Isnin, 30 Disember 2013

Himpunan TURUN: Pemuda PAS Sabah Sedia TURUN

Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah ingin menarik perhatian seluruh rakyat Malaysia berhubung satu himpunan aman Gerakan Turun Kos Sara Hidup Rakyat atau singkatannya TURUN yang akan diadakan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada 31 Disember ini.

Apa yang menarik, kebimbangan beberapa kelompok tertentu yang mengaitkan himpunan tersebut sebagai cubaan untuk 'menggulingkan kerajaan' adalah bersifat daif dan dangkal yang boleh diibaratkan seperti 'bodoh sombong'. Apa yang jelas, taraf hidup rakyat semakin hari semakin meningkat. Ditambah dengan pelbagai kenaikan harga barang dan keperluan termasuk barangan keperluan harian, elektrik, dan sebagainya.

Inilah salah satu bentuk kezaliman yang dilakukan pemimpin ke atas rakyat. Dalam pada negara mengalami ketirisan perbelanjaan yang besar, mereka bermewah dengan penganjuran dan aktiviti yang membazir. Akibatnya, rakyat sama ada yang berpendapatan tinggi mahupun rendah diperah semahu-mahunya untuk mengembalikan keseimbangan ekonomi negara. Rakyat dinafikan peluang untuk menikmati kehidupan yang selesa dan makmur, rakyat disogok dengan alasan pelbagai cara termasuklah kononnya hendak men'transformasi'kan kualiti perkhidmatan.

Adalah disini, sebagai cabang dalam Parti Islam Se-Malaysia yang mendokong aspirasi Negara Berkebajikan dan Keadilan Untuk Semua, maka Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah melaungkan nada yang sama dengan perjuangan rakyat dan anak muda dalam himpunan TURUN.

Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah turut dimaklumkan bahawa Himpunan TURUN juga bakal diadakan di Sabah dan mengarahkan seluruh ahli pemuda sama ada di peringkat kawasan dan cawangan di seluruh Sabah untuk turun beramai-ramai di Tanjung Lipat, Kota Kinabalu dan memakai pakaian hitam.

Perlu ditegaskan, himpunan ini bukan dirancang untuk menggulingkan kerajaan dan kita juga tidak ada masa untuk tujuan tersebut. Himpunan ini bagi menunjukkan solidariti PAS terhadap rakyat Sabah yang sememangnya sudah lama sengsara akibat dasar dan perintah yang menzalimi.

Kebebasan berhimpun adalah hak yang diperuntukkan dalam Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan, sebagai rakyat yang menjunjung tinggi keluhuran perlembagaan kami percaya ruang ini harus digunakan sepenuhnya bagi mempertegaskan suara penentangan terhadap kenaikan harga barang yang menindas penghidupan rakyat negara tercinta ini.


Oleh:
LAHIRUL LATIGU
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah

Jumaat, 27 Disember 2013

Lantikan Exco DPPM: Terima Kasih Beri Kepercayaan

Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah mengucapkan tahniah kepada saf kepimpinan Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) yang diketuai oleh Sdr. Suhaizan Kaiat atas pembentukkan kabinet DPPM. Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah berharap dan juga percaya, kabinet yang dibentuk mampu membawa aspirasi dan sekaligus membentuk satu momentum yang tersendiri dalam meneruskan agenda perjuangan khususnya dalam usaha memasyarakatkan PAS dan memasarkan Islam di medan rakyat.

Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah juga mengucapkan jutaan penghargaan terima kasih atas kepercayaan yang diberikan kepada Sdr. Lahirul Latigu, Ketua Pemuda PAS Negeri Sabah menganggotai barisan Ahli Jawatankuasa Kerja, Dewan Pemuda PAS Malaysia bagi sesi 2013-2015 ini dan sekaligus meneruskan legasi memimpin perubahan diperingkat Lajnah Hal Ehwal Sabah dan Sarawak.

Kami percaya bahawa, dengan kesungguhan dan komitmen di peringkat Pemuda PAS Malaysia yang begitu serius untuk melantik anak kelahiran Sabah bagi sama-sama berusaha dan menjadi penggerak utama sayap Pemuda PAS di peringkat Nasional dilihat satu prestasi yang tertinggi yang belum pernah dicapai dalam tahun-tahun dan sesi-sesi sebelum ini.

Masakan tidak, usia Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah yang kini sudah mencecah angka 27 tahun merupakan proses kematangan dalam usaha membina, merekrut serta mengetengahkan anak-anak Sabah sebagai 'ikon' kepada PAS bukan sahaja di Sabah malah diperingkat Nasional juga.

Sungguh, dua negeri ini perlu terus diberikan perhatian serius memandangkan ia bukan sahaja agak ketinggalan dalam aspek pembangunan, malah ianya perlu menerus menafikan istilah 'fixed deposit' buat kemenangan Barisan Nasional.

