Selasa, 26 Mei 2009

Pemuda Sabah Rakam Takziah!

Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah merakamkan ucapan takziah buat saf kepimpinan baru Dewan Pemuda PAS Pusat yang secara rasminya diumumkan oleh jawatankuasa pemilihan sebelah pagi tadi. Mereka terdiri daripada Ustaz Nasrudin Tantawi sebagai Ketua Pemuda, Ustaz Azman Shapawi sebagai Timbalan dan Sdr Ahmad Subki Yusof sebagai Naib Ketua.

Kami melihat kemenangan tanpa bertanding mereka ini sebagai bukti yang kukuh bahawa ahli Pemuda PAS bersedia meletakan kepentingan Jamaah mendahului kepentingan peribadi. Proses ini dibuktikan dengan kesudian beberapa individu yang dicalonkan untuk memberi laluan agar pemilihan pada sesi ini dijalankan berlandaskan prinsip syura yang sememangnya menjadi warisan peninggalan para pemimpin / khalifah Islam yang terawal.

Kami juga mengambil kesempatan ini untuk mengingatkan kepada mereka bahawa jawatan ini adalah amanah daripada Allah untuk mereka menbangunkan agama di muka bumi ini dan sesungguhnya semua ini akan kembali diperhitungkan Nya di akhirat nanti. Kami juga bersedia untuk memberikan bai'ah (sumpah setia) dan wala' (ketaatan) kami kepada mereka bagi mendukung setiap perancangan dan gerak-kerja saf kepimpinan pada sesi ini demi memastikan tersebarnya Keadilan dan Keindahan Islam di bumi yang tercinta ini.

Kami juga merasakan bahawa ruang demokrasi masih lagi terbuka luas bagi mendidik dan mentarbiyah ahli melalui pertandingan bagi memilih saf jawatankuasa kerja yang memperlihatkan seramai 23 orang calon yang menawarkan diri untuk memikul amanah tersebut. Kami juga mengambil kesempatan ini untuk menyeru sahabat-sahabat pemuda diseluruh negera untuk kita mengukuhkan ukhuwah dan persaudaraan kita serta memperkemas Jamaah di bawah saf kepimpinan pada sesi ini dengan menggunakan kesempatan terbaik ini untuk memilih dan melantik individu-individu yang mampu meletakan kepentingan Islam dan Negara melebihi diri sendiri sebagai pemimpin kita!

Walau bagaimanapun, kami masih terasa sedikit kekurangan kerana masih lagi belum ada anak-anak Sabah yang mempunyai rezaki untuk membawa suara bumi di Bawah Bayu ini di peringkat Pemuda PAS Pusat. Tetapi Insya ALLAH sedikit masa lagi Allah akan melimpahkan rahmatNya dengan melahirkan lebih ramai anak-anak tempatan yang berjiwa Islam serta berwibawa sehingga mampu menonjol diperingkat Negara.

Akhirnya kami juga mengungkap syukur kepada Allah kerana masih lagi diberikan kesempatan untuk melihat suburnya Kepimpinan Ulama' yang semakin mekar tunasnya bermula di Dewan Pemuda yang sememangnya telah menjadi pencetus kepada gagasan ini dan mudah-mudahan akan terus mendokongnya sehingga ke titisan darah yang terkahir.

mewarisi kepimpinan ulama'
Perkasakan Pemuda Teguhkan Pakatan

Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah

Sila Tinggalkan Pesan, K!

Catat Ulasan

 
back to top