Isnin, 31 Oktober 2011

Aisyah Mahfuzah dan Nur Nassahel dianugerah pelajar terbaik Ibnu Sina Konvokesyen PASTI Kota Kinabalu


KOTA KINABALU, 31 Okt: Aisyah Mahfuzah Bachotang dan Nur Nassahel Hassan telah dianugerahkan pelajar terbaik (Ibnu Sina) 2011 sempena Majlis Konvokesyen Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) kawasan Kota Kinabalu kali ke-21 yang diadakan di Dewan Sa’adah, Wisma MUIS, Ahad lalu.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Ketua Penerangan PAS Negeri Sabah, Hishammudin Sulaiman. Dalam ucapan perasmiannya, beliau menegaskan bahawa anak-anak yang dilahirkan perlu diberikan pendidikan sempurna termasuk menyematkan asas agama.

“Anak-anak ini, jika kita asuh dengan baik maka jadi baik. Agama dalam diri anak-anak perlu disematkan supaya menjadi benteng kepada musuh-musuh akhlak dan peribadi.

“Amat malang sekiranya anak-anak ini dibiarkan tanpa asas agama yang kuat yang akhirnya menjadi mangsa keadaan pada kemudian hari.” katanya.

Seramai 253 pelajar daripada 16 buah PASTI kawasan Kota Kinabalu yang mengambil bahagian telah menerima sijil konvokesyen masing-masing yang disampaikan oleh Hishammudin Sulaiman. Konvokesyen itu yang menampilkan ucapan wakil pelajar oleh Aiman Hakim Suparlan dari PASTI Al-Amal, Likas turut diserikan dengan persembahan nasyid dan pengenalan pengajaran al-Quran menerusi teknik Al-Baghdadi oleh pelajar PASTI Puterajaya dan PASTI Al-Amal.

Turut hadir sempena konvokesyen tersebut ialah Pengarah 1 PASTI zon Pantai Barat, Muhammad Shuaib; Naib Ketua Muslimat PAS Sabah, Faizah Antong; Naib Yang DiPertua PAS Kawasan Sepanggar, Nazri Sulaiman; Pengarah Konvokesyen, Abdul Fakar Shaari dan para ibu bapa pelajar.

Sila Tinggalkan Pesan, K!

Catat Ulasan

 
back to top