Sudah acap kali kita mendengar beberapa isu besar yang dikaitkan dengan Sabah dan Sarawak, namun ianya belum berjaya menjadi topik utama dalan merakyat perjuangan. Mungkin, inilah ruang dan peluang yang diberikan bagi mengetengahkan isu-isu dan perkembangan sosio-politik dan ekonomi bagi negeri Sabah dan Sarawak. Ianya tidak berakhir di meja perbincangan semata, malah ianya bakal mewajahkan semula landskap politik Malaysia pada satu hari nanti.

Dengan kepelbagaian kepakaran dan karisma tokoh-tokoh kepimpinan yang ada, maka Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah mendoakan agar segala gerak kerja yang dirancang berada dilandasan dan senantiasa mendapat pertolongan dan keberkatan Allah.

"SABAH TANAH AIRKU"

MOHD MUKMIN MOHD AMIN
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah

Ahad, 22 Disember 2013

GST Zalim, Bercanggah Dengan Konsep Keadilan Islam

KUALA LUMPUR: Cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang akan dilaksanakan pada April 2015 jelas bersifat zalim dan tidak adil menurut konsep Islam.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, GST ternyata bercanggah dengan konsep adil dalam Islam kerana mengenakan cukai kepada semua orang tanpa mengira kaya atau miskin.

"Perlu difahami konsep adil mengikut Islam (adalah) bukan semua orang kena. Konsep adil mengikut Islam (adalah) mereka yang mampu mengikut kemampuan masing-masing.

"GST ini, yang beli gula satu lori, yang beli gula satu kilogram, semua kena bayar cukai. Ini satu konsep yang salah," kata beliau sewaktu berucap di majlis pelancaran Kempen Faham GST, Tolak GST di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, malam tadi.

Beliau juga menegaskan, kerajaan juga wajib menetapkan harga yang tidak membebankan rakyat jika berlaku cukai yang melibatkan kenaikan harga barang keperluan asas yang diguna oleh semua golongan masyarakat.

"Sekiranya berlaku cukai yang menyebabkan kenaikan barangan keperluan orang ramai, maka kerajaan diwajibkan menetapkan harga yang tidak membebankan rakyat yakni barang-barang keperluan mereka.

"Barang-barang keperluan rukun hidup, makanan harian mesti dikawal, pengangkutan ke sana ke mari mesti dikawal, elektrik yang digunakan semua orang mesti dikawal.

"Bukan barang rukun hidup ini diambil peluang untuk dinaikkan cukainya atas nama adil untuk semua. Ini satu konsep yang zalim mengikut Islam," kata beliau di hadapan kira-kira 500 orang yang hadir.

Ahli Parlimen Marang itu juga berkata, sistem percukaian dalam sesebuah negara boleh dihapuskan apabila sumber negara sudah cukup untuk menampung kehidupan rakyatnya.

"Percukaian dalam Islam yang dikenakan termasuk kepada orang bukan Islam, sekiranya sumber negara sudah cukup maka beberapa cukai dihapuskan.

"Di sinilah Pakatan Rakyat pernah mencadangkan tol dihapuskan. Ini boleh buat.

"Tol dibayar kerana membayar kos pembinaan lebuh raya. Sudah tentu dalam masa puluhan tahun sudah cukup bayarannya.

"Mengapa dinaikkan lagi? Bukan nak bayar kos lebuh raya tapi nak bayar pada kerajaan yang tidak mampu mengendalikan kewangan," tegasnya.

Justeru tegasnya, Pakatan Rakyat meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengadakan sidang khas tergempar Parlimen bagi membincangkan masalah-masalah yang berkait dengan rakyat.

"Malangnya sepatutnya keputusan yang dibuat kerajaan mesti melalui rakyat, melalui wakil-wakil yang dipilih. 51 peratus rakyat memilih Pakatan Rakyat (tetapi) tidak boleh mengalahkan 47 peratus yang menjadi kerajaan.

"Kita melihat demokrasi di negara barat yang sungguh-sungguh mendukung demokrasi. Ahli-ahli prlimen kerajaan boleh bangkang kalau kerajaan buat tidak betul. Apa yang berlaku semua ahli parlimen BN mesti menyokong apa yang dibuat oleh sesiapa sahaja kerajaan dia.

"Atas dasar nak memulihkan demokrasi inilah mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat malam ini meminta Perdana Menteri mengadakan sidang khas parlimen untuk membahaskan masalah-masalah yang berkait dengan rakyat tanpa mengira kerajaan dan pembangkang. Biar ahli-ahli parlimen bebas memberi pandangan mereka. Yang betul kita sokong, yang salah mesti dilawan," katanya.

Turut berucap malam tadi ialah Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Penasihat DAP, Lim Kit Siang, Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr. Dzulkefly Ahmad serta wakil-wakil NGO dan aktivis yang menentang pelaksanaan GST.

Semua yang hadir juga sebulat suara untuk menyertai Himpunan Amarah Rakyat di Dataran Merdeka pada 31 Disember ini bagi menyambut tahun baru 2014 yang disifatkan sebagai tahun kesengsaraan rakyat.

