Rabu, 26 Ogos 2009

Salleh Man akhirnya berjaya

BUKIT MERTAJAM 25 Ogos - Wakil rakyat Permatang Pasir, Mohd. Salleh Man, 52, menarik nafas lega setelah cubaan kali ketujuh bertanding dalam pilihan raya membuahkan hasil.

Beliau yang juga Pesuruhjaya Pas Negeri itu berjaya mempertahankan kerusi milik Pas setelah menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Rohaizat Othman, 38, dengan majoriti 4,551 undi.

Mohd. Salleh yang ditemui pemberita di Dewan Perdana, Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di sini malam ini melahirkan rasa gembiranya di atas kemenangan tersebut sekali gus berazam menyambung semula khidmat Allahyarham Datuk Mohd. Hamdan Abdul Rahman.

"Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada para pengundi di Permatang Pasir kerana memberi peluang kepada saya memenangi di kawasan ini.

''Turut tidak dilupakan, kesemua petugas dan jentera pakatan pembangkang yang tidak jemu-jemu memberi sokongan padu kepada saya," katanya.

Mohd. Salleh merupakan graduan Universiti Malaya (UM) dan pernah bertanding dalam enam pilihan raya termasuk pilihan raya umum lalu tetapi tewas kepada calon BN, Datuk Jasmin Mohamed dengan majoriti 535 undi bagi kerusi DUN Sungai Dua.

Pada masa sama, Mohd. Salleh berkata, kejayaannya itu membuktikan kerjasama erat antara komponen pakatan pembangkang yang sentiasa menjalin hubungan baik.

''Saya yakin Pulau Pinang akan terus kekal di bawah kerajaan pakatan pembangkang," tambahnya.

Sila Tinggalkan Pesan, K!

Catat Ulasan

 
back to top