Selasa, 28 Julai 2009

Jejak Muallaf Dewan Pemuda PAS Kawasan Sepanggar


Pertama kali menjejakkan kaki ke laman rumah 2 keluarga muallaf ini, hati sudah mula dirundung simpati. Muhammad Raihan kelihatan sudah berdiri di anjung rumahnya tersenyum manis mempelawa kami bertamu di teratak milik keluarga muallaf berbangsa Dusun yang baru 5 tahun memeluk Islam. Bersama Pakcik Salimin yang membawa kami bertemu keluarga ini, kami seterusnya mengatur ziarah untuk kali ke dua di rumahnya di Kg Log Poring, Sepanggar.


Ziarah kali kedua pada 27 Julai 2009 ini disertai bersama oleh rombongan Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Kawasan Sepanggar iaitu Sdr. Muhd Nuriy Kamaruzaman. Ketibaan kami seperti biasa disambut mesra oleh Muhammad Raihan bersama anak-anaknya yang baru balik dari bersekolah. Beliau belum ada pekerjaan tetap, hanya dengan berkebun dan memungut hasil getah yang tidak seberapa sahaja sumber untuk menyara kehidupan seharian dan sekolah anak-anaknya.


Muhammad Raihan memeluk Islam pada tahun 2003 dan ketika itu hanya beliau dan abang sulungnya yang memeluk Islam dalam keluarga mereka. Ahli keluarga yang lain masih kekal dalam agama Kristian. Isteri beliau baru sahaja meninggal pada 22 Mei yang lalu ketika sedang nazak melahirkan anaknya yang ke dua. Sehingga ke hari ini, beliau sukar mendapat pekerjaan tetap kerana masalah penjagaan anak.


Muhmmad Azhar sedang mambasuh baju sekolahnya


Semasa kami sedang asyik berbual, anak ke dua dari abang sulungnya Muhamad Azar baru tiba dari sekolah. Di ruang tamu, kakak sulung Muhammad Azhar iaitu Nor Fatihah sedang membetulkan kasut-kasut sekolah mereka yang agak lusuh. Dari luar rumah begitu jelas kelihatan baju dan beg sekolah tersangkut bersama pakaian lusuh yang biasa dipakai oleh ayah mereka keluar bekerja. Itulah ruang tamu mereka itu jugalah dapur masak mereka. Muhammad Azhar yang baru tiba dari sekolah, muncul semula dari dalam rumah, berlari ke sebuah ruang kecil di sebelah kiri rumah mereka. Ruang tersebut cuma dikelilingi papan kecil dan atap zink dan ditengahnya sebuah bekas untuk menadah air. Rupanya, itulah tandas mereka.


Pertemuan singkat bersama keluarga Muhammad Raihan berkakhir menjelang maghrib. Beliau mengucapkan berbanyak terima kasih dan gembira dengan kehadiran kami semua. Sebelum bersurai, Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Kawasan Sepanggar, Sdr Nuriy Kamaruzaman memberikan sedikit sumbangan berbentuk makanan asasi untuk keluarga Muhammad Raihan. Moga dengan sumbangan yang sedikit ini, dapat membantu meringankan sedikit beban keluarga ini menghadapi hari-hari yang akan datang.

Sila Tinggalkan Pesan, K!

Catat Ulasan

 
back to top