Rabu, 6 Mac 2013

Pemuda PAS Sabah Sedia Jadi Sukarelawan

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Sabah bersedia menjadi sukarelawan bagi menghulurkan bantuan kepada pasukan keselamatan negara jika diperlukan.

Pesuruhjaya PAS Sabah, Aminuddin Aling berkata perkara tersebut diputuskan melalui mesyuarat tergempar parti itu, yang diadakan malam tadi.

Biarpun tidak meletakkan jumlah sukarelawan tersebut, Aminuddin berkata Pemuda PAS Sabah bersedia sekiranya negara memerlukan lebih ramai sukarelawan.

Selain itu, mesyuarat itu turut mencadangkan agar satu sidang khas Dun Sabah diadakan bagi tujuan memperincikan krisis di Lahad Datu itu agar lebih difahami rakyat, khususnya di Sabah.

"Sidang khas itu perlu bagi mendapatkan perincian mengeni krisis ini. Pandangan dan pendapat yang pelbagai mungkin membantu ke arah menyelesaikan krisis ini," tegas beliau ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Dalam pada itu, Aminuddin juga berkata satu mesyuarat tergempar melibatkan Pakatan Rakyat Sabah turut akan diadakan pada tempoh yang terdekat.

Malah, pihaknya juga memutuskan untuk menemui Majlis Keselamatan Negeri Sabah dan Ketua Polis Sabah bagi mendapatkan maklumat sebenar kerana maklumat sebelum ini masih tidak memberikan keyakinan kepada rakyat.

Aminuddin juga sekali lagi mengulangi saranan Dewan Ulama PAS Pusat dan jabatan-jabatan agama, khususnya Jabatan Hal Ehwal Islam Negeri Sabah (JHEINS) untuk mengarahkan masjid-masjid dan surau-surau untuk melakukan solat hajat.

PAS Sabah sendiri, tambah beliau akan mengadakan solat hajat perdana di setiap kawasan pada 7 Mac ini.

Sebelum ini, Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Nasruddin Hassan turut mengumumkan kesediaan Pemuda PAS Malaysia untuk bersama-sama membantu pasukan keselamatan negara di Sabah sekiranya diperlukan.

Sila Tinggalkan Pesan, K!

Catat Ulasan

 
back to top