Rabu, 27 Januari 2010

PAS Sabah semakin diterima




Keningau, 26 Jan
– Yang Dipertua PAS Kawasan Keningau, Sdr Hisamuddin Sulaiman yakin bahawa PAS semakin mendapat sambutan daripada masyarakat Sabah berikutan kegagalan Barisan Nasional membawa masyarakat disini kepada taraf hidup yang baik.

Beliau yang dalam rangka lawatan ke kampung-kampung sekitar daerah sook untuk menyampaikan sumbangan melahirkan rasa simpati dengan nasib masyarakat disini yang masih belum mendapat kemudahan asas yang sepatutnya seperti kemudahan jalan raya, air dan elektrik walaupun sudah 50 tahun merdeka.


Baru-baru ini, PAS Kawasan keningau bersama rombongan seramai 15 orang terdiri daripada ahli majlis syura Dewan Ulama PAS Pusat, Dr Daeng Sanusi ; wakil daripada unit AMAL Pusat, Sdr Rosli ; wakil Badan Perhubungan PAS Sabah, Ustaz Aminuddin Aling dan beberapa orang exco Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah turun ke kampung mansiat dan sinua untuk menyampaikan sumbangan berbentuk keperluan seharian.


Perjalanan yang mengambil masa selama 3 jam dari pekan kecil sook diburukkan lagi dengan keadaan jalan yang tidak berturap sangat menyukarkan perhubungan antara penduduk kampung dengan pekan kecil sook. Menurut seorang tenaga pengajar yang telah berkhidmat selama 3 tahun di sini, keadaan jalan akan bertambah buruk apabila hujan lebat menyebabkan jalan raya disini hanya dapat dilalui oleh kereta pacuan empat roda.




Sdr Hisamudin menegaskan, rakyat perlu faham bahawa tanggungjawab sebagai pemimpin sebaik saja dilantik iaitu menyediakan keperluan asas seperti kemudahan jalan raya, air dan elektrik kepada rakyat. Jika kemudahan asas ini pun tidak mampu disediakan, jangan berbohong kepada rakyat dengan menabur janji-janji manis setiap kali pilihanraya semakin hampir, ujar beliau sewaktu menyampaikan kata-kata aluan dalam majlis penyampaian bantuan berbentuk keperluan seharian kepada penduduk kampung mansiat dan sinua.






Pada majlis yang sama, Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah Sdr Lahirul Latigu berkata, tujuan PAS turun kepada masyarakat disini adalah untuk memperkenalkan PAS dan perjuangannya. Media yang dikuasai oleh Barisan Nasional selama ini telah memberikan imej yang buruk kepada PAS menyebabkan masyarakat tidak mendapat gambaran yang sebenar mengenai perjuangan PAS. Beliau yakin, sebagaimana PAS diterima oleh semua kaum dan agama di semenanjung, PAS juga akan diterima oleh pelbagai suku kaum dan agama di Sabah sedikit masa lagi.


Sementara itu, pengerusi surau kg mansiat ustaz Radzi berkata, hampir 20 tahun kerajaan barisan nasional menjanjikan jalan raya berturap masuk ke kampung mereka, namun sehingga sekarang belum ada tanda-tanda janji tersebut akan dikotakan. Menurutnya lagi, penduduk kampung disini kecewa dengan sikap pemimpin Barisan Nasional yang tidak memperdulikan nasib mereka sebagai majoriti umat Islam. Katanya, ahli jawatankuasa surau ini sudah beberapa tahun memohon agar surau di kampung dibaik pulih memandangkan strukturnya sudah agak rapuh dan sudah tidak boleh menampung jumlah ahli jamaah yang semakin ramai namun belum ada jawapan yang diberikan kepada penduduk kampung.




Pada majlis tersebut juga, sebanyak 30 borang keahlian PAS di serahkan kepada ahli majlis syura Dewan Ulama PAS Pusat, Dr Daeng Sanusi sebagai tanda sokongan dan kepercayaan masyarakat disini kepada PAS. Turut sama menyampaikan sumbangan berbentuk keperluan seharian iaitu Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah, ustaz Aminuddin Aling sambil diperhatikan oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Sabah, Sdr Lahirul Latigu.

Sila Tinggalkan Pesan, K!

Catat Ulasan

 
back to top