Jumaat, 8 Januari 2010

Kenyataan Media DPPNS Terhadap Tindakan Keras Kerajaan Mesir Kepada Konvoi Bantuan Makanan Ke Gaza

Keengganan Kerajaan Mesir membuka sempadannya sebelum ini kepada konvoi bantuan makanan ke Gaza merupakan satu tragedi yang sungguh malang kepada nilai kemanusiaan itu sendiri. Sebagai negara jiran yang paling hampir dengan penduduk Gaza, kerajaan Mesir seharusnya mengenepikan dahulu soal perbezaan politik demi kelangsungan nyawa penduduk Gaza.


Walaupun Kerajaan Mesir ada membuka sempadannya kepada konvoi bantuan tersebut, namun ia masih menjadi pertikaian kerana berlaku beberapa insiden yang tidak sepatutnya oleh pihak berkuasa Mesir. Antaranya ialah menahan pasport mereka sehingga mereka terkandas di pelabuhan selama beberapa hari.


Selain itu, tindakan polis Mesir menggunakan tindakan kekerasan juga amat mendukacitakan. 10 orang anggota konvoi tersebut cedera dan 4 orang lagi dikatakan parah setelah dibelasah teruk ketika 59 kenderaan konvoi ditahan daripada memasuki sempadan Gaza-Mesir. Jika Kerajaan Mesir benar-benar jujur ingin membantu penduduk Gaza, tentu tidak akan ada tindakan-tindakan yang tidak sewajarnya berlaku kepada konvoi bantuan tersebut.


Malang sekali kepada kita semua yang mencintakan kedamaian kerana Kerajaan Mesir tidak menghiraukan suara keamanan dari segenap pelusuk dunia. Anggota Konvoi Viva Palestina tersebut merupakan himpunan para simpati dari pelbagai pertubuhan yang konsisten dan komited mempertahankan nilai-nilai kemanusiaan dimana jua.


Tindakan Kerajaan Mesir itu juga adalah amat bertentangan dengan konsep persaudaraan sesama Islam. Oleh sebab itu Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah membantah sekeras-kerasnya apa juga tindakan tidak berperikemanusiaan Kerajaan Mesir terhadap penduduk Gaza dengan mengajak seluruh umat Islam di Sabah agar mengadakan himpunan aman Palestin di Masjid Padang Bandaran pada 8 Januari 2009 selesai solat Jumaat. Mari selamatkan Kemanusiaan, Hidupkan Palestin!




Yang Benar,




LAHIRUL LATIGU
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah

Sila Tinggalkan Pesan, K!

Catat Ulasan

 
back to top