa Sabah merupakan negeri yang terkaya dengan hasil bumi yang banyak.

Namun begitu, ujarnya rakyat perlu sedar bahawa sekadar negeri kaya tidak membawa apa-apa perubahan sekiranya tidak membawa apa-apa manfaat dan hasil untuk diberikan kepada rakyat.


“Kita (PAS) akui bahawa Sabah ini negeri yang kaya. Itu betul. Najib cakap betul. Jangan tengok negeri. Tengok rakyatnya. Kalau datang sekadar dua tiga hari. Melihat dari udara menggunakan helikopter, sudah cakap negeri ini kaya,” ujarnya.

Najib, yang dalam rangka lawatan rasmi dua hari ke Sabah mendakwa perubahan besar dalam lanskap pembangunan dan ekonomi sejak 1963, menjadikan Sabah bukan lagi negeri termiskin malah berpotensi untuk maju ke hadapan.

Menurut Julpikar lagi, Najib tidak perlu untuk berasa gusar sekiranya berkata dengan kebenaran dan fakta kerana itu telah meyakinkan rakyat Sabah tetapi, amalan berbohong dan mendustakan kebenaran menyebabkan rakyat semakin celaru dan bingung dengan pemimpin Umno.

“Tak payah nak berbohong dengan orang Sabah. Sudah-sudahlah berbohong dan menipu rakyat. Takkan dah jadi Perdana Menteri pun sanggup berdusta dengan kebenaran," jelas Julpikar.

Sebaliknya kata Julpikar, Najib dan rombongan Umno seharusnya menilai dengan baik dan teliti dengan melihat permasalahan yang dialami rakyat Sabah.

Menurutnya, masih wujud di mana rakyat di pinggir bandar Kota Kinabalu diapit dengan bangunan pencakar langit tetapi kehidupan rakyat masih seperti di era penjajahan.

“Parlimen Sepanggar, di sana rakyatnya masih lagi menagih janji-janji wakil rakyatnya yang lamanya lima tahun lalu. Setiap kali masuk kampung, Yang Berhormat janji buat itu buat ini... keluar kampung, hilang semua janji yang ada.

“Ini perangai wakil rakyat Umno yang seperti kebudak-budakkan. Janji lima tahun lalu belum lagi tertunai, masuk tahun ini... berjanji lagi... nak pilihanraya nanti, lagi banyak janjinya," ujar Julpikar dalam nada kecewa.

Katanya, perlu dijelaskan kepada rakyat bahawa, bandingan antara Kelantan dan Sabah adalah terlalu jauh.

Mengikut statistik, hak royalti minyak berjumlah RM2 billion kepada Kelantan turut gagal dipatuhi oleh kerajaan dan Petronas selain meninggalkan hutang berjumlah RM720 juta yang kini terpaksa ditanggung kerajaan PAS sejak tahun 1990.

“Sejak sebelum kedatangan Najib ke Sabah, kita difahamkan beliau akan membuat pengumuman mengenai RCI. Kecoh sana-sini, terpampang menteri-menteri Umno bagi tau Najib nak umum RCI. Rakyat tunggu. Sampai dah balik ke Kuala Lumpur, langsung tak ada disebut pasal RCI. Ini penipu,” ujarnya.

Katanya, rakyat sekarang sudah celik maklumat dan tidak mudah tertipu dengan mainan politik Umno yang songsang.

“Kita (PAS) tahu, rakyat celik dan faham. Rata-rata rakyat dari kecil hingga dewasa sudah mengenali Facebook, blog dan perisian-perisian tertentu,” katanya.

Pemuda PAS, ujarnya turut bersedia untuk berdebat dengan mana-mana pemimpin Umno berkaitan keadaan Sabah dan rakyat Sabah yang dihimpit kemiskinan.

“Kita (PAS) bersedia menyahut cabaran. Mana-mana pemimpin Umno yang pandai cakap besar untuk kita berbahas dan membicarakan isu ini di hadapan rakyat.

“Sama ada pemimpin pusat mahupun pemimpin negeri hatta Perdana Menteri sekalipun. Kalau Najib mengelak untuk berdebat dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim, berdebatlah dengan Pemuda PAS Sabah,” kata Julpikar.

Ahad, 12 Februari 2012

Tanah adat: Kenapa perlu rampas hak anak Sabah?

KOTA KINABALU, 12 Feb: Pemuda PAS Sabah hari ini melahirkan rasa terkejut dan kekesalan terhadap kenyataan Peguam Negeri Sabah, Datuk Roderic Fernandez yang jelas bercanggah dengan Ordinan Tanah Sabah (OTS) berkaitan hak asasi anak negeri ke atas pemilikan tanah di Sabah.

