Rabu, 5 Oktober 2011

MEMORANDUM BANTAHAN TERHADAP PENJUALAN PULAU-PULAU MENTUKOD, MENGALUM DAN PANDANAN


MEMORANDUM BANTAHAN TERHADAP PENJUALAN PULAU-PULAU MENTUKOD, MENGALUM DAN PANDANAN

DEWAN PEMUDA PAS NEGERI SABAH (DPPNS) mengalu-alukan jawapan yang dikemukakan oleh Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur Sabah, Datuk Osman Jamal berkaitan isu penjualan Pulau-pulau Montukod, Mengalum dan Pandanan (rujuk: http://www.theborneopost.com/2011/09/24/no-application-for-sale-of-islands-%E2%80%93-director). Namun DPPNS berpendapat ia masih mendatangkan kekeliruan dan tidak dapat memberikan gambaran penyelasaian yang konkrit bagi memastikan hak dan khazanah negeri Sabah terus terpelihara.
Timbul persoalan, bagaimana dengan mudahnya berlaku pertukaran tanah atau “land swap” antara Kementerian Pertanian dan Industri Makanan dengan Pemaju yang hanya dikenali sebagai Wisma Pertanian terhadap Pulau Mengalum sedangkan ia terletak di Zon Ekonomi Ekslusif (ZEE) sangat bernilai yang kini telah menjadi tarikan pelancongan. Transaksi ini sebenarnya telah menyebabkan kerajaan kerugian jutaan ringgit di samping kehilangan khazanah yang sangat bernilai. Nyatakan Siapa Syarikat Pemaju Wisma Pertanian! Siapakah individu yang bertanggungjawab di sebalik Syarikat tersebut!
Bagaimana pula Pulau Pandanan boleh ditukar hakmilik kepada individu tertentu yang mempunyai keistimewaan untuk menjual pulau berkenaan di pasaran antarabangsa sedangkan pemilik waris yang mempunyai hak NCR di Pulau Pendanan Kecil, Datu Pangeran Ahmad bin Datu Ali Alam, menyangkal bahawa tiada waris mengambil tindakan menjual Pulau demikian. (rujuk: http://www.sabahkini.net/index.php?option=com_content&view=article&id=8524:osman-jamal-berbohong-dan-berniat-jahat&catid=69:tanah-adat&Itemid=75). Nyatakan siapakah individu terbabit. Jika urusniaga terbabit dibuat tanpa autoriti pihak terbabit maka ini boleh dianggap sebagai pencabulan terhadap hak pulau tersebut.
DPPNS juga ingin mendapat penjelasan bagaimana Pulau Montukod dan Pandanan yang memiliki status Native Title (NT) boleh dijual di Pasaran Antarabangsa sedangkan kebenaran hanya untuk aktiviti pertanian.
Jika penganugerahan status CL tersebut bertujuan membangunkan industri pelancongan di Pulau Mengalum mengapa tidak saja diserahkan saja peranan tersebut kepada Taman-Taman Sabah yang kini mengurus beberapa pulau seperti Pulau Tiga, Pulau Sipadan, Taman Marin Tun Sakaran dan Pulau Sipadan tanpa melepaskan setiap inci pun pulau tersebut kepada pihak Asing.
DPPNS mempersoalkan sekiranya penganugerahan pulau tersebut telah dilakukan pada sebelum dari kerajaan yang ada sekarang, apa tindakan yang perlu dilakukan untuk mempastikan kepentingan hak dan kepentingan bersama terjaga? Sedangkan Jabatan Tanah dan Ukur boleh menguatkuasakan Seksyen 42, Ordinan Tanah Sabah Bab 68 bagi merampas hak tanah Adat terhadap penduduk-penduduk kampung di pedalaman, maka ia juga sepatutnya mampu menguatkuasakan undang-undang yang berada dalam ruang lingkup yang sama bagi menjaga kepentingan rakyat Sabah secara keseluruhan. Adalah memalukan jika pulau yang memiliki ratusan hektar, yang mempunyai kepentingan maritim dan kedaulatan negara di biarkan sahaja terlepas kepada Pihak Asing tanpa ada tindakan prerogatif dan bersungguh-sungguh untuk mempertahankannya.
Oleh itu DPPNS mengulangi pendirian agar kerajaan menghalang penjualan pulau-pulau tersebut memandangkan ia akan mendatangkan banyak kerugian terutama kepada khazanah berharga yang menjadi hak kepada seluruh rakyat Sabah.

Lahirul Latigu
Ketua Dewan Pemuda Pas Sabah
(019-3692597)


Sila Tinggalkan Pesan, K!

Catat Ulasan

 
back to top