Jumaat, 20 Disember 2013

JHEAINS Disaran Perkukuh Sistem Perbekalan Buku Sekolah Agama

KENYATAAN MEDIA

JHEAINS DISARAN PERKUKUH SISTEM PERBEKALAN BUKU SEKOLAH AGAMA

Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) disaran untuk mengemaskini sistem perbekalan buku agamanya dalam memastikan mutu sekolah agama rakyat di negeri Sabah terus berjalan lancar.

Sistem perbekalan buku agama yang dibekalkan oleh JHEAINS kepada sekolah agama rakyat yang beroperasi menggunakan sistem pendidikan jabatan agama negeri agak sedikit bermasalah terutama kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR) bagi tahun 2014.

Pemuda PAS memahami langkah JHEAINS untuk mengadakan transformasi sistem perbekalan buku sekolah agama menggunakan konsep skim pinjaman buku teks secara menyeluruh pada tahun 2015. Namun, pihak JHEAINS sewajarnya melakukan transisi perubahan ke arah itu dengan lebih baik dan tidak mengalami masalah untuk membekalkan buku kepada semua sekolah agama di negeri Sabah.

Menjelang sesi persekolahan tahun 2014, ada beberapa buah Sekolah Agama Rakyat (SAR) yang mengeluh dengan kehabisan stok buku agama untuk tahun 2014. Ini kerana bekalan yang tidak mencukupi untuk menampung permintaan beberapa buah sekolah agama di Sabah. Kita cukup khuatir ia akan menjejaskan aspek pengajaran di sekolah agama yang menjadi satu medium dalam mengilmukan masyarakat Islam di Sabah.

Pemuda PAS juga percaya bahawa masalah ini akan menjejaskan aspek pengajaran mutu di sekolah agama. Permasalahan terhadap perbekalan buku ini akan menimbulkan masalah yang lain dalam aspek pengajaran di dalam kelas terutama kepada guru-guru agama dan ianya lebih kronik jika kesannya akan dihadapi oleh pelajar terutama dalam aspek pemahaman terhadap teks dan ilmu agama.

Justeru itu, Pemuda PAS menyarankan JHEAINS untuk mengemaskini sistem perbekalan buku sekolah agama dan diharapkan segala permasalahan berkaitan hal ini akan selesai sebelum sekolah dibuka bagi sesi 2014 tahun hadapan.
 
 
Zaim al-Hilmee
Exco Dakwah dan Pendidikan
Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah

Ahad, 15 Disember 2013

PAS Pusat: Satu Penilaian Awal

Oleh: Lahirul Latigu

Salam Borneo,

Akhirnya suara Sabah didengari..!

Mungkin terlewat sikit komen saya, tapi saya rasakan komen ini perlu. Amat perlu untuk memberikan “direction” atau arahpandu. Dalam pada Dewan Pemuda PAS Malaysia masih belum memuktamadkan jawatankuasa mereka, mungkin boleh juga mengambil inti bicara ini.

Apabila seorang wakil Sabah dilantik, bersama seorang wakil Sarawak dalam Mesyuarat pertama PAS Pasca Muktamar ke-59, ini satu kejayaan. Kejayaan dari tekanan yang kami usahakan dalam Muktamar. Saya ingat, kami melalui PAS Kawasan Beaufort yang saya sebagai YDPnya cuba dengan usul “gila-gila” iaitu Naib Presiden ke-4 untuk Sabah dan Sarawak. Ideanya, kalau Naib Presiden tidak lekat paling tidak setiap negeri ini mendapat wakil AJK masing-masing. Apatahlagi sewaktu gelanggang muktamar dibuka, wakil Sabah terus menggempur gelanggang. Akhirnya bila saya dimaklumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Usul, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang usul kami akan dibincangkan diperingkat Jawatankuasa, saya cukup teruja. Bila seorang Ahli Jawatankuasa dimaklumkan dilantik dari Sabah, saya cuma mampu ucap Alhamdulillah. Mesej kami telah sampai..!

Mungkin ada yang lihat ini tidak lebih dari persaingan mendapat kerusi. Adat orang tiada tempat, bising dan buat perangai untuk dapat perhatian. Itu silap. Kalau setakat itulah asbabnya, tidak perlulah kami terhegeh-hegeh. Kalau setakat mahu mengejar kerusi untuk kuota khas Sabah dan Sarawak, menjadi penghadir mesyuarat yang setia dan penyampai khabar berita dari pusat, lebih baik jawatan ini tidak perlu diadakan. Tapi relevensi PAS di Sabah perlu direalisasikan di peringkat PAS nasional. Kedudukan pemimpin Sabah dalam PAS Pusat akan memberi mesej yang betul kepada rakyat Sabah. Kedudukan juga adalah saluran penting bagi menghantar suara Sabah. Perjuangan terhadap hak Sabah mesti diangkat diatas. Kepimpinan PAS Pusat terutamanya perlu menghadam inti dan pati survival rakyat Sabah, agar tidak terbabas dan hilang punca. Hilang punca bila diasak oleh isu-isu penting dari Sabah seperti Perkara 20, Perjanjian Malaysia, Polisi Kabotaj, Autonomi dan lain-lain.

