Rabu, 22 September 2010

Timb Presiden PAS Rasmi Penubuhan PAS Cawangan Sepanggar







Kota Kinabalu: Rumah terbuka PAS Kawasan Sepanggar meriah dengan kehadiran Timbalan Presiden PAS Ustaz Nasharudin Mat Isa dan Mantan Timbalan Ketua Menteri Kelantan YB Abdul Halim Abdul Rahman.

Rumah terbuka ini diadakan di rumah mantan Imam Rawatib iaitu Pangeran Hanafi Pangeran Tajuddin Kampung Rampaian dekat sini.

Pada majlis itu juga, Pelancaran penubuhan PAS Cawangan Kg Rampaian disempurnakan dengan penyerahan 50 borang keahlian PAS kepada Timbalan Presiden PAS.

Ustaz Nasharudin dalam ucapannya berkata, penubuhan Cawangan PAS Kg Rampaian memberikan satu petanda yang baik bahawa perjuangan PAS telah diterima oleh masyarakat di Sabah dan tidak mustahil PAS akan menggantikan Umno-Bn pada PRU ke-13 nanti.

“PAS yang berpegang dengan prinsip Islam menjadi faktor mengapa perjuangan PAS sesuai kepada semua bangsa dan agama”

Beliau juga menjelaskan keterlibatan PAS di pentas politik Negara ini adalah untuk mengajak manusia melakukan kebaikan dan mencegah daripada melakukan kesalahan.

“Maka peranan PAS sebagai parti politik yang berdaftar ialah membetulkan sistem yang rosak oleh Umno-Bn sekarang ini agar kembali kepada keadilan sebenar seperti mana yang terdapat dalam Islam, jelas beliau.

Sementara itu, Mantan Timbalan Ketua Menteri Kelantan yang juga merangkap Adun Pengkalan Chepa YB Ustaz Abdul Halim Abdul Rahman berkata, PAS di Kelantan sudah lama selesai isu hak agama lain yang ditadbir oleh pemimpin Islam seperti Ketua Menteri, YAB Tuan Guru Dato Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Beliau berkata, di Kelantan tidak wujud isu agama lain tidak bebas mengamalkan agama mereka kerana disanalah terdapat patung agama Buddha yang masih berdiri hampir setengah abad tanpa diusik sedikitpun oleh Kerajaan Negeri.

Walau bagaimanapun katanya, terdapat beberapa syarat yang perlu dipatuhi oleh agama selain Islam supaya tidak menimbulkan salah faham seperti yang berlaku sekarang ini akibat tindakan Umno-Bn yang tidak merujuk kepada Al-quran dan Sunnah.

Begitu juga dengan soal hak orang melayu dan bukan melayu katanya, PAS merupakan contoh kepada negeri-negeri lain kerana berjaya menyatukan pelbagai kaum hidup dalam keadaan harmoni tanpa sebarang prasangka buruk terhadap kaum lain.

Tambah beliau lagi, saya sarankan agar tuan-tuan pergi melawat Negeri Kelantan dibawah pentadbiran PAS dan lihat sendiri perkembangan masyarakat yang cukup baik di sana, ujar beliau lagi.

Sila Tinggalkan Pesan, K!

Catat Ulasan

 
back to top