Jumaat, 8 Mac 2013

Presiden PAS Arah Solat Hajat Jumaat Ini

KUALA LUMPUR: PAS mengarahkan seluruh ahlinya untuk mengadakan solat hajat di seluruh negara sejurus selesai solat Jumaat 8 Mac ini berhubung operasi menangani pencerobohan di Sabah.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, solat hajat itu bagi memohon kepada Allah agar isu keselamatan yang melanda negara kita ini dapat diselesaikan dengan segera.

"Perkembangan terkini isu pencerobohan kedaulatan negara di Sabah hingga kini belum menampakkan tanda-tanda ianya akan reda dalam waktu terdekat.

"PAS merasakan bahawa tanggungjawab untuk mewujudkan keamanan dalam negara kita ini adalah tanggungjawab semua pihak, tanpa mengira samada dari pihak kerajaan, semua parti politik dan rakyat seluruhnya,' katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Sejak pencerobohan oleh kumpulan yang mendakwa pengikut Sultan Sulu di Sabah itu, lapan anggota polis negara kita telah terkorban dalam beberapa siri pertempuran dengan mereka.

Ekoran itu pihak keselamatan termasuk polis dan tentera sejak kelmarin melancarkan serangan ofensif terhadap kubu penceroboh tersebut.

Dalam pada itu, PAS Tuan Guru Abdul Hadi mempunyai pendirian yang sama dengan ketetapan Majlis Fatwa Kebangsaan.

Katanya, anggota keselamatan yang terkorban dalam misi mempertahankan kedaulatan negara dari unsur hirabah ini adalah tergolong sekurang-kurangnya syahid akhirat bahkan kita mendoakan agar mereka dikurniakan pahala yang lebih besar lagi.

Sila Tinggalkan Pesan, K!

Catat Ulasan

 
back to top