Mungkin kita perlu menyoroti dan mempelajari perjuangan bekas Presiden PAS, Dr. Burhanudin Al-Helmi yang begitu kental prinsipnya dalam mempertahankan “nation building”. Beliau tegas menentang neo-kolonialism, mempertahankn hak sepatutnya untuk Sabah dan Sarawak peluang untuk berdiri atas kaki sendiri sebelum bergabung membentuk Malaysia. Beliau menentang malah melalui Kerajaan PAS Kelantan telah menyaman Kerajaan Malaysia pada 10 September 1963. Prinsip inilah yang menyebabkan beliau merengkok dalam tahanan ISA sehingga mencabut kerjaya politik hingga nyawa beliau.

Sabah dan Sarawak bergabung membentuk Malaysia

Sabah dan Sarawak tidak menyertai Malaysia pada 16 September 1963, tapi ia bergabung bersama Singapura dan Tanah Melayu membentuk Malaysia. Antara bergabung dan menyertai, konotasinya berbeza..! Perkongsian kuasa ini dimetrai dalam Perjanjian Malaysia 1963 yang diperincikan melalui Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) dan syor-syor dalam Laporan Suruhanjaya Cabbold. Perjanjian inilah yang membentuk kerangka sebenar negara Malaysia yang ada sekarang.

Kegagalan memahami kerangka inilah menyebabkan kita masih tersilap langkah. Kita gagal memahami akar masalah yang sebenar atau “root of the problem”. Umpama penyakit, kita gagal memberi diagnose yang betul lantas memberi ubat yang salah..! Malang lagi apabila kita menyediakan penyelesaian dari luar konteks, lantas memberi signal yang salah kepada minda separa sedar orang Sabah yang PAS juga hanya parti luar. Senang cerita, PAS ini Parti Semenanjung, PAS parti Malaya. PAS belum sesuai di Sabah, ...bla..bla.. Inilah momokan yang masih belum mampu kita larutkan dalam survival PAS di Sabah. Cabaran krisis keyakinan rakyat Sabah terhadap PAS. Polisi dan penampilan PAS di Sabah masih belum cukup diyakini..! Dalam PRU-13 lepas walaupun ada peningkatan, namun ia tidak lebih dari kekuatan pengaruh dan kerjasama dalam Pakatan Rakyat Sabah.

Kita masih skeptikal terhadap isu-isu kritis Sabah. Dalam isu Autonomi umpamanya, walaupun DAP dan PKR telah bergerak jauh, di pihak kita masih ada ragu-ragu dan gambaran yang ia seolah-olah memberi limpahan kuasa. Daripada sesuatu yang tidak ada kepada ada. Ini satu pandangan yang cukup naif..! Perlu diingat, Autonomi adalah perjuangan Sabahan menuntut sesuatu yang menjadi hak dalam perjanjian perkongsian kuasa pembentukan Malaysia yang telah lama dicabuli oleh UMNO dan Barisan Nasional. Autonomi Sabah telah lama wujud dalam bidang kuasa kerajaan negeri seperti ada dalam bidangkuasa Imigresen, Perundangan, Tanah, Pentadbiran dan Perkhidmatan Awam dan sebagainya. Ini telah jelas dalam terma-terma perjanjian perkongsian kuasa ini.

10 Arahan Presiden

Sabah dan Sarawak mendapat perhatian termasuk 10 Arahan dalam Ucapan Dasar Presiden pada Muktamar baru-baru ini. Antara petikan ucapan tersebut;

Sabah dan Sarawak adalah rakan penting dalam pembentukan Malaysia. Rakyat di sana telah bersama dalam referendum yang melahirkan negara Malaysia, maka hargailah hasil yang turut dibina oleh rakyat Sabah dan Sarawak. Badan Perhubungan PAS di Sabah dan Sarawak perlu melengkap dan memperkemaskan organisasi, mempertingkatkan kerja dakwah, menghilangkan phobia masyarakat di sana terhadap pas dan seterusnya merakyatkan PAS supaya diterima sebagai parti yang berupaya menjadi tempat bergantung mereka”.

Nampaknya, laluan telah dibuka untuk bergerak ke arah itu. Persoalan utamanya, adakah kita ada “Political Will” atau Kesungguhan Politik.? Adakah ada konsistensi terhadap apa yang dilontarkan dengan apa yang mau dan bakal dilaksanakan. Nah,tepuk dada tanya selera..! Kata orang, "untung sabut timbul, untung batu tenggelam".

Rakyat sabah akan menanti dan memerhatikan.

"SABAH TANAH AIRKU"

Wassalam.

