Ahad, 16 Oktober 2011

Jual Pulau: Pemuda PAS Sabah lancar kempen


KOTA KINABALU, 16 Okt:  Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah (DPPNS) yang komited dan serius terhadap isu penjualan pulau Sabah ke pihak asing, hari ini melancarkan kempen Selamatkan Pulau-pulau Sabah.

Ketua Dewan Pemuda PAS Sabah, Saudara Lahirul Latigu berkata, Pemuda PAS Sabah bersama-sama dengan Jabatan Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (JUHAM) Pemuda PAS Malaysia menganjurkan kempen bagi mengutip tandatangan rakyat Sabah bagi memberi sokongan membantah penjualan Pulau Montokud, Pulau Pandanan dan Pulau Mengalum.

“Pemuda PAS Sabah akan membuat satu petisyen bantahan untuk dihantar kepada Ketua Menteri selain membawa isu ini ke Parlimen untuk dibahaskan,” katanya pada satu sidang media sempena pelancaran kempen Protes Barang Naik (Protes BN) dan kempen Selamatkan Pulau-pulau Sabah di Pejabat PAS Putatan, Kota Kinabalu pagi tadi.

Beliau juga mendedahkan bahawa, masih terdapat hampir 500 buah pulau di Sabah yang masih tidak bernama.

Pada 30 September yang lepas, DPPNS beserta Pemuda DAPSY dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sabah telah menghantar memorandum bantahan kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman.

Bagaimanapun memorandum tersebut hanya dapat diserahkan kepada Setiausaha kepada Setiausaha Politik Ketua Menteri berikutan ketiadaan Musa Aman ketika itu.

Sebelum ini, pendedahan oleh sebuah akhbar tempatan melaporkan bahawa ketiga-tiga pulau terbabit, Pulau Mengalum terletak di luar pantai Kota Kinabalu seluas 101 hektar ditawarkan pada harga US$18 juta, Pandanan dekat Semporna (empat hektar) US$2 juta dan Montukod, kira-kira satu kilometer di luar Kinarut (kira-kira tujuh hektar) dengan harga US$11.266 juta.

Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) Negeri Sabah, Datuk Osman Jamal berkata kerajaan negeri sememangnya mengetahui iklan penjualan tiga pulau berkenaan, tetapi tidak boleh menghalangnya kerana pulau-pulau berkenaan milik persendirian.

Pelancaran tersebut turut dihadiri Pengarah Pilihanraya Pemuda PAS Malaysia, Mohd Sany Hamzan; Pengarah Jabatan Hal Ehwal Sabah dan Sarawak, Saudara Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus; Pengarah Perpaduan Nasional dan Hubungan NGO, Pemuda PAS Malaysia, Yusni Md. Piah; Pengarah Jabatan Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (JUHAM) PAS Malaysia, Ahmad Zamri Asa’ad Khizaimi; barisan peguam PAS Malaysia dan kepimpinan Pemuda PAS Sabah.

Sila Tinggalkan Pesan, K!

Catat Ulasan

 
back to top