Ketua Penerangannya, Mohd Julpikar Abd Mijan menyifatkan tafsiran yang dibuat oleh Peguam Negeri Sabah berhubung tuntutan hak asasi oleh Anak Negeri Sabah selepas 1930 sebagai tidak sah, adalah tindakan menghina keputusan-keputusan mahkamah sebelum ini yang mana telah mengiktiraf wujudnya hak asasi Anak Negeri walaupun selepas 1930.


“Kita amat kesal dengan kenyataan Peguam Negeri Sabah ini. Ini bakal menjerumuskan kesulitan anak Sabah mengenai pemilikan tanah dibawah undang-undang yang sedia ada,” ujarnya.

Menurutnya, PAS cukup sangsi dengan keupayaan beliau sehingga sanggup mengeluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan kemarahan Anak Negeri Sabah.

“Isu ini bukan perkara yang sepatutnya dibuat main-main oleh kerajaan. Ianya perlu dibawa ke muka pengadilan yang seadilnya bagi memastikan tanggungjawab kerajaan mempertahankan hak Anak Negeri Sabah tidak terabai dan dipandang rendah,” jelasnya.

PAS juga berpendirian bahawa, hak asasi Anak Negeri Sabah mesti dipertahankan dan meminta mana-mana pihak yang merampas tanah-tanah adat negeri sama ada melalui pemalsuan dokumen dan identiti diri dapat memulangkan semula hak anak negeri tersebut kepada pemiliknya.

“Hak Anak Negeri Sabah perlu dipertahankan dengan sebaik mungkin. Ini hak kita, ini tanah kita... kenapa perlu mereka merampas hak kita?

“Di mana suara pemimpin-pemimpin kerajaan kita... yang selama ini merekalah mendabik dada memperjuangkan hak. Di mana mereka ketika ini?

“Anak-anak Negeri Sabah hidup dibelenggu ketakutan dan ancaman,” jelas Julpikar.

UMS gedung ilmu, bukan gedung rasuah

KOTA KINABALU, 5 Feb: Pemuda PAS Sabah hari ini melahirkan kebimbangan mengenai gejala rasuah dan penyelewengan yang didakwa berlaku melibatkan sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) terkemuka di negeri ini.

Ketuanya, Lahirul Latigu menyatakan kegusaran tersebut setelah hebat diperkatakan di media massa terutama beberapa kenyataan yang dikeluarkan oleh sebuah akhbar tempatan Daily Express pada 3 Februari lalu.

“Kita (PAS) kecewa dengan perkembangan ini. Macam mana sebuah universiti boleh mula terjebak dengan gejala tidak bermaruah seperti ini.


“Kita (PAS) tidak kisah sekiranya Umno Bn yang terlibat sebab ini kerja dia. Tapi, ini universiti, yang tempatnya untuk mereka yang berilmu sahaja... kalau mereka itu budak-budak tak mengapalah... ini dah tua, ilmu banyak, akademik tinggi,” jelasnya dalam nada kecewa.

Pada 3 Februari yang lalu, akhbar Daily Express melaporkan bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menyiasat beberapa pegawai Universiti Malaysia Sabah (UMS) berhubung tuntutan palsu melibatkan kontrak bernilai RM43 juta bagi kerja mekanikal dan penyelenggaraan elektrik di universiti tersebut.

Turut dilaporkan ialah, seorang ahli politik Sabah bergelar Datuk yang juga Timbalan Ketua Umno bahagian yang turut terheret dengan penyelewengan ini.

Menurut Lahirul, sekiranya laporan SPRM itu benar maka ianya akan menjejaskan nama baik UMS yang sememangnya terkenal dengan kepesatan pembangunan akademik dan keindahan kawasan persekitaran.

“Jika ini benar, maka untuk apa lagi UMS berselindung. Bersihkan segera institusi ini daripada ‘tangan-tangan jahat’.

“Ini gedung akademik. Pelajar datang nak belajar dengan cemerlang, dengan kemudahan yang mereka dapat, suasana yang diperoleh... bukan mereka merasai apa yang berlaku ini. Jangan ajar pelajar-pelajar ini rasuah dan menyeleweng,” tegas Lahirul.

Tambahnya, persepsi masyarakat terhadap universiti itu akan terjejas berikutan pendedahan tersebut.

“Ada juga kemungkinan, persepsi masyarakat akan terjejas. Oleh itu, perlu sekiranya langkah tindakan pantas SPRM dan UMS dilakukan dengan segera,” katanya.
 
back to top