__________
Penulis merupakan Ketua Pemuda PAS Negeri Sabah

Rabu, 11 Disember 2013

Penghargaan OKU Untuk PAS Sabah

Oleh: Mohammad Faizal Che Yusof
 
Tiada kata selain rasa syukur ke hadrat Ilahi apabila program Prihatin OKU yang dirancang oleh kumpulan muslimat Parti Islam Semalaysia (PAS) Tawau sejak beberapa bulan lalu dapat dilaksanakan dengan jayanya. Segalanya bermula apabila seorang aktivis muslimat Tawau yang cukup mesra dengan panggilan Kak Anna mula menghubungi kami di Sekretariat Prihatin OKU sebaik selesai Pilihan Raya Kecil Kuala Besut.

Sepanjang kami berada di Tawau, masa yang kami lalui cukup berharga. Saya cukup teruja dengan persaudaraan yang terjalin antara jentera muslimat, pemuda dan PAS kawasan seluruh Sabah yang bersungguh-sungguh menjayakan program Prihatin OKU di sana. Tidak mampu saya ungkapkan setiap komitmen kalian yang mudah-mudahan akan diganjari Allah SWT.

Sebaik saja saya dan isteri berserta bapa menjejakkan kaki di bumi Tawau pada petang 6 Disember, setelah berehat sambil menjamu sup payau, kami terus dibawa oleh Ustaz Rusli, salah seorang eksko pemuda ke tempat menginap di Bandar Tawau. Hanya pada petang itulah saya diperkenalkan dengan Kak Ana, seorang muslimat yang cukup gigih membawa suara OKU melalui PAS di sana yang juga ditemani Timbalan Pengarah program yang juga merupakan isteri Timbalan YangDipertua PAS Tawau, Puan Muliani Jamjam.

Sebelah malamnya, selepas mengadakan perkongsian pengalaman dalam kuliah maghrib di Masjid Kampung Muhibbah, sesi penerangan ringkas terus dimulakan bersama Mantan Timbalan Pesuruhjaya Sabah, Haji Ahmad Bin Dullah. Kak Ana telah memaklumkan kepada kami sekitar 40 orang telah berdaftar untuk sama-sama hadir dalam program kami pada keesokan harinya. Disebabkan program kali ini adalah kali pertama dianjurkan, dapat saya rasakan betapa mereka begitu bimbang akan sambutan daripada OKU dan masyarakat.

Pada pagi 7 Disember, sebaik memasuki bilik Diraja, Majid Alkauthar di mana program diadakan, Alhamdulillah saya dimaklumkan jemputan yang hadir melebihi sasaran. Seramai 75 orang peserta yang terdiri dari ibu bapa dan OKU telah hadir dari segenap kampung. Selain mereka, turut bersama menjayakan program sehari tersebut ialah penggerak-penggerak PAS dari Tawau, Kalabakan, Lahad Datu dan beberapa kawasan berdekatan.

Selain itu, cukup saya terharu bila Naib Ketua Dewan Musliman PAS Negeri Sabah, Suzie Faezah Antong yang cukup mesra dengan panggilan Kak Faezah, turut bersama sepanjang program berlangsung. Komitmen beliau menempuh perjalanan 13 jam dari Kota Kinabalu kerana hadir semata-mata ingin bersama kami cukup dirasai. Perjalanan di Negeri Di Bawah Bayu ini bukanlah sama seperti perjalanan di kebanyakan tempat di semenanjung.

Program Prihatin OKU berjalan sejak pagi hingga ke waktu asar. Selain perkongsian pengalaman, kami turut mengadakan sesi dialog dan soal jawab. Kehadiran pimpinan dan penggerak PAS sepanjang program cukup bermakna. Selain menyaksikan kelancaran program, mereka pastinya lebih memahami isu-isu yang didepani oleh OKU dan keluarga bila mana berpeluang mendengar sendiri pelbagai permasalahan yang dihadapi oleh OKU dan keluarga melalui sesi dialog yang diadakan.

Bagi pihak hadirin yang terdiri dari ahli keluarga OKU dan OKU sendiri, perhatian yang diberikan oleh pihak penganjur begitu dirasai. Bukanlah mereka mengharapkan pemberian atau sumbangan, memadai apabila ada pihak yang sudi berkongsi susah dan mendengar keperitan hidup yang dilalui selama ini.

Pada sebelah malamnya pula, selepas memenuhi jemputan kuliah maghrib di Majid Alkauthar, kami bertandang pula ke Bandar Fajar tempat teletaknya pejabat PAS kawasan Tawau. Seluruh pimpinan PAS termasuklah Haji Ahmad Dullah, Kak Faezah  dan Timbalan Yang Dipertua PAS Tawau, Cikgu Nasir Che Ali, terus mengadakan perbincangan dalaman ke arah mempergiatkan lagi usaha prihatin OKU di Sabah umumnya dan Tawau khususnya. Sesi perbincangan yang dipengerusikan oleh saudara Suhazman Sudirman tersebut cukup memberangsangkan dengan suasana kekeluargaan. Sesi yang pada awalnya dijangka cepat selesai, berlarutan selama hamper tiga jam.

