Rabu, 5 Oktober 2011

KENYATAAN AKHBAR DEWAN PEMUDA PAS NEGERI SABAH TERHADAP PENJUALAN PULAU KEPADA PIHAK ASING




KENYATAAN AKHBAR DEWAN PEMUDA PAS NEGERI SABAH
TERHADAP PENJUALAN PULAU KEPADA PIHAK ASING
 
Dewan Pemuda Pas Negeri Sabah terkejut dengan penjualan 3 buah pulau iaitu Pulau Mengalum yang terletak di pesisir Kota Kinabalu, Pulau Pandanan di Semporna dan Pulau Montukod di luar pesisir kimanis yang diiklankanmenerusi pusat pasaran talian terus yang berpangkalan di Toronto, Kanada.

Jesteru Dewan Pemuda Pas Negeri Sabah amat kesal dengan pengakuan Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur negeri, Datuk Osman Jamal yang menyatakan kerajaan tidak boleh menghalang penjualan Pulau-pulau tersebut kerana ianya adalah hakmilik persendirian.

Persoalannya bagaimana pulau-pulau sedemikian begitu mudah dimiliki oleh segelintir individu tertentu sedangkan ia merupakan khazanah berharga Sabah yang seharusnya dipulihara, yang boleh dijadikan sebagai tarikan pelancongan. 

Dewan Pemuda Pas juga hairan bagaimana Jabatan Tanah dan Ukur boleh dengan begitu mudah memberikan kelonggaran kepada individu tertentu untuk memiliki sebuah pulau sedangkan dalam masa yang sama Jabatan ini juga yang melakukan perampasan terhadap Hak Tanah Adat yang menyaksikan begitu ramai penduduk kampung yang tinggal di pedalaman diusir, ditangkap dan didakwa seperti laporan Suhakam yang menyatakan bahawa Sabah mencatat aduan tertinggi pencabulan tanah adat sebanyak 824 kes atau 82.4% antara tahun 2002 hingga suku pertama tahun 2011.

Jika Jabatan Tanah dan Ukur boleh menguatkuasakan Seksyen 42, Ordinan Tanah Sabah Bab 68 bagi merampas hak tanah Adat terhadap penduduk-penduduk kampung di pedalaman, maka ia juga sepatutnya boleh menguatkuasakan undang-undang yang sama bagi menjaga kepentingan rakyat sabah. 

Begitulah juga apabila kerajaan bersungguh-sungguh mempertahankan Pulau Sipadan dan Ligitan daripada tuntutan negara Jiran sedangkan bersikap dingin dan berlepas tangan terhadap penjualan 3 buah pulau ini dari terlepas kepada pihak asing. Seluruh dunia kini menyaksikan perebutan pulau-pulau bagi memastikan sesebuah negara dapat meluaskan kawasan pesisir dan sempadannya. Tidak mustahil pembelian pulau ini akan membolehkan negara Asing dengan mudah memperluaskan kedudukan strategik mereka.

Jesteru Dewan Pemuda Pas Sabah mendesak supaya kerajaan Sabah menghalang urusniaga penjualan tersebut memandangkan ia akan memberi kerugian kepada khazanah berharga yang menjadi hak kepada seluruh rakyat Sabah.

Dedahkan siapa pemilik pulau-pulau tersebut yang begitu tamak sanggup menjual sebahagian dari tanahair sendiri dan siasat juga bagaimana mudahnya mereka ini memperolehi tanah seluas pulau!
 
LAHIRUL B. LATIGU
KETUA DEWAN PEMUDA PAS SABAH

Sila Tinggalkan Pesan, K!

Catat Ulasan

 
back to top