Rabu, 7 Januari 2009

Kenyataan media DPP Sabah Berhubung Isu Kekejaman Zionis Terhadap Umat Islam Palestin

Merujuk kepada perkembangan serangan ketenteraaan tanpa belas kasihan oleh rejim Zionis terhadap umat Islam Palestin yang masuk hari ke enam, seluruh lapisan masyarakat dunia tanpa mengira perbezaan ideologi dan bangsa mengutuk sekeras-kerasnya tindakan yang tidak berperi kemanusiaan itu.

.

Menyokong dengan penuh komitmen usaha warga dunia terhadap pembantaian umat Islam Palestin, maka Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah mendesak agar tindakan ketenteraan zionis segera dihentikan serta merta. Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah juga menggesa kepada sekutu kuat Israel iaitu Amerika Syarikat agar mengambil tindakan yang sepatutnya dan bukannya menutup mata terhadap tindakan yang dilakukan oleh zionis itu. Amerika Syarikat sebagai sebuah negara yang mempunyai pengaruh yang kuat keatas Israel seharusnya membawa isu ini ke meja rundingan untuk mencari langkah penyelesaian.

.

Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah menggesa OIC agar mengambil tindakan segera dengan menyalurkan bantuan dalam apa jua bentuk untuk memastikan saudara seagama terus mendapat pembelaan yang sewajarnya. Inilah masa yang sesuai untuk menggembling seluruh kekuatan umat Islam agar bersatu menyelesaikan masalah yang menimpa umat Islam Palestin. Negara Malaysia yang menjadi tuan rumah kepada OIC dilihat masih belum bersungguh-sungguh menyatakan simpati kepada umat Islam Pelestin.

.

Dalam masa yang sama, Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah menggesa kepada semua ahli, penyokong dan umat Islam seluruhnya agar terus menyatakan bantahan dan kekesalan terhadap tindakan tidak berperi kemanusiaan oleh rejim Zionis terhadap umat Islam Palestin. Amalan amalan sunat seperti solat hajat dan membaca qunut nazilah mesti menjadi kelaziman agar usaha yang sedikit ini menjadi sebab turunnya pertolongan Allah kepada umat Islam Palestin.

.

Dewan Pemuda Pas Negeri Sabah

Sila Tinggalkan Pesan, K!

Catat Ulasan

 
back to top