Kesempatan mendengar sendiri persoalan yang dilontarkan sepanjang sesi dialog pada siang hari memberi pengertian dan kefahaman tersendiri kepada seluruh penggerak dan pimpinan parti. Dapat saya rasa akan komitmen seluruh penggerak PAS yang hadir bagi memastikan PAS terus mampu meneraju usaha-usaha membela rakyat umumnya dan OKU khususnya.

Lebih dari itu, kemanisan berjemaah begitu sekali terasa sepanjang kami di sana. Biarpun berkunjung ke Pasar Gantung, Pasar Tanjung atau ke Pasar Tani Sabindo cukup menyeronokkan, nyatanya berjuang di medan penuh sukar dengan dokongan setiap para pejuang yang ikhlas kerana Allah jauh lebih manis dan menggembirakan.

Dengan satu permulaan yang baik untuk negeri Sabah umumnya dan kawasan Tawau khususnya, saya penuh harap agar program Sekretariat Prihatin OKU akan terus diaktifkan pada masa hadapan. Sekalung tahniah saya ucapkan kepada seluruh warga PAS yang telah bertungkus lumus menjayakan program sehari di sana. Seterusnya saya mendoakan agar semarak Islam terus dapat dijelmakan melalui PAS agar rahmatnya dapat dirasai oleh setiap insan yang amat memerlukan.

Kepada sahabat-sahabat di Kota Kinabalu, Kalabakan, Lahad Datu dan kawasan-kawasan lain, iltizam kalian untuk menurut jejak langkah yang telah dimulakan amat kami hargai. Semoga kesungguhan pimpinan dan jentera PAS Sabah dapat diikuti oleh PAS negeri-negeri lain bagi memastikan setiap OKU dan ahli keluarga merasai nikmatnya Islam melalui perjuangan Parti Islam Semalaysia.
__________
Penulis ialah Pengerusi Sekretariat Prihatin OKU

Ahad, 8 Disember 2013

Kenapa UMNO Masih Memimpin Kita? – Aspan Alias

Ramai kehairanan kenapa Umno dan BN masih berkuasa walaupun berbagai isu dan kelemahan yang kita ketahui dan sedang diratapi oleh umum. Pimpinan Umno tidak mahu berubah kerana mereka yakin rakyat tidak memahami isu buruk mereka dan akan terus diberikan kuasa terhadap mereka walau seburuk mana perangai dan sikap mereka.

Kekurangan kesedaran orang Melayu yang masih menyokong Umno itu sebenarnya diperkuatkan oleh kegagalan pembangkang juga. Malahan pembangkang sebenarnya yang menambah kelemahan dan sikap tidak mahu berubah orang Melayu, khususnya ahli-ahli Umno, yang dianggap pembangkang sebagai bebal itu.

Itu sebabnya saya tidak pernah menggunakan istilah kasar-kasar terhadap Umno walaupun selemah mana pun pemikiran pemimpin mereka kerana mereka juga tidak mahu terjebak dalam situasi keluar daripada "mulut buaya tercampak pula dalam mulut naga". Isu yang membuatkan pembangkang mendapat kerusi kemenangannya itu bukannya sokongan terhadap parti pembangkang itu 100%.

Mereka mengundi pembangkang kerana rasa marah dan geram mereka terhadap Umno itu. Setelah pilihan raya berlalu ramai yang saya temui melalui perjumpaan-perjumpaan kecil yang mereka marah dengan Umno tetapi bolehkah pembangkang menyejukkan jiwa mereka? Saya telah menyebut tentang kekuatan persepsi terhadap sesuatu pertubuhan atau kumpulan itu adalah terletak kepada manusia yang memimpinnya.
 
Pembangkang masih tidak mempunyai pemimpin yang sebenarnya “viable” untuk dijadikan pemimpin utamanya. Pembangkang sekadar mempunyai pemimpin yang boleh menggerakkan untuk mengumpulkan manusia yang tidak berpuas hati terhadap kepimpinan yang menyandang kuasa kerajaan semata-mata.

Rakyat tidak mahu seorang pemimpin utama yang masih menjadi persoalan dalam hal peribadinya kerana kekurangan dalam imej dan persoalan peribadi merupakan persoalan yang utama dalam memilih pemimpin utama kerajaan. Rakyat sedang berada dalam keadaan serba salah. Itu sebab mereka terpaksa juga mengekalkan kepimpinan yang mereka tidak suka untuk memastikan peralihan kepada pihak lain itu tidak menjadi pilihan yang silap lagi.

Pihak pembangkang juga tidak menunjukkan kesatuan yang erat di antara pemimpin utamanya dan semakin hari semakin jelas Anwar tidak mempunyai kemampuan untuk memberikan keyakinan untuk menjadi pimpinan alternatif. Keadaan ini tidak menampakkan penambahbaikan dan jika ditimbang-timbang kerajaan tetap berada di tangan Umno lagi di dalam pilihan raya akan datang.

DAP adalah parti yang sudah sampai ke peringkat “saturation” dan parti itu sudah memenangi semua kerusi yang sepatutnya dimenanginya. Parti ini sudah sampai ke tahap optima dan graf kemajuannya tidak mudah untuk menunjukkan kenaikan selain penurunan selepas ini. Sokongan orang Melayu terhadap parti itu tidak mungkin menaik lagi dan pilihan raya yang lepas merupakan sokongan Melayu tertinggi kerana keadaaan Umno dan BN yang sedang dalam ketenatan semasa itu.

Lagi pun DAP mempunyai masalah dalaman dan kesahihan serta “legitimacy” barisan kepimpinan parti itu masih belum jelas selagi pendaftar pertubuhan belum lagi menentukannya. Sedikit kuasa yang mereka rasai di Pulau Pinang telah menunjukkan sikap parti itu sebenarnya dan sikap itu tidaklah seperti yang mereka laungkan selama 46 tahun lalu.

Ramai berpendapat, termasuk dikalangan rakan-rakan kaum Cina saya berkata, “DAP has tasted a bit of blood, and the party does not show much difference than PKR and UMNO. I think some Chinese are going back to MCA and some of the Malays’ support is back to BN. If they remain against UMNO, they have only one choice i.e to support only PAS.

Bagi saya DAP tetap parti kaum Cina dan ramai tidak menerima parti itu sebagai parti “multiracial” seperti yang mereka laungkan.  Pelbagai cara ramai orang Melayu untuk memujuk hati untuik mengatakan parti itu sebuah parti berbilang kaum tetapi hakikatnya tidak nampak sebarang “attribute” sebagai apa yang terkandung dalam perlembagaan parti itu.

Semalam semasa saya bertemu dengan 30 orang yang memanggil saya untuk memberikan pandangan kepada kumpulan sebuah taman perumahan, ada dua orang yang bangun berkata, “How can DAP rests its laurel on one Malay Law-Maker and claims to be multiracial? It’s too deceiving man..” Saya tidak dapat menjawab soalan itu. Saya bersetuju dengan seorang lagi yang hadir yang berpendapat, “DAP should remain as an opposition party as the party is doing splendid job as an opposition. Just give what is best for them.

Situasi paparan saya ini adalah penyebab yang menjadikan Umno itu masih tidak dapat ditolak oleh kebanyakkan orang Melayu dan ia tetap akan menjadi begini selagi pembangkang tidak memperbaiki diri dan jujur dalam perjuangan dan niatnya untuk negara.

Permainan “kong kalikong” diantara parti-parti dalam PR itu tidak akan membawa mereka kemana-mana. Mungkin PAS boleh memperbaiki keadaannya dengan mudah jika parti itu melakukan tindakan yang pernah mereka lalui, iaitu mula bercakap dengan parti lain atau individu-individu penting dalam negara ini. Ini adalah untuk masa depan manusia dan bangsa yang mereka perjuangkan dengan benar-benar melaksanakan perjuangan Islam untuk kepentingan semua bangsa itu.

Yang penting untuk mendapatkan pemimpin yang merupakan individu yang boleh diharapkan untuk mendapatkan sebuah negara yang bebas dari elemen hina seperti rasuah dan penyalahgunaan kuasa keterlaluan, serta pemimpin yang tahu asas keagamaannya.

Perjuangan ini wajar dilakukan oleh semua pihak kerana negara kita kekal, yang tidak kekal itu kita kerana semua diantara kita akan kembali ke asal dan Pencipta kita. Negara kita yang kekal ini wajar diberikan jaminan yang ia berada dalam keadaan yang menyamankan bagi generasi yang akan datang untuk hidup semasa kita semua sudah tiada.

Malahan jika usaha dan perjuangan ini timbul daripada naruni yang bersih kita juga boleh membawa bersama bekalan untuk kita sendiri di alam lain yang kekal nanti.

Sumber: aspanaliasnet.blogspot.com

Sabtu, 7 Disember 2013

Tarif Elektrik: Rakyat Sabah Tanggung Beban Berganda

KUALA LUMPUR: Pemuda PAS Sabah membantah kenaikan tarif elektrik kerana penstrukturan kenaikan 15 peratus iaitu dari 25.50 sen/kwj kepada 29.25sen/kWj tarif elektrik di Sabah dan Labuan baru saja dilakukan pada 15 Julai 2011.

Malah, kata ketuanya,  Lahirul Latigu kenaikan terbaru yang diumumkan oleh Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili adalah mendadak iaitu 16.9 peratus berbanding 14.89 peratus di Semenanjung.

“Kenaikan ini sudah pasti akan membebankan. Pengguna akan terpaksa membayar bil yang lebih tinggi bagi setiap penggunaan elektrik,” ujarnya dalam satu kenyataan, sebagaimana di bawah. 

Dewan Pemuda PAS Sabah memandang serius terhadap pengumuman kenaikan tarif elektrik akibat daripada semakan terhadap subsidi elektrik dan gas oleh Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili. Kenaikan tersebut adalah sebanyak 14.89 peratus atau 4.99 sen sekilo watt kepada 38.53 sen/kwj di semenanjung manakala kenaikan 16.9 peratus atau 5 sen KW kepada 34.52 sen/kwj yang akan berkuatkuasa pada 1 Jan 2014.

Pemuda PAS Sabah membantah kenaikan tersebut kerana penstrukturan kenaikan 15 peratus iaitu dari 25.50 sen/kwj kepada 29.25sen/kWj tarif elektrik di Sabah dan Labuan baru saja dilakukan pada 15 Julai 2011. Malah kenaikan terbaru yang diumumkan oleh menteri terbabit adalah mendadak iaitu 16.9 peratus berbanding 14.89 peratus di Semenanjung.

Kenaikan ini sudah pasti akan membebankan. Pengguna akan terpaksa membayar bil yang lebih tinggi bagi setiap penggunaan elektrik. Walaupun dimaklumkan 62 peratus tidak berada dalam kategori penyelarasan tersebut, tetapi ada baki 38 peratus atau 158,000 pengguna adalah mereka yang akan terkesan secara langsung. Ditambah kos hidup yang tinggi, terutamanya di bandar-bandar utama kenaikan tarif letrik ini sudah pasti akan tambah menyukarkan kehidupan.

Namun apa yang dibimbangi ialah, kenaikan ini pasti akan menyebabkan tekanan kos pengeluaran terhadap pemain industri. Sebarang kenaikan kos sudah pasti akan mendorong kepada kenaikan harga. Dan, pada tahap ini seluruh rakyat di Sabah akan menerima kesan daripada kenaikan tersebut. Malah yang amat dibimbangi ialah rakyat Sabah akan menanggung beban berganda akibat dari kenaikan tersebut..!

Sepatutnya, kementerian perlu memberi fokus terhadap pembaikan servis terlebih dahulu. Di Sabah, penyedia bekalan elektrik SESB (Sabah Electricity Sdn Bhd) lebih sinonim dengan panggilan "Sabah Electricity Sure Blackout" kerana masalah gangguan bekalan elektrik masih menjadi masalah utama. Indeks Sistem Purata Gangguan (SAIDI) masih tinggi pada 557 minit/pengguna pada 2012 walaupun terdapat penurunan berbanding 2867 minit pada tahun 2009. Ini cukup jauh dibandingkan di Semenanjung yang telah mencapai kecekapan tahap bawah 100 minit iaitu 66 minit pada 2009 lagi. Keadaan ini lebih kritikal apabila 23% kawasan pedalaman di Sabah masih tidak mempunyai liputan bekalan elektrik menurut Laporan Rancangan Malaysia Ke-10.

Kenaikan ini sudah pasti memberi lebih keuntungan kepada Syarikat IPP atau Penyedia Tenaga Bebas. Pergantungan masih tinggi terhadap IPP ini dengan daripada 785MW keseluruhan keupayaan penjanaan SESB, 314MW adalah dijana oleh IPP bermakna kerajaan terpaksa membayar sumber subsidi yang tinggi untuk menampung syarikat-syarikat ini.

Alasan kenaikan gas asli tidak boleh diterima kerana Sabah adalah antara pengeluar petroleum yang utama. Data yang diperolehi pada tahun 2011 mencatatkan hasil petroleum yang dikeluarkan dari perut bumi Sabah adalah sebanyak RM16.24 billion. Kenapa tidak dikembalikan manfaat hasil dari bumi Sabah ini kepada rakyat Sabah walau sedikitpun..?

Rakyat di Sabah sudah lama terbeban dengan kos hidup yang tinggi akibat dasar dan polisi berat sebelah UMNO dan Barisan Nasional. Polisi Kabotaj umpamanya telah lama menekan harga barang lebih tinggi berbanding di Semenanjung. Menerusi polisi inilah rakyat Sabah akan merasai kesan berganda kerana barang-barang terpaksa menghadapi tekanan kos akibat kenaikan tarif elektrik di semenanjung, seterusnya tekanan kos akibat kenaikan tarif di Sabah juga berlaku setelah sampai di sini. Ditambah pula dengan kenaikan harga minyak dan terbaru cukai GST yang bakal menyusul, nampaknya kehidupan di Sabah akan menjadi bertambah sukar..! Inilah mungkin 'hadiah' kepada rakyat Sabah setelah memberi undi yang besar mempertahankan UMNO dan Barisan Nasional dalam Pilihanraya ke-13 lepas.

Menteri, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili selaku Ahli Parlimen Sabah dari Kota Marudu sepatutnya berasa malu kerana tidak berupaya menjalankan tugasnya menjaga kepentingan rakyat Sabah. Pemuda PAS Sabah menasihatkan agar beliau berundur jika tidak mampu lagi mempertahankan hak rakyat yang diwakilinya.